|
.::lllNyanyi SuNyI seorang BiSu -sebagai SaKsI!lll::.
BIARKAN AKU PERGI dulu, engkau ku anggap seperti matahari, memberi erti untuk siang tapi kini,... kau adalah bulan, yang tidak memberi makna buat malam tiada guna lagi engkau menangis di sini, biarkan aku pergi, untuk mati bersama kepedihan, kepedihan sebuah kenangan HM Hasbi
last modified May 18, 2003 at 21:50
Bayang-bayangku, benarkan hidup tidak perlu sempurna? seorang kawan menghantar email, satu email yang cemerlang, mengisahkan tentang hidup yang kita cari.
Ceritanya, dulu satu masa, dia mempunyai banyak kasih sayang, tapi tidak banyak wang. Kasih sayang tidak mampu membelikan kekasihnya jam tangan. Kasih sayang tidak bernilai untuk ditukar dengan sebentuk cincin, dan kasih sayang tidak dapat membawanya bercuti berduaan.
Kemudian, kasih sayang sudah tidak bererti, kekasih pelan-pelan meninggalkannya, kita tidak boleh hidup hanya dengan cinta, kata kekasihnya di satu pagi yang celaka.
Belajar dari kesilapan, dia mengejar kemewahan, dia berkerja keras, rehat hanya untuk sembayang, makan dan tidur. Lainnya adalah kerja, dia ingin menimbunkan harta, dia ingin membeli dunia, wang kata Perwira Mat Jiwa boleh membeli apa sahaja.
Tuhan barangkali sentiasa bersamanya, dia menimbunkan harta, dia memperolehi apa yang dicarinya, pada kekasih dibelikan dunia, apa sahaja yang diminta, hujung minggu jika dia sibuk berkerja, akan dikirimkan sejumlah wang untuk berbelanja, setiap awal bulan, diberikan hadiah berbagai jenis, cuma mereka jarang berjumpa, kerana kesibukan kerja.
Tetapi, kekasih juga pelan-pelan meninggalkannya, duit tidak mampu membeli kebahagian, katanya. Disebalik kemewahan dia kesunyian, dia inginkan belaian, inginkan kasih sayang, seperti dulu, seperti masa-masa lampau. Wang tidak mampu membeli kebahagian, ulangnya. "Irma tidak minta hidup yang begini," katanya.
'Hidup yang begini', hidup yang bagaimanakah? Dulu Irma inginkan kemewahan, ketika melebat kasih sayang, kini Irma inginkan kasih sayang setelah tidak kehabisan wang!
Bayang-bayangku, aku tidak lagi inginkan kesempurnaan, aku hanya ingin kehidupan yang sederhana, kasih sayang yang sederhana, gelak dan tangis yang sederhana.
-irzaimi- 19-05-2003
Seorang kawan ada berpesan Berpesan tentang cinta Cinta paling berkuasa Katanya ‘cinta pertama’
Kalau aku pernah begitu Begitulah rindu telah pergi Pergi terlalu jauh Jauh dari mata Mata mengalir air Maka tenang di jiwa bertukar gelora
Seorang kawan ada berpesan Berpesan jangan mencuri Mencuri kekasih orang
Sayang aku jelaskan Bunga dahulu kembang ditaman Kuntum harum dipetik orang
Seorang kawan ada berpesan Berpesan kalau bicara Bicara jangan berdusta Berdusta dengan lidah Maka… Cinta pertama lenyap sudah
.jpg)
Menangisi perjalananmu Yang tidak menjanjikan kepulangan Hidupku lorongnya bersimpang... Rinduku takdirnya melukakan... Mengingati hari-hari lalu Yang tidak mengizinkan pengulangan
Di bawah lengkung dian yang suram Aku mengingatimu lagi Dalam bahasa yang kita kongsi bersama Kudengar suaramu dalam ranjau beribu batu Masih segar, sesegar dulu Dalam hingar kesuraman Aku hanya mampu mengenang Di bawah lengkung dian yg suram...
Merombak mimpi-mimpi indah Yang tidak membenarkan kepastian Sesekali rindu bercambah, hati merekah... Sesekali ombak menyimbah, pantai berubah...
-irzaimi- 10-05-2003
Sejarah menjadi saksi bisu terhadap sebuah peradaban gemilang yang kemudian tenggelam. Yang gemilang dan kemudiannya tenggelam akan menghadirkan kenangan dan luka.
'A Wounded Civilization'-untuk meminjam ungkapan V.S Naipaul - atau peradaban yang luka pada Islam adalah relatif yang baru. Setidak-tidaknya setelah kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah pada akhir abad ke 20. Luka yang masih baru adalah luka yang belum sembuh.
Ketika zaman kegemilangannya, umat Islam tidak gentar mencari ilmu sehingga ke negeri China. Mereka menyalin kembali karya Yunani, melakukan terjemahan dan kajian yang kemudiannya menemukan banyak perkara. Dalam kata lain, mereka benar-benar menjalankan mandat yang diberikan Tuhan sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
Kini, ketika umat Islam hidup di alam luas yang rata-ratanya dikenali sebagai "Dunia Ketiga". Di takat paling rendah selepas sebuah kegemilangan. Pembesar (baca: ulama) Islam hanya memungut sisa-sisa masa silam untuk mentafsir keadaan dan suasana di sekelilingnya masa kini.
Dunia yang diluar lingkungan adalah dunia yang tidak dapat difahami dan diterima. Segala yang lahir dari dunia asing itu dicap sebagai Barat dan harus ditolak. Guna mempertahankan sebuah kepercayaan. Darinya lahir fundamentalisme. Dalam keadaan tidak dapat mengalahkan hujah dan teori asing maka sejumlah pembesar-ulama memilih untuk mengharamkan sahaja apa yang tidak dapat dikalahkannya. Erti yang lain, menghukum setiap yang berbeza dari fahamannya.
Fundamentalisme mengandungi sikap menolak dan melawan. Sehingga ada tahapnya apa sahaja yang datang dari Barat dianggap bertentangan dengan Islam. Maka eksperimen ilmiah, eksperimen kesenian, warna-warni kebudayaan, teori dan hujah yang bukan dari lingkungan cenderung dijauhi.
------
Petikan daripada artikel bertajuk Peradaban yang luka. Untuk membaca artikel penuh sila klik sini
Seperti sudah kuduga Kau akan menyesal Dan akan kembali Mengulangi apa Yang kau sesali Hingga kau tak bisa lagi Menyesal dan kembali.
-irzaimi- 26-04-2003
untuk Siew Min
Semua agama bertitik tolak dari persoalan selepas hidup. -Socrates

Kita yang terlahir tanpa kita sendiri kehendaki, terpaksa menjalani hidup ini, dengan tatacara yang ditunjukkan oleh agama, keseluruhan hidup kita, perlu kita serahkan kepada pemilik agama, kerana kita sendiri adalah miliknya, dan syurga, dan neraka, adalah miliknya.
Tapi agama yang mana? terlalu banyak agama di dunia ini, terlalu banyak tuhan yang dipuja manusia. Saya yang muslim, menyembah tuhan, keluarga kami menyebut Allah SWT dan tiada sekutu baginya.
Ketika saya telah boleh membezakan kiri dan kanan, ayah saya memberitahu hal-hal tuhan. Tentang keesaan, tentang tauhid samada uluhhiyah atau rububiyyah dan asma wal sifat. Saya membesar dalam lingkungan itu, dan keyakinan saya adalah keyakinan lingkungan. Bahasa lainnya, keyakinan turun temurun.
Iman saya, adalah iman turun temurun, yang saya pungut dari keyakinan arwah tok nenek moyang saya. Kemudian saya pelajari, saya yakini, saya amalkan, tanpa bertanya lagi iman yang lain.
Saya membayangkan awak, seorang Katholik, yang lahir dari keluarga Kristian, memanggil Yesus sebagai anak tuhan, diajar triniti, yang membisikkan pada saya bahawa menurut iman Kristian, "Allah faham akan dilema kita ini. Justeru itu, Dia mengirimkan Yesus ke alam kita untuk mati menggantikan kita, yang sepatutnya dihukum mati kerana perbuatan-perbuatan jahat kita. Yesus mati menebus kita, agar barangsiapa yang percaya akan perbuatanNya itu, tidak akan binasa melainkan beroleh keampunan dan kehidupan yang kekal di syurga,"
Bagaimana Siew Min boleh beriman dengan Yesus anak tuhan yang diutuskan menyelamat manusia, sama halnya dengan bagaimana saya mempercayai bahawa Islam agama terakhir yang diturunkan untuk umat manusia -dari keturunan, pengajian, keyakinan, sesama sendiri dan dalam lingkungan.
Iman yang pada saya adalah pembenaran hati, dan pada Siew Min kasih sayang, terpisah lalu membentuk jalannya sendiri. Satu jalan yang saya yakini dan saya panggil Islam, satu lagi yang Siew Min yakini yang dipanggilnya Kristian.
Saya dan awak akan terus berhujah, berdebat, membawa dalil dan nas, mantik dan logik, masing-masing dengan kepercayaan dan keyakinan masing-masing.
Siew Min, ini kesimpulan saya terhadap pertanyaan kita bersama sebentar tadi, bilakah awak akan merasai kenikmatan iman saya? baik awak atau saya, tidak akan merasai nikmat iman awak dan saya, selagi kita, berdiri di 'rumah' kita sendiri, tanpa berani untuk mengetuk pintu yang lain.
Pintu kita -yang turun-temurun diwarisi nenek-moyang kita, tidak pernah berani kita langkahi. Iman kita adalah iman warisan yang kita pusakai.
Melainkan, kita berani meninggalkan pintu kita dan mengetuk pintu yang lain, untuk mencari sendiri kelazatan iman yang awak juga saya rasai selama ini. Tetapi, soalnya sekarang, "beranikah kita?"
-Helme Hanafi- 08-05-2003

Dan sekarang, penghujungnya telah tiba, semakin hampir pada tirai terakhir, Kawan. Biar aku jelaskan, hal yang sebenar, keseluruhan hidup yang aku lalui, perjalananku melewati berbagai ranjau, dan yang lebih penting dari segalanya, aku lakukan dengan cara tersendiri
Penyesalan, memang ada, namun terlalu sedikit untuk aku nyatakan, aku buat apa yang patut aku buat, dan melakukan tanpa batasan, aku periksa setiap langkah, dan lalui dengan teliti, dan yang lebih penting dari segalanya, aku lakukan dengan cara tersendiri,
Dan memang benar, aku yakin kau tahu, aku lakukan lebih dari perlu, walau begitu, bila aku rasa ragu, aku terima semua dan ada yang dibuang begitu saja, aku lakukan segalanya, dan berdiri teguh menyatakan, aku lakukan dengan cara tersendiri
-irzaimi- 06-06-2003
Berdosakah ingatan?
Lee Min Xiang pulang ke Korea. Negara asal yang pertama kali dijejakinya (dalam ingatan). Suatu hari, Min Xiang menjemput kekasihnya, dari majlis pertunangan kawan baik Chai ling, Siang Chi dan U-Jinn. Dia menjenguk, ketika semua tercengang, bahkan U-Jinn dengan deraian air mata, dari situlah barangkali bermula babak kedua dalam mini drama Korea Winter Sonata.
Seorang gadis cantik menolak untuk bekerjasama , tanpa sebab, tanpa alasan. Gadis tanpa sinar di mata, terkadang merenung dengan wajah murung. Di waktu lain, melarikan diri tiba-tiba. U-Jinn, gadis yang memanggilnya Jun Xiang. Tapi siapakah Jun Xiang?
Kita tahu, Jun Xiang bersembunyi di dalam wujud Min Xiang. Selepas kemalangan, Jun Xiang dikhabar mati, namun hakikatnya, dia dirawat di Amerika. Ibunya, May Xi mahu masa silam Jun Xiang digantikan. Sebuah masa silam yang lain dimasukkan ke fikiran Jun Xiang, tidak hanya ingatan bahkan namanya, Jun Xiang kemudian di panggil Min Xiang.
Masa silam, ada melankolik, bila kita menyebutnya –nyata tidak bisa dipadamkan seratus-peratus. Ketika U-Jinn asyik menyebutnya sebagai Jun Xiang, ketika ayah Siang Chi memanggilnya Jun Xiang atau ketika ibunya sendiri tersasul menceritakan dia hampir lemas ketika berusia 7 tahun di Chun Chunn, ada rasa ingin tahu di benak Min Xiang, juga perasaan menerima kehadiran Jun Xiang, pelan-pelan menggantikan Min Xiang.
Satu hari, di tempat meluncur salji, sebagai Lee Min Xiang, dia memberitahu U-Jinn tentang cinta. Cintanya pada U-Jinn, adalah sesuatu yang baru, tumbuh perlahan-lahan, tanpa kenangan.
Sedangkan U-Jinn ketika menerima cinta itu, masih lagi keliru, apakah dia mencintai Min Xiang sebagai Min Xiang atau Jun Xiang dalam tubuh Min Xiang. Nostalgia dari masa silam.
Tapi bersalah kah U-Jinn menerima cinta Min Xiang ketika dia adalah tunang Siang Chi? Kita seolah-olah terpaku dengan hebatnya cinta hingga membenarkan sebuah ketidaksetiaan, -sikap keji yang harus dicela.
Atau kerana kita setuju bahawa cinta adalah sesuatu yang berbentuk perasaan. Tidak jelas, tidak ada definisi, tidak terikat, tanpa syarat dan tanpa sebab. Kata mudahnya, tidak boleh dipaksakan.
Mengutip kata-kata U-Jinn sendiri, “Ketika aku bersama Siang Chi, aku rasa ada kekurangan, tidak seperti aku bersama Min Xiang, segala perasaan itu mengingatkan aku pada Jun Xiang. Rasa yang sama seperti aku alami dulu,”
Juga hujah Min Xiang kepada Kim, “Orang bercerai kerana cinta, tunang tiada apa-apa,” kata untuk membela sebuah ketidakadilan.
Kita yang kemudian turut mengambil sikap –sesuatu yang salah ketika penonton sebagai hakim, menyebelahi kekuatan cinta Min Xiang dan U-Jinn. Menyenangi keadaan baru itu, kita berdoa agar Siang Chi turut memahami, dan melihat percintaan Min Xiang dan U-Jinn dari kaca mata kita.
Tiada siapa yang ingin faham perasaan Siang Chi. Cintanya pada U-Jinn. Sayangnya pada U-Jinn. Dan penonton ketika itu bukan sahaja menyebelahi tetapi mengadili. Siang Chi, lelaki malang sejak dari awal drama Winter Sonata, kita anggap penyibuk, penghalang, juga kaldai.
Cinta adalah perasaan sunyi. Siang Chi terperangkap ditengah-tengahnya. Kita akhirnya merelakan, biarpun jelas kita saksikan, takutnya Siang Chi pada perpisahan.
U-Jinn perlu membuat pilihan, antara kasihan dan sayang, dia seperti kata Min Xiang harus membuat keputusan, "Kerana membiarkan keadaan ini, akan memenatkan kami berdua, dan yang lebih penat adalah engkau sendiri,"
Kasihan, apalah ertinya pada orang yang tidak punya kebahagian. Bahagiakan diri kita dahulu, kemudian kasihan pada orang. Barangkali itu yang difikirkan U-Jinn ketika, dia telah bertekad memilih Min Xiang dan memakai rantai 'bintang polaris'. Dari sudut lain, membiarkan tunangnya Siang Chi, mati 'perlahan-lahan'
-irzaimi- 05-05-2003
Bukankah surat cinta ini ditulis ditulis kepada siapa saja Seperti hujan yang jatuh rimis menyentuh arah siapa saja
Bukankah surat cinta ini berkisah berkisah melintas lembar yang fana Seperti misalnya gurun yang lelah dilepas embun dan cahaya
Betapa singkat bahagia, dan betapa pula panjang derita!
Jun Xiang dan U-Jinn, aku tulis ini selepas menyaksikan engkau berdua. Selama 30 jam terakhir ini, atau lebih tepat 24 tanpa henti, aku menyaksikan, episod demi episod, tangisan dan airmata, senyum dan duka, lalu pelan-pelan aku katakan pada diri, 'betapa agungnya cinta!'.
Jun Xiang, apa ertinya sebuah pencarian, ketika engkau pergi ke Chun Chunn, untuk menjejaki ayahmu, di satu pagi yang tidak berbahagia, engkau menemukan seorang gadis yang tidur dibahumu, ketika bas telahpun melewati sekolahmu.
Jun Xiang, apa ertinya sebuah pertemuan, ketika U-Jinn terkinja-kinja menari seorang diri di dalam bilik penyiaran, seorang gadis dengan penuh kebahagian, engkau saksikan, curi-curi, dari balik pintu yang tidak rapat itu.
Cinta, begitu ia disebut, hadir tanpa diduga, singgah di hati Jun Xiang dan U-Jinn, seperti salji yang gugur, putih, bersih, dan tanpa dosa.
Di denai yang memutih salji, mereka bangunkan sebuah cinta, dunia asing yang sunyi, Jun Xiang dan U-Jinn, menari, menyanyi, berbaring, jatuh dan bangun di atas tanah yang memutih.
Harapan pelan-pelan hadir, sebuah masa depan sedang diciptakan.
Pada satu hari Natal, mereka bertemu, dan disaksikan alam, mereka bangunkan lagi mimpi, membina patung dari salji, bergurau, ketawa, bahagia, manisnya kenangan.
Sebuah memori, kita sebut juga ingatan, adalah rakaman-rakaman dari visual silam, yang terhimpun secara kolektif di dalam fikiran. Semakin bererti kenangan, semakin itu kuat ingatan, dan jelas visual-visualnya dalam fikiran.
Barangkali kerana itu, kebahagian singkat yang dibina, akhirnya membawa kepada penderitaan panjang. Jun Xiang tiba-tiba mati kemalangan, ketika berlari untuk bertemu U-Jinn di malam akhir tahun.
Dan U-Jinn yang menunggu penuh sabar di dalam sejuknya malam, beku dan kaku, berjam-jam, berhari-hari, bertahun-tahun.
Penantian yang membinggungkan, meresahkan, tanpa muzik, nyaris-nyaris tanpa harapan. Kemudian kita tertanya-tanya, apakah ertinya ingatan, pada U-Jinn dan Jun Xiang!
-irzaimi- 04-05-2003
anakku, simpan segala yang kau tahu. jangan ceritakan deritaku dan sakitku kepada rakyat, biarkan aku menjadi korban asal Indonesia tetap bersatu. ini aku lakukan demi kesatuan, persatuan, keutuhan dan kejayaan bangsa.
jadikan deritaku ini sebagai kesaksian, bahwa kekuasaan seorang presiden sekalipun ada batasnya. karena kekuasaan yang langgeng hanyalah kekuasaan rakyat dan di atas segalanya adalah kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa.

MY CHILD, KEEP ALL THESE THINGS IN YOUR HEART. DON'T SPEAK OF MY SUFFERING AND ILLNESS TO THE PEOPLE. LET ME BE SACRIFICED, IF UNITY IN INDONESIA IS ACHIEVED. LET MY LIFE INSPIRE UNITY, HARMONY, ONENESS, AND THE NOBLE SPIRIT OF OUR PEOPLE.
LET MY SUFFERING BECOME A WITNESS THAT EVEN THE POWER OF THE PRESIDENT HAS ITS LIMITS. LASTING POWER MUST BE HELD BY THE PEOPLE AND ONLY GOD ALMIGHTY IS OMNIPOTENT.
-Bung Karno- pesan kepada Mega beberapa ketika sebelum mati
|