home
login::signup
we::blog

Bosun Kadiaq

Namanya Kadeer, atau semua orang kenal sebagai Bosun Kadiaq. Berpangkat Bosun kerana dia adalah ketua kelasi bahagian dek. Aku belum lahir lagi ketika Kadeer mula menjadi Ordinary Seaman di kapal kapal dagang Greek yang berlabuh di Singapura. Kapal dan laut adalah hidup Kadeer, dek yang sarat menampung karat dan cat cat yang bertimbun adalah urat urat yang berselingkuh di lengannya. Crane yang tertenggek didada dek, funnel yang hitam berjelaga, lubang lubang petak hatta rope dan camar camar yang melayah adalah nafas bagi Kadeer. Hanyir laut dan ayun gelora, buak ombak dan oleng arus adalah tarian yang saban saat Kadeer tarikan. 
 
Kadeer telah begitu tua sebenarnya bilamana EPF nya tidak perlu lagi di potong. Namun badannya yang kekar dengan dada yang kembang dan misainya yang berkuntum menjelmakan Kadeer dalam bentuk beberapa belas tahun muda dari usianya.  
 
Dia punya kisah cinta yang menyedihkan. Isterinya lari ke pelukkan jantan lain. Beginilah kisah tersebut: aku sampai ke rumahku ketika malam telah begitu larut, perjalanan dari Singapura memakan berbelas jam kerana dari railway station KL aku mengambil teksi buruk ke Ipoh dan bertukar bas ke Penang. Kebetulan sebelum Singapura kapal belayar dari China, aku membeli jade dan berlian paling cantik hingga harganya tiga bulan setengah gajiku. Itulah tanda hadiah untuk isteriku yang paling di rindui. Sengaja tidak ku beritahu isteriku atas kepulangan kali ini biar dia terperanjat akan silau berlian ini bila aku kejutkan ia dari tidur. Aku sampai ke pintu rumahku dalam jam 2 pagi. Ketika ku ketuk pintu, isteriku yang membukanya, matanya terbeliak melihat kujur tubuhku yang berdiri. Ketika ku tolak daun pintu agar terbuka lebih luas, seorang lelaki yang tanpa seutas benang pun tengah terlentang di kusyen depan. Ketika itu pandangan ku gelap. Siling rumahku kemudian berpusing pusing dengan ligat. Aku terduduk di anak tangga. Malam terasa bagai di siangkan oleh matahari yang tiba tiba muncul diufuk barat. Rasa cinta, rasa rindu, rasa kasih kemudian bertebaran keluar dari dadaku dan hilang lenyap di dalam kegelapan malam, segalanya menjadi amat kosong. Kemudian berlian dan jade itu ku serahkan padanya. Aku lepaskan kau dari ikatan perkahwinan kita, dari ikatan rindu dan kasih sayangku, maka semenjak malam ini kita tidak lagi mempunyai apa apa ikatan. Kemudian aku pun melepaskan talak. 
 
Kadeer kemudian belayar tak pulang pulang lagi. Arak kemudian menjadi temannya untuk melupakan kelukaan cinta. Dia tidak lagi memperdulikan dirinya, setiap pelabuhan yang disinggah akan menyaksikannya dipapah kelasi lain setelah bergulat dengan arak dan kemabukkan yang amat. Dia meniduri sekelian perempuan. Hinggalah sampai pada satu saat ketika itu kapal baru saja menyusur keluar dari Rotterdam dan dalam perjalanan ke Bremen Heaven, Kadeer jatuh di dek. 
 
Lapanbelas hari dia duduk di wad di Hamburq. Setiap malam di hospital dia bermimpi aruah ibunya datang mengosok rambut dan ubun ubunnya sambil menangis menasihatinya hingga satu pagi bila tersedar saja dari tidurnya memang ada tompokan basah di lengan bajunya. 
 
Kami duduk ketika itu disebelah portside menghadap gangway yang berlipat, angin laut menerjah tali rope dan dari jauh sekawan dolphin kemudian riuh melompat, di horizon sana awan dan laut bagai berkucup ketika jalur jalur mega matahari keluar dari celah celah awan menikam dada laut yang tenang dan bagai cermin. 
 
Semenjak itu aku tidak lagi menyentuh arak dan perempuan. Aku membeli kitab dan membaca quran, tenang sungguh takala malam sunyi yang jauh di laut terbuka ini kita berdamping dan aku merasa sangat dekat denganNya. Dialah cinta abadi yang selama ini aku lupakan. Terima kasih kepada bonda ku kerana kasihnya kepada ku tak putus putus. 
 
Setiap pagi Bosun Kadiaq lalu di depan kabin ku sambil menyelitkan di bawah pintu nota arah kiblat untuk hari itu ( arah kiblat akan bertukar setiap waktu selalunya bila kapal menukar haluan ). Jika di luar ombak terlalu besar untuk bekerja di dek, Kadeer akan membasuh karpet surau atau duduk di biliknya membelek ihya ulummudin. 
 
Dia akan bersendirian selalunya dan berkata kata dengan Tuhan lewat zikirnya yang terbang melayah kedada lautan sebelum naik kelangit menyapa awan.

last modified May 9, 2005 at 10:16



[ add a comment ]

dasat..Bang cik..syukurla kepada Allah tentang bakat yang klas dunia nih..heh..tulis la lagi dan lagi..jgn takut orang tak hargai..takutlah jika kita tidak`berharga`lagi..(mati la..maksudnya)

145352 | posted by atannn on July 28, 2005 at 7:27

Siti,
Tuhan memberi kita setiap saat dan kerana kita terlalu galak mengambil maka kita terlupa mengucap terima kasih,

Salina,
aman damai jarang bertamu jika waktu terlalu kelibut, duduk duduklah sebentar sambil melihat dunia dengan kalbu.

Rainbow,
laut memang terlalu mengasyikkan,

Abdullahjones,
aku tidak terpana dengan kenyitan mu. :]

142331 | posted by loppiess on May 22, 2005 at 20:38

;)

141896 | posted by abdullahjones on May 15, 2005 at 10:51

Bila bot itu sudah berlayar di lautan terbuka.

Aku akan melupakan terus darat celaru.Hidupku adalah laut , gelombang dan krew-krew bot aku.

Bila kaki aku terjejak kembali di darat segala permasaalahan darat akan menekan kembali benak ini.

Aku suka hidup di laut cuma masaalahnya aku mabuk laut :b

Tapi aku memang seronok menikmati kopi panas di tengah-tengah laut.Di tengah malam hari melihat bintang di lautan luas..

141653 | posted by rainbowboy82 on May 10, 2005 at 23:35

'Dia akan bersendirian selalunya dan berkata kata dengan Tuhan lewat zikirnya yang terbang melayah kedada lautan sebelum naik kelangit menyapa awan.'

Aman betul rasanya membaca ayat tu.

-salina-

141539 | posted by salina on May 9, 2005 at 19:04

untungnya bosun kadiaq kerana tuhan menyayanginya. memberinya peluang untuk bertaubat dan menjadi insan solih. dan pada saya itu adalah hadiah kasih sayang abadi dari tuhan yang tidak mampu diberikan oleh manusia hatta yang bernama isteri atau pun suami.

141535 | posted by sitinesta on May 9, 2005 at 18:22