home
login::signup
we::blog

musim berangkat

Semenjak kebelakangan ini aku merasakan seperti ada musim yang berlaku. Musim itu ialah musim kematian. Musim Malaikat maut sibuk mencabut satu satu nyawa, bergilir gilir, tidak kira malam atau siang, pagi atau senja, nyawa dicabut tepat sekali tanpa ada sesaat kelewatan pun seperti dulu janji yang di ukir di alam janin. 
 
Pertama kali yang pergi ialah Johar, saudaraku. Johar di cabut nyawanya ketika pagi masih muda beberapa bulan lalu. Johar pergi setelah beberapa tahun mengidap kanser otak yang pada mulanya hanya di sangka migrain. Akhirnya letusan tumor benignan itu mengahantar Johar ke alam sunyi hilang ingatan. Ketika ku lawat dia di Hospital Pakar Seremban, ku lihat anak mata hitamnya tidak lagi menentu. Ciuman anak kecilnya tidak lagi di rasakan. Wajahnya menjadi sepi dari seri hidup. Tatapan malap isterinya, tangisan ibunya, simpati yang bertali arus dari kami akhirnya membawa Johar pergi setelah tiga bulan hidup di alam sunyi. Johar pergi ketika berusia 35 tahun. 
 
Kemudian lewat beberapa hari selepas itu sahabat ku Mohd Yusof pula pergi. Aku telah mencatatkan duka ku itu lewat tulisan belasungkawa ku ini : 
Tidak akan dapat bertangguh barang sesaat pun. Kalau sudah sampai masanya, harus rela dan tidak lagi dapat berbuat apa apa, walau untuk mengucapkan selamat tinggal pada anak kecil atau mencium dahi isteri. Angin akan bertiup longlai dan alam bagai terbius. Burung burung menghilang dan awan berhenti berkembang. Pohon pohon membisu dan daun daun kuning tertangguh untuk gugur. 
 
Ketika sore itu iseng iseng berlabuh maka ketika itu sahabatku Mohd Yusof pergi dan meninggalkan ruang dunia ini. Pergi dengan tiba tiba bagaikan suaranya masih bergetar dan tawanya masih bersimponggang. Sekelip hilang dan kemudian kami tak akan ketemu lagi dia. Dia telah pergi begitu jauh. Dia telah tidur sepi di sudut kuburnya. Nesan 2005 D, Tanah Perkuburan Shah Alam. 
 
"Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorangpun yang dapat menahannya; dan apa sahaja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorangpun yang sanggup melepaskannya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (Surah Faathir: Ayat 2) 
 
Pergilah Yusof, kerana atas sayang Allah padamu maka Dia mengambil engkau, tinggallah anak isterimu, tinggallah kami, tinggallah segala harta, rungkailah segala ikatan namun persahabatan dan kasih sayang kan tetap tertulis menjadi album kenang kenangan. 
 
Kami mengucapkan sedalam dalam belasungkawa, muga Allah mencucuri rahmat keatas rohmu dan di tempatkan di dalam golongan orang orang yang beriman. Alfatihah. 
 
Selain Yusof, jiran ku di kampung, Mak Cik Sipah juga baru sahaja berangkat. Beliau berangkat ketika berada di rumah anaknya di Klang. Aku hanya terkenangkan senyumannya yang ikhlas dan kata katanya yang lembut. Dia tidak akan ada lagi. Aku tidak akan berjumpanya lagi. 
 
Bapa saudaraku Hj Abas, bekas imam Kampung Simat, Johol, Kuala Pilah juga pergi pada khamis lepas. Dia menanggung diabetes dan tekanan darah tinggi. Jenazahnya di makamkan ketika hujan rintik rintik jatuh dan angin semilir seulas seulas membalai wajah kami. Ketika talqin di bacakan ada airmata setitik menetes di pipiku, terkenang peristiwa lama di antara kami. 
 
Sahabatku di kampung juga bernama Udo di cabut nyawanya di hospital Kuala Pilah. Dulu ketika kami sama sama mengaji Muqaddam dan Quran di rumah Tok Imam Wahab, Udolah yang paling baik bacaan quran nya. Tok Imam selalunya hanya menyuruh Udo mengajarku. Kemudian selepas aku duduk di asrama tidak lagi kutemui Udo. Beliau berhijrah ke Johor Bharu dan bekerja dan berkahwin di sana. Kemudian perkahwinannya ( spt diceritakan sahabatku yg lain ) mengalami masaalah. Udo akhirnya ketemu jalan lain, jalan untuk melupakan masaalah. Kata orang Udo akhirnya ditemukan penyakit yg tiada ubatnya. Beliau menghembuskan nafasnya di Hospital Kuala Pilah, di mandikan para doktor, di sembahyangkan juga di hospital dan terus dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung kami. Udo telah tiada namun aku masih ingat tawa riangnya ketika kami masih kecil dan mengaji bersama. 
 
Yunus Batu Bosar juga telah pergi. Beberapa tahun dulu beliau menjalani pembedahan di jantung. Tiada lagi sapa tegur Yunus yang penuh girang itu. Kampung kemudian kehilangan seorang lelaki 50'an yang sentiasa ceria. 
 
Aku menerima sms Sudeen ketika sedang mengunyah buah jambu merah ketika bercuti di kampung sempena hari buruh yg lalu. Wak Abas ayah kawan kami di Pulau Indah sudah berangkat ke rahmatullah. Aku hanya sempat menghantar sms ucap takziah. 
 
MGG Pillai dan pramoedya juga baru sahaja berangkat. Yang lain2 termasuk tiga mati akibat accident, dua mati lemas, 18 mati akibat ledakkan bom, 300 mati akibat gempa bumi, beriburibu mati akibat tsunami..ohhh. 
 
Tiada apa yang kekal. Hari ini kita menjadi billionare, esok akan barangkali hilang itu semua, yang tinggal ialah ingatan yang baik dan amal yang soleh. 
 
Al Fatihah untuk semua yang pergi.

last modified May 16, 2006 at 19:37



[ add a comment ]

"Setiap detik yang berlalu berkemungkinan adalah detik terakhir kita di bumi ini...
Tiada lain yang aku harapkan melainkan bila tiba detik aku pergi...
Aku kembali untuk pulang ke dakapan kasihNya
bukan ke salah satu lubang dari banyak lubang-lubang Neraka JahanamNya
Nauzubillah..."

Moga roh mereka yang telah pergi dulu dari kita dicucuri rahmat dan diampunkan dosanya, Amiin

Moga Allah ampunkan juga dosa kita yang masih berpeluang menghirup udara percuma dariNya, Amiin

154194 | posted by hanyasayang on June 1, 2006 at 9:16

mbah (nenek) baru seminggu meninggalkan alam fana ini. memandi dan mengkafankan jasadnya yang kaku sambil cuba menahan air mata bukan satu perkara yang mudah. namun, hasrat nenek yang merupakan warga singapura mahu meninggal dan dikebumikan di johor dapat disempurnakan walaupun sehingga kini kami tidak faham kenapa arwah mahu disemadikan di sana. semoga tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya begitu juga dengan yang lain...

154151 | posted by sitinesta on May 30, 2006 at 12:47

semakin hampir kita ke penghujung masa
muga tiada lalai leka...

154143 | posted by saorangorang on May 30, 2006 at 2:53