home
login::signup
we::blog

tsunami, adik long dan pak mud nya.

adik long, pagi ini pak mud punya sedikit waktu untuk duduk duduk di sini sementara pagi masih muda. lega rasanya dapat duduk dengan adik long sambil berbual selepas solat subuh dan sempat berjogging di taman. pagi yang muda ini tentunya didatangi juga matahari yang sinarnya panas panas suam hinggap di ubun ubun dan kulit lengan, betapa selesa kita dapat bersarapan, minum susu dan duduk duduk di bangku ini sambil berbual menunggu pagi dewasa dan kita menjadi sibuk. 
 
bagai mimpi saja bagi pak mud bilamana di luar sana, di acheh, di phuket, di sri langka, di tamil naidu dan lain lain kematian begitu besar akibat gelora tsunami. seperti yang pak mud tulis di dalam blog kawan, mayat yang beribu itu berselerak, berapungan bagai sampah, ohh demikian tragisnya, benar benar bagai mimpi sehingga pak mud sering bertanya kepada diri pak mud benarkah ini semua? 
 
pak mud mengetuk ubun ubun dan muka pak mud, benarkah ini..benarkah ini..benarkah ini? begitulah kebenaran yang begitu sukar untuk pak mud telan. Menelan kebenaran itu seperti bagai mahu menelan ubat serbuk cap kaki tiga yang diberikan ayah pak mud ketika kecil kecil dulu jika terkana selsema. 
 
Tuhan, begini dasyat bila hanya sedikit yang Engkau tunjukkan. bagaimanakah lagi jika Engkau tunjukkan sedikit lebih dari itu? 
 
adik long harus ingat yang betapa bahagia adik long hidup sekarang ini seperti pak mud juga. kita boleh bersembang sembang sambil berasa kasihan kepada mereka di luar sana. boleh bersarapan dan minum susu, duduk duduk di bangku ini sambil menghirup udara bersih dan menjerat sinar lembut mentari di kulit lengan. harus merasa tersangat bertuah kerana itu semua, kerana rakan rakan adik long di acheh sekarang ini tengah meratap kerana hilang ayah atau ibu atau juga hilang tantenya atau juga tengah begitu lapar atau sakit dan tidak punya ubat. beribu ribu mayat masih terkujur berbaris kerana tidak cukup jentolak untuk mengali lubang buat ditanam dan istirehat di dalam lahatnya. Di sana juga mungkin rakan sebaya adik long tengah kedinginan oleh angin laut atau hujan yang turun, mereka bukan saja hilang mainan malah baju dan selimut, barangkali mereka sedang mengigil..sejukkk. Entah berapa hari mungkin mereka tidak bersolat, sejadah sudah hilang, mushollah mungkin masih basah, tidak dapat mengaji muqaddam kerana muqaddam juga sudah basah dan terkoyak. 
 
pensel colour hilang, buku cerita hilang, bantal busuk hilang, gelang tangan hilang, basikal hilang, semua baju hilang, kasut hilang , pak mud rasa mereka sedikit sedikit kehilangan jiwa mereka, kerana mana mungkin dalam usia sebaya adik long ini mereka mampu kehilangan semua itu termasuk ayah dan ibu? 
 
mentari yang mengucup lengan adik long sekarang ini adalah mentari yang sama mengucup tangan mereka, wahh kita berkongsi alam ini dengan mereka kenapa tidak kita kongsi sedikit duka dan keresahan, ayuh adik long, pergi cari baju adik long yang mama simpan sebab dah ketat tu berikan pada pak mud, kita boleh kumpul dan beri pada kawan kawan di acheh, pak mud akan sediakan kotak kotak. adik long kesian dengan mereka kan? 
 
adik long, pak mud ada kerja nak dilakukan, petang ini pak mud tak akan ke driving range walaupun pak mud ada driver callaway baru. hati pak mud masih bergetar dan ia begitu kosong. 
 
pak mud pergi dulu, adik long harus sentiasa berfikir betapa Tuhan memberikan kita segala galanya tak henti henti dan Tuhan tidak minta apa apa selain harus mengikut suruhannya dan meninggalkan larangannya.  
 
cakap pada mama, pak mud tengahari makan di luar.

last modified Dec 29, 2004 at 12:20



[ add a comment ]

kerap benar kejadian yang meruntun jiwa lewat kebelakangan ini, dari derita Tak Bai ke Tsunami yg menggegarkan dunia.Barangkali ada petanda kecil untuk peristiwa yg lebih " Besar " ( mungkin saya cuba pergi lebih jauh)..wallahuallam.

132827 | posted by jangnoes on December 30, 2004 at 18:20

baru semalam saya memulakan kerja setelah diberi cuti sakit oleh doktor. apa sangatlah demam panas yang saya hadapi berbanding kehilangan nyawa yang tragis di 11 negara terlibat. hanya tempias dan saya jadi demam terperanjat, sungguh jelas saya tidak bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi bencana ini.

mahu disorokkan kepala ini di bawah bantal tetapi tangan tetap mencapai remote control menukar siaran tv kepada siaran berita daripada bbc ke cnn ke berita tempatan sepanjang malam.

walau segerobok pakaian saya dermakan, ia tidak dapat melenyapkan ingatan pada mayat-mayat yang bertaburan yang ditanam menggunakan jentolak. tiada pengebumian yang sempurna untuk mangsa-mangsa yang terkorban dan tiada kubur untuk dilawati oleh ahli keluarga yang tinggal. ngilu, pedih...

132713 | posted by sitinesta on December 29, 2004 at 17:48