home
login::signup
we::blog

Howe, keretapi dan tiong kerbau.

Wak Howe tercegat memerhatikan para kuli mencuci keretapi , jangan sampai ada yang curi tulang, tidur di kerusi gerabak atau sekadar berjalan lenggang lenggok sambil membiarkan mob yang basah mengekori buntutnya. Nanti jam 4:30 pagi akan ada badut dari depoh dengan muka kusam dan menyapu tahi mata melihat lihat ke dalam gerabak, maka dengarlah pekikkannya jika lantai gerabak kelihatan kotor atau masih ada minyak rambut penumpang melekat di tingkap cermin pintu. Selalunya yang buat hal atau paling pemalas ialah Rostam, Yusof Kandar dan Boestamam Tobing. 
 
Jika di hitung ada semua tiga puluh lapan gerabak yang harus di cuci sebelum jam lima pagi. Lantainya harus di sapu dan kemudian di mob dengan sabun cap kuda belang dan kemudian di bilas semula dengan air bersih, kerusi gerabak yang bewarna merah dan ada antaranya hijau itu harus di lap dengan sabun juga kemudian dikeringkan dengan berhati hati. Di antara kerusi gerabak selang sebaris ada tiang besi putih bersambung di palang atas yang penuh tali pemegang untuk di pegang penumpang kala bersesak sesak di waktu puncak, itu pun harus di lap dengan sabun kemudian di keringkan. Cermin tingkap dan cermin pintu mesti di lap juga, kalau tidak nanti di kala matahari bersinar maka akan kelihatanlah tompok tompok hasil minyak rambut, calit calit gincu, reja reja selsema yang keluar dari bersin atau juga kesan jari jari montok yang terpalit ais kerim. 
 
Siling juga harus di bersihkan, jangan sampai si badut yang datang jam 4:30 pagi terkesan palit hitam, maka akan di sapunya dengan jarinya yang panjang dan seruas seruas itu ke merata tempat, awas jika jarinya turut hitam, wahh bisa terjaga gerombol tiong kerbau yang tidur di palang atap depoh mendengar jeritannya, itu barangkali hasil kerja samaada Rostam, Boestamam atau Yusof. 
 
Telah ada beberapa kali semenjak Wak Howe di lantik sebagai cleaner leader ada komplen dari Pegawai Pegawai keretapi tentang mutu cucian gerabak. Para kuli yang bekerja di sini juga semuanya sekampung dengan Wak Howe di Jawa Tengah sana, maka sedikit sukarlah Wak Howe untuk betul betul tegas, malah Rostam dan Boestamam sendiri datang ke sini sama tongkang dengannya, merempat berbulan bulan di ladang kelapa sawit di Labis sebelum sampai ke kota ini. Malam mencuci keretapi di depoh dan siang bekerja di pest control membunuh lipas, tikus atau semut. 
 
Hitung hitung sebulan hasil dari mencuci keretapi Wak Howe mengumpul sehingga lapan ratus dan hasil dari membunuh lipas hingga enam ratus, campur jadi seribu empat ratus, wahh.. berjuta juta rupiah, tidak termimpi untuk mendapat sebegini banyak jika masih duduk di kampung. 
 
Namun semenjak dua menjak ini ada tali kerunsingan bersambung dan berpintal kusut di dalam cerna minda Wak Howe. Kegelisahan itu mampir ke teluk fikirnya kerana Wak Howe tidak punya apa apa, tidak punya sebarang surat perjalanan, tidak ada dokumen yang tertera wajahnya yang polos, hitam dan penuh jeragat itu. Tidak punya apa apa pengesahan kerana apa dia berada di Malaysia. Malah pintu masuk dia memijak bumi Malaysia ini pun tidak pernah di ketahuinya kerana takala dia sampai ke pantai pada malam itu, juragan Mutalib yang hanya di kenalinya di Tanjung Balai menjerit menyuruh mereka melompat ke air, katanya ada beting pasir dan tongkang bisa tersangkut di dasar pasir. "Äku hampir saja menemui ajal kerana pada ketika aku melompat, jasadku terus meluncur ke dasar laut yang sunyi, ya memangnya jika tiada Boestamam aku telah mengunjungi aruah bapaku ke alam mereka".  
 
Operasi pemutihan pun berlansung, aku tidak lagi dapat bersembang dengan Wak Howe kerana aku telah di tugaskan untuk mengawal selia sistem SCADA keratapi, lama sudah tidak pekena gudang garam aslinya. Beberapa hari lalu aku terima poskad bergambar sawah di lereng bukit, 
 
Bapak yang sungguh saya ingati, 
saya sudah membeli beberapa ekor lembu dan menjadi petani, melihat runcing gunung dan hijau sawah, tiada lagi keratapi dan hiruk tiong kerbau, cuma saya harus mengulung rokok semula, tidak bisa lagi membelinya. 
 
Howe.

last modified Feb 25, 2005 at 13:10



[ add a comment ]

ha ha ha siti, wak howe mencucinya barangkali di KL tetapi siti menaikinya di gua musang ke dabong, bau bau itu naik di sepanjang stesen ke sana...tahniah kerana menjadi marhaen.

138177 | posted by loppiess on March 3, 2005 at 9:15

loppiess, tempoh hari saya menaiki keretapi dari gua musang ke dabong selama 1 jam 1/2. sepanjang perjalanan dengan aircond yang rosak, bau masam yang sangat tidak menyenangkan serta kerusi yang rosak dan lantai dan tempat duduk yang kotor menjadikan perjalanan itu satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan. ah! mungkin kerana orang-orang seperti wak hoe sudah tidak ada lagi untuk membersihkannya. namun, saya tidak pula pernah memikirkan tentang orang-orang seperti wak hoe yang bertungkus lumus membersihkan gerabak yang panjang untuk keselesaan beribu penumpang seperti saya yang tidak pernah memikirkan perkara seperti itu. terima kasih loppiess.

137787 | posted by sitinesta on February 25, 2005 at 16:58