|
telex baru sampai.
Semua muka nampak gembira apabila membaca telex yang baru sampai yang ditampalkan oleh pegawai radio di papan kenyataan crew mess room. Pump Man Isa dan Bosun Sidin tersenyum sumbing manakala Ordinary Seaman Yaakob Bulat dan Greaser Mahbob juga tersenyum meleret. Berita baik yang tertulis bukanlah berita kapal akan memasuki Port Klang atau Pelabuhan Kuantan setelah 6 bulan tidak ketemu pelabuhan Malaysia tetapi kapal akan menaikkan kayu kayu balak di pelabuhan Tanjung Periuk. Barangkali dalam kira kira seminggu lamanya kapal akan bersandar di dermaga Tanjung Periuk sebelum kembali meredah samudra untuk mudik semula ke Eropah. "Seminggu di Jakarta adalah seminggu di syurga" kata Junior Rating Hamidon. Tanjung periuk tidaklah jauh sangat dari Kramat Tunggal, dalam beberapa ringgit tambang teksi maka akan sampailah ke pintu gerbang di mana di dalamnya penuh dengan anika perempuan, pilih sahaja mana yang pekenan seperti memilih kain langsir menjelang hari raya. Kramat Tunggal kembali menjadikan Bosun Sidin sebagai orang muda yang gelojoh. Itulah antara sebabnya kenapa dia harus terus belayar kerana jika tidak belayar apa yang boleh dibuatnya di kampung. Menjelang masuk usianya ke 54 tahun, jika tidak terhidu hanyir laut mahu jatuh sakit jadinya. Darah yang mengalir di dalam urat temuratnya telah pun masin oleh ringkuh pahit getir pelayaran. Ombak dan camar, ribut dan cinta yang tertebar serata pelabuhan menjadi dia lelaki utuh, seutuh sauh yang tersangkut, seutuh crane yang berdiri atau sekuat debur riak.
last modified Mar 20, 2007 at 19:58
|