home
login::signup
we::blog

jerebu mindaku

Ada beberapa perkara yang singgah di juring rambu ramba otak ku kebelakangan ini. Perkara2 itu datang dan pergi kemudian datang semula dan kemudian pamit semula, silih berganti dia datang dan pergi walaupun aku tidak mengatakan ianya penting namun ia tetap datang tidak mahu terus hilang dan aku tidak bisa melupakan terus. 
 
perkara pertama ialah jerebu. tentulah aku memikirkannya bukan kerana ia penting atau berjaya menghasilkan darurat dan seterusnya memberikan cuti tetapi kerana ia jelas menutup pandanganku dari jendela ini ke hujung padang atau kubah masjid sultan sulaiman, begitu juga matahari dan awan gemawan yang aku rindui telah tiada lagi. Petang yang biasanya menemukan aku dengan jalur juring kuning di balik bukit kini sudah tiada, matahari yang pamit di balik bukit yang biasanya perlahan lahan kini sudah tanpa sopan dan segansilu terus hilang, sedar sedar azan sudah berkumandang dan gelap mula meniti di atas atap garage . 
 
bernafas yang kalau dulu tidak pernah kita sedari enaknya kini mula sukar. jika berdiri di hujung padang nafas akan menjadi kelamkabut seperti nafas kucing mahu mengawan layaknya. mata juga terasa pedih dan lengan juga telinga akan terasa gatal gatal seperti peralihan dari musim dingin ke musim panas di Osaka. 
 
aku tidak betah memakai topeng seperti Ramlan, Enon dan Maulud. topeng itu hanya objek putih yang menutup mulut dan hidung tetapi habuk habuk halus tetap juga berbondong bondong masuk ke lubang hidung lewat sisinya yg terbuka. Kalau benar mahu menutup hidung, pakai sahaja oksigen scuba yang di pakai ketika di Redang dulu tapi cepat sahaja di sanggah Maulud "kau nak buat lawak lope, pikul cylinder kehulu kehilir?", 
 
Perkara kedua yang bermain di mindaku ialah soal DEB, kegagalan DEB, Orang China heboh mempertahankan bahasa mereka, org Melayu heboh pula nak pakai B.I, peratusan kelulusan sains dan matematik di luar bandar jatuh dengan teruknya, Soal jarum dan kondom, Soal Selangor maju tapi Usop Manai terkial kial mencari sekilo beras. Kita si sini enak enak menonton TV tetapi di Terengganu, di dalam Malaysia juga, ayah ayah rebah di simbah air berasid kerana mendengar ceramah pembangkang. Rumah PM di Putra jaya di baiki dengan menelan puluhan juta dan di masa yang sama PTPTN sudah tidak bisa lagi memberi budak budak Melayu pinjaman pelajaran, Karim yang bagus belajar akhirnya kerja kilang sahaja di Kapar, dia bagai masih terdengar keluh bapanya pada satu pagi "ayah memang tak mampu...adik kau ada empat orang lagi perlu bersekolah". 
 
Perkara ketika ialah tentang sara hidup yang semakin tinggi terutamanya di Lembah Klang ini. Kok Seng yang menjadi ketua kerani di pejabat kerajaan jalan Duta mengeluh "tiket bulanan LRT sudah naik loo..itu keretapi pakai minyak ka?". En Hassan Merican senyum senyum aje bila memberitahu bahawa keuntungan Petronas yg tinggi banyak di sumbangkan oleh peningkatan harga bahan mentah tersebut. Semua mahu naik bila minyak naik dan yang paling terkesan dengan bencana atau tragedi kenaikkan harga petrol dan diesel ini ialah Jamsari, pekerja bawahan mel pos dan isterinya Kak Jem yang tidak bekerja dan anak anaknya yang seramai tujuh orang tersebut. Satiman pekerja pelabuhan juga mengeluh kerana ayam telah dijual sehingga 7.50 sekilo. Rais Gemok mensasarkan deposit dalam belanjawan bulanannya sehingga dua ratus ringgit selepas kenaikkan harga minyak dan ini mengakibatkan dia tidak lagi memotong premium bulanan insuran Great Eastern nya sebanyak RM 152.35. Wahid yang bekerja sebagai pengajar lesen L utk Sekolah Memandu Umbang Ambing kini berdepan dengan kos rawatan diabetes isterinya yg semakin meningkat.  
 
mereka rakyat banyak, melayu yang lahir di tanah nenek moyang kini berdepan dengan era selepas DEB. Bilamana DEB cuma alat untuk mengkayakan sebilangan kecil aristokrat, nasib Jamsari, Satiman, Kak Jem, Rais Gemok dan Wahid kini berjerebu dan berbalam balam...ianya kelam, pedih dan menyesakkan nafas. 
 
Perkara keempat pula ialah soal trottle body valve untuk enjin proton buruk ku. Ianya telah ku tukar sebanyak 4 kali semenjak aku membelinya lima tahun lampau. Bila enjin berada dalam keadaan idle, idling valve tersebut tidak mampu menstabilkan minyak, kata Zul, pomen yang beruntung atas kegagalan valve tersebut "ini penyakit biasa proton". Aku mahu saja menulis email untuk Datuk Kisai memberitahu tentang masalah ini, tapi tentunya Datuk Kisai akan menyalahkan Tengku Mahalil pula...ahh cerita lama. 
 
Sebenarnya ada lagi beberapa perkara yg bermain di mindaku ketika aku sedang menyambut hari lahir yang ke tigapuluh*** ini(rahsia pulak..macam artis), tapi cukuplah dulu utk kali ini. 
 
AbuOmar, kawanku ketika kami sama sama menginap di madrasah Bukit Beruntung dulu pernah memberitahuku, kegelisahan adalah berpunca dari takut kepada dunia sedangkan ketenangan adalah datang dari rasa takut hanya kepada Allah.

last modified Aug 12, 2005 at 17:11



[ add a comment ]

assalamu'alaikum brader,

muga dah hilang jerebu di minda
seperti berlalunya jerebu nusantara

146307 | posted by saorangorang on August 22, 2005 at 22:18

loppiess, jangan berhenti menulis kerana blog inilah satu-satunya tempat untuk membersihkan minda saya daripada pelbagai jerebu yang sentiasa memenuhinya.

blog ini seperti suara ibu dan bapa yang menegur, menasihati dan mengingatkan anaknya supaya tidak terus lalai dengan kehidupan.

terima kasih loppiess.

146160 | posted by sitinesta on August 18, 2005 at 18:42

jawapan kepada tetamu tetamu loppiess.

uipts,
abuomar seorang welder part time, level kami tak naik naik sekian lamanya, utk naik darjah enam itu adalah mimpi cuma. tetapi Hassan Merican level yg amat tinggi jika di ukur dari segi rezeki tetapi tentunya bila di saf surau, kami sama sama duduk di belakang imam.

Satu lagi yang membezakan aku, abuomar dan hassan merican ialah teguh dan teganya kepercayaan, tentunya abuomar di kelas paling atas kemudian di ikuti oleh hassan merican barangkali dan selepas itu...jauh selepas itu adalah aku. Dulu abuomar menjual bengkel membuat pintu pagarnya katanya mahu berburu empat bulan, tapi hassan dan aku belum tergamak...lemahnya kami.

Oh tintasukma,
menyebut sukma, ia sesuatu yang dalam sekali, mungkin lebih dalam dari kalbu atau sanubari. pun ketemu sdri di esastera nampak betapa indah bait bait puisi yang di ukir, mapan sudah selepas ketemu lewat beberapa tahun lampau.

datanglah lagi ke DI SINI LOPPIESS untuk ketemu tulisan tulisan yg barangkali tidak di sukai orang banyak, semborono, pencaci atau cakap lepas.

demikian adanya, tinta.

zahuri,
tidak berumahkah kamu hingga terpacak di pejabat tidak kira jam berapa? udah tak bisa merasai indahnya rumah kerana asyik tidur di surau dan madrasah?

dulu, ketika memancing di kenudai, ketika hujan jatuh di atas reja reja lalang, waktu itu amat dingin. di kampung, penyatuan diri kita dan emosi kita dengan alam nyata amat padu, bukan saja dingin mengulit fizikal malah ia mengulit minda juga.

146141 | posted by loppiess on August 18, 2005 at 6:27

asalamualaikum brader..opis pun dah semakin panas ni..air cond dah tak mampu lagi nak layan jerebu yang memerangkap bahang panas..boss terpaksa tambah kipas angin kecil..dan nampaknya ia membantu sedikit mengurangkan rasa pijar dan lemas..tapi itu hanya sebuah cerita mengenai jerebu didalam opis dan mudah untuk diatasi dan selepas itu cerita ini akan terabai dengan perlahan dan hilang terus..jika jerebu minda? mohon selesai masalah dengan Pemberi masalah..Dia Maha Segala Galanya..

146058 | posted by zahuri on August 16, 2005 at 22:45

ini kali pertama tinta melayahkan kaki ke laman tuan. Tulisan yang menarik, banyak bikin kepalaku bersoal-jawab. Terimakasih kerana menuliskan tulisan begini-begini, insyaAllah tinta akan datang lagi.

p/s seringkali ingin menulis tetapi tidak tahu apa yang ditulis, bgmn ya?

145927 | posted by tintasukma on August 14, 2005 at 8:59

loppiess
bergelumang dengan keserabutan dalam benak fikir kita adalah habuan rezeki aku dan engkau yang tentunya berbeza-beza. jika 30 perkara melintas dalam fikiran engkau dan perlu diselesaikan adalah tahap darjah yang engkau sedang duduk sekarang. mungkin aku masih dalam darjah bawah dengan 10 perkara telah cukup memeritkan. jika enkau, abuomar, aku dan mereka yang lain itu lulus tentu akan naik darjah lagi tahun depan.

Paling tidak Hassan Lurus rajin membacakan ingatan pada engkau, abuomar dan mereka yang lain itu suruh takbir, rukuk dan sujud pukul 3.00 pagi sedang Chaudori hanya selalu ajak aku beli kambing dikedainya.

145871 | posted by uipts on August 12, 2005 at 17:17