|
DI SINI LOPPIESS
I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky, And all I ask is a tall ship and a star to steer her by, And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking, And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking. Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) email: zamlope@yahoo.com
last modified Jun 24, 2008 at 2:30
Kamal Bey akhirnya duduk di meja hujung yang berhampiran wash room. Hangat petang masih bertaburan di simpang2 jalan BBK. Dia kembali datang ke Restoran The Bees walau masa2 kebelakangan ini dia berseorangan. Dia akan ke sini seperti seolah olah dia masih menunggu Yang Fatimah, seolah olah dia melihat Yang Fatimah muncul di muka cermin pintu kaca dan dengan senyuman lalu duduk di sebelahnya.
Kamal Bey membuka laptop nya, dia menulis :
I was lying on the bed like a corpse, though in pain and intensely aware of it, like an animal listening helplessly to its last breath. The pain was deeper and harsher than anything I had felt until to day, afflicting every part of me. I felt I should get out of bed, distract myself, look for a way out of this predicament, but I just couldn’t summon the will. I’m the fugitive of my own dream.
Petang seperti lazimnya longlai bergerak untuk ketemu senja. Lampu lampu di golf driving range, yang berhadapan dengan Restoran The Bees, sudah mulai terpasang. Kelihatan kereta mula berbondong keluar dari Pasaraya Besar bersebelahan driving range. Lampu lampu di KEC juga mulai berbinar, awan yang jauh kelihatan berbalam.
I have engraved in my memory what I still regard as a postcard of bliss, sent to me, now dispersed to the outer reaches of the garden, and beyond them among the trees and the colored lamps, the landscape and the deep blue sky.
Kamal Bey menutup laptop nya, ketika dia keluar, rintik rintik hujan mulai bertabrakan, jatuh ke cermin cermin kereta yang di pakir berbaris, jatuh ke pohon pohon, ke rumput driving range dan jatuh ke dalam hatinya.
aku minta maaf kepadamu diri kerana tidak menjadi engkau kerana telah menjadi orang lain
Lope Syaaban 2011
"aku bimbang provokasi" kata Hamid Al Mahmood dengan nada perlahan. "tidak kira provokasi itu dari siapa, dari peserta perhimpunankah?, dari UMNO kah?, dari PERKASA kah?, dari DAP kah, dari PKR kah, dari poliskah, dari FRU kah?, dari PAS kah atau dari pihak yg tidak menonjol, yang bersembunyi di dalam baju kuning untuk bersedia mengambil kesempatan..siapa tahu bukan?" sambung Hamid Al Mahmood lagi. Dia mengurut misainya dengan telapak tangan dan jari jarinya yang dua ulas darinya memakai cincin batu besar, satu warna gelap macam nescafe O dan satu lagi warna biru kehitam-hitaman seperti warna ribena ada juga.
"aku risau jika tiba tiba ada lapan orang mati!, ditembak, siapakah yang menembaknya?, aku risau jika yang mati adalah abang2 yang baik, yang rukun rumahtangganya, yang ingin turun ke jalanraya atas semangat murrni setelah dibancuh para leader mereka dan abang2 ini tidaklah mahu berfikir sejenak dan mengunapakai penilaian sendiri, terus menonong bersemangat bak mahu pergi ke medan syahid lagaknya, siapakah yang akan membayar yuran2 anak anak di asrama?"
"mati satu hal dan kepayahan orang yang ditinggalkan satu hal lagi tapi yang jadi berita panas seantero dunia ialah siapakah yang menembak korban seramai lapan orang tersebut?"
"mungkin juga pihak penaja perhimpunan atau juga pihak yang bersembunyi di dalam baju kuning..mereka mahu mesej perhimpunan sampai ke seantero dunia, mereka mahu panas, mereka mahu kerejaan kelihatan zalim, mereka mahu perhimpunan itu menjadi pemangkin kepada keganasan2 lain yang seterusnya pada mereka bahawa itulah jalan yang terbaik"
"Mereka mahu bullet yang menembak sama dengan bullet polis...ini adalah kebarangkalian sahaja..tapi mungkin kan?"
"..dan abang2 yg mati konon atas tiket perjuangan, mati begitu sahajalah nampaknya.."
"aku hanya menyebut bahawa ini kebarangkalian sahaja....mungkin atau munasabah" kata Hamid Al Mahmood lagi, beliau kembali menyalakan sebatang lagi gudang garam soempoerna kotak hijau bermentholnya, dia nampaknya semakin kuat merokok kebelakangan ini, tekanan barangkali!.
Jika musim dingin, kami tidak dapat bersantai di dek. Angin sejuk yang berpusu pusu seperti baru keluar dari peti ais rasanya namun jika musim panas, pijarnya amat ketara, haba yang berpuing puing tumbuh melata dan kita bagai dipanggang. Hidung juga pedih dan alam terasa amat kering.
MV Rimba Meranti yang lelah diasak laluan kasar bermula English Canal dan kemudian bergegak gempita dengan ombak Bay Of Biscay akhirnya perlahan lahan menghampiri Port Said. Petang yang merah dan matahari yang berbalam mampir dan jika nasib baik kami akan dapat memudiki Suez Canal ketika matahari baru terjulur di dataran padang pasir yang saujana.
Di Port Said, pekerja2 Mesir mula sibuk menaiki MV Rimba Meranti. Sampan sampan kecil penjual barang barang teroleng oleng disisi starboard, mereka menaikan kotak kotak barang jualan mereka dan selang beberapa minit, disekitar luaran dek pertama telah menjadi bagai pasar malam di Jalan Petaling. Mereka menjual Jubah, kain kain serban, jam tangan tiruan berjenama seiko, ayat2 kalimah AlQuran, patung2 dan juga rantai salib. Barang2 kulit, rantai2 mutiara, cincin, buku2 lama dan segala macam barangan lagi. Watchman bernama Hassan datang berbisik2 kepada Ordinary Seaman atau Able Seaman mahu menjual Ashis sejenis ganja yang berupa seperti ketul gambir namun kami tidak tertipu. Kata Oiler Kassim, menghisapnya bukan dapat stim malah sakit kepala saja.
Jika sudah agak lama di bilik enjin, Greaser Jamaluddin akan ke dek utama. Pemandangan sungguh indah. Melalui Suez Canal seperti melalui sebuah sungai yang sempit. Di kiri kanan kami muncul pemandangan yang pelbagai. Kampung2 kecil dengan petani mengerjakan ladang tamar, kami juga melihat Masjid dan gereja yang bersempadan pagar, melihat bandar2 kecil dan jeti2 feri yang bersedia untuk menyeberang, ramailah orang2 tempatan melihat kami, gerombolan kapal2 dagang sambil ada diantara mereka melambai lambai tangan dan menjeritkan sesuatu. Jika melalui Ismailia kami akan dapat melihat tempat peranginan yang indah, resort2 di wadi, pantai buatan dan orangramai yang berkelah. Namun kerap juga terhidang di depan mata akan padang pasir yang bagai tiada tepinya. Kesan2 kemusnahan perang untuk merebutkan Suez Canal ini juga masih kelihatan, jentera2 pengebom jungkirbalik dan mesin mesin burukyang dibawa Perancis ketika membina Canal ini juga masih tertinggal terbenam di busut busut pasir yang merata.
Dari Eropah dan kemudian menyusuri Mediterranean Sea, muncul di Port Said dan perlahan2 memudiki Suez Canal kami akhirnya ketemu Port Tawfik, bandar selatan Suez, ketika sayup2 menyusur Red Sea, kami sudah jauh masuk ke benua Asia.
Lama dahulu, ketika itu Hosni Mubarak juga adalah President Mesir. Pernah suatu hari kami berpeluang ke Cairo dan melawat Pyramid Giza, dari City of Suez kami dipandu ke Cairo dengan kereta wagon putih yang dipandu amat laju. Jalannya begitu lurus dan bukit bukau padang pasir adalah horizon kami sepanjang perjalanan.
Memasuki Cairo, kota besar Mesir itu masih seperti sebuah kota lama yang sedikit2 dicium pembangunan. Kubah2 Masjid disana sini dan kereta kuda yang membawa jerami masih berkongsi jalan jalan sibuk ditengah kotaraya. Kami sampai di Giza dan dengan menaiki unta kami berkeliling komplek perkuburan kuno yang penuh misteri itu. Entah berapakali kami ditipu, ini seperti membayar sebotol coke dengan USD10 dan membayar harga tinggi untuk sebotol minyak wangi yg tidak bermutu. Kami tidak menyalahkan mereka tetapi kami menyalahkan Hosni Mubarak juga atas kegagalannya membawa Mesir berubah dalam masa 30 tahun pemerintahanya.
Kebekuan ini ditambah kehendak hal hal luar yang bercanggah dengan rakyat. Sikap pro Amerika dan Israel akhirnya menjadi kudis yang bernanah. Doa orang orang Gaza yang kian terkepung dan semakin berdepan bencana kemanusiaan juga barangkali dilihat Allah.
Engkau membuka jendela tahun demi tahun dan aku mahu yang indah indah berlaku. Aku menulis di atas batu batu dan batang pohon pohon Biar utuh dan tidak dinyah angin atau kering pijar dan reput dimamah hari Namun aku tidak mencatatkanya di poket hatiku Kerana mahuku atau inginku amat terbiar sebenarnya seperti ladang yang penuh lalang Apakah aku mampu membuahkan beza?
Engkau membuka jendela tahun demi tahun dan aku mahu yang wangi wangi terpalit di jasadku Aku meneteskan wangian dan aromanya semerbak di kawah cinta Biar haruman sahaja mengisi seluruh ruang dan rongga Namun aku membiarkan kebenaran menjadi busuk Kerana haruman yang kutabur menyuburkan cuma dosa Apakah aku mampu menghasilkan bahagia?
Engkau membuka jendela tahun demi tahun dan aku mahu hanya pelangi mengisi kolong awan Aku membaurkan warna warna dikanvas putih Biar warna warna mengalirkan ceria dan terputiklah bangga Namun aku menghilangkan hitam yang memenuhi malam Kerana tidak kusangka warna memautku hilang dari lorongku Apakah aku telah jauh, jauh tersasar dan pudar sedikit demi sedikit?
Engkau membuka jendela tahun demi tahun dan aku mahu hanya mimpi mimpi indah menjengah lenaku Aku menabirkan karpet baldu untuk beradu terus terusan Biar aku terbuai oleh angan angan yang memendekkan malam bertemu subuh Namun aku ditinggalkan masa dan kini berada di daerah asing Kerana mimpi hanya cuma lagu lagu merdu Apakah aku tidak akan terus terbangun untuk sedekad lagi?
December 2010 Tremelbye.
Putri Ernawati Sulastri adalah nama diberikan papa ketika Putri lahir. Waktu itu bumi bergegar, tuhan!, pohon pohon bergoyang, jalan jalan retak, pintu pintu tidak boleh dibuka, ibu dalam sarat tenatnya mahu melahirkan, hatinya dibajai gundah, bumi bergegar dan papa entah dimana. Ibu dipapah jiran jiran keluar ke jalan didepan pondok dan ketika sampai sahaja ke jalan dihadapan pondok, Putri pun keluar, ketika orang bergundah gulana Putri pun lahir, ketika orang menjerit kesana kesini Putri pun mengelonsor dari dakapan tembuninya keluar melihat alam yang ketika itu riuh. Ibu dibersihkan Mbak dan dibaringkan di khemah. Putri diazankan Imam Moestaffa. Orang orang masih berbondong bondong tidak tentu hala, bumi masih bergegar dan daun daun kuning berjatuhan, bunyi angin ketika itu amat asing seperti bunyi ngauman garuda yang terbang rendah di pipih bukit.
Putri kini membesar, membesar dan membesar. Dia sudah menjadi seorang gadis. Dia telah menjadi gadis yang sehat dan punya sepasang payudara yang penuh.
Sudah empat tahun dia bekerja di Malaysia. Berbosskan Selvi yang berniaga kedai runcit, Putri bukan sahaja harus mengopel kulit bawang dan menaikan tong gas di atas cangkuk motosikal malah dia harus mengelap embun yang singgah ke badan kereta setiap hari, memikul 10 kg beras dan memunggah minyak masak dari van ke rak rak yang tersusun banyak.
Putri sudah bosan. Bermula jam 6 pagi dia hanya dapat duduk untuk menhela nafas dengan tenang pada jam 10 malam. Saban hari, saban minggu. Minggu berganti bulan dan bulan didatangi tahun, tidak berubah.
Genap empat tahun Putri sudah nekad ingin pulang ke desa kelahirannya.
Seluruh warga kampung menunggu Putri sampai. Ibunya memotong sapi dan menyuruh jiran jiran memungut rebung untuk dimasamkan untuk nanti digulai dengan tulang sapi. Putri sudah pulang.
"Ohh Putri, patutlah dikala kelahiran engkau dahulu seluruh alam ini bergegar. Engkau pulang dengan sebegini cantik, bagaimana rambut mu menjadi lurus nak, dulu kan keriting bergulung gulung kasar seperti rumpai laut layaknya?"
"Ini semua kuasa Tuhan bu!"
Akhirnya pada malam itu ( yang sepatutnya pertandingan belum tamat) pasukan Malaysia telahpun berada di dalam penerbangan pulang dari Amerika. Pasukan Negara yang dijangka akan memenangi pertandingan peringkat dunia kali ini kalah lebih awal. Pasukan Italy dan Mesir Berjaya menjadi dua pasukan yang lepas ke peringkat seterusnya. Jurulatih Mahat Hussin adalah orang yang pertama menerima bahana dari persembahan hambar pasukan Negara. Ketika masih di New York lagi, dia telah menerima berita yang dia telah di ‘fire’dan hilang semua gaji dan elaun yang berjumlah lebih kurang RM78000 sebulan.
Kata kata pujian tinggi melangit dan tawaran iklan komersial yang melimpah ruah hilang dalam sekelip mata. Bahkan pengeluar belacan 3 dalam satu yang menguasai 60% market share di seantero dunia dengan serta merta menamatkan siaran iklan mereka yang menunjukkan pemain2 negara menjamu selera dengan nasi goring kampong dan timun potong cecah belacan. Sepanduk2 yang bersemangat tinggi yang terpampang disepanjang lebuhraya dari persimpangan USJ hingga ke KLIA turut dibakar. Dari jauh (hingga sejauh Gunung Nuang di Hulu Langat) kelihatan asap berkepul kepul naik bagai Lembah Klang berada di dalam zon perang layaknya.
Jenal Din Jidin adalah pemain yang ditunggu oleh orang ramai yang bersenjatakan buluh runcing dan sumpit bermata buluh halus dan diletak racun tikus di hujungnya. Sidang akhbar yang sepatutnya diadakan di ruang arrival KLIA kini dibatalkan, Jenal Din Jidin terpaksa diseludup keluar melalui sebuah helicopter yang entah dimana landingnya. Dialah yang mengakibatkan pasukan Negara kalah!, bukan itu sahaja, dia turut dibuang padang kerana menitik jari salah seorang peserta lawan hingga patah. Dia sepatutnya menitik gulinya ke guli lawan tetapi dia menitik gulinya ke jari lawan. Titikan guli Jenal Din Jidin yang sememangnya amat keras dan terkenal seluruh dunia itu mematahkan jari lawannya, bukan sahaja patah malah hampir putus.
Bilamana pasukan Malaysia kehilangan satu pusingan ini bermakna mereka kehilangan banyak mata. Pengadil dari Slovenia itu tidak teragak agak membuang Jenal Din Jidin keluar dari pertandingan, hampir 28 juta rakyat Malaysia yang menyaksikan peristiwa itu di layar layar besar disetiap pelusuk Negara terkedu. Mereka seperti tidak percaya. Mereka menangis dan ada yang terjun sungai dan laut. Mereka hysteria dan semua pejabat2 dan sekolah2 ditutup untuk satu minggu kerana semua rakyat Malaysia berada di dalam keadaan emosi tidak stabil. Malah yang paling teruk ramai telah sakit jiwa, seperti tertawa sorang2, menangis bila melihat cerita lawak atau terkekeh kekeh bila diberitahu tentang berita kematian. Diakhbar2 terpampang di muka utama “ Guli Jenal bawa petaka!”, “Jenal killed us” atau juga “Jenal Si Pelebur”.
Pertandingan Guli peringkat dunia yang diadakan setiap 6 tahun itu amat dinanti nantikan oleh seluruh rakyat. Guli piala dunia yang ke 18 itu menyaksikan Malaysia tersingkir lebih awal. Dalam ranking sukan dunia, Sukan Main Guli kini sudah jatuh tempat kedua selepas bolasepak. Pemain2 guli kini menikmati pendapatan amat besar.
Tidak juga dalam permainan, malah guli buatan Malaysia yang bernama geligeli turut terkenal diseluruh dunia. Guli yang dikeluarkan oleh beberapa syarikat , termasuk Syarikat Adik Beradik Loy Heng dan Syarikat Guli Pantai Timur adalah beberapa guli yang diberi penghormatan dan pernah menjadi guli official dalam pertandingan guli dunia. Lain lain syarikat seperti Kuppusamy Guli Ipoh dan Syarikat Huat Kee Long Gula Guli juga pernah mendapat penghormatan sebagai guli official dalam pertandingan guli peringkat Asia.
Ketaksuban orang ramai kepada sukan guli kini tidak boleh lagi dinafikan. Jenal Din Jidin sudah tidak berani lagi berada di khalayak ramai akibat beberapa ugutan sadis. Walaubagaimana pun, pemain pemain piala dunia guli Malaysia tetap diraikan di dalam satu majlis, mereka dianugerahkan sekeping tanah setiap seorang dan juga selori guli bermutu tinggi buatan Syarikat Adik Beradik Loy Heng dan Syarikat Guli Pantai Timur.
Namun ada juga kedengaran beberapa rungutan dari pemain pemain piala dunia Malaysia tersebut, diantaranya oleh Setapa Jusoh, pemain berasal dari Tok Bali, Bachok itu dan juga Ujang Talit, pemain yang berasal dari Felda Pasoh 3, Simpang Pertang, Jelebu yang juga merupakan ketua pasukkan guli Negeri Sembilan, diantara yang kedengaran oleh pemberita ialah seperti “buat apa bagi aku guli selori nii..buat timbus kubur bolehlah” itu kata kata yg terluah oleh Ujang Talit dan bagi Setapa Jusoh pula “gilo..bagi selori, mu biar betol, buak jale tar depe ghumoh aku, bolehlah”.
“Bukan tidak cinta, bukan!, cinta telah tumbuh dan meranum. Ia tumbuh bagai tulip yang kembang. Ia mekar bagai mawar dibasahi embun, ia segar dan penuh warna, sukar sebenarnya kerana cinta tidak akan tumbuh semberono, cinta tidak akan berwenang wenang berputik, cinta tidak sendirinya berkembang melainkan ada getar di kalbu zulmat, ada irama berdenting, ada melodi, ada gemuruh, ada riak riak yang berat tetapi indah, ada sesuatu yang berpuing puing mendayu sayup sayup, ada gementar, ada resah, ada takut, ada kuatir, ada nazak perasaan, ada hiruk pikuk persoalan, ada curiga, ada sangsi, ada rasa sepi dan keseorangan, ada rindu...ya ada rindu yang tidak boleh ditipu, yang tidak boleh disorok, yang hadir dan menuntut, yang datang setiap malam, yang masuk ke dalam mimpi, yang mengitari setiap ruang, yang melayah bagai cempera unggas unggas, yang melebat seperti hujan, yang riuh seperti guruh, seperti petir!”.
Kerana cinta itu muncul seperti putik bunga, berkembang senyap senyap dan menyerlahkan kelopaknya yang beraneka warna, kerana cinta itu tumbuh dan meranum sendiri tanpa diminta, tanpa ada permohonan dan doa, tanpa ada apa apa desakkan atau impian, tanpa ada basa basi prakata, tanpa ada protokol dan aturan maka Wahab kini tidak terasa yang dirinya, jasadnya, rohnya telah menjadi sangat dungu. Dia menjadi lelaki bodoh. Dirinya dibodohkan oleh hangat dan pijar cinta hingga dia tidak lagi menjadi dirinya. Dia tidak lagi berada di dalam kurungan intelektual atau di dalam prinsip2 jati dirinya. Dia jelaslah terpesong dan cinta menjadikannya begitu bodoh dan tidak berprinsip, dia tenggelam dalam dolak dalik cinta yang sangat menampakkan kedunguan semata mata. Cara berfikir atau cara bertindak yang terkeluar dari apa yang sepatutnya seorang Wahab lakukan. Wahab tersasar dari disiplin cara berfikir dan cara bertindak. Adakalanya dia menjadi seperti seorang kanak kanak. Demikian cinta mengembalikan dirinya kepada zaman gelap. Zaman tersasar. Zaman yang tidak menuntut akal dan pertimbangannya. Zaman itu kini berulang.
Demikianlah lelaki. Kekukuhan prinsip diri, kekuatan janaan minda, kehebatan disiplin dan ketangkasan akal akan lebur bilamana ayat ayat cinta menyusur dalam lorongnya yang tersendiri dan hadir dalam bentuk yang kononnya berupa taman taman indah yang penuh bunga bungaan dan jaring sinar mentari menyiram burung2 dan rama rama berterbangan, sungai dan danau, bukit dan bukau, awan dan angin bergentayangan, begitulah kononnya pesona. Tapi tidak terfikir oleh Wahab yang itu semua hanya penipuan. Penipuan yang mempersembahkan segala pesona muncul bagai madu, alangkah manisnya, namun Wahab tidak pernah tersedar, barangkali oleh panah arjuna cinta yang sangat menikam.
Adakalanya di dalam sela sela angin, terpantul sekali sekala akan rasa sedar yang dirinya telah menjadi begitu bodoh dan dungu namun Wahab tidaklah dapat menangkap apakah maksudnya itu. Pantulan2 itu semakin kerap dewasa ini dan seolah olah semakin menuntut masa Wahab untuk memikirkannya secara serius. Namun Wahab hanya membiarkan sahaja selalunya.
Wahab sedar tentang adanya peperangan yang sedang berlansung di dalam lubuk kalbu zulmatnya.
-Pak Teh Embong, rasa macam pagi pagi di kampung lain sangat dari dulu. -Apa ke lainnya Lope? -Sunyi, tak macam dulu, banyak burung, kicauan mereka berlagu lagu, atas pokok rambai, atas pokok mangis, atas pokok langsat, atas pohon duku, di sela sela bunga raya yang merah. Citt...citt...citt..kata kelicap, wrong...wreng...piiiiiiuuuutttt..kata murai, krukk...krukk...krukk..kata tekukur, grorrr...grorrr...grorr..kata merbah. -Ya..Pak Teh pun baru sedar, benar kata kau Lope, kita rindukan mereka. -Kemana agaknya mereka pak teh? -Samada mereka telah berhijrah atau mereka semakin pupus kerana tidak banyak anak dilahirkan. Sawah dah tiada, kini belukar semak samun. Tali air kontang dan paya paya di sebelah rumbia baruh telah kering amat. Barangkali juga mereka sukar minum. Ladang sawit yang mengantikan sawah menabur racun seenaknya. Bukan sahaja burung yang keracunan malah seekor dua keli dan limbat, puyu dan sepat, bocek dan belut turut menghembuskan nafas terakhir, ini tragedi Lope. Tali air kontang dan paya kekeringan kerana juga bukit bukau yang jadi tadahan air telah dinoda. -Tapi akibat bukit bukau ternoda itu hanyalah memberi kesan kepada Kg Pakbai dan kampung2 jirannya saja Pak Teh, ada sesuatu yang lebih besar berlaku di luar sana, ada sesuatu yang global bentuknya..global warming. -Global Warming? -Ya Pak Teh, negara besar dan maju yang berlumba lumba menjadi kaya dengan membangkitkan revolusi industri, dengan kilang2 yg besar atau janakuasa2 atau plant2 yang mega atau enjin2 yg banyak termasuklah kereta, lori, kapal atau juga seperti motosikal Modenass Pak Teh ini telah dengan disedari melepaskan segala macam gas ini seperti carbon dioxide dan pelbagai methane. Gas2 itu Pak Teh akan naik ke ruang angkasa bumi dan terperangkap lalu menjadi seperti sehelai kain gebar besar dan perlahan lahan menutupi bumi. Kepanasan di bumi akan meningkat dan ini akan mengakibatkan bongkah2 ais di kutub utara dan selatan, bongkah2 ais di puncak2 gunung mencair dan terus ke laut. Paras air laut menjadi tinggi, pulau2 yang rendah akan tenggelam perlahan lahan. Kepanasan global itu juga akan menukar tabiat hujan. Hujan yg keterlaluan akan membanjirkan kawasan2 rendah dengan kekerapa yang bertambah.Acid dalam kandungan hujan juga bertambah, lautan akan turut tercemar. Kepupusan beberapa spesis binatang yang tidak mempunyai daya tahan meningkat. Kepanasan global juga mengakibatkan peningkatan bilangan ribut taufan. Banyak kelaziman2 alamiah yg terdahulu terganggu dan manusia akan ditimpa lebih malapetaka akibat itu semua. -serius ni Lope -Memang serius Pak Teh, hinggakan mesyuarat kabinet Nepal diadakan di Everest Base Camp, sejuk gila tapi mereka mahu dunia melihat bongkah2 ais mula mencair di sana. Mesyuarat kabinet Maldive juga diadakan di dasar laut dengan pakaian scuba untuk cuba mengatakan pada dunia yang negara mereka hampir tenggelam, mereka amat takut. Sekarang ini ramai orang2 besar seluruh dunia berkampung di Copenhagen, mereka membincangkan isu ini. -Siapa yg harus bertanggungjawab? siapa yang boleh mengurangkan perlepasan segala macam gas ini? siapa yang boleh menukar keadaan bahaya ini kepada dunia yg lebih selamat? Siapa Lope? -Negara negara kaya Pak Teh, namun mereka tidak serius, mereka masih takut membuat apa apa undang2 kepada khalayak industri mereka. Kerana sebarang undang2 kepada perlepasan gas akan memberi kesan yang besar kepada industri mereka dan seterusnya kepada ekonomi mereka apatah lagi dalam situasi ekonomi dunia yang masih tidak menentu ini. Mereka berbalah balah hingga esak, tangis dan raung negara negara kecil yg mendapat kesan secara lansung tidak mereka pedulikan. -Lahanat betul mereka ni Lope, kalau macam tu Pak Teh nak ke Copenhagen, Pak Teh nak carutkan mereka sepedas yg boleh. -mereka dah habis pun berkampung Pak Teh. -Habis apa kedapatannya? -kosong -huhh...ngeri.
* * * * * * *
There is every reason to believe that as 21st century unfolds, the security story will be bound together with climate change....the last time the world faced a challenge this complex was during the Cold War. -John Ashton, UK
Saban petang ketika aku melalui denai People Park yang redup dan dilitupi rendang pohon pohonan ketika berjogging, aku sering merasakan bagai aku kembali kepada diriku sendiri setelah saban minit seharian diberikan kepada majikkan atau keluarga. Selain aku dapat mencium bau daun daunan atau paku pakis atau harum bunga liar, aku dapat juga berfikir tentang diri sendiri, tentang pencapaian, tentang matlamat, tentang masaalah, tentang halangan halangan, tentang kemahuan dan nafsu, tentang perkara perkara yang harus dilakukan dan juga yang tidak sepatutnya dilakukan atau perkara perkara yang tidak samasekali boleh dilakukan. Adakalanya aku seperti kepingin banyak masa untuk bersendirian, menulis blog misalnya, melayarkan brush dan warna di atas kanvas misalnya, memancing sambil membiarkan angin sungai meliuk lintuk membelai wajah misalnya atau juga duduk di kedai buku besar tanpa ada perkara perkara lain yang menunggu untuk dilakukan selain melazatkan diri dengan buku buku yang beraneka.
Aku belajar sekarang ini untuk lebih berhati hati dalam urusan dengan diriku. Rohani tidak boleh disuapkan selalu dengan kebimbangan. Jasmani harus diberikan cabaran yang cukup untuk mengerakkan apa apa yang patut bergerak. Lihat sahajalah di Penshawar, Taliban kini mula mengebom orang orang awam setelah lembah alamiah mereka yang penuh gunung ganang yang indah dan permai berdepan kehancuran. Kerajaan Zionis terus membina rumah, tidak peduli kepada perjanjian demi perjanjian. Sebahagian orang orang Melayu terus terleka dengan sehati berdansa dan segala bagai sayembara nyanyian. Orang orang Partai melayu Abid terus membudayakan kaedah kaya cepat. Tok Guru tanpa menyedari terterima tawaran ke Mekah dengan kaedah yang tidak berapa molek.
Teringat puisi pendek Abdullah Jones tentang rasa malunya kepada Tuhan atas segala apa yang berlaku, demikianlah aku juga.
* * * * * *
Bulan December yang akan masuk bila bila sahaja turut membawa hujan yang kalau tidak pagi turunnya, akan jatuh pada petangnya atau juga malam atau juga bersambung sambung dari pagi membawa ke petang dan terus ke malam dan jika belum puas, akan bersambung pula membawa ke pagi.
Tentulah dikala ini kerinduan kepada kampung semakin menjadi jadi. Mau cium bau tanah, bau kebun di belakang rumah, bau pohon pohanan yang basah. Mau melihat kabus yang berombak di bukit. Mau sembahyang magrib ketika bunyi hujan berantakkan di atap zink.
* * * * * * *
Minah tidak kisah malah bangga. Minah bangga mengusung perutnya yang kian membusut hari demi hari itu. Minah bangga mengusung perutnya yang kian menerik hari demi hari itu. Minah semakin teruja bila ada desir gerak-gerak halus dan seni mencuit lembut dalam kelonsong poket perutnya. Minah semakin ghairah bila terjahan terjahan lembut itu menguit dari kiri ke kanan. Minah semakin gembira bila payu susunya mengembang dan puting teteknya menegang. Ohh biar anak ini nanti kenyang menetek, jika habis payu susu kiri, kalihlah ke kanan, ibu ada sentiasa, ibu ada gebar besar, ibu ada tilam comel gambar beruang panda kecik kecik dan beriben pula. Ibu ada siapkan buaian spring baru yang talinya diikat pada palang tengah rumah. Ibu dah beli minyak telon, bedak baby jonhson, ibu dah beli stokin kenit kenit berenda atas bawah, ibu dah beli kelambu montel warna merah jingga juga punya reben terjajar di sekelilingnya. Ohh..tujuh bulan sudah Minah menatang perutnya yang kian teroleng oleng itu. Tujuh bulan dia menonong kemana saja sekitar kampung. Ke kenduri Minah pergi, dia penuh bangga bila semua mata tertumpu ke perutnya. Dia ke Surau mendengar ceramah, dia ke pekan rabu, dia ke masjid ada kenduri, dia ke hulu ke hilir, ke kedai, ke balairaya hatta kemana mana sahaja dia akan pergi menonong membawa bayi kecil yang masih terselungkup di dalam kelubung poket perutnya, Minah bangga amat.
Minah tidak kisah, tidak peduli, tidak ambil pot, tidak berkecil hati bila orang orang kampung bertanya siapa bapa kepada bayi yang nyenyak beristirehat di dalam kelubung tembuninya ini. Memang tipikal orang kampung bila ada saja yang pelik sedikit, yang lain dari bobok hidup harian mereka , yang terkeluar sedikit dari nilai nilai anutan mereka makanya mereka akan bersoksek siang malam, pagi buta atau senjakala. Mereka memang minat bergebang lantaklah jika nasi yang terjerang hangus atau ikan yang disiang dilarikan kucing, tidak sedar mereka. Apatah lagi isu yang amat amat panas ini, isu Minah tak berlaki tapi kalih kalih menjinjing perut yang menonong ke hulu kehilir. Memang panas.
Seperti lazimnya cerita Minah tak berlaki tapi bunting memang cepat bertebaran. Makcik makcik radio karat punya berita paling sensasi untuk dibualkan, ahh besar mana sangatlah kampung Pakbai ini, kalau yang tak kaki lepak kedai kopi pun akan tahu juga cerita tu takala ke surau atau juga cerita yang sama akan berjejeran bila sama sama menjual getah sekerap di Padang Lebar. Kak Yam tahu cerita ini bila dia berjumpa Siti Timah semasa dia menunggu cucunya keluar sekolah tadika. Siti Timah tergesa gesa datang berjumpa Kak Yam, belum sempat Siti bercerita, mulutnya telah memuncung ke depan dan tahi lalat besarnya di pipi kanan terherot herot, Kak Yam memang menduga lebih awal betapa seriusnya cerita yang ingin disampaikan Siti bila melihat muncungnya atau tahi lalatnya. Benarlah telahan Kak Yam, bunting tanpa laki dan tak segan segan pula memboyot ke hulu ke hilir memang tak pernah dibuat orang. Memang melampau tahap tinggilah Si Minah, kalau budak budak cakap melampau tahap gaban atau mereka akan cakap 'melampau gila'. Huhhh betul betul serius.
Ada juga dulu dulu anak gadis bunting tak berlaki terjadi di kampung Pakbai ini. Dosa mereka dengan Tuhan memang amat besarlah tapi mereka pandai menyimpan, tiba tiba hilang dari kampung dan entah beberapa purnama kemudian timbul balik. Bolehlah hilang macam tu je, dah beranak dan bagi pada sesiapa kemudian pulanglah ke kampung semula, aib pada manusia barangkali dapatlah ditahankan tapi aib pada Tuhan jawaplah nanti tapi Si Minah ini lain benar pulak pembawaannya. Tak aib pada masyarakat, tak aib pada Tuhan, tak rasa bersalah, tak rasa malu, habis tu manusia jenis apa dia ini. Ini bukan Amerika atau London sana, ini kampung Pakbai, kampung yang di asaskan atas nama Melayu Islam, yang menjunjung nilai nilai moral dan agama. Memang unik kes kali ini kata Imam Dol. Memang unik.
Walaupun Si Minah tak berasa malu namun saudara jauh dekat tetap terpalit rasa aib. Mereka tetap terasa muka hitam lantaran bunting tak berlaki ini bukan perkara main main. Siang malam pagi senja Si Minah tetap di kampung bila pulak dia ketemu si lelaki durjana yang menyuntikkan benih tanpa akad nikah ke dalam rahimnya yang subur itu?, bila pulak dia berkecipak kecipung, berlazat lazatan hingga benih yang tersuntik itu akhirnya membesar menjadi lembaga?, bila pulak dia dikunjungi mana mana jantan dan kemudian dengan rela pasrah dan menerima?, bila pulak Kak Rol ibunya yang saban masa bersamanya tidak menyedari Si Minah diulit mimpi benar?, angkara orang buniankah?, angkara jembalang tanah yang muncul dinihari dan melakukan andingan yang tak mahu di lihat itu?
Akhirnya Imam Dol ke depan untuk menyusur denai mana Si Minah telah menongkah. Saudara dekat jauh dipanggil duduk bersama, bulat air kerana pembetong, lelaki durjana harus dipertanggungjawapkan. Bukan sewenang wenangnya membuat onar kemudian hilang, tak semudah itu. Kampung Pakbai kampung beradat, ada Imam, ada ketua kampung, ada buapak, ada perut, suku sakat menjunjung agama, menjunjung adat, kalau moyang moyang yang telah pergi lebih dahulu mengetahui onar ini, maka menangislah mereka di dalam kubur. Tuhan jika mahu menimpakan azab kepada orang orang yang membuat onar ini, satu kampung Pakbai nanti akan merasanya. Minah harus dipanggil mengadap, jangan buang dia, pujuk dia, bawa onar kepermukaan biar semua orang tahu dan jelas duduk perkara. Buang yang hitam legam dan ambillah yang jernih.
“ Pan Nyi “. jawab Minah pendek. “ Myanmar yang kerja ladang betik tu?” sergah Bujai. “ A..ahh” bisik Minah menganguk melihat jalur tikar getah di bawahnya.
Itulah orang kampung terlepas pandang. Malam malam yang sunyi di Kampung Pakbai, Minah dan Pan Nyi menghangatkan malam sambil dilihat bintang bintang yang bertaburan di langit tinggi.
Sambil Minah menangis teresak esak setelah didesak Imam Dol, Bujai dan lain lain, Pan Nyi sedang berada di dalam perut keretapi menuju ke Utara. Ladang ladang dan bukit bukau bersilih ganti terpamir di luar kabin gerabak.
Setiap pagi ketika usai solat subuh Kassim berdiri sambil menghadap cermin. Dia memerhati wajahnya sendiri dengan kejap dan serius. Dia melihat rambut di kiri dan kanan kepalanya, di atas ubun ubun, di kelok belakang dan sisi, hari demi hari dia melihat rambut rambut di banyak bahagian semakin berkurangan. Kulit kepala kian muncul tanpa bersembunyi lagi. Selepas rambut, Kassim melihat dan membilang pula jalur jalur halus yang muncul seperti lukisan abstrak di bidang dahinya. Jalur jalur halus itu berselerakkan dan dapat dirasakan bahawa ia kian bertambah hari demi hari, bulan demi bulan. Jalur jalur halus itu juga muncul disekitar matanya seperti di hujung kedua dua alisnya, dilekuk bawah dan kiri kanan, dipelupuk kelopak dan biang biang jalur halus itu tersambung pula kebirai hidungnya, juga dikiri kanan lubang hidung membawa ke hujung seluk lengkung mulut dan tertebar hingga ke dagu. Kesemboronoan tabrakkan jalur jalur itu bercambah dan membiak bagai akar pohon kelapa di tanah gambut, tidak mungkin akan mampu bertangguh atau apatah lagi menghentikan activiti itu terus. Mana mungkin. Jelaslah, bila setiap pagi Kassim berdiri didepan cermin seusai solat subuh sambil melihat wajahnya dia kian terfikir bahawa usia sudah demikian merangkak jauh. Dia harus menyedari bahawa dia tidak boleh lagi terus terusan bergulat dengan dunia semata mata, pagi petang, senja subuh, dia, sudah pastinya akan ketemu pelabuhan untuk bersandar melepas lelah perjalanan. Pelabuhan yang mungkin tidak akan ditemukan lagi camar camar yang melayah atau gurau senda gelora samudera.
Setiap pagi semenjak dua ini Kassim berdiri lama di depan cermin sambil melihat wajahnya dengan penuh serius. Dia melihat wajahnya dengan ikhlas dan jujur. Dia tidak mahu lagi ditipu oleh kosmetik atau aksesori. Dengan jujur dia melihat wajahnya dalam dakapan usianya. Dengan jujur dia melihat sinar matanya yang lelah dan keletihan kerana jauhnya perjalanan. Dengan jujur dia melihat simponggang biang jalur jalur halus yang cuba memperkatakan padanya tentang kebobrokkan tapak tapak yang ditinggalkannya dibelakang, tentang lorong lorong songsang dan gelap, tentang longkang longkang hanyir dan lembah lembah kontangnya kalbu zulmat. Dengan jujur dia melihat wajahnya di cermin setiap pagi sambil dirinya yang keluar sebentar dari kepungan jasadnya terus terusan berkata kata tentang kebenaran, seisi mendengar monolog monolog itu kini berlanjutan. Seisi itu dipanggil Kassim sebagai " Sesi Bertelanjang dan Mengupas harga Diri". Setiap pagi Kassim tidak hanya melihat wajahnya yang berselirat dengan ribuan biang2 halus itu sahaja malah dia kini berdiri di depab cermin dan melihat keseluruh tubuhnya yang bertelanjang bulat tanpa seutas benang pun. Dia meneroka setiap inci kulitnya yang terbuka, dia melihat bulu romanya, bulu dadanya, bulu pusatnya, bulu anunya, bulu betisnya dan juga bulu bulu halus di ruas ruas jari kakinya. Dia melihat dadanya yang sedikit kendur namun tetap bidang, dia melihat puting teteknya yang hitam dan sedikit mengerutut. Dia melihat benjol benjol seni yang sungguh halus mengitari setiap kulit dadanya, dia melihat pusatnya yang dalam dan gelap. Dia melihat anunya yang tidur dan melepek kedakapan telurnya. Dia melihat pehanya yang runcing dan lututnya yang seperti busut jantan. Dia melihat betisnya yang kering dan tumitnya yang merekah. Dia melihat hingga kehujung ibu jari kakinya. Dia melihat dirinya yang hodoh ketika bertelanjang.
Dia sudah tua. Setiap pagi dia berkata kepada cermin didepannya dan kepada seorang manusia lagi yang berada di dalam cermin tentang dirinya yang sudah tua. Kassim mengingatkan agar berhentilah bergulat dengan dunia semata, berhenti dari menghirup dosa saban detik kerana pelabuhan hidup akan sampai bila bila. Berhentilah dari ditipu terus terusan oleh nikmat sementara. Berhentilah dari menyembunyikan hakikat dan menenggelamkan kebenaran. Setiap pagi ketika usai solat subuh Kassim terus bermonolog. Monolognya kini semakin berlarut larutan. Dia tenggelam dalam "Sesi bertelanjang dan mengupas harga diri" yang berulang ulang setiap pagi.
Mat Karma dan Jenal Belon berbisik bisik mengatakan Kassim sudah gila.
Malam sangat sunyi dan dingin di atas Bukit Kenudai. Hanya bunyi riang riang, cengkerik, burung malam dan bunyi kera dan siamang dikejauhan. Langit tinggi juga hanya menabirkan kegulitaan, hanya seulas bintang yang jauh berkelipan, bulan tiada dan angin menderu berpusar di atas kanopi hutan dan pohon pohon getah.
Kesunyian, kedinginan dan kesakitan mengongsi ruang jasad dan mindanya. Darah yang mengalir kini membeku berpalitan di mana mana, di mukanya, rambutnya, di janggutnya, memerahkan bajunya, seluarnya. Dia menangis. Airmatanya membasuh darah beku yang terpalit. Dunia ini menjadi amat kosong. Dia kini kehilangan segala galanya. Hilang kasih sayang. Hilang kewarasan. Fikiran amat bersimponggang. Tiada fokus, otaknya bertukar dari segmen ke segmen, dari satu frame ke satu frame, fikiranya muncul dan hilang, bertukar amat cepat seperti sebuah filem yang rosak.
Dia tidak berdaya. Darah yang keluar dari toresan pisau rumput kini terus keluar tidak henti henti. Toresan di bawah dada, di perut kiri dan kanan kini amat melemahkan dayanya untuk bangun, dia memerhatikan langit, cahaya bintang yang jauh yang berkelipan seperti lampu kapal terbang kini amat kabur. Bunyi cengkerik dan riang riang juga semakin perlahan. Dingin malam di Bukit Kenudai amat meresap ke jantungnya. Detik detik selepas itu hanyalah kekaburan.
Dia hanya berfikir tentang bagaimana hidup sunyi yang dipacu semenjak bertahun lalu akan menemukan noktah di malam dingin Bukit Kenudai ini. Dia bermimpi ribuan burung wak wak yang muncul dari awan mendatanginya, bunyi kepak mereka yang bertebaran bagai sebuah lagu merdu, bagai keroncong dengan gesekkan biola. Dia mendengar pekikan siamang seperti pekikan sargent di kem latihan, berbobot bobot tentera yang berkepala botak dan berkulit hitam melangkah dengan penuh gagah dan tertib, senapang mereka dengan bayonet terhunus di kepit erat di celah ketiak.
Deru angin di puncak kanopi bagai saja deru trak trak yang beratur sepanjang jalan...dan pada satu malam ketika itu party baru sahaja usai di bangunan mess. Dia membawa sebuah trak besar dan Sargent Basar berada di sebelah tempat memandu. Kopral Kanai, Prebet Malim, Prebet Yaakob, Prebet Razak dan Prebet Jaya berada di belakang trak. Dia tahu ketika keluar dari kawasan kem dia telah melihat Jalan Long menjadi tiga jalan yang berubah ubah. Kepalanya berpusing dan lampu lampu jalan berputar putar, dia tahu penangan arak kini menguasai kepalanya namun atas desakkan Sargent Basar dia akhirnya memandu juga. Ketika melepasi Jalan Long masuk ke Jalan Jambu dia melihat lampu isyarat bertukar dari merah ke hijau dan menjadi merah semula dan hijau semula. Dan ketika itu sebuah Kancil comel seorang ibu muda melintang di depan trak. Ibu muda itu dijemput malaikat maut.
Dan sepi di atas Bukit Kenudai tak henti henti menayangkan semula episode episode filem rosak. Dia semakin lemah ketika segmen segmen bertukar dengan ligat. Dalam tangisan dia terkenang semula Mahani. Tunangnya itu pergi ketika tali cinta terikat erat. Dan wajah Mimi datang. Dan kemudian segmen Mimi menulis surat terakhir untuknya berputar semula. Selepas Mahani pergi dia ditemukan Mimi dan ketika cinta menjadi begitu sarat, Mimi pergi. Dia bergulat semula dengan arak, arak siang dan malam. Dia hadir di sebuah zone yang sepi dan melayang. Dia tidak memijak bumi lagi. Dia menjadi manusia lain, manusia yang terbang melayah bercempera dengan rona rona baru yang mengasyikkan.
Dia akhirnya di tamatkan jawatan sebagai seorang tentera kerana setelah beberapa lama di rehatkan, dia ternyata tidak pulih. Kata Sargent Basar, dia kerap berkata kata sendiri dan kemudian ketawa. Dia merokok tidak berhenti henti dan dia menyimpan tin tin arak di dalam poket jaketnya sepanjang masa. Dan dia pulang ke kampung menjadi seorang pemuda yang lain.
Sudah bertahun dia hidup dengan dunia sepinya, dengan segmen segmen yang berubah dan tiada fokus. Dia menjalani rutin dengan mimpi mimpi kosong yang aneh. Dia melihat alam tidak ubah seperti ruang sempit yang penuh kekaburan. Dia meniti episode episode yang tidak tertulis seperti dia tidak tahu apakah yang berlaku atau seperti juga dia membiarkan bisikan2 lembut yang datang entah dari mana untuk mengaturkan langkahnya. Kata ibunya, dia tidak sakit, dia tidak gila, cuma dia mahu bersendirian, dia mahu berkapokan dengan dunianya. Dia cuma mahu bersendirian dengan dirinya dan melupakan dunianya yang lain yang panas. Ibunya tidak bimbang kerana anaknya tidak sakit. Anaknya tidak gila. Anaknya normal seperti orang lain juga walaupun bekas suaminya dulu telah dihunjam dengan sebiji penumbuk oleh anaknya namun itu juga normal, memang barangkali bekas suaminya dulu layak ditumbuk, begitulah.
Dia kini berselimutkan kesakitan, dingin Bukit Kenudai tidak mampu lagi menidakkan kepedihan dari liang liang toresan pisau sabit rumput di bawah dadanya, di kiri kanan perutnya. Dia tidak peduli lagi jika ada merbah atau serindit bertenggek di pohon tinggi, dia tidak mampu lagi, dia kesakitan. Dia tidak peduli lagi jika burung wak wak atau puyuh terkena jerat siding, dia tidak peduli lagi jika mensiang di paya baruh bergoyang goyang tanda wak wak terjerat. Dia tidak peduli lagi jika sungai airnya keruh tanda keli terkuap kuap di selok selok, pergi mampuslah dengan musim kemarau, musim menimba kolam, pergi jalanlah dengan pohon leban berbuah lebat tempat berhimpunnya merbah, lantaklah rambai ranum tempat serindit makan siang malam. Dia kesakitan kini di atas Bukit Kenudai yang sepi dan gulita. Tiada siapa pun yang tahu. Tiada siapa pun yang ambil tahu kerana kasih sayang telah pergi. Kerana semua orang orang yang di sayangi telah pun pamit. Yang tinggal hanya dirinya bergulat dengan hidup di alam asing yang aneh...ya aneh.
Di atas Bukit Kenudai tiada siapa siapa pun, hanya sepi. Hanya dingin. Hanya gulita. Hanya nyanyian riang riang dan cengkerik. Hanya laungan kera dan siamang. Hanya deru angin yang berpusar pusar di atas kanopi pohon pohon getah dan kayu kayu hutan. Hanya ada kesakitan. Hanya ada segmen segmen yang bertukar dengan cepat. Hanya ada filem filem rosak yang menceritakan tentang kehidupan yang aneh dan terkeluar dari paksi kenormalan. Hanya ada rona rona yang bergetaran namun gagal ditangkap ulas ulas alunan apakah?. Hanya ada ruang ruang sempit yang pengap dan penuh kekaburan.
Dia kini keseorangan di malam dingin Bukit Kenudai. Dia dapat merasakan kedinginan itu dan dia masih dapat merasakan udara meluru masuk dan keluar ke ruang jantungnya, ya...udara masih meluru keluar dan masuk. Keluar dan masuk.
Kehidupan setiap hari bermula terlalu awal buat Khatip. Ketika pagi masih amat sunyi, belum kedengaran suara sayup sayup Bilal membaca Quran di surau dia sudah mula bangun. Mengosok gigi dan dia terus ke dapur, mengeluarkan bekas bawang dan cili kering. Dia akan membasuh ikan bilis. Kemudian seketika bau tumis yang gemerincing keluar dari kualinya menyapa beberapa tingkap lain sekitar Jalan Hassan. Nasi ditanak, kertas dan plastik kemudian diatur satu satu, daunpisang dikoyak kecil selembar selembar, pagi ketika itu akan muncul dengan azan subuh mendayu dayu melirih di udara. Menjelang semua nasi dibungkus dengan sedikit sambal dan sesuku bahagian telur rebus, beberapa ulas kacang dan beberapa ekor ikan bilis, horizon mula membenihkan fajar. Lampu di rumah jiran jirannya terpasang, bas atau van sekolah mula mengitari Jalan Hassan. Bunyi gagak bagai sahaja loceng penanda untuk mengatakan pagi baru sudah muncul. Khatip mengira bungkusan nasi lemaknya, total ada 60 bungkus.
30 bungkus akan diletak di Kedai Bahari dan dua puluh bungkus di Kedai Kopi Ah Ba, selebihnya akan menghuni meja jualan kecil Kak Tembun. Pekerja pekerja Pusat Mel yang keluar berduyun duyun menjelang jam sepuluh pagi akan memenuhi Kedai Bahari. Mereka duduk sambil menikmati nasi lemak Khatip di bangku bangku kayu panjang di bawah redup pohon ketapang, matahari pagi akan menyusur daun daun lebar pohon ketapang, menyelinap dan terpacul keluar menerobos menjadi garisan garisan halus lurus ke kumal meja kayu dan aspal tebing jalan. Sesekali tikus mondok berlari laju takutkan pekerja Pusat Mel. Semuanya usai bila saja siren yang berbunyi panjang melirih sekitar Jalan Jaapar. Masa minum pekerja Pusat Mel sudah tamat dan Pak Bahari mula mengemas meja kayunya. Biasanya 30 bungkus nasi lemak Khatip berpindah tempat.
Khatip sudah bertahun tidak lagi belayar. Dia berhenti menjadi kelasi empat tahun dulu. Dia meninggalkan MV Tarakan ketika kapal itu tersandar di dermaga Pelabuhan Tanjung Periuk, airmatanya menitis seperti hujan. Sayup sayup funnel MV Tarakan dilihatnya dari jauh..jauh dan terus menjauh. Dia tidak akan bersama lagi..bersama dibuai oleng, bersama dipukul gelora, bersama menerjah badai, dia akan pergi, dia akan meninggalkan hanyir laut, meninggalkan tari gelombang, meninggalkan Bosun Sidek, Pumpman Hasbol, Oiler Kamaruddin, Greaser Hanapiah, Able Seaman Manap dan Shahrul dan dia juga meninggalkan Ordinary Seaman Mahmud Si Pemabuk, Razak Kalam Sundal dan juga Aliasak. Dia akhirnya menapak pergi dari dunia seorang kelasi..untuk mencuba hidup baru...itu semua setelah Ramlah pergi meninggalkannya, pergi jauh dan tidak akan kembali lagi.
Khatip perlahan lahan membuka almari kayu lamanya. Dia membuka laci gerobok perlahan lahan, mengeluarkan beberapa dokumen lama lalu mengambil di bawah sekali sekeping surat yang kumal dan garis garis lipatannya merekah dan terbelah. Dia membaca semula surat terakhir Romlah yang diterimanya di Port of Hamburq lama dahulu...ya, setelah berbelas tahun!
Bang Khatip,
Tidak tertanggung, tidak terkata, entah ayat bagaimana untuk dinda katakan bagaimana rindu ini mengapung dalam sanubari. Siang aduhai begitu panjang dan malam aduhai begitu lama dan gelap, tiada rembulan, tiada bintang untuk dinda adu akan gelora yang melanda. Engkau bang, seperti hilang tak mampu kugapai, tiada bayangmu untuk ku berteduh, tiada bau mu untuk ku hidu, tiada tawamu untuk ku lerai kusut jiwa, tiada pujukmu untuk ku hampar menjadi tikar membaringkan duka.
Bang Khatp,
Hanya airmata menjadi teman tidurku, kala mengingati mu bagai dinda mahu terbang melayah ke angkasa mencari kapalmu. Biar ku jadi burung. Tak tertahan adakalanya. Adakalanya rindu seperti api membakar luluh jiwaku, kepanasannya memijar hingga dinda tidak bisa tidur, hingga dinda tak berselera untuk menyuap makanan. Pulanglah bang, aku menantimu dan getaran penantian itu berdenyut seperti denyut nadi ku.
Dindamu, Ramlah, Teluk Pulai, 24 Jamadiakhir.
Bulan April adalah bulan yang tidak menentu, maksudku cuacanya. Matahari yang galak waktu tengahari akan berwenang wenang hilang ditutup awan nan gelap. Kelompok mendung akan menabiri saujana angkasa. Angin pula akan bersimbahan, meliuk-lintuk kan pohon pohon dan mengusir daun daun mati dari dahan dahan. Burung burung berhenti melayah dan rintik rintik hujan akan mula jatuh ke atap rumah, ke rumput rumput, ke aspal dan ke barisan bunga bunga kekwa dan bunga kertas. Maka hujan bulan april akan pula mula melebat dan selepas itu hanyalah dentuman guruh, lirih kasar angin dan tabrakkan hujan yang jatuh seperti jatuhan air jeram.
Seusai melihat keluar dan seusai membaca tabiaat alam, Ripin kembali mengadap meja tulisnya. Dia mula menaip:
aku menjadi sangat sangsi kepada diriku mana mungkin kubiarkan jambak dosa berkembang laksana bunga hingga aku kehilangan diriku, hingga aku menjadi bukan diriku, menjadi lain menjadi seperti seekor rama rama yang patah sayapnya.
Ripin.
Di luar kamar, hujan bulan april jatuh tidak mahu lagi berhenti.
Ketidakpuasan hati para umat yang di darahnya mengalir gen Kurdish akhirnya tersalur juga di pagi dingin di dataran bersebelahan Hard Rock Cafe di Jalan Yonge yang sangat sibuk itu. Sambil mendepakan beberapa gambar pemimpin mereka yang bermisai lebat, mereka bernyanyi yang antara baitnya membangkitkan semangat nasionalisme, dari budak budak yang comel hingga kepada nenek nenek tua yang berkelubung, hangat semangat bertabrakkan naik ke udara hujung musim dingin di Toronto ini. Carutan carutan untuk Turki dan Iraq terpampang. Orang pelalu lalang tidak mungkin dapat meresapi duka nestapa mereka yang berkurun.
Kemudian selepas beberapa hari, di Front Street berhadapan dengan ruang pameran besar untuk Toronto Auto Show berkelibut pula para umat yang mengalir darah Tamil Sri Langka, melaung, menjerit dan bernyanyi sambil mencarutkan kerajaan Sinhale dan menuntut dikenakan sekatan atau apa2 juga bentuk tekanan atas kononnya kezaliman kerajaan sinhale terhadap kaum mereka.
Seperti kata Muhammad sahabatku seorang egypt, yang baru sahaja menamatkan kedoktorannya di Queen University Kingston, dunia ini bagai cuma sebuah hutan besar, binatang yang terkuat akan hidup dan yang lemah dan kecil akan menjadi mangsa. Ketika ku tanya kenapa tidak pulang sahaja ke Egypt dan menjadi Professor? dia dgn lemah berkata: Egypt bukan tidak kaya, Suez Canal sahaja boleh memberi pulangan berbillion ringgit namun rakyat hidup dgn penuh kesukaran, kerajaan yang korup mengalirkan derita kepada rakyatnya.
Ramlah yang ketemu pemuda Surabaya dan akhirnya berhijrah kesana kini amat insaf. Kesusahan hidup terasa begitu getir, makan minum dan untuk membesarkan seorang anak lelaki terasa amat sengsara. Setiap hari hanya satu yang menari nari di dalam minda, kalbu dan sanubarinya, ingin pulang ke Malaysia. Ingin hidup sebagaimana layaknya. Bukan dia tidak cinta kepada Afandi namun rasa cinta yang kuat itu tidak berupaya menidakkan kesengsaraan yang ditanggung kini.
Syariff akhirnya mendapat sebuah kedai untuk beliau mempamirkan perabot2 kayu jati untuk jualan. Dia lari jauh dari Karachi, lari jauh dari kusam jubah dan lari jauh dari ledakkan2 bom dan senjata api. Hidup ini singkat, bisiknya. Kalau cuma mahu hidup dlm bayang bayang kekacauan politik, tinggalkan sahajalah tempat tumpah darah dan capai bumi baru guna membesarkan anak2 menjadi manusia yang sepatutnya.
Aku akhirnya akan berhenti menulis untuk waktu ini. Semua cerita mereka yang di atas, yang singgah di dalam perjalanan hidup ini sengaja ku tulis biar aku sedikit tersedar betapa kini aku hidup dalam dalam sebuah taman yang indah.
Engkau kalau mahu atau mengidam untuk bertanding, engkau harus ada ejen, Sood. Ejen pula haruslah kau lantik orang orang yang bijak. Bijak berkata kata, bijak mempengaruhi, bijak memancing, bijak mengumpan, bijak memerangkap atau juga bijak berbohong. Ejen tak semestinya berduit, Sood. Kau boleh saja suruh Si Derauh Kontraktor atau Mamat Towkey atau Atong Tycoon untuk memberi kau barang seguni duit untuk diberikan pula pada si ejen. Tahulah ejen tu nanti berapa banyak pengagihan yang harus dilakukan, banyak mana harus sedekah sana sini, ikut market atau trend, kalau market menaik, ejen akan naikkan jumlah sedekah, kalau trend menurun, ejen akan adjust mana mana patut, apa yang pasti ejen tahu untuk menopoli market share. Itulah sebabnya ejen perlu bijak. Tahu bagaimana trend market, tahu jumlah market share, tahu ketipung payung dondang sayang, tahu menari di atas pentas jongkang jongket, bukan main balun saja, bukan main sergah atau serbu saja macam kambing nak mengawan, bukan Sood, bukan!.
Cara mahu betul, Sood. Ejen tahu baca riak muka. Ejen tahu dimana kelemahan kelompok sasar, dimana kelebihan mereka pula. Ejen tahu sejarah mereka, ejen tahu nafsu nafsi mereka. Ejen kena risik, ejen kena intai, ejen kena jeling jeling manja. Kalau kelompok sasar balas jelingan dengan memek muka seladang, ejen tahu bagaimana menjinakkan seladang, kalau mereka mengaum macam singa, ejen tahu hulur daging yang sesuai, kalau mereka berkopiah tanpa misai dan janggut sejemput, ejen tahu doa apa untuk digunapakai...ahh, nama pun ejen kan!, ala ala ejen KGB jugak, ala ala Mossad jugak, ala ala FBI jugak, nampak baik tapi hati..huhhhh.. maleh nak cakaplah.
Sood, aku sudah bilang tadi dan aku ingin bilang lagi, aku ulang..aku ingin ingatkan lagi kepada engkau, lantik ejen memang mudah sebab ramai yang mahu, maklumlah bawa duit seguni, kalau ambik segenggam pun tak nampak luaknya tapi kualiti ejen yang amat amat penting bukan kuantitinya. Ada orang lantik ejen terlalu ramai konon untuk segera bertabrakkan keseluruh negara agar dapat memenopoli market share, itu salah!. Salahnya ialah akan ada diantara mereka yang bodoh atau bahlul maka orang orang inilah yang spoilkan everything. Mereka dengan berwenang masuk kemana mana bahagian, serbu dengan wang seguni tanpa ada jeling jeling manja, tanpa ada risik risik, tanpa ada tatabahasa, tanpa santun, tanpa gemalai dan tanpa dondang sayang terus kecipak kecipung, hasilnya....kau sendiri pun dah lihat...musuh ramai Sood. Musuh melihat dan menanti dengan penuh siap siaga. Hanya seorang ejen yang terkantoi makanya periuk belanga, ayam sekuali, daging kari atau beriani gam terbalik ke tanah...punah!
Dah jadi adat Sood, semua orang pakai ejen, ejen yang cerdik akan menaikkan tuan nya, ejen yang bingai akan menterbalikkan tuan nya. Mereka yang tiada ber..ejen pula alamatlah lingkup awal awal lagi, duduk diam diam dalam kandang. Orang tak lihat kau bagus bagaimana sekali pun, kau pejuang bangsa, kau warak, kau lutsinar, orang tak lihat itu semua. Yang orang lihat dan nantikan ialah ejen...ya...ejen. Maka adat baru inilah yang akan melingkupkan kualiti yang di dambakan dan seterusnya melingkupkan partai yang sungguh disayangi ini.
Sood, aku harap kau mengerti. Ejen adalah segala-galanya. Ejen akan mampu membawa kau pergi jauh dan ejen juga akan mampu menterbalikkan semua periuk belangga kau.
Namun Sood, tanpa ejen kau hanyalah sebarang tunggul buruk yang legam dan tak di lihat orang. Demikianlah
Apa kabar kau Mbung, lama sudah tak berjumpa, harap harap kau pergi mengunting rambut kau sendiri, jangan lagi kelihatan seperti ular tedung tengah kembang, kiri kanan rambut menebal tapi kat remorse sendeng ke depan. Aku jauh Mbung, jauh dari kau dan Ongah Milah, jauh dari perigi gaung, jauh dari pohon pohon rumbia yang berdesir daunnya dikala angin melirih, jauh dari lompar rumahmu dan jauh dari redup pohon manggis gadang di tepi pagar. Rindu kat engkau Mbung kerana kau sepupuku, rindu melepak dianjung rumah melihat sebuah sebuah kereta lalu lalang dari lompar, rindu untuk kembali tidur di atas tikar mengkuang dan berbantalkan bantal usangmu, rindu untuk kembali ke tempat dimana engkau mengajar aku merokok, sedut, lepas, uhukk uhukk, gila kau Mbung, banyak benar tembakau cap ayam jantan berkokok kau sumbat dalam lilit rokok daun, mau bunuh aku kah Mbung?
Aku tak ada di sini Mbung, aku di Canada. Aku di negara Amerika Utara, ya Amerika Utara, jauh Mbung, beribu batu, jangan harap kau dapat mengayuh basikal usangmu untuk sampai ke sini ketemu aku. Tidak mungkin. Yang kau perlu tahu cumalah aku mengingati engkau. Engkau sepupuku, Engkau dulu bila saja dapat kerja operator di kilang, akulah orang pertama engkau belanja. Aku ingat Mbung makan rojak di Kedai Mustafa, makan kuih kocok juga, makan kuih boom inti kacang juga, hisap rokok juga, rokok tiga lima, batuk, pening namun happy saja dengan engkau. Engkau tak kedekut, hati kau baik walau kaki kau sedikit tempang. Walaupun engkau tua jauh dari umur aku tapi kita bersahabat, kerana aku ini sepupu kau.
Di sini musim dingin Mbung, dinginnya bukan macam ketika kita memancing di batangair Seberang ketika hujan lebat, dinginnya bukan seperti subuh hari tanpa selimut, dinginnya bukan macam itu, dingin di sini seperti mahu mencabut telinga, dinginnya seperti mahu menghilangkan hidung, aku walaupun tak betah dan rimas namun Mbung aku dulu sudah biasa juga, seperti waktu waktu di Russia dan Korea, seperti dalam kisah kisah pelayaran terdahulu. Aku lebih suka negara kita Mbung, duduk membaning tak berbaju di anjung lompar rumah engkau. Main gitar, nyanyi lagu ebiet G Ade, hisap rokok daun atau rokok kotak cap tiga lima atau lebih baik cap benson warna emas, pening, batuk batuk namun gembira. Engakaulah Mbung satu satunya manusia yang sangat memuji nyanyianku dan petikkan gitarku yang sembrono.
Lagu lagu Ebiet akan saja beralun dengan nyanyian murai atau kelicap. Lagu lagu Ebiet akan saja bagai berhamburan di tabir hutan banat atau akan tertebar bersama awan gemawan di horizon. Lagu lagu Ebiet akan berdesir bersama gemerincing geselan daun daun rumbia. Wahh Mbung, mahu saja aku pulang sekarang.
Mbung, masa berlalu dan tidak mungkin kita dapat mengulangi semula masa masa yang lalu. Masa lalu telah hilang dan ia sekadar wujud dalam kolong ingatan kita yang semakin tua ini. Engkau rasanya semakin jauh dari ku. Dan aku ini semakin jauh dari engkau namun Mbung, engkau sepupuku, kita telah memintal tali tali kenangan yang panjang buat mengikat kita bila usia merangkak jauh. Namun aku tak pernah melupakan kau Mbung kerana engkau sepupuku, kerana engkau antara pelakon penting diatas pentas usia remajaku, kerana engkau mengajar aku menghisap rokok, kerana aku akan mengunting rambutmu bila saja ibumu mengatakan wajahmu mirip ular tedung.
Mbung Salleh, Lupakan kisah cinta lamamu. Keluarlah engkau dari ruang sempit yang kau bina dahulu. Perempuan itu telah beranak pinak, telah hidup rukun damai, telah kaya. Keluar dan jadilah engkau lelaki baru. Keluar dari rungkup sepi dan derita, keluar dari alun cinta tak kesampaian, keluar dari ruang sunyi yang tak berjanji apa apa. Kerana aku sepupumu, kerana aku manusia paling sedih dan meratap, kerana aku manusia paling bersimpati akan nasibmu dan kerana aku sepupumu yang berdoa moga engkau menjadi sepupuku yang akhirnya hidup seperti lazim lelaki ampuh. Sudahlah Mbung.
Aku jauh Mbung dari engkau ketika ini. Aku di Canada dan engkau di kampung, di rumah beranjungkan lompar tempat aku belajar merokok. Namun Mbung, saat saat berseorangan ini aku teringatkan kau, teringatkan nasibmu, kerana engkau sepupuku, kerana engkau bersamaku dulu memintal tali hidup guna mengikat kita menjadi sedemikian akrab.
Di sini musim dingin akan usai bila bila saja, pohon pohon akan berdaun kembali dan landskap putih akan segera digantikan hijau rumput rumput, musim berubah Mbung namun engkau?
Dorai akan selalu ada di simpang depan kedai Raju, maksudnya di bawah pohon ketapang yang daunnya selalu gugur dan menimpa kereta2 yang diparkir di situ. Dorai akan ada dimalam malam tertentu sahaja, dimalam dimana keputusan 4 nombor ekor keluar dan orang orang yang bercita cita tinggi untuk kaya dengan mudah akan mencari keputusan terkini dengan lebih cepat daripada menanti surat khabar esok pagi. Dorai akan melambai lambaikan keputusan 4 nombor ekor tersebut di simpang jalan kepada pelalu lalang. Dia telah memphotokopikan keputusan tersebut dalam 20 keping kertas A4 yang kemudian dipotong menjadi empat bahagian, total dia akan mempunyai 80 keping keputusan sedia untuk dijual. Sekeping harganya dalam 40 sen, jika laku 30 keping bermakna untuk malam itu sahaja dia boleh mendapat dalam rm 12.00.
Jika nasib lebih baik dia boleh memperolehi sehingga rm 25.00. Rm 25.00 akan cukup untuk membelikan 2 helai baju sekolah untuk anaknya Viji.
Mamat Ali Toba juga selalu singgah dan membayar Dorai 30 sen untuk sekeping keputusan. Lama benar bergiat dalam usha untuk kaya cepat ini namun belum ada sinar kejayaan mengintai ruang hari harinya. Pernah dua tiga kali nombor yang dibeli hampir hampir banar untuk mengena seperti contohnya 3 number pertama tepat namun numbor ke 4 nya pula miss semata, patut 8, Mamat tikam 7. Ada juga terbalik sedikit seperti nombor awal 34 yang keluar pula 43. Dulu Mamat frust menonggeng jugak bila nombor motor kriss Ubaidillah yang ranap accident naik first prize setelah sebulan ditikamnya, masuk hari ke 31 dia tak sempat membelinya tup tup numbor tu naik...adeeiiiii, dia melempang pipi dan ubun ubunnya beberapa kali. sesal yang amat.
Kedai tikam nombor ekor di Pekan Puyuh akan seperti bursa saham menjelang kaunter jualan dibuka. Samaada Melayu, Cina, India atau Malbari, sama sajalah mereka, berbondong bondong membeli nombor, berasak asakkan, hok yang betina pun ada, hok yang shemale pun ada. Tidak kira keturunan atau Tuhannya bagaimana, agendanya cuma satu, mahu kayo copek!
Yusuf apam balik, tengahari sudah tiba, membuka dapurnya, menumbuk kacangnya, membuka tin jagung dan memanaskan hot plate. Orang orang kaki nombor nanti akan lapar maka masa itulah apam balik akan jadi pilihan mereka.
Darto juga kadangkala akan sampai, dia akan membawa menteranya dan sampul surat kuning. Dia akan mengalaskan kain kuning juga sebagai tikar tempat dia bersila dan menurun. Dia akan memakai seluar silat yang kelihatan amat lusuh dan menanggalkan bajunya. Apabila bajunya berpisah dari kujur jasadnya maka terpampanglah rantai taring yang barangkali taring harimau atau beruk atau juga babi hutan atau juga beruang, tidak tahulah, apa yang pasti dia akan melilitkan kain kuning juga ke kepalanya dan mula membakar kemenyan. Kemenyan yang sebuku sebuku itu dihancurkan dengan cara mengunyah. Bomoh betullah gamaknya hingga Mamat seringkali juga menghulurkan rm 10.00 untuk numbor2 ramalan Darto namun hampehh!
Mei Wei, Ah Soo yang telah mula menginjak ke usia senja tetap juga tetamu regular kedai tikam nombor ekor Pekan Puyuh. Hasrat yang membara untuk kaya dan duduk dirumah gadang atau melancung ke tanah ibunda di Dalian tanah besar tetap menyala. Setiap pagi ketika dia tercatuk catuk memegang colok dibirai pagar, permohonan dan doa tetap dipanjatkan mohon beroleh kekayaan dan kesihatan yang baik. Suaminya telah bangka amat untuk memberikan semua itu, dia hanya dapat duduk dikerusi malas sambil menimati lagu lagu tionghua lama. Bagai gunung gunung di Dalian terjelma dalam ruangnyatanya. Burung2 bangau yang melayah terbang dan pohon pohon berdaun keriting menjulur kebibir bibir sungai.
Dorai, Mamat, Yusuf, Darto dan Mei Wei adalah insan2 yang berkongsi sepotong mimpi dalam sebuah tidur yang panjang kerana esok hari entahkan terjelma atau cuma malam akan bersambung sambung entah sampai bila. Aku mengongsinya.
Entah dunia apa yang dialami Mahmud semenjak dua menjak ini. Entah dunia apa bermaksud dia seperti tergantung gantung dan kakinya seperti tidak berpijak ditanah. Seperti dia berjalan dan kemudian seperti dia terbang. Seperti dia berpusing pusing seperti puing puing angin, seperti melonjak lonjak atau seperti kakinya tumbuh spring. Seperti juga dia melayah dibawa angin yang berpuput, seperti layang layang yang tidak bertali, dibawa sajalah angin kemana mana hatta ke galaksi yang berbillion batu jauhnya.
Mahmud seperti berhalusinasi saja. Dia terasa tidak mampu mengawal emosinya. Emosinya membiak bertabrakkan bertebaran seperti bulu bulu halus yang dilambungkan ke udara. Emosinya bercampur baur seperti berbagai bagai bunga beraneka warna di taman nan indah. Emosinya turun naik seperti nafas dengus kambing yang mahu mengawan layaknya. Emosinya bersimponggang, berkocakkan seperti lebat hujan jatuh ke dada sungai. Emosinya bagai air jeram yang jatuh kelubuk pusar, emosinya bertelingkah, berjeritan, bersahut sahutan seperti anjing yang menyalak dari bukit ke bukit disempadani gaung, emosinya menyala seperti kilat, petir atau ribut, berpuing puing hingga membawa segala disekelilingnya turut merasakan bahananya.
Mahmud hanya termenung, dia tidak tahu atau dia tidak mampu untuk bangun. Dia hanya membiarkan pesona alam datang berbobot bobot dan membawanya hanyut.
Semua wanita yang memakai tudung merah dan baju putih dan ada diantaranya punya jambul yang tersepit diantara tudung dan kening dan ada juga wanita yang memakai tudung sopan yang berpintal pintal dibelakang dan tak kurang juga yang mengambil hujung tudung belakang menyepit ke belakang ubun ubun malah ada juga yang ringkas sahaja seperti membawa hujung tudung di depan kesebelah kanan bahu dan menyepitnya dengan broache Korea. Namun bila mereka berhimpun beramai ramai di dewan maka berombaklah warna merah dan putih seperti ombak ombak lalang di padang saujana.
Para wanita yang hebat hebat itu didatangkan dari seluruh pelosok negara, sebagai sayap penting Partai Melayu Abid, mereka sangat menyumbang kepada kelansungan kuasa bangsa dan juga kesinambungan kekuatan partai. Mereka bukan lagi wanita wanita tipikal Melayu yang bersoksek soksek di birai pagar atau dibangku bawah pohon nan rendang, bukan lagi, kini mereka muncul sebagai satu sayap terkuat dan terdiri pula daripada golongan2 atasan, mereka intelektual, mereka berpelajaran atau mereka berkedudukkan.
Mereka kini telah keluar dari kepompong tempurung mereka, mereka keluar dari ciri ciri kovensi mereka dan bersuara dengan gagah. Mereka bukan lagi sayap yg melukut atau sayap yang sembrono mengangguk, bukan. Mereka kini adalah wanita baru yang muncul dengan suara baru yang lantang dan dengan wadah politik baru yang mapan.
Maka kerana wajah baru itu akhirnya wanita wanita bertudung merah berbaju kurung putih ini akhirnya terikut ikut akan tabiat para jantan sesama Partai. Kerana kuasa yang hanya beberapa bulan sahaja lagi itu mereka berkelibut, berbocah, bersilat gayung untuk merebutnya. Lupalah mereka akan peristiwa muka hitam dalam pilihanraya yang lalu. Lupalah mereka akan nasib bangsa yang terhakis, Lupalah mereka akan hak hak yang kian tergadai, Lupalah mereka akan segala jurai airmata. Kini yang mereka ingat ialah...lawan.
Bukan wanita sahaja yang telah dibutakan hati oleh kuasa dan pangkat dalam partai malah para jantannya juga tak kurang hebatnya. Baik wanita atau jantan sama sajalah. Hamburkan duit, dulu boleh dalam RM 200 atau kasut Bailey sepasang tapi kini tidak lagi. Ada RM 10 K letak. Nama naik. Kalau tak ada duit, pasang impian pun jangan. Jauh benar perjalannanya. Jauh, sayup sayup.
Bedah termenung sahaja setelah Kak Zat mahu berlawan. Kak Pidah wanita besi itu memang seperti semua orang tahu, kalau jantannya dulu Mahathir keras kepala, wanitanya pula dia. Maka Bedah arif benar apa kesannya.
Bedah menulis puisi pendek di dalam buku 3 limanya.
Kak Zat atau Kak Pidah Melayu kan jatuh ke lembah menanti musim musim rebah Melayu tak akan berubah.
Bedah Kg Sira Hj Sukun November yang lara.
Tamby tidak kemana mana. Dia hanya tidak lagi menjual roti. Dia kini membuka warung surat khabar di kota. Dia lari sebenarnya. Lari dari kampung tempat dia menjual roti selama 10 tahun itu.
Beginilah cerita sebenarnya:
Pada satu petang lama dahulu, dalam jam lima setengah, lebih kurang. Ahmad, laki Senah anak Haji Boleng nampak Tamby berhenti di jambatan Simpang Empat terhoyong hoyang berlari lari anak menuju ke hujung dekat ban air sawah Pak Mud Hitam. Ahmad menyorok di belakang pembetung lama mengintai apa pulak halnya dengan Tamby. Ahmad nampak jelas Tamby mendukung seekor anak anjing putih dan bintik bintik hitam, menyorokkanya di dalam kain putihnya, berlari lari anak juga naik semula ke jambatan. Sampai sahaja dia ke basikalnya lalu anak anjing comel itu dimasukkan ke dalam tong rotinya berhimpit himpit dengan roti kaya, besen kaya, roti kacang merah, roti paund, roti kentang manis, roti bijan, roti keras dan maruku campurnya. Benar Ahmad nampak dengan mata kepalanya sendiri.
Heboh satu Kampung Mentimun akan perihal Tamby memasukkan anak anjing comel putih bintik hitam ini ke dalam tong rotinya. Semua marah, kesal, terkilan akan perilaku Tamby. Sekian lama Tamby disayangi, dilayan baik, diajak kenduri, disedekah daging kambing, dibeli rotinya, diberi buah buahan bila musim buah melebat, diberi tempat berteduh bila hujan turun lebat seperti air besen tercurah namun inikah balasan Tamby, tak sensitifkah ia dengan orang orang jajahan Kg Lokan, Mentimun, Sira Hj Kani dan lain2 kg? tak hormatkah dia kepada orang2 yg selama ini melayan dia seperti anak kampung sendiri. Sungguh dia ni tak mengenang budi. Dibantu dengan segala pertolongan namun Tamby tidak nampak, tidak bersyukur, dia alpa, lalai.
Lalu kini dia tidak dapat lagi berniaga di jajahan ini. Semua orang sudah tahu hal buruk tersebut. Dia harus pergi ke Kota. Sekali kau buat perilaku sebegini semua orang sudah hilang kepercayaan.
Tamby....belajarlah bersyukur..belajarlah bersyukur.
Tamby tidak lagi masuk ke kampung kampung. Tidak lagi penduduk terdengar akan bunyi pet pot pet pot dari depan handle basikalnya. Tidak ada lagi roti kaya, roti paun, roti pintal, roti bijan, roti kacang merah, roti keras dan maruku campur. Tidak ada lagi susuk badannya yang tipikal susuk dari daerah selatan India itu. Baju putihnya, sarung putihnya, tuala good morningnya, pisau pemotong rotinya, besen kayanya sudah tiada lagi. Tiada lagi wajah periang tetapi bermisai tebal itu. Setiap jam tiga petang, tiada lagi terompet pot pet dari basikal Tamby lagi. Tiada lagi budak budak berlari riang menunggu Tamby didepan pintu pagar rumah. Tiada lagi roti perisa kaya yang lazat.....tiada lagi.
Ramai orang bilang Tamby sudah pulang ke India, jatuh sakit dan kemudian mati disana. Ada juga kata Tamby sudah berhijrah ke negeri lain. Ada juga memberitahu Tamby kini sudah menjadi driver teksi di Dubai. Tidak tahu mana yang betul. Yang pasti Tamby sudah tiada di sini.
Kata George, dulu sekitar tahun 1998, engkau akan mengambil masa 6 hari untuk perjalanan dari Moscow ke Vladivostok mengunakan Trans-Siberian Railroad, untuk sekarang ini, aku tidak tahu. Kata George lagi di atas keretapi disepanjang perjalanan akan ada dua tingkap, tingkap yang pertama ialah tingkap physical dimana engkau akan melihat hutan hutan yang longgar,gunung gunung yang sunyi dan summer cottage yang bertabrakkan seulas seulas dan tingkap yang kedua pula ialah tingkap emosi, di mana di tingkap ini kita akan terkenang semula betapa sukarnya tahanan tahanan perang membina blok demi blok kayu kayu rail dengan keadaan yang amat dingin, dengan makanan dan air minuman yang sangat minimum dan dengan keringat dan lelah dan dengan penyakit yang akhirnya meragut nyawa mereka, ketika hampir mati mereka melihat rail yang amat panjang itu, ia tiada noktah, Vladivostok entah benua asing mana untuk digapai.
George kemudian menghilang disekitar Pasar Kedai Payang, perjalanan yang singkat dalam bot penambang dari Seberang Takir memunculkan kembali, mengujakan kembali impianku kepada perjalanan Trans-Siberian Railroad. Jika panjang umur tentunya akan sampai waktunya untuk aku melalui perjalanan itu dan melihat dari kedua dua tingkap keretapi seperti yang diceritakan George.

Basang dan Sarjid dulu berkayuh dengan sampan kecil meredah gelombang Laut Sulu untuk sampai ke Mabul dan memulakan hidup yang baru. Seperti kaum Suluk yang lain, mereka berhijrah untuk penghidupan yang lebih baik. Selain tekanan tekanan Regime Manila ke atas penduduk Selatan, kebimbangan wujud jika tertangkap atas tuduhan yang rambang oleh pihak kerajaan sebagai pemberontak atau juga sebaliknya, jika Nur Misuari atau kelompok kelompak pengasas Abu Sayyaf menuduhnya sebagai agen kerajaan maka bala jugalah yang menjadi tetamu. Maka pada satu pagi dimusim laut tenang dan angin yang memukul dada laut tidak keterlaluan, mereka berkayuh dengan segendong makanan dan airmata ibu jatuh bercantum dengan riak kecil di jetty, berhari hari mengayuh akhirnya ketemu juga burung burung laut dan balam balam Kapalai dan Mabul muncul sedikit demi sedikit, gejolak gembira muncul ketika tangki air minuman sudah kering dan makanan sudah tiada.
Itu lama dahulu, puluhan tahun lampau. Sarjid kini sudah menjadi Divemaster dan Basang menjadi assistantnya. Setiap hari mereka akan ketemu penyelam penyelam dari seluruh dunia yang datang ke Mabul dan Sipadan untuk ketemu karang karang dan penghuninya yang lain seperti penyu yang jinak, Bumphead fish, parrot fish, Siakap yang besar, nudibranch yang pelbagai dan segala macam ikan ikan yang lain yang begitu mempersonakan.
Sarjid amat berpengalaman dengan dasar Mabul, Kapalai dan Sipadan. Setiap lekuk dasar, setiap lentuk arus, setiap ketiting ombak, setiap libas angin dia tahu. Katanya kepadaku,” aku ini hanya belum tumbuh sirip untuk terus menjadi ikan, itu sahaja bezanya antara aku dan ikan, kalau sirip sudah ada, tidak perlu lagi nitrox ini”.
Kata Sarjid lagi setiap tahun ada saja kemalangan berlaku di Sipadan, tahun lepas ada dua penyelam yang terbunuh selepas gagal keluar dari cave, salah seorang timbul selepas beberapa hari dan seorang lagi terus tidak timbul, kemanalah dia?.
Sipadan amat indah hingga setiap penyelam terleka, keindahan itu terbayang beberapa hari setiap kali ketika ingin memejamkan mata, karang karang dan ikan ikan itu muncul, keindahan itu terbawa bawa beberapa hari. Beberapa point selaman juga mempunyai arus dasar yang kuat seperti salahsatunya di Barracuda Point, haruslah berhati hati namun jika kita dengan Sarjid, kebimbangan itu sedikit reda kerana dia pembaca arus yang mantap.
Maka selepas puluhan tahun hidup di bumi bertuah Malaysia ini, maka Basang dan Sarjid telahpun berkahwin dan mempunyai anak anak yang comel, Mabul dan kelutsinaran lautnya bagai tanah air sendiri, disinilah kasih tertumpah, Mindanao hanyalah kenangan kenangan lampau yang sukar.
“Parti Cap Bulan Mengambang ini telah hilang rohnya” kata Stopa. “Parti hanya gila berpolitik, hanya gila kuasa, hanya gila untuk memerintah sedangkan penghayatan untuk Islam itu sendiri tinggal cuma pada nama”. Dia menambah. “kalaupun ada kata kata tentang Islam itu timbul hanyalah datang dari ketua ketua mereka yang baik dan ulama itu, lain tidak ada, yang lain yang ada cuma mengutuk, mencerca dan menyalahkan orang lain, mereka setiap hari menghebahkan kerisauan tentang kerosakkan akhlak para remaja tetapi apa yang mereka lakukan untuk menghentikan kerosakkan itu selain mencerca kerajaan atas fenomena yang berlaku. Adakah mereka membuat khemah khemah ibadat remaja?, kursus kursus penghayatan Islam untuk remaja?, apakah mereka mengadakan kem kem penghayatan solat untuk remaja?, apakah mereka mempunyai mauduk mauduk yang tuntas untuk di implementasikan sebagai pendorong untuk remaja remaja kembali kepada Islam? Tidak ada!, nil”. Stopa kelihatan begitu marah. Tidak pernah dia berkata begitu lancang terhadap parti yang sekian lama di anutinya itu, tidak pernah. Apakah memang ada kebenaran dari kata kata Stopa itu atau ada kebarangkalian Stopa telah berpaling tadah, dibayar dengan sejumlah ringgit untuk kembali dengan kata kata yang begitu terpusing dari anutannya selama ini. Atau apakah Stopa telah tersedar dengan sendirinya. Atau adakah Stopa tidak terpilih sebagai calun parti Cap Bulan Mengambang pada pilihanraya yang lalu? Namun kata Ibrahim teksi, walau apapun kebarangkalian yang wujud, kata kata Stopa itu perlulah difikirkan semula, barangkali ada betulnya.
Dia telah keluar parti. Dia itu yang dimaksudkan Musa sebagai duri dalam daging atau kata Mat Som Pendek, bacteria dalam daging atau kata Malik Pom Pom, dia sebagai orang tua yang lalok dan nyanyuk atau kata Mail Tarum, dia si mamai yang tersiksa hasil perbuatannya yang amat menjijikkan ketika dia masih di dalam kuasa.
Mahmud Degar bilang selama berpuluh tahun berkuasa dia meninggalkan hanyir yang terlalu busuk…wekkkkkk, hinggalah Dolah yang jujur begitu getir membasuh segala hanyir itu, basuh sedikit sedikit, cuci sedikit sedikit, “heyy Dollah!!” jerkah Pakatan Konyol, “cepat sedikit buat kerja tu”, yang hitam putihkan, yang kuning putihkan, yang coklat, putihkan, yang biru,putihkan, yang kelabu tahi anjing pun putihkan juga.
Kata Dollah semula “ tidak semudah itu wahai Pakatan Konyol, kekotoran dan kebusukkan atau kehanyiran itu terlalu pekat dan kuat, aku harus berhati hati seperti ibarat menarik rambut di dalam tepung, kehanyiran yang ditinggalkan oleh lelaki mamai yang keluar parti itu sangat likat hingga aku juga terkena hanyir itu, kebusukkan yang ditinggalkan oleh lelaki lalok dan nyayuk itu terlalu busuk hingga aku juga terkena busuk itu…wekkkk, tidak mudah mengharumkannya dalam sekelip mata walaupun dibubuh dengan sabun Daya sekalipun. Tidak mudah. Engkau Pakatan Konyol boleh bilang apapun kerana engkau hanya boleh bercakap, bercakap dan bercakap tetapi engkau tidak ditempat aku sebagai pelaksana!”.
Pakatan Konyol terdiam. Penasihat Pakatan Konyol yang bukan MP itu dulu berulang alik ke negeri negeri belah timur untuk berunding dengan seorang dua orang orang Kadazan atau Dusun atau KadazanDusun atau juga Bajau dan lain lain kalau kalau hendak beralih angin masuk ke Pakatan Konyol tapi kemudian dikatakan orang yang lelaki dahulunya disanjung sebagai sangat berkarisma kini cuba mengamalkan perbuatan tidak bermoral pula lalu dia dengan karismanya menempelak “ siapa parti Melayu Abid untuk berkata tentang soal moral sedang dia sendiri tidak bermoral”. Disampuk pula oleh Mamat Cik Long “ tidak kira pihak yang mempersoalkan isu bermoral atau tidak namun jika kamu melakukan perbuatan tidak bermoral, perbuatan itu tetap tidak bermoral!!”.
Kata Budin Kembong “ kini sedikit sedikit aku mula jelak dengan Pakatan Konyol ini, lelaki yang dulunya berkarisma itu tidak habis habis memperkatakan tentang beliau masih menjunjung ketuanan Melayu namun beranikah kau percaya pada Pakatan Konyol itu akan mampu memperjuangan nasib Melayu atau maksud aku Pakatan Konyol itulah nanti yang akan menghakis sedikit sedikit kelebihan Melayu yang tersisa, lelaki yang dulunya berkarisma itu nampaknya bersendirian dalam isu ketuanan Melayu sedangkan konco konconya tidak sabar sabar untuk melahap dan memusnahkan sisa sisa kelebihan Melayu yang tinggal. Aku mula bimbang!” Lain benar bunyi cakap Budin Kembong kali ini. Dulu dialah yang beriya iya dibarisan hadapan reformasi, bangga untuk menunjukkan matanya yang merah kesan akibat penyembur berkimia FRU. Dialah yang melaungkan reformasi hingga berhari hari suaranya tidak keluar yang kalau keluar pun sudah berbunyi seperti itik angsa tercekik. Dialah lelaki yang membalut kepalanya dengan perkataan reformasi, dialah lelaki yang diseret FRU hingga ke dalam trak, dialah lelaki yang panas dan kekar, namun kini apakah sudah jadi, dimana Budin Kembong yang dulu?. Dimanakah?.
|