|
Siti, Tiff , Anand dan.....syahwal.
Segerombolan kanak kanak kecil dalam lingkungan umur 8 ke 10 tahun kelihatan merentasi tengahari yang pijar berbasikal ketika syahwal masuk hari yg ke tujuh. Langit kelihatan amat jauh dan awan yang sedikit sedikit tergantung tidak mampu menangkis gejolak tikaman pijar matahari tengahari itu. Segerombolan itu berhari raya ke sekitar rumah kawan kawan dan guru guru mereka di taman perumahan yang di huni sekitar 40% Melayu, 30% Cina dan selebihnya India. Siti bertindak sebagai ketua gerombolan itu, mereka dalam lingkungan 16 orang semuanya. Jadual hari itu telah di rundingkan lewat sms dan telefon semenjak tiga hari lalu. Mereka semua terdiri dari kelas lima teratai, sek ren bukit bukau. Syafiq juga membawa adiknya syaiful dan Syafiqah juga membawa adiknya Idham sekali. Ikram juga membawa adiknya Haziq. Di dalam rombongan berhariraya itu juga termasuklah Wong, Tiffany, Dewi dan Anand. Semenjak pukul 10 pagi telah 4 buah rumah di kunjungi ini termasuk rumah cikgu Lizawati, cikgu Rahmah dan Sir Khairol. Mereka berhenti utk bersembahyang zohor di Surau dan makan nasi ayam di warung Wak Don. Aku melihat betapa riang rianya mereka berhari raya. Ketika di surau, Wong, Tiff, Dewi dan Anad duduk menunggu di bawah pohon mangga. Untuk duit raya, mereka berempat telah mengumpul seorang 20 ringgit. Tidak ada bezanya antara Tiff dan Siti, Anand asyik bergurau dengan Syafiq dan Haziq, Wong memakan lemang dengan rendang tanpa mengeluh pedas. Tidak ada curiga dan wasangka, tidak ada beza, mereka bergurau sambil bergusti adakalanya. mereka berpelukkan dan berlarian, mereka bertukar basikal dan tiff adakalanya memakai tudung Siti...kelakar. Aku benar benar melihat satu fenomena anak anak Malaysia. Pada usia begitu mereka tidak lansung terfikir tentang perkauman. Jiwa yang kecil dan ikhlas. Kawan kawan adalah sahabat dan sebahagian kehidupan, tiada Melayu, Cina atau India. Tiada keterbatasan walau mereka sedar mereka punya kulit yang berlainan, bahasa ibunda yang berlainan dan Tuhan yang di sembah berlainan tetapi atas erat ikatan persabatan kelas lima teratai, mereka tidak peduli pada kelainan itu, mereka menjalani kelainan dalam kehidupan tanpa ada apa apa batas sempadannya. Tetapi Wong akan berubah seperti berubahnya Dewi dan Siti. Tiff akan berubah seperti bertukarnya wajah Haziq dan Syafiq...menjelang meningkatnya mereka menjadi remaja keadaan akan bertukar..!! Menjelang masuknya Wong ke tingkatan satu, dia akan hanya berkawan dengan Lim, Eng, Tan dan Ah Kau. Dewi akan berkawan hanya dengan Anand, Saravana, Batumalai dan Aru. Begitulah juga Siti akan berkawan dengan kaumnya sahaja. Jurang pemisah akan mula terbina. Jurang itu di bina barangkali oleh Cikgu sendiri, ibubapa, jiran jiran dan yang lebih dasyat ia di bina oleh para politikus dan kelucahan politik itu sendiri. Sistem kerajaan barisan nasional yang hidup atas tiga/empat gabungan parti parti yang hidup atas dasar perkauman semata itulah pisau sebenar yang mengoyakkan dan melapah kesepakatan hidup Wong, Siti dan Dewi. Tan yg baru di lantik sebagai timbalan parti cina "parti singä" dengan angkuh mula mencari tempat dan pengaruh dengan mula melaungkan betapa pentingnya bahasa kaum di utamakan. Hamid yang di lantik ketua bahagian "parti bumi bertuah" sambil menjerit menghunus keris melaungkan tentang hak. Torai yang mencari tempat dalam "parti dewadewi" menjerit tentang nasib kaum yg tertindas kononnya. Tan, Hamid dan Torai perlukan sokongan grass root kaumnya untuk mereka mendapat tempat secara peribadi di dalam partinya dan dengan itu senjata yang paling ampuh ialah memperjuangkan kaumnya habis habisan dan menuduh kaum lain tidak berlaku adil dan sambil melacurkan dan mencampakkan integrasi kaum ke lembah paling hina sambil tidak berasa sedikitpun kepedulian atau kebertanggungjawaban atas kelucahan yang di lakukan itu. Di sudut yang lain, para politikus bertopeng ini dengan santai dan dengan muka yang penuh kudus dan taqwa berkhutbah tentang betapa pentingnya perpaduan. Mari bina satu bangsa Malaysia yang gemilang. Rumah terbuka Deparaya atau kongsiraya pun di adakan. Wahh..meriah betull..ada Mawi penyanyi tersohor itu, ada Ning dan ada pemenang Malaysian Idol yg pertama dulu. Para krew TV pun menonjolkan tentang para politikus bertopeng itu sedang bersantapan dengan tawa yang lebar penuh muhibbah. Ya..bangsa Malaysia telah terbina di depan meja hidangan kari kambing. Jauh di satu sudut lain seperti di kg baru Sungai tong tong, di kg tradisi bukit bah dan di estate tambipillay rakyat banyak masih terbuai dengan jerit tempik Tan, Hamid dan Torai. Ada curiga, ada syakwasangka dan ada ketidakselesaan tumbuh atau membenih perlahan lahan. Kalau pun ia tidak tumbuh seperti tumbuhnya pokok durian yang membesar dan merendang namun ia tetap tumbuh seperti cendawan busut selepas musim hujan, tumbuh, kembang, layu dan mati kemudian untuk musim berikutnya ia kan tumbuh semula dan mati semula dan kemudian turutan itu bersambung sehingga bila bila. Dan atas kapasiti kita sebagai marhaen hanya perlu berdoa agar ia tidak tumbuh seperti pohon beringin, membesar agam dan berkelubung seperti hantu tinggi dengan wajah yang amat digeruni. Kalau hanya doa yg mampu kamu lakukan.....! Petang itu gerombolan yang di ketuai oleh Siti bersurai pada jam enam. Mereka berpakat untuk meyambung semula seisi berhari raya bermula jam sembilan keesokan harinya. Tentunya esok pagi kita akan melihat semula Syafiq, Ikram, Siti, Wong, Dewi, Haziq, Tiffany dan lain lain bergurau senda semula, bertukar basikal, mengira duit raya, makan nasi ayam di warung wak don dan tentunya aku akan melihat mereka berlari lari di padang di bawah pijar matahari lapan syahwal ini. ketika aku berhenti menekan huruf huruf di keyboard lap top ku ini, kelihatan langit semakin jauh dan awan awan yang pada mulanya agak hitam bersurai perlahan lahan, di tepi padang kelihatan angin berbondong bondong melorong di celah celah pohon yang tersusun beratur sebelum sampai ke jendela ku yang terbuka, burung tiak rumah yang tidak peduli terus melompat dari dawai pagar ke pohon bunga bunga kertas.
last modified Nov 12, 2005 at 18:38
nhf1,sitiaisyah,zahuri, aku setuju.
seronok sekali bila aku bayangkan dalam bentuk visual dan sedikit muzik..sudah tentu visual ini akan jadi iklan terhebat hariraya..percayalah..kita bukan setakat mahu "asam digunung..garam di laut" tapi lebih dari itu..kita tak mahu berlakun lagi..salam raya buat semua..
Sungguh benar semua itu. Rakan-rakan saya lebih gemar bergaul dengan bangsa sendiri. Kalau ada pun, satu dan dua sahaja yang sempat saya hulurkan persahabatan. Tanggapan dan pemikiran negatif yang diletakkan, seperti "bahasa aku lain, susah nak berkomunikasi" atau "kalau bangsa dia lebih pandai daripada aku, tak boleh" menghancurkan hidup muhibah di Malaysia.
Dan lagi satu, ye ... tulislah.
aku dan tentu juga mereka sangat perlukan tulisan engkau paling kurang tiap minggu satu jam selepas solat tahajud sebelum engkau tidur semula malam ahad tulislah
|