|
basa basi di sudut september yang sunyi
Anekdot 1 Ketika aku menulis ini hujan turun mencurah curah, musim hujan jatuh dari langit telah datang semula dan lanskap alam mula bertukar menjadi basah, dingin dan termanggu. Begitu lama ku rasakan tidak duduk dimeja tulisku yang kecil dan menghadap jendela ini, terasa begitu lama lampu tulis tidak di hidupkan, begitu lama membiarkan fhadail amal duduk kesejukkan untuk melayan habuk habuk yang gundah gulana, begitu lama tidak bercumbu dengan puisi puisi sendiri ( kalau wajar di panggil puisi), semuanya bagai telah begitu lama di tinggalkan, terasa lama mungkin oleh kerana kerinduan untuk bersendiri, menulis dan mewarna sajak, melakar rintih atau mencatat satu satu perkataan yang sentiasa meminta kebenaran kerana kehidupan yang laju selalunya membenamkan saja kebenaran kerana kebenaran adalah barangkali beban yang menyakitkan ladam kaki. Menyoal benar salah sesuatu yang berlansung adalah tuntutan yang tak akan habis, kerana kebobrokkan tidak harus di biarkan santai santai menghuni jalan yang barangkali masih panjang di hadapan. Kalau pun telah wujud kebencian kepada diri sendiri kerana asyik menyoal seolah semua orang memegang salah, diri sendiri sahaja yang betul, aku tidak peduli, harus benci kepada diri sendiri sekali sekala tidak apa kerana itu juga proses muhasabah, dan yang berlaku selalunya akulah yang hilang kebenaran, di panah dengan amarah dan benci, hingga lewat satu tulisan ku yang terdahulu, seolah aku mendoakan orang untuk mati dan di bakar api neraka yang menyala-nyala, demikian aku ini kadangkala hilang, di hukum oleh kononnya aku ini benar belaka! Adakalanya bagus saja aku menulis tentang cinta, tentang rindu, tentang pelayaranku yang terdahulu. Bagus saja bercerita tentang ombak dan camar, tentang desa tercinta barangkali, tentang ibu yang menunggu di birai jendela rumah pusaka, itu semua tidak akan menerbitkan amarah selain rasa syahdu atau kasih yang tinggi melangit, tetapi mampukah aku hanya mendiamkan rasa gundah, meyimpan di dalam album untuk hanya sekadar boleh ditatap? Sedangkan kelucahan politik berlansung hanya untuk di telan kemudian disungutkan? Barangkali itu akan menjadi mustahil!. Malam yang mampir ke jendela Musim hujan datang lewat kesunyian September Ketika aku kembali ke dalam diri memerhati Denyut jantungku dan alir darahku yg masih mengalir Denyut hidup dan langkah yang culas dan kelelahan Jalan basah dan bayang yang herot jatuh ke kolong alpa Langkah menjadi pongah dan wujud diri disoal sangsi Benang hidup nan kusut tak bisa di urai Resah berpesta di pentas tak usai usai. Musim hujan datang lewat kesunyian September Dan yang ku ketemukan hanya Malam yang mampir ke jendela. Loppiess/sept2004 Anekdot 2 Para hubaya baru saja usai berkenduri besar berlaukkan udang harimau 3000 kg, beribu kg ayam, daging lembu dan sayur sayur terpilih. Kerana barangkali makanan yg enak enak ada hubaya terlena ketika hubaya yg lain berucap berapi api bagai mahu membakar siling dewan. Hubaya hubaya wanita atau perempuan muda begitu juga dengan lelaki muda telahpun keluar dengan deklarasi tidak mahu petualang atau penderhaka di terima kembali ke parti para hubaya. Hubaya hubaya mentah itu tidak pula memperdulikan cik nab perempuan melayu awal 40’an di kampungku yang menjual getah sekerap sebaldi untuk sekilo beras dan setengah kilo tepung, untuk 80 sen minyak kelapa dan 50 sen bawang, untuk 20 sen garam dan 3 biji panadol. Pak cik isa memang hebat, lelaki itu telah mentadbir n.s puluhan tahun ( hampir sama dgn tun maha memerintah). Dia menang undi terbanyak. Siapakah menyangka lelaki kecil itu menang dengan sebegitu besar undi. Dia tak akan berjumpa sapa sapa di padang masyar kelak, tak tahu kah pak cik isa yang di padang masyar nanti, tangan, kaki, mata, telinga, dada dan semua sub system badan kita boleh berkata kata? Pak cik ali tak kurang hebat, mungkin barangkali dia hensome, maksud saya misainya. Ketokohannya bagi saya hanya mencantas semua kontarktor2 bumiputra di melaka yg condong ke parti lawan. Majlis kenduri seperti biasa tamat, riuh gerai menjual segalamacam barang pun berakhir, retorik retorik lama di ulang dalam bentuk yang baru. Anekdot3 harga petrol naik lagi, bermakna kerajaan berjimat beratus juta dari membelanjakan duit untuk subsidynya. apalah sangat 5 sen, satu sms pun dah lebih dari itu! dari 5 sen itu si peniaga mula mengira kenaikan kos perniagaan, semuanya harus di pindahkan kepada pengguna, kepada posmen atau kerani , kepada amah hospital dan penjaga gate keretapi, mana pernah pak menteri tahu tentang kos minyak keretanya atau harga sekilo tepung. cikgu dol pun mengira semula kos ke sekolah dengan berkereta, kemudian ambil keputusan untuk mengunakan motosikal saja. sampai di simpang lori yang rosak breknya bertemu motor cikgu. kalaulah minyak tak naik 5 sen, cikgu dol akan masih kelihatan berjogging setiap petang di taman. tanpa sedar ubat gigi naik 20 sen, cili kering naik 15 sen, biskut merry naik 20 sen, ayam naik 60 sen, kacang buncit sekilo naik 30 sen, ubat nyamuk cap ikan emas naik 10 sen, mentol lampu naik 30 sen..semuanya naik, ramlan si mekanik gred tukang class 2 tiba tiba merasakan bagaimana ya, setiap bulan beli barang hanya 60 ringgit saja tetapi la ni dah 90 ringgit. gaji naik 5 ringgit untuk tahun nii...hidup semakin susah tahun demi tahun rupa rupanya. terima kasih kerajaan! naikkan saja apa apa yang kamu inginkan, penuhkan tuntutan para peniaga yang haloba itu. kayakan mereka dan susahkan kami, kami akan tetap mengundi kamu wahai pak menteri. kami udah tidak bisa berfikir kerana kamu menzikirkan kami lewat muka televisyen dan corong radio......................terima kasih malaysia! anekdot 4 kalau juga aku tidak berhenti menulis di sini dikala ini maka akan lebih semboronolah aku memaki atau menuduh semua orang pencacai yang culas. berhenti sajalah dulu atau kemudian bila marah telah reda tulislah semula cerita lain seperti bunga bunga yang harum di taman atau kasih sayang yang besar yang memandu hidup. demikian maafkan aku lewat tulisan ini kerana aku mengasihi semua tidak seperti yang engkau sangka. selamat malam.
last modified Oct 1, 2004 at 9:54
Selamat hari ulang tahun kelahiran loppiess, maaf, terlambat lebih dua bulan. Mudah mudahan dirimu sentiasa dalam keberkatan Allah, Amiin. (3 hari selepas tarikh lahir loppiess, tarikh lahir ayah hs )
Tulislah loppiess apa yang hati ingin tuliskan biar apa sekalipun ceritanya. Insya Allah, akan ada yang pasti suka membacanya.
-raja adil raja disembah,raja zalim raja disanggah.. -Isa mengatakan dia tidak terkejut dengan keputusan pemilihan-dalam nada riaknya..Menteri penerangan melancarkan serangan mengatakan teruknya politik wang di pemilihan lepas-dia kalah dek kerana politik wang... -Emas hitam yang kian berharga... -Manusia yang kadang-kadang terlalu menyakitkan..Perlu alri kepada alam dan perasaan untuk seketika tenang itu kita kecapi...
loppiess, orang seperti saya memerlukan seorang loppiess untuk menuliskan apa yang tidak tertulis oleh saya. rasa amarah dipendam begitu sahaja atau kadang-kadang disusuli dgn berbakul-bakul makian yang hanya akan menambah dosa.
saya tidak kisah kalau loppiess mahu bercerita tentang kasih sayang mahu pun harum bunga di taman kerana saya tahu setiap cerita kasih sayang dan harum bunga loppiess ada makna yg tersirat dan bukan hanya omong kosong.
dan yg paling saya banggakan, bila loppiess mengakui kesalahan sendiri. benar, kita selalu ingat bahawa kita sahaja yg benar sedangkan kita itu bukan manusia sempurna.
kalau datang ke seremban, jgn lupa jeling pada monumen agung tinggalan pakcik isa sebelum berpindah ke kuala lumpur. tidak jauh letaknya, hanya di sebelah seremban parade berdekatan dgn KTM. itu mercu tanda pakcik isa. kebebasan beragama katanya...
|