|
Imam Dol
Hj Udin imam Kg Pelam Sebatang kini jelas sudah tidak mampu lagi berdiri di mimbar. sudah amat tua, ketuaan itu diceritakan oleh rambutnya yang memutih, kedut mukanya atau lihat saja ketika dia terbatuk batuk, lembir kulit di bawah dagunya bergoyang ke kiri dan ke kanan seperti rambu merah ayam jantan. Bukan setahun dua Hj Udin berdiri di mimbar masjid Kg Pelam Sebatang, kalau nak di kira dengan jari, harus jari kaki pun turut di campur, Hj Udin tahu siapa paling liat datang ke masjid, tak usah menyorok, Hj Udin tahu siapa yang tak pandai baca al fatihah bila nak akad nikah, Hj Udin tahu siapa yang mati mulutnya berbuih sehingga ke liang lahat. Semua Hj Udin tahu, siapa yang laki bini porak peranda angkara janda Piah, Hj Udin tahu, hinggakan siapa tonggang arak dan di papah jantan kehulu kehilir di kolumpo tapi balik kampung pakai mini telekung pun Hj Udin tahu, usah...usah nak sembunyi. Tapi kini Hj Udin tiada lagi berdiri di mimbar, bukan saja berdiri di mimbar, bahkan berdiri di kolong pintu masjid pun dia tidak mampu lagi, sebelah badannya telah diam tidak mahu lagi bergerak, kata dressar Maujud, kelompok elektronik otaknya telah habis battery, kelompok yang mewakili sebelah kiri jalur wayar wayarnya, wayar wayar yang bertugas untuk menghidupkan suis tangan, suis jari, suis kaki, suis lutut dan entah suis apa lagi, Hjh Zabedah isteri Hj Udin hanya menganguk ketika Maulud becok memberitahu, Hjh Zabedah tahu yang Maujud kaki bercerita, Hjh Zabedah hanya ambil sedikit, lain lain hanya kelentong Maujud. Semenjak anak Maujud yang kedua lahir bermulut sumbing, orang orang Kg Pelam Sebatang mula marah marah pada Maujud kerana engkar untuk menghentikan tabiat kaki pancingnya itu. Maujud berteriak, itu semua mahu Tuhan, orang kampung berbisik anak Maujud kena kenan ikan. Kerana lamanya Hj Udin menguasai mimbar hingga tidak cukup jari tangan mengira tahunnya maka orang lain, samaada Bilal Dol atau Siak Deraman tidak lagi memasang angan angan untuk berdiri di mimbar. Lalu bila tiba tiba saja menjelang aidil adha Hj Udin di beritakan tersentak sebelah badan ketika mencabut ubi untuk di beri makan lembu korban, Bilal Dol dan Siak Deraman kecut perut, siapa nak naik kemimbar ketika solat sunat aidil adha?, jangan buat gila tuh beratus jemaah, ada tok kadi, ada budak belajar di Mesir, ada pegawai satu di Jabatan Agama, ada manager besar, ada budak sekolah pondok hafaz qur'an, kalau setakat jemaahnya seperti Acu Luncai atau Manaf Bujang Telajak saja tidak apa, ini di belakang sana guru hebat hebat belaka. Bilal Dol memandang wajah Siak Deraman, Siak Deraman memandang wajah Bilal Dol, bila saja mata Siak Deraman hinggap ke pipi Bilal Dol, bingkas Bilal Dol memandang ke bukit bukit di sebelah tanah perkuburan, mahu tidak mahu, Bilal Dol harus ke depan, tidak ada tapi lagi. Pagi aidil adha sungguh cerah, matahari timbul dan menyapu seluruh daerah Kg Pelam Sebatang. Pohon nyiur yang tinggi, pohon pohon getah dan kelapa sawit, pohon pohon durian dan pohon pohon manggis dan rambutan memberi hijau pada tanah subur. Sinar matahari terpantul dari titis embun dan dari hujung rumput rumput. Suara takbir bergema, pujian pujian pada kebesaran Allah bertebaran dari lembah sawah ke puncak puncak bukit, ada kesayuan dan rintih pada mereka yang tiada, ada kasih dan syahdu mengisi pagi dan kalbu. Bilal Dol menghidupkan enjin motosikal modenasnya, fikirannya hanya di mimbar, tentang para jemaah yang terbeliak mengutuknya, tentang heboh cerita "imam Dol" terkedu di mimbar. tentang imam Dol baca khutbah seperti Karam singh Walia, cerita tentang imam dol ke bilik air ketika membaca kutbah.......sedar sedar imam dol telah berdiri di kolong pintu masjid. Usai usai solat dua rakaat imam Dol pun membaca kutbahnya. ketika usai khutbah solat aidil adha aku pun bergegas ke mimbar bertemu imam Dol, ketika bersalam aku mencium tangannya, "uztaz, uztaz melakukannya dengan begitu hebat", selesailah ujian pertama imam Dol, semua jemaah terkedu betapa hebatnya imam Dol, bayang Hj Udin kian hilang. Aku masih ingat ketika mengaji bergurukan imam Dol, jika ada perlawanan bola maka mengaji malam itu di batalkan.
last modified Feb 3, 2005 at 13:13
unsunghero, sama-sama, tq atas tepukkan tuan.
mengapa ya, cerita menarik sebegini selalu singkat penceritaannya? barangkali mengikut lumrah bahawa orang yang baik-baik itu selalu singkat usianya...terima kasih untuk cerita singkat yang menarik dan penuh teladan
|