|
PUKUL BERAPA TOK HARIMAU

last modified Nov 14, 2005 at 1:28
Singapore Idol
Pra-Singapore Idol Final show. Aku sayu bila lihat Taufik sebak dan cuba ketawa dalam menahan airmata dari keluar. Cuba macho dalam tangisan. Dia menceritakan tentang iltizamnya untuk menampung ibunya. Semoga ibunya tidak perlu kerja mencuci kondominum 12 jam sehari lagi. Sementara skandal kewangan ibu Sylvester membuatkan aku sebel. Namun begitu, ini bukan faktor persembahan nyanyian.
Malaysia membuktikan kebolehan untuk mengundi via SMS secara matang. Kemenangan Jac dalam Malaysian Idol membuktikan peminat tidak mengundi berdasarkan perkauman tetapi kualiti persembahan.
Kini tiba giliran Singapore diuji. Adakah mereka akan memilih Taufik yang mempunyai suara mantap dan berkebolehan untuk menggayakan semua jenis lagu ATAU Sylvester yang hanya cenderung ke arah rock ballad. Dari segi persembahan Taufik amat konsisten dan memang jauh lebih baik dari Sylvester tapi imej Bon Jovi + Ah Beng milik Sylvester mungkin membolehkan dia menjadi pop star yang bakal menawan Singapore, Hong Kong dan China pada masa akan datang. Lagi pun yang mengundi kebanyakannya adalah ah moi belasan tahun.
Aku tidak pernah mengundi untuk Malaysia Idol. Singapore Idol lagi la aku tidak mengundi. Aku tidak kisah jika Taufik tidak menang. Publisiti yang sedia ada dan kebolehan yang ditunjukkan sepanjang perlumbaan membuat aku pasti dia akan dapat buat rekod. Mungkin menyaingi Ferhad (artis Singapore yang popular di Malaysia) dalam masa terdekat.
LAWATAN SAMBIL BELAJAR Singapore Idol
Wed.1.12.2004.|129802 | posted by harimauj at 11:57 |
4 Gigitan
|
Orang Seni
Lokasi Adengan- Rumah Terbuka Usahawan: Cara kau makan dan berpakaian menunjukkan kau orang separuh seni. Tokrimau: Aku bukan orang separa seni. Aku bukan orang seni halus. Aku orang seni kasar.
Tue.30.11.2004.|129670 | posted by harimauj at 13:02 |
5 Gigitan
|
Ikhlas
Pintu pejabat pos kecil S*nai tertutup rapat sebab pejabat pos itu ada hawa dingin. Di dalamnya penuh orang beratur untuk bayar bil dan beli stem. Jika kalian menolak pintu masuk, pasti terkena badan orang yang sedang beratur.
Aku cuma nak ambil bungkusan yang dititipkan kepada aku. Aku tidak terus masuk sebab rimas tengok orang ramai. Kena rokok sebatang di luar. Tiba-tiba Sabrinamon yang menegur seorang pemuda yang sedang bertenggek di atas motor.
"Baju sama," kata Sabrinamon. Aku menoleh.
Seorang pemuda berkumis tersenyum pada kami. Dia pakai slack dengan kasut hitam berkilat. Bajunya t-shirt Jking putih berkolar, sama dengan aku. Tidak, kami tidak nampak seperti kumpulan boria kerana t-shrt putih berkolar adalah klise di mana-mana.
Pemuda itu memulakan perbualan. Kami cerita pasal bahan binaan pejabat pos, senibinanya, kerja masing-masing, sehinggalah tentang gossip perkembangan terkini pembangunan Johor Bahru. Dia terlebih segak dan ramah. Aku curiga. Adakah dia nak rokok? Pinjam duit? Tipu duit? Colek anak aku? Jual insuran? Jual Avon? Amway?
Aku segera minta diri untuk masuk pejabat pos. Memutuskan hubungan sebelum aku terikat dengan wacana yang lebih panjang.
Aku beratur di belakang sekali dalam barisan manusia yang ramai. Hanya satu kaunter yang buka. Seminit kemudian, pemuda tadi ikut masuk. Dia menegur aku,
"Minta slip (pengesahan panggilan mengambil bungkusan) dan kad pengenalan. Kalau abang beratur, 2 jam tidak mungkin siap. Saya boleh tolong."
Aku keberatan dan terus curiga. Terdetik juga dalam hati aku, "Dalam pejabat pos pun ada ulat?" tetapi aku terus menghulur apa yang dia minta. Dia masuk dalam pejabat yang berlabel "Untuk Kakitangan Sahaja." Dia keluar dengan segenggam surat. Dia hulurkan bungkusan aku sambil tersenyum.
Kami keluar dari pejabat pos. Dia seorang despatch di sebuah hotel berdekatan. Setiap hari dia datang ambil surat dari Karung Berkunci yang disediakan pos. Aku mengucapkan terimakasih dan bertanyakan namanya. Razif. Dia pun pergi membawa keramahannya sekali.
Maaf kerana bersangka buruk. Aku tidak sangka masih ada lagi keikhlasan dalam hati manusia. Aku melihat Sabrinamon dengan separuh mengharap dia dapat menangkap ironi apa yang berlaku. Dia tidak kata, "jangan memotong barisan, berbarislah" atau apa-apa kenyataan sinis. Dia cuma diam dan bersedia untuk ke taska pula.
p.s.
 Bungkusan datang dari Gigi Tidak Bertatoo. Dia menitipkan CONCEPT: Majalah desain grafis dari Indonesia untuk barter dengan Gangguan Teksual (GT2). Sayangnya GT2 sudah habis stok. Aku akan bagi dia GT3 bila siap kelak.
Mon.29.11.2004.|129539 | posted by harimauj at 12:58 |
7 Gigitan
|
Mungkin
Mungkin ianya hanya kelenjar. Mungkin juga ianya perkembangan sel-sel yang tidak terkawal. Ini samalah seperti berkata, dia mungkin sesat di padang kemuncup atau jatuh di gaung bebatuan tanpa dasar.
LAWATAN SAMBIL BELAJAR Payu dara / Buah dada
|129528 | posted by harimauj at 11:10 |
3 Gigitan
|
Panggilan Dari Hospital
Terlalu awal untuk mengesahkan jangkitan. Lapor lagi kepada doktor dalam masa 3 bulan atau jangkitan menjadi besar. Mana-mana satu yang lebih dahulu.
Aku dakap dia sepanjang malam. Aku tidak tahu aku sayang awek cun yang mengorat aku itu sampai tahap ini.
Fri.26.11.2004.|129261 | posted by harimauj at 14:49 |
13 Gigitan
|
Pukul Berapa Datuk Harimau?
Jam Melayu lambat 30 minit. Aku sering menjadi mangsa kerana menepati waktu. Aku kena tunggu. Jam menteri pula lambat 60 minit. Orang kampung sempat tumbuh uban menunggu menteri merasmikan balairaya.
Orang yang menepati waktu cuma tentera. Jam tentera kata pukul 13.00 hrs maka itulah waktunya. Lambat, kena denda.
Aku pakai jam baru. Pukul siap.
Pukul berapa kita bertolak? Pukul siap.
Pukul berapa kita makan? Pukul siap.
Pukul berapa nak mula? Pukul siap.
Apabila kita sudah bersiap, kita akan bertindak untuk proses seterusnya. Tidak perlu waktu untuk menentukan nasib hidup kita. Biar waktu yang ikut kita.
Aku belajar ilmu ini dari Che Pipah. Dia malas update blog. Dia akan update pada pukul siap 
LAWATAN SAMBIL BALAJAR Mungkinkah New York Times senasib dengan Utusan Melayu?
|129223 | posted by harimauj at 10:42 |
1 Gigitan
|
Tabah
Awek cun yang mengorat aku pergi klinik hari ini. Klinik rujuk dia ke hospital besar. Esok dia akan ke hospital jumpa pakar.
Dia risau. Aku pun risau.
Thu.25.11.2004.|129123 | posted by harimauj at 12:30 |
8 Gigitan
|
Wes Awan, Tangi Jali
Ini bukan sebarang mimpi. Ini mimpi yang aku tahu maknanya. Ini bukan mimpi dalam mimpi tapi tidur dalam tidur. Dalam mimpi itu, aku tidur di sebuah taman di Amerika Syarikat. Bila aku buka mata rakan-rakan remaja sekuliah dulu ada disekelilingku. Ada lelaki ada perempuan. Aku menyimpulkan kami semua menyambung pelajaran untuk ijazah kedua. Setelah berbicara seketika, aku mencari tempat untuk wuduk. Tandas di taman itu penuh dengan najis. Aku ambil wuduk dari pancutan “water cooler.”
Tiba-tiba terdengar bunyi nyaring, teet teeet teeeet teeeeeet teeeeeeeeeet! Aku buka mata dan melihat waktu pada telefon bimbit. Pukul berapa Datuk Harimau? 6.15 pagi. Aku tekan punat “off alarm.” Maknanya mimpi itu menyuruh aku solat subuh. Jangan sampai kesiangan lagi. Solat itu lebih baik dari tidur. Aku pun bangkit dari tidur ku.
LAWATAN SAMBIL BELAJAR Tiada Maaf Bagi Mu (Tok ambil dari blog Awek Arab)
Wed.24.11.2004.|128989 | posted by harimauj at 9:59 |
3 Gigitan
|
Terbang Lalat Hinggap Di Kaki
Banyak betul lalat. Hinggap atas meja. Hinggap atas kerusi. Hinggap atas pinggan. Hinggap atas gelas. Mungkin musim lalat dah tiba. Kesian tetamu yang datang bertandang.
Supaya tetamu aku tidak terganggu. Aku letak bunga plastik atas meja makan. Menjadi pula petua ini. Aku berteori pada tetamu aku, "Lalat tidak suka benda yang lawa-lawa. Itu pasal mereka tinggalkan meja makan aku."
Tiba-tiba lalat-lalat itu hinggap di baju raya tetamu aku. Tetamu aku melihat aku sambil tersenyum pahit menunggu aku meneruskan teori "lalat suka benda yang tidak lawa." Sesungguhnya, aku memang tergoda untuk bergurau dengan tetamu aku tetapi aku memilih untuk membalas senyuman itu tanpa kata-kata. Heh heh heh. Kita mesti hormat tetamu.
LAWATAN SAMBIL BELAJAR I Like You.
Tue.23.11.2004.|128870 | posted by harimauj at 16:07 |
5 Gigitan
|
Yang Dikejar Menangkap Si Pengejar
Sebaik sahaja aku terpandang akan dia terus aku jatuh cinta. Baju kurta warna khaki bersulam awan larat dengan kolar cekak musang. Tidak pernah ada baju yang mendakap aku dengan baik sepertinya. Ianya kena pada perwatakan aku. Segak tanpa perlu flashy. Itulah baju raya kesayangan aku.
Setahun lepas aku terpandang akan dia terus aku jatuh cinta. Tudung Pakistan bercorak dominan hijau panjang ala Wardina atau Waheeda. Aku rasakan ianya akan bertambah cantik bila dililit pada kepala orang orang yang cantik. Tetapi isteri aku (cantik pada mata aku) menyimpannya dalam gerobok setahun lamanya menanti waktu yang sesuai.
Hari raya kedua tudung itu nampak dunia. Kami beraya dengan tema etnik kreatif Asia Selatan. Aku dengan baju kesayangan. Anak-anak pun pakai baju bai. Santai.
Keesokannya. Dalam deram mesin basuh ketika fasa kitaran pengeringan takdir melaksanakan tanggungjawabnya. Warna pada tudung turun pada baju kesayangan aku. Pelbagai ikhtiar dibuat tapi warna tompok-tompok hijau pada baju khaki aku tetap tidak luntur. Ahh dunia. Apa yang kita sayanglah* selalu menghampakan kita. Lepas ini baju itu cuma layak dibawa masuk kebun.
(*Bila aku katakan sayang, aku tidak bermaksud isteriku tetapi aku maksudkan baju aku.)
LAWATAN SAMBIL BELAJAR when he was killed in front of my eyes and my camera -- the story of his death became my responsibility.
Mon.22.11.2004.|128717 | posted by harimauj at 12:13 |
3 Gigitan
|
Tidak Puasa
Puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam.
Ramai betul orang Melayu tidak puasa. Atas lori. Dalam kereta. Depan rumah. Di hutan lipur. Belakang tandas PLUS. Selamba sahaja mereka makan. Selamba sahaja mereka minum. Selamba sahaja mereka hisap rokok. Tidak malu pun dengan aku. Mungkin mereka tidak diwajibkan puasa. Aku sangka baik je lah. Bukan semua orang Melayu tu Islam.
LAWATAN SAMBIL BELAJAR Saluran Video Anda Untuk $59 Setahun. Mahal tu. Siapa nak kongsi dengan aku?
Wed.10.11.2004.|127831 | posted by harimauj at 17:43 |
6 Gigitan
|
KUALA LUMPUR DI MANA SUAMI KU
Teka-teki: Apa yang dicincang-cincang tapi tetap tidak pendek?
Aku tinggalkan isteriku untuk bermusafir selama 2 hari 1 malam. Putrajaya. Bangi. Kajang. Langat. Chinchin. Kaki Gunung Ledang. Banyak tempat aku pergi dalam masa yang singkat untuk urusan-urusan tertentu.
Di Bangi, majlis bersahur Geng Jurnal dihadiri oleh beberapa orang lelaki yang dapat lesen terhad untuk keluar hingga 3 pagi. Selain makan, kami menonton lumba haram dari tingkat atas Hassan Cafe. Kira grand stand la tu. Aku juga menyampaikan zine Gangguan Teksual kepada penulis/agen. Majlis sahur bertukar kepada majlis menandatangani dokumen. Cara kami menandatangan, mungkin membolehkan kami menyaingi Sri Diah, penulis novel popular Kuala Lumpur Di Mana Suamiku.
Jawapan teka-teki: Kacang Panjang
p.s. Sesiapa yang ingin memiliki Gangguan Teksual 2, boleh menghubungi penulis/agen yang tersenarai di SINI.
Jika mahu membelinya dari Tok, sila kirim wang pos RM5 kepada agen Tok: Ghazali Bunari, 53 J. Damai 9. Tmn. Damai. 81400 Senai. Johor. Malaysia.
Tok tidak mengambil wang dari pembaca luar negeri. Barter trade. Tukar dengan apa-apa majalah Design dari negara tempat bermukim.
Tue.9.11.2004.|127645 | posted by harimauj at 14:42 |
4 Gigitan
|
Matematik
Tok R: baguslah kau belajar dengan anak kau. Jali: Ya la. Selagi boleh tunjuk ajar ni. Setakat buku darjah 1 okay la. Esok lusa dah masuk bab DY/DX atau kamilan aku surrender la.
PS, Hari ini. Buka di Sek. 4 Restoran ZnI. BB Bangi. Sahur di Restoran Hassan depan PKNS Bangi. Senang-senang join sekali.
Sat.6.11.2004.|127334 | posted by harimauj at 17:29 |
6 Gigitan
|
Ucapan

30 minit dihabiskan memberi motivasi tentang kepentingan pelajaran dalam acara Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan. Berapi-api VIP bagi ucapan. Aku rasa VIP ini ketinggalan zaman dalam hujahnya.
Ketika dia berucap, aku membidas hujah-hujahnya dalam kepala aku. Kenapa dia memberi contoh tauke kaya sebagai potret kejayaan? Entah-entah tauke itu tak habis sekolah pun. Kejayaan itu sepatut lebih dari duit dan material. Kenapa dia perlu bakar semangat Melayu dan menghina kedaifan Melayu? Tidak sesuai berkata tentang perjuangan Melayu dalam persekitaran khalayak yang majmuk. Ini zaman meritokrasi. Ini bukan mesyuarat UMNO.
Sepatutnya tesis ucapan utama ini ditumpukan kepada mengucapkan syabas kepada ibubapa. Khalayak dalam majlis ini adalah ibubapa yang memberi sokongan kepada anak-anak mereka yang akan ke pentas untuk mengutip hadiah kecemerlangan akademik di akhir tahun. Tidak perlu motivasi. Ada hadiah posisi terbaik dalam kelas. Hadiah Top Ten keseluruhan. Hadiah terbaik untuk setiap subjek. Hadiah pencapaian drastik. Hadiah-hadiah diberi kepada murid-murid prasekolah hinggalah darjah enam.
Tahniah kepada sang ibubapa yang mengorban TV demi mendorong pencapaian cemerlang untuk anak mereka. Bila keputusan keluar, ibu Sarahmon lebih risau berbanding Sarahmon sendiri. Apa tidaknya, aku tengok dia tekun membuat nota tapi Sarahmon terkulai tidur atas buku (Sarah demam ketika minggu exam). Syabas.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Saat itu resah terjadi Aku tiba-tiba seakan ingin memanggil namamu Tatkala itu aku merasa himbauan Sesuatu yang dalam Senda apakah yang ingin kau beri Duka apakah yang paling abadi Dari sepi yang berabad ku ini ----------------------Pyan Habib
Fri.5.11.2004.|127126 | posted by harimauj at 11:16 |
5 Gigitan
|
Zine GT 2 Siap untuk edaran hari ini.

Sila hubungi penulis-penulis di bawah untuk pembelian Harga RM5.
Cover Design: http://sinaganaga.blogspot.com/
GT1 sudah selesai diedarkan kepada pengedar-pengedar. Terimakasih kepada penulis-penulis yang mengambil bahagian. Diharap tidak serik . Artikel untuk GT2 mula tiba.
Pratayang GT2 1. "Isteri aku cakap beberapa tahun lalu ada seorang makcik yang mati akibat disondol babi hutan di kampung tu" - http://basrie.tk
2. "Kami ada kilang jahit bang. Kami tak jahit kat sini." - http://fikirandalamkembara.blogdrive.com
3. "Saya tak pernah diet. Saya tak takut pada gemuk." - http://amyz.cjb.net
4. "Dia selalu suruh curi jualan emak." - http://www.danchan.com/weblog/cheura
5. "Den bagai nak pengsan bilo dongar yang den kantoi laie." - http://ayares151.blogspot.com
6. "Aku hanya ingat warna kuning api menerangi dunia aku dan bau hangus jambul aku terbakar. " - http://www.danchan.com/weblog/harimauj
7. "GRO pun sebut gila babun pada pelanggan yang lari tak bayar perkhidmatannya." - http://mahyudin.blogspot.com
8. " Jadi mungkin sekitar janm 12 tengahari, ada pelajar yang perasan keadaan pelik setelah air mula melimpah tak henti dari shower yang aku terkunci di dalamnya." - http://emmayeayea.diaryland.com
9. "Pernah dulu, seorang makcik tua yang aku anggap betul-betul tidak layak untuk melakukan kerja-kerja ini." - http://ayobkelubi.tripod.com
10. "Biar dia bawa coklat satu kontena untuk pujuk aku, aku tetap nak duduk di dapur." - http://geocities.com/deadkafka
11. "Semalam aku ada Rm100. Tapi semalam, lepas membeli 3 botol arak sebagai santapan berbuka, aku hanya tinggal ini..." dia berkata sambil menunjukan pada aku sekeping duit not RM10. - http://attok.cjb.net
12. "Ditendang ke sana ke mari, untuk dapat balik RM50 tu." - http://jongkang.blogspot.com
13. "Kau nak uji kesetiaan lelaki, kau bawa dia ber- shopping" - http://maxolon.tripod.com
14. "Amin belajar tinggi-tinggi dan lepas ni jadi tauke VCD." - http://kelambu.blogspot.com
15. "Namun begitu, aku bersyukur kerana aku masih berdiri tegak walaupun seperti manusia tanpa roh." - http://irwandy.blogdrive.com/
16. "Kenapa lama sangat baru dia nak bagi rehat?" - http://didiz.lasso.com.my/
LAWATAN SAMBIL BELAJAR E-Zine Yang Membuat kau Terkasima. Mesti Download.
Thu.4.11.2004.|126997 | posted by harimauj at 12:35 |
1 Gigitan
|
3 Lagenda Blog Malaysia (bahagian 3 dari 3)
Confirmation percentage: 90%. Tok Rimau akan berbuka puasa di Bangi Sabtu ini. Nak join silakan tapi bayar sendiri. Tok pun ada kawan belanja.
Detail Majlis Buka Puasa.
1. Sesiapa nak bagi tempat bermalam untuk Tok sila sms Tok. 2. Sesiapa nak belanja Tok untuk bersahur pun boleh juga.
....................................
Rudy (2001), Fajar (2002) dan Mat Jan (2003) adalah nama yang tidak asing lagi dalam arena weblog tanahair. Mereka merupakan pemenang Anugerah Weblog Terbaik (AWET) Geng Jurnal. Berikut adalah temubual Presiden GJ 2004, Tok Rimau dengan penulis-penulis maya yang hebat ini.
7. Cadangan satu aktiviti yang belum pernah Geng Jurnal jalankan untuk dipertimbangkan dalam 2005.
RD: Masih ingat tulisan saya tentang MENCARI SESUAP NASI? Saya teringin GJ buat khidmat masyarakat bersama anak-anak yatim atau di rumah orang-orang tua. Kalau jenis aktiviti mahu disematkan dalam The Book of Record Malaysia, baik tak payah. [BACA: Aktiviti untuk dapat title DATUK] (ketawa)
FJ: Diskusi ilmiah tentang penulisan blog, tujuan, kesedaran tentang hak cipta penulisan di internet dan sebagainya. Cadangan saja bukan? Saya cadangkan untuk Geng Jurnal anjurkan lawatan ke luar negara, mungkin ke tempat penulis-penulis Jurnal yang berada di negara orang, seperti Muring di Vienna atau yang paling dekat sedikit Rafthah di Singapura. Boleh juga berseronok sambil melancong. Macam mustahil saja bukan? Hahaha.
MJ: Satu saja? Saya boleh cadangkan empat. Mendaki Gunung Everest, berlayar solo keliling dunia, berenang Selat Inggeris dan membuat keropok lekor terpanjang.
8. Apakah harapan saudara akan majlis AWET dan Perhimpunan Geng Jurnal 2004?
RD: Untuk AWET kalau boleh kategori anugerah biarlah tetap setiap tahun dan tidak terlalu banyak. Nanti bila dah banyak jadilah macam kes penganugerahan Datuk. Tak mahulah jadi satu humor yang pernah saya baca. Kalau dibaling batu di khalayak ramai, paling tidak dua tiga orang Datuk boleh kena juga.Wah! Silap-silap juri boleh kena beli! Lelong-lelong anugerah AWET untuk dijual! (Ahahahaha!)
Untuk Perhimpunan GJ 2004, harapnya berjalan dengan lancar dan penuh ukhwah. Saya percaya Wak Din selaku Kepala bagi projek terbesar ini akan berjaya melaksanakannya. Bekerja secara jemaah lebih baik dari bekerja sendiri-sendiri. Renung-renung pengalaman lalu.
FJ: Sudah tentu mengharapkan agar ianya akan lebih baik dan bagus dari yang sebelumnya. Saya menjangkakan ramai penulis dan pembaca akan turut serta. Maka, saya cadangkan kalau di tempat berkenaan disediakan satu ruangan pameran untuk setiap mereka meletakkan frontpage weblog mereka dan beberapa screen capture weblog untuk tatapan. Nampak sedikit kemeriahan. Sekurang-kurangnya ianya memberi gambaran awal bagi mereka yang baru atau tidak pernah berkunjung ke weblog mereka. Ataupun, minta setiap penulis blog memberi helaian brosur tentang weblog mereka.
MJ: Pertama, AWET.
Banyakkan kategori anugerah yang dipertandingkan. Saya cadangkan:
1) Kategori "Weblog Cap Ibu & Anak Terbaik" untuk blog keibubapaan seperti Kak Pnut, Mak Andeh, dan Kak Zar. (Ubat batuk Cap Ibu & Anak tentu berminat menaja kategori ini.)
2) Kategori "Weblog Seni/Hiburan Terbaik" untuk blog yang review filem/album/teater/reality-tv seperti Sultanmuzaffar, Spiral (Skrin), Fadz (Tonton Filem).
3) Kategori "Weblog Sosio-politik Terbaik" untuk blogger seperti Pakdi dan lain-lain.
4) Kategori "Best-kept-secret Weblog" (tiru Bloggies) untuk blog yang content-nya bagus tapi kurang popular (dari segi jumlah hits, jumlah comments dan jumlah blog yang link-kannya) untuk blogger seperti Encik Khairul, D'arkampo dan Nazmi (bukunota).
Kedua, Perhimpunan (Gathering).
Berdasarkan rekod, gathering semakin tahun semakin grand. Saya percaya gathering tahun ini akan lebih grand daripada tahun sudah. Itu harapan semua orang saya rasa.
9. Dimanakah letaknya kepuasan menulis weblog?
RD: Macam Kak Max pernah kata, kita bebas menulis. Censorship semuanya di tangan kita pemilik dan penulis blog. Tapi sekarang macam sukar pula. Lihat sahaja apa yang terjadi dengan kes melibatkan seorang penyanyi terkenal. Komen sikit kena Report Polis. Kemudian kena saman. Lama-lama nanti, media tanpa sempadan ini akan terpasung jua dengan undang-undang. Kalau setakat dijentik dengan kritikan takkan tak boleh? Lainlah kalau ia fitnah. Mat Jan mungkin boleh beri ulasan sedikit perihal Undang-undang Siber Malaysia. Silap-silap jawapan saya inipun boleh kena! Ha!ha!
FJ:Apabila ada orang yang menghargai penulisan kita. Dan yang lebih menyeronokkan pembaca memberi maklumbalas menerusi buku tamu atau terus melalui e-mel. Tapi, yang menariknya ialah melalui weblog ini kita bertemu dengan kawan yang lama terputus hubungan.
MJ: Tak ada deadline: Kita boleh tulis bila-bila masa kita suka.
Self-censorship: Kita berhak tentukan apa yang kita nak tulis dan apa yang kita tak nak. Tak ada editor nak sunting itu ini atau arah itu ini.
Komen pembaca: Kalau menulis weblog itu sexual intercourse, maka inilah orgasm-nya. Kepuasan maksimum melihat komen pembaca, baik positif mahupun negatif. Kita dapat berkongsi idea dan bertukar fikiran dengan orang lain.
10. Calonkan 3 url weblog untuk dipertimbangkan dalam Anugerah Weblog Terbaik 2004.
Jawapan untuk soalan ini tidak diterbitkan oleh Tok Rimau atas sebab-sebab tertentu.
Tue.2.11.2004.|126722 | posted by harimauj at 15:06 |
4 Gigitan
|
|