home
login::signup
we::blog

Lam bertanda di hadapan dan Pa baris di bawah bunuh Ya

Usai asar mak acuh acuh menyidaikan telekungnya di birai tingkap. Asap dari pelepah kelapa yang dibakar untuk menyalai daun pisang bercerlungan menitip dinding serambi. Langit bulan januari yang tinggi mengapungkan awan berkotak kotak, angin timur yang membawa sedikit lembab mengusap untaian sarang burung burung tempua nun jauh tinggi di hujung pelepah kelapa . Matahari sudah jatuh beberapa depa dari pohon pucuk manggis. Apalah agaknya yang mak bergegas benar dari tengahari menyiapkan kuih lepat pisang dan kemudian menyauk beras beberapa tempurung hingga penuh karung lima kati. Beras dalam karung dan kuih lepat pisang kemudian dibungkus dengan kain rapi rapi. Seusai aku asar mak menyuruh lekas lekas bersiap, pakai songkok dan berbedak.” Kita ke rumah Tok Hilir kamu” laung mak. Mendengar nama Tok Hilir maka terungkaplah tandatanya ku semenjak tengahari, aku akan mula belajar mengaji muqaddam. Lembaran baru seorang budak lelaki kampung ini akan bermula. 
 
Tok Hilir adalah seorang imam di kampung kami. Dia juga ayah saudara mak, adik beradik dengan ibu mak atau uwan kami. Mak ku memanggil dengan panggilan Ayah Hilir. Dia mengajar ramai anak anak kampong mengaji. Tidak ada apa apa ganjaran kecuali harus datang awal setiap petang, menyangkutkan songkok atau tudung di bucu para para tangga dan kemudian membelah kayu api atau mengangkut air dari perigi untuk dipenuhkan ke dalam tempayan. Ada juga yang suka menyiram pokok pokok lada atau pokok terung telunjuk di belakang rumah. Kalau Senah atau Hawa, mereka lebih senang menyapu, menyapu di atas rumah, bawah rumah dan juga halaman yang luas. 
 
Tok Hilir menyemput kami naik usai saja mak memberi salam. 
“ besar hajat kau Mah, siap bawa gendong nii?” sapa Tok Hilir. 
“ memang besar Ayah Hilir, ni Lope dah panjang nii, Mah nak serahkan pada Ayah Hilir untuk belajar mengenal tanda panjang pendek, sabdu atau dengung idegham” kata mak. 
“ Lope budak baik, senang aku ajar nanti” kata Tok Hilir sambil matanya melirik pada ku. 
“ tapi Lope, awak kena datang awal tahu, rebankan anak anak itik Tok yang ramai tu” kata Tok Hilir kepada ku. Aku hanya mengangguk, terbayang anak anak itik yang comel yang berjalan tergedek gedek. 
“ tapi apa yang kau bawa siap gendong tu Mah?” Tanya Tok Hilir pada mak. 
“ sedikit kuih dan beras Ayah Hilir” jawab mak. 
“ padi aku penuh berkepok kepok di bawah rumah tu, apa lagi yang kau bagi aku?” kening Tok Hilir berkerut. 
“ ayah Lope berpesan Ayah Hilir” jawab mak. 
Mak kemudian menyelak tudungnya dan mengeluarkan sebilah rotan halus panjang sedepa “ ini Ayah Hilir, saya serahkan Lope kepada Ayah Hilir beserta rotan ini juga, kalau buruk tingkahnya, Ayah Hilir sebatlah ke badannya”. Kata mak. Kemudian Tok Hilir tersenyum sambil mengambil rotan yang diserahkan oleh mak dengan kedua dua belah tangannya. Dia kemudian tersenyum lagi. 
“ kalau mahu dikira jumlah rotan di rumah aku ini, sudah boleh ku anyam bakul ayam, jarang benar budak budak di sini yang buruk tingkahnya, apalagilah Lope, budak baik” kata Tok Hilir sambil sekali lagi memandang padaku. “InsyaAllah Mah, menjelang ramadhan nanti kita harap Lope sudah boleh membaca dengan lancar, kau berdoalah, kasihi anak anak, orang tua kita hormati, anak anak kita kasihi” Kata Tok Hilir kepada mak.  
Dari jauh kelihatan Uwan Hilir baru pulang dari menziarahi Mak Chu dan Pak Chu Leman yang baru menerima orang baru. Kemudian tawa mak dan Uwan Hilir sayup sayup terdengar. Matahari yang semakin jatuh memanjangkan bayang bayang rumpun buluh di sisi pagar rumah Tok Hilir hingga sampai ke parit kecil bersempadan sawah. 
 
Dan setiap petang selepas itu, aku menyertai gerombolan Karim, Udo, Ramlan, Hawa, Senah, Ramli dan lain lain berderet deretan ke rumah Tok Hilir sambil membawa daun pelepah kelapa yang kami anyam untuk dijadikan obor penerang jalan bila pulang nanti. Kami tidak menganyam pelepah daun kelapa hanya bila musim bulan mengambang penuh.

last modified Mar 1, 2007 at 0:42



[ add a comment ]

jangnoes, wahh sudah boleh mengajar, tahniah.
rainbowboy, di mana mana pun ok asal free

158637 | posted by loppiess on March 13, 2007 at 23:36

..Tuk hilir pula tidak pernah meminta minta atau bercerita tentang upah. Semuanya dgn ihklas. Allah jualah yg membalasnya. Kdg2 aku kecewa dgn guru mengaji sekarang...ngajarnya bukanlah bagus sgt.Tapi jgn lambat bayar..mula la bagi 'clue' kat anak.Prestasi pula..hancur..Hukum hakam entah mana...frust betui. Akhirnya, aku belajar balik..dan ajar anak aku sendiri kat rumah ...Thats the best.

158619 | posted by ujangnoes on March 12, 2007 at 17:28

sekarang di blogdrive.

Sekarang tidak di Danchan mahupun Blogspot.

Tapi di blogdrive.

Terasa jauh dengan teman-teman di Danchan mahupun blogspot.

158585 | posted by rainbowboy82 on March 10, 2007 at 7:14

saya pula merasa terlalu jauh dengan mereka. bukan seperti dulu.

158584 | posted by tareht on March 10, 2007 at 3:55

jones, blogspot ku mengalami masaalah, setiap post yg dibuat, yg terpapar hanyalah tajuk sedangkan isinya tiada. makanya aku menulis semula di sini, dekat semula dgn seorang orang dan sitinesta.

158534 | posted by loppiess on March 6, 2007 at 18:57

laaaaa..lope. kamu masih di sini? rugi saya tidak tahu.

158533 | posted by tareht on March 6, 2007 at 12:41