home
login::signup
we::blog

Jojeng dan surat surat yang beribu.

Aku sampai di pejabat pos besar Alam Maya genap tengahari yang kering. Musim tidak dapat diduga kebelakangan ini, walaupun semalam hujan turun semahu mahunya tetapi tengahari ini menjadi tengahari yang begitu pijar dan orang orang yang kelibut mencari parkir memperlihatan momok muka yang runsingnya bagai kehilangan uwang satu juta. 
 
Begitu aku masuk saja ke dalam ruang pelanggan, udara sejuk menyerbu ke muka ku, deretan kerusi dan suara elektronik memanggil nombor dengan ghairah bersimpang siur dengan poster poster filateli dan kerani kaunter yang ramah. Di hujung sebelah kanan pula ada galeri kecil yang di pertontonkan barang barang warisan pos besar Alam Maya. Pelanggan dengan santai duduk duduk sambil menunggu nombor untuk barangkali penungguan itu semaksimanya akan mengambil dalam 4 minit, pencapaian yang baik barangkali atau juga aku datang bukan pada waktu puncak. 
 
talipon tangan ku berdering, di skrin nya terpapar nama Jojeng, kebetulan aku berada di pejabat pos besar Alam Maya, Jojeng adalah posmen paling dedikasi, aku tak putus putus mengajak Jojeng untuk mengerjakan tanah terbiar di kampung untuk di tanam buah naga. 
 
Aku di ajak Jojeng kebelakang pejabat pos besar Alam Maya tempat dia bertugas dan kebetulan ada surau, bagus saja kalau di dirikan terus solat zohor. 
 
Hanya di bezakan dinding, aku melihat dua fenomena yang begitu berbeza, di depan pejabat pos besar dan di belakang pejabat pos besar. 
 
Ada barangkali hampir dua ratus orang posmen di belakang ini, mereka mempunyai satu slot partition dan tiga rak yang tinggi dengan slot slot kecil, untuk posmen kawasan Bukit Bukau, dia mengasingkan surat surat dengan teliti mengikut taman dan jalan di kawasan Bukit Bukau, untuk posmen kawasan Sungai Ketipung Payung, dia mengerjakan benda yang sama, begitu juga posmen utk kawasan Padang Kerbau, Gunung Ganang, Taman Sawah Terbiar dan lain lain lagi, begitu juga posmen untuk kawasan Taman Datuk Umno, Taman Sri Gelak Ketawa, Taman Si Miskin dan Taman Tan Sri Embong Awang Mamat. 
 
Di sebelah slot slot posmen ini, maksudku di tiang besar ada empat biji kipas dinding yang berjalan tidak henti henti ke arah para posmen yang bertungkus lumus menyusun surat surat yang banyak, getir rasaku, bagus saja kalau di letak pedingin hawa buat mereka kerana seorang posmen bernama Jusoh Kandar sudah menanggalkan baju kerana pijar tengahari tidak dapat di tepis oleh putaran kipas dinding semata. 
 
Usai usai saja mereka menyusun surat surat yang beribu jumlahnya, surat surat itu di masukkan pula ke dalam beg yang terdiri daripada dua bahagian, surat surat yang begitu berat di pikul untuk di letakkan ke atas motosikal, Jusoh Kandar kembali memakai baju dan meluruhkan lengan bajunya yang semenjak tadi terlipat ketika tergantung di slot tempatnya. Dia bergegas memakai sarung tangannya yang kelihatan begitu usang lalu mengikatkan tuala ke mulut dan hidungnya, memakai helmet, menghidupkan enjin motosikalnya dan terhoyang hoyang bergerak perlahan lahan meninggalkan kawasan pejabat pos besar Alam Maya ketika matahari yang pijar dan musim kering bulan april menghasilkan nyala haba berwap naik berkepol kepol ke langit. 
 
Kami duduk di cafe sambil minum tea o ais limau, Jojeng memang telah lama bercerita tentang keresahannya sebagai posmen, dengan gaji asas sebanyak RM651.33, di tambah dengan elaun serahan, elaun rumah, elaun transport, gajinya menjadi RM 893.41, di tolak EPF RM 98.32, biro angkasa untuk baki pinjaman terdahulu sebanyak RM 342.71, berapa sangatlah yang tinggal. 
 
Jojeng menambah, gaji naik begitu kecil, semenjak di swastakan Union entah kemana untuk memperjuangkan nasib orang orang sepertinya. Harga stem tak naik naik malah semenjak dunia di perkenalkan dengan internet atau email, surat semakin kurang, tentu jugalah pendapatan majikkannya berkurangan. Cuma kadangkala yang banyak ialah bila pasaraya Mokro membuat promosi, berjuta katalog yg harus diserahkan kepada pelanggan. Semakin lama industri pos ini kelihatan semakin menjadi industri yang tradisional. Kos sara hidup yang semakin tinggi, orang orang seperti Jojeng, Jusoh Kandar dan lain lain semakin terhimpit, namun insan insan kecil ini masih sayang akan dunianya di samping bersyukur kerana punya kerja tetap dan juga takut untuk berubah. 
 
kami makan di cafe pejabat pos besar Alam Maya, bunyi kipas silingnya berdesing desing, aku tak henti henti memujuk agar Jojeng bersetuju saja untuk memulakan projek menanam buah naga di samping memelihara kambing di sawah terbiar kg kami. 
 
Jojeng membuka mulut, boleh ke lope ?

last modified Apr 7, 2005 at 17:52



[ add a comment ]

jgn la serius sgt jangnoes..manusia yg tidak tahu memang cam tu..perlukan sgt org yg tahu untuk beri dia tahu..dan siapa lagi yg lebih tahu dari Yg Maha Tahu?..baik rilek dan kita balik kampung..kedai tea dah banyak..kedai tea Iding, kedai Izah, kedai Ngah Midah..best tengok otai2 layan tea sambil bercerita tentang getah tanam semula, Amat Buai bersungut pasal landak tak do lagi kat bukit bagindo, Cik Mat Lajim kepoh pasal `miss semato`..dan semua ini terus meriah melangkaui waktu asar walaupun Ujang Somak melaungkan Azan dengan bersemangat..hmmm..

145360 | posted by abumuslimin on July 28, 2005 at 9:50

dengar cerita air berlumba turun dari Anak Air Sebulan, surau kita hampir bah dan rumah Iyah akak Amran hampir hanyut !

saya sungguh bersetuju dengan tuan, di bandar besar seperti Lembah Klang ini ada beribu Jojeng yang gundah, terperangkap dan hidup dalam sangkarnya sendiri.

ketua ketua Union telah dijadikan kancah memasang proksi.

ingat tak tentang bilik air rumah saya yang leaking ke tingkat bawah, ia telah di baik pulih oleh Hj Rony, contaraktor warga Indonesia. Hj Rony telah memberitahu saya lewat perbualan kami satu petang, "di Malaysia ini peluang tumbuh di sekeliling kita seperti cendawan selepas hujan, tinggal lagi bagaimana kita ingin mengenal pasti dan memetiknya".

Walau macamana pun bila kita boleh pekena tea di anjang aki ?
sambil bercerita tentang Bok`on, saudagar jewit atau musim daun luruh di kenudai.

140439 | posted by loppiess on April 15, 2005 at 10:26

..saya dpt merasakan kebuntuan yg dialami oleh Jojeng. Ragu dan gusarnya utk berubah adalah kerana sandarannya kpd tanggungjawab yg besar barangkali. Namun, saya berpendapat adalah wajar baginya utk mencuba sesuatu yg baru dari mengharapkan " Union" yg selalunya hanya bertelagah tentang siapa yg harus memimpin dari membela nasib orang seperti Jojeng.

Saya juga berpendapat, Jojeng sebenarnya hidup dlm sangkar maya ciptaannya sendiri. Ajaklah Jojeng utk mengenal realiti hidup dan peluang yg terbentang di bumi Allah. Nescaya, Jojeng akan menemui sesuatu.....dan kita juga.

140325 | posted by jangnoes on April 12, 2005 at 18:59