home
login::signup
we::blog

Benci kepada sepi dan mengenang.

Lope, cakap aku ini kau dengar, boleh tapi pakai jangan. Aku ini kelasi tua yang sarat dengan falsafah tapi falsafah mereng, falsafah meracau. Kalau didengar orang yang tak faham, mahu saja mereka menuduh aku gila, ohh barangkali betul juga mereka. Aku ini lelaki tua yang bebas lepas. Bebas mengikutkan hati. 
 
Dunia kapal, dunia laut dan dunia pelabuhan ini sangat berbeza. Kehidupan di sini adalah kehidupan dalam perjalanan panjang tak pernah usai. Setiap hari atau setiap minggu atau tahun kita sentiasa ketemu camar yang berlainan, seperti ombak itu juga, kadang kadang laut bagai cermin dan adakalanya pula berombak bagai gunung ganang. Seperti pelabuhan juga, para stevedornya berlainan atau kulit mereka berlainan warna, seperti perempuan perempuan yang menyundal juga,ada yang sungguh menawan atau ada yang seperti barge barge itu, gedempol. Seperti arak juga, lain jenis araknya lain pulalah bentuk syurganya atau penangannya, hari hari mudik dengan kelainan. Dari hari ke hari kita amat bergegas dan hati kita menjadi tegar dan adakalanya juga lompong dan terkucil. Cuma kadangkala ada sepi menyelinap kala malam jauh. Aku benci kepada sepi dan mengenang. Aku meluat kepada rasa kesal.  
 
Jiwaku ini telah hitam dipagar oleh dosa barangkali hingga aku tidak mampu melepaskannya dari berfikir mulia. Hijab dari kebenaran amat kukuh berdiri apabila ada sebarang pilihan. Kalaulah aku ini dapat dilahirkan semula dan menjadi seorang bayi.................... 
 
Aku melihat kelopak mata Bosun Sidin berair. Ohh, Bosun tua ini amat beremosi. Jalur kerut di dahinya beralun seperti ombak. Rambutnya yang keriting panjang berulas ulas jatuh di pipi dan misainya. Aku tidak menyangka dia juga masih merasa akan jauhnya ia telah terlepas dalam mengemudi dirinya.  
 
Angin kemudian berpusu pusu meliar. Bunyi dentangan rope dan sling sling besi yang mengetuk gangway yang diikat kemas berkeriutan. Di hujung laut awan amat hitam.  
 
Sesekali kelihatan flying fish bertempiaran di dada laut, garis garis halus yang terhasil dari sayapnya membentuk garis garis lurus kecil yang bobot.

last modified Mar 29, 2007 at 23:48



[ add a comment ]

di kampung sini semakin sepi bro. Orang orang telah berhijrah ke tempat lain. Yang ada pun cuma sebuah dua rumah rakan rakan yang tak diusik pijar panas, lenjun hujan atau anai anai. Tapi di kampung sini terasa seperti kampung penuh nostalgia hingga aku adakalanya ingin pulang kepada nostalgia dan memulakan semula tulisan tulisan yang keluar dari kalbu.

159005 | posted by loppiess on April 13, 2007 at 1:19

lope, aku masih ke mari. dan rasanya aku juga singgah ke rumah lama aku di danchan.

uipts

158940 | posted by uipts on April 5, 2007 at 17:20