|
Buat Yang Rokiah dari Osaka.
Ibrahim, Osaka. kehadapan Yang untuk yang entah keberapa kali. Aku baik sahaja Yang, baik dalam kusam dan mamai kerana rindu padamu. Aku di sini masih lelaki yang kau jumpa terakhir di dermaga, lelaki yang menyimpan di dalam dadanya kasih setinggi awan, yang tertebar luas bagai gabus awan awan itu di tiup angin. Lelaki yang menjadikan rindu sebagai pelapik bantal tidurnya, yang resah, yang terbangun di kala dinihari mencari sesuatu yang jauh. Yang saban kehilangan, yang di rundung kenangan dan harapan cuma. Aku di sini Yang memerhati bunga satu satu tumbuh di ranting sakura. Musim masih dingin dan langit yang biru adalah latarbelakang lukisan musim sejuk, awan dan salji yang pamit menghadiahkan keceriaan pada alam yang lama bungkam, namun aku masih termanggu di buai penyakit rindu padamu. Demikian penyakit itu tiada ubatnya melainkan harus ketemu denganmu dan berada dalam pagar panas kasihmu dan lingkung aura senyummu. Yang Rokiah, Namun aku masih tega, ampuh berdiri menanti, aku lelaki yang di isi di dalam nubarinya tali agam tersambung kekuatan mengikat kasih menjadi kekar. Aku masih lelaki waja berdiri walau hayun rindu dan mabuk cinta kian menjadi selimut hari hari ku di sini yang dingin. Yang, kita harus menyimpan semua rasa itu, menyimpannya di dalam kalbu, menguncinya utuh dan penuh percaya. demikian nyala cinta itu kan tetap benderang dan sinarnya menyuluh perjalanan aku yang terlalu jauh ini. salam aku pada bondamu, rindu padamu, pada sawah dan sungai, pada musim angin timur laut, pada pangkin, pada kerbau dan pada jajaran bukit dan gunung di kampung kita adalah rindu perantau ini yang kian menjadi sebahagian buruan derianya. Datanglah musim apa pun, bergeloralah laut bagaimana kuat pun, bertiuplah angin hingga menjelma badai, jatuhlah mentari hingga terbakar segala namun kasih kan tetap menjadi keutamaan ini. Yang, berdoalah padaNya muga kita kan bersama. Ibrahim, Osaka.
last modified Jul 12, 2005 at 17:45
surat ini seperti memahami rasa hati hs... moga jodoh Ibrahim dan Rokiah berkekalan...Amiin 
|