|
kita semakin kehilangan
kalau aku duduk di atas dahan tualang yang paling tinggi, yang aku lihat terpamir dan angkuh berselirat ialah lebuhraya dan segala bentuk kereta yang pelik pelik hari demi hari. setiap tahun jumlah kereta dan lori lori kian bertambah, tercerna dari enjinnya asap yang tertinggal di pohon pohon. itu dulu, kalau sebelum itu jika aku bertenggek di tempat yang sama, melolohkan daging merbah atau tikus hutan ke dalam mulut comel anakku, yang terpamir ialah hutan memanjang di selang seli paya, sungai dan bukit bukit yang juga hutan hujan. tapi, semenjak setahun ini, jika bertenggek di dahan tualang yang sama ini, aku berasa amat ngeri, hutan yang dahulunya tak kelihatan sempadan kini hanya wajah tanah yang kuning, disekeliling hutan setompok bagai bulu ari ari ini warna alam telah bertukar dari hijau selembut baldu di taman firdausi barangkali menjadi seperti gurun kalahari atau lebih teruk. lihatlah jentolak jentolak yang rakus, tidak peduli, tidak bersedih, tidak menangisi apa apa kehilangan dengan gelojoh seperti jonggos lapar meredah, mencungkil, menarah, merata hingga ratapan para cikah, para tapir, para tupai dan para serangga tidak lansung di endahkannya kerana di muncung jentolaknya hanya gambar wang menar nari, aduhh, wang, wang, wang, ya wang. Para towkey yang buncit yang dapat hak tanah, para towkey yang buncit yang dapat hak buat rumah, para penguasa buncit yang sangat peramah semuanya berkalbukan duit, bermindakan duit, duit, duit duit, duit. yang bersedih dan pilu hanya aku yang bertenggek di dahan tualang yang juga entah sampai bila kan berdiri ini. turut berkabung ialah jiranku cikah, tapir, tupai dan para serangga. para burung,para tapir,para tupai, para serangga, para penguasa... kita sama saja. perlu hidup, perlu kongsi alam ini, perlu peka, perlu cinta, perlu kasih, perlu tahu hutan tak dapat kembali semula ke sisi dalam semalam. sekali ia musnah ia kan tinggal sejarah. anak anak cucu perlu sejuknya, mahu melihat embun di dedaun, merasa jernih sungainya, melihat haruan berkawan, mana mempaga, mana tualang, mana leban, mana keruing, mana meranti, manakah balau? manakah tuan, manakah peri kasihmu? kau hanyut di sorga uwang, kau hilang di belai keduniaan, mana peka mu? kau ria dengan mahligai, kau ceria dengan kereta galakmu, tetapi tapir mati di lebuhraya, cikah merompak dapur dan tiba tiba hujan jatuh tiada tadahan, lalu banjir dan para setinggan tengelam di paya paya sedang kau berpoya dan bersongkok di rumah terbuka di hotel bingit berjuang atas nama bangsa dan negara tetapi cuma kau mengatur janji seperti mengatur uwang untuk berkuasa sepenggal lagi. keliling hanya onar terukir, janji menjauh kemudian tawa bersahutan penuh mungkir.
last modified Mar 5, 2005 at 8:28
tumbuh-tumbuhan yang tinggal sudah tentu meratapi kekejaman manusia. sudah tentu tumbuh-tumbuhan itu terpaksa bermeditasi untuk terus hidup, ia bermeditasi untuk mendapat sedikit hujan dan bermeditasi supaya manusia tidak terus menerus berlaku kejam ke atas mereka. kenapa, tidak percaya? tumbuh-tumbuhan juga ada kehidupan, ia juga membesar dan ia juga boleh mendengar. kalau tidak, sudah tentu ibu tidak akan bercakap dengan pokok bunganya jika ia tidak boleh mendengar.
manusia-manusia rakus ini buat saya meratapi kehilangan hutan-hutan yang subur menghijau. kejadian ini membuatkan saya rindukan hutan-hutan dan jeram-jeram di gua musang. semoga ia terus terpelihara dari dijamah oleh manusia2 yang rakus.
|