|
Mat Tap, Rosnah dan Bat
Kunjungan kami ke Kg Kudei Baru di pinggir Kuching melawat sepupuku akhirnya menjadikan aku seorang ejen real estate yg tidak resmi. Semenjak duduk di Serawak, berkahwin dan membeli tanah dan membina rumah di sana, Zul akhirnya membuat keputusan untuk menjual sahaja rumahnya di Seremban. Tanggungjawab itu dia serahkan kepadaku memandangkan adik beradiknya yang lain amat sibuk dengan hidup mereka masing masing. Bila pulang ke Kuala Lumpur aku mula mencari jalan bagaimana bisa mencari pelanggan untuk rumah teres satu tingkatnya itu. Di rumah itu sendiri aku meletakkan iklan di samping beberapa laman web berkenaan jual beli rumah. Dalam seminggu barangkali ada dua tiga inquiry, ini termasuklah dari En.Mat Tap, pesara tentera yang kini bertugas sebagai pemandu lori. Mat Tap duduk di sebuah flat kos rendah di pinggir Kuala Lumpur. Flat yang mempunyai dua bilik itu didiami Mat Tap bersama isterinya dan tiga orang anak. Aku di jemput Mat Tap ke rumahnya untuk berbincang tentang rumah yang hendak dijual tersebut. Aku sampai seusai magrib setelah berulangkali tersesat. Jelaslah Mat Tap seorang yang peramah dan kami seperti sudah lama kenal diantara satu sama lain. Ruang tamu rumahnya agak begitu sempit, selain TV besar yang barangkali 32 inci saiznya, di situ juga penuh dengan telur ayam yang tersusun yang barangkali jumlahnya beribu biji di samping guni guni bawang dan ikan bilis. Rupa rupanya isteri Mat Tap berniaga nasi lemak setiap pagi, katanya dalam sehari ada lebihkurang 15 kilo beras di perlukan di samping dalam tujuh lapan ekor ayam. Bisik hatiku, tentulah pendapatan keluarga Mat Tap sungguh lumayan. Dalam kelemasan asap gudang garam kami bercerita macam macam, kata Mat Tap dia sudah 10 tahun tinggal si situ dan dia sudah membeli sebuah rumah teres setingkat di Seremban, kebetulan rumah yang mahu ku jual tersebut adalah bersebelahan dengan rumah Mat Tap, jadi dia mahu sambungkan saja kedua dua unit rumah tersebut menjadi satu. Kembali kepada rumah flat yang dia diami sekarang, keadaannya agak daif, untuk naik ke tingkat enam rumahnya kami menaiki lif dan kemudian menaiki tangga pula kerana bukan semua tingkat ada lif berhenti. Keadaan di dalam lif dan di sepanjang tangga amat trajis, bau hancing dan sampah sarap bertaburan. Di dinding pula penuh dengan tulisan tulisan dan gambar yang amat lucah seperti gambar manusia sedang melakukan seks, gambar alat genital lelaki dan perempuan dan bahasa bahasa yang tertulis penuh dengan unsur unsur diperkudakan nafsu semata mata. Kami juga terserempak dengan muda mudi yang sedang berkumpul di selok selok tangga. Mereka berpakaian amat sedikit, seluar pendek sang gadis amat singkat dan rambut mereka begitu blonde. Sang lelaki pula apa kurangnya, tidak berbaju, bersubang di telinga dan memakai seluar Hawaii yang dilondehkan hingga hampir hampir saja menampakkan gugusan gelap ruang belakangnya. Mat Tap memberitahu, adakalanya mereka sangat muda, sekitar tingkatan satu. Mereka sangat liar, melakukan seks di mana mana saja, hatta di tangga flat sekali pun. Adakalanya mereka berpesta di bumbung flat berhampiran tangki air. Mereka tidak boleh ditegur malah jika dipandang pun mereka sudah menunjukkan reaksi seperti mahu membunuh kita. Ketika aku memandu pulang ketika perbincangan tentang rumah dengan Mat Tap selesai, fikiran ku asyik terkenang akan dunia flat kos rendah yang baru aku lalui sebentar tadi. Pun sejak dulu tidaklah aku sedari rupa rupanya ada secebis kehidupan yang sebegitu berlaku dan dilansungkan oleh watak watak anak bangsaku sendiri. Ia satu kisah yang tersembunyi yang tidak di ceritakan oleh media massa atau ahli politik. Ia berlaku dalam kelibut orangramai bercerita tentang pembangunan Putrajaya atau perasmian Islam Hadhari. Ia satu kisah sedih bilamana para ibu dan bapa siang malam bekerja mencari rezeki untuk menampung kehendak kehidupan masakini tanpa dapat memantau anak anak sebagaimana layaknya. Ia satu kisah menyayat hati bila ibu berpisah dengan bapa dan anak anak hidup atas kebebasan mutlak. Ia berlaku dan berlaku. Ia berlaku dan berlaku. Aku menulis tulisan ini di dalam komputerku. Di luar jendela hujan turun dengan lebatnya. sajak buat Rosnah dan Bat dan malam yang sunyi Rosnah memberi daranya kepada Bat di tangga flat sedih amat. Ketika itu azan magrib. sedih amat. Kuala Lumpur tidak memperdulikan. Bas Rapid KL dan LRT. hujan. sunyi amat. tempias dan angin dan cerlung merpati tidur. ya darah dipalit sepanjang koridor hancing kencing dan salak anjing, ya malam kian busuk buletin jam lapan. gempa di Sumatra dan peluru Fatah membunuh Hamas ya pilu amat. bulan runcing dan bobot. pohon pohon basah oleh tangis renyokkan saja seluar dalam mu yang bersejarah itu ibu entah di mana dan ayah membuang sialnya di rumah urut para bilal hanya berseronok dengan pembesar suara dan politikus asyik membaca sajak lapuk. ya totok amat kepada Rosnah dan kepada Bat aku mengintai esak hidupmu dari tingkap mindaku yang malap. ya gelap amat. loppiess
last modified Mar 19, 2007 at 23:10
|