home
login::signup
we::blog

matahari tak mahu pamit


azan zohor baru saja usai, pijar tengahari bulan june ini berguguran di iringi desir angin kering yang menjatuhkan sekelian daun kuning yang longlai. Sekelian rumput yang berduka dan tumbuh-tumbuhan yang berkongsi padang ini menunggu dengan penuh kegusaran akan titik hujan pertama bulan june yang semakin meruncing ini. Gugurlah segera wahai hujan dan jatuhlah engkau bertabrakkan seperti jatuhnya engkau setelah berkurun tidak jatuh atau seperti berahi yang terlalu atau jatuhlah semahumu biar sekelian sugul yang bertapa dan tertebar serata lantai bumi ini kembali ceria, kembali berteriakkan, kembali berpesta, kembali hidup dari kemamaian dan gusar yang beranak pinak pada mulanya. Kembalilah kau wahai hujan, jatuhlah semula seperti sebelumnya dan mengalir kembali dengan hiruk pikuk keserata sungai dan tali air, keserata paya dan belukar, keseluruh padang dan rimba, ke serata gunung dan belantara, beribu nafas yang tercunggap di bawah ini menadah dengan nafas yang panas dan sesak, datanglah kau kembali wahai hujan! datanglah kauu !!! 
 

Kepada Pak Lang, 
kami masih merindukan Kg Kudei Baru, kami rindukan sungai gadang di belakang rumah Pak Lang, rindukan pelantar kayunya, udang galahnya, patin nya, mahu makan di Satok, mahu berjalan di Waterfront. Semua memuji burger Mak Lang, semua mahu tidur di serambi rumah. 
 
kami sebenarnya mahu ke Mulu, mahu berjalan di hutan, bermalam dirumah panjang, kami mahu merasakan hujan rintik rintik ketika berperahu di sungai, kami mahu basah oleh embun, kami mahu menyanyi bersama burung burung, pohon pohon belian atau jati otai. tapi masa terlalu suntuk. 
 
Joi tak suka tidur di Riverfront, Joi suka Kg Kudei Baru, Joi suka meniti titian, Joi suka mendengar bunyi bot lalu di belakang rumah. 
 
Joi gantung pua kumbu hasil tangan nenek Iban di penjuru tangga, pasu halus Joi letak sebelah TV, tikar segak emas Joi bentang diruang tamu, sumpit Joi ikat di bucu tangga, perisai Joi tampal atas silling, Joi membawa Serawak ke dalam rumahnya ! 
 

Duduk duduk sajalah Tan Sri, rehat rehatkan badan. Yang dah berlaku jadikan iktibar, Tuhan kasih akan Tan Sri, di beri petunjuk biar tersedar, sempat mengucap, palinglah semula jalan lurus. Kalaulah tak ada apa apa yang berlaku maka kita jarang bermuhasabah, kita rasa kita boleh buat apa sahaja, ada wang semua boleh jadi tapi siapakah yang dapat melawan kuasaNya?, tak kira betapa lama perancangan kita, betapa teliti ia dibuat, betapa canggih teknologinya tetapi kita hanya merancang, ketentuan berlakunya, akibatnya, kesannya semua di tentukan oleh Dia kerana kita ini manusia, tiada kuasa, semua makluk tidak mempunyai kuasa, kuasa hanya dipegang oleh-Nya. Duit hanya asbab, jawatan pangkat hanya sementara guna untuk menguji manusia, adakah dengan ujian yang sedemikian kita gagal? kalau tak keberatan mari keluar empat bulan, berilah azam. 
 

Naik 
 
Naik semua Piah, 
harga minyak naik 
hah, naik naik, ayam naik 
sayur naik, beras naik, 
susu naik, yuran naik 
tambang naik, gilo mu 
aku naik, naik hangin 
engkau naik, naik gila 
selipar naik, darah naik 
naik ke muka, naik berang 
perut naik nak beranak 
laman naik semak 
ahli politik naik lemak 
duit banyak Piah 
nelayan naik perahu 
gelisah naik siapa tahu 
penoreh naik bukit 
hati resah naik sakit 
anak naik sekolah 
naik haji tambang bertambah 
naik semua naik jangan tak naik 
naik menyampah ada 
naik nak parah ada 
jangan naik hantu Piah 
banyak sabar naik pahala 
 
abihhhhh... 
apanya yang turun..?? 
 
jenazah turun ke lahat Piah.

last modified Jun 25, 2005 at 15:37



[ add a comment ]

Ajones,
sad...mereka naik tak mengenal tangga.
CT,
hujan menyejukkan kita juga dari pijar laju kehidupan,
saorangmanusia,
aku serius.

144173 | posted by loppiess on July 1, 2005 at 3:01

lope,

engkau nak 1/2 kilo ? serius ? boleh aku belikan nanti. aku nak balik hujung minggu ni.

nanti sabtu aku cuba ke S/Petaling. boleh jumpa disana sambil pekena sup utara atau meehon & ayam goreng Din ?

amacam ?

saorangorang[at]yahoo dot com

144063 | posted by saorangorang on June 27, 2005 at 5:41

saya juga mengharapkan hujan turun membasahi bumi, menyirami tanaman, memenuhi empangan dan membersihkan dosa-dosa.

144045 | posted by sitinesta on June 26, 2005 at 20:17

datuk naik cucu naik bapak naik kakak.

144013 | posted by abdullahjones on June 25, 2005 at 17:00