|
Dulu-dulu. ( 1 )
Dulu. Hidup begitu perit, mengerjakan sawah dua relung. Pagi pula seusai subuh berpelita lampu kabaid di bucu dahi terhendap hendap dari sebatang pohon getah ke sebatang pohon getah. Dapat sebaldi sekerap hantar ke kedai Rahman, lima ringgit bahagi dua, dua ringgit setengah buat Hj Ujang tuan ladang getah dan dua ringgit setengah lagi buat kita. Dari dua ringgit setengah, tigapuluh sen dibeli minyak kelapa dapat suku botol, botol setengah kati, empat puluh sen tepung, limapuluh sen gula, garam limabelas sen, minyak api tigapuluh sen, lagi sardin tin kecil enampuluh sen dan mancis api dua kotak. lebih untuk belanja sekolah, lima sen setiap orang di samping cekodok tepung atau pisang yang dibungkus dengan kertas dari buku sekolah lama. Tapi kami bahagia. Tidak tinggal solat, tidaklah malas sangat meskipun cuaca amat sejuk tika subuh. Kami tidak malas ke sawah. Tidak malas untuk mengaji quran. Sayur di petik dari kebun, pucuk paku banyak, paku tanjung, paku merah, paku paya. Pucuk pegaga menjalar lebat disekitar dapur. Kambas dan peria bergantungan di sepanjang pagar bersempadan rumah Lijah. Pucuk ubi tak termakan menghijau. Pucuk tangkis penuh kolam di baruh. Kelelayau yang lembut juga penuh disekeliling bondar. Kangkung segar sepanjang parit dan sesekali selepas musim hujan yang panjang, cendawan busut tumbuh melata, boleh di gulai kuning, di masak kuah air, digoreng dengan cili atau apa apa saja. Makan siang malam berselera meskipun tiada tenggiri atau udang galah. Jika hujan datang dan bertapa dalam musim yang panjang maka kami tidak ke kebun menoreh. Tidak menoreh maka tidak berduit kami, tapi taklah serisau mana pun kerana padi di kepuk masih penuh, total tiga kepuk penuh. Kaut saja dengan bekas tempurung kelapa saka padi tersebut dan jemur masak masak. Kemudian hantar ke kilang mesin padi Ismail ( Kilang Padi Kerajaan ). Berasnya putih, dedaknya boleh juga diambil untuk makanan ayam. Masak beras baru, lembutnya sungguh menyelerakan. Kalau gulai ayam masak lemak cili padi campur serai, ada pulak ulam petai atau jika musim kerdas, berulam kerdaslah kita makanya selera tidak dapat dibendung bendung. Itulah sebabnya makan selepas zohor, sebab selepas makan boleh terus lepak di pangkin bawah rambutan depan halaman, kelip kelap mata kemudian terlelap seketika. Ketika itu angin dari sawah lalu lalang dan pepatung menari nari di atas kelopak bunga raya. Kadang-kadang terpaksa juga berhutang di Kedai Rahman. Ini bila hujan terus terusan. Hutang pun tidak banyak, hanya untuk beli minyak api atau ikan kering. Ikan untuk masak seharian banyak di lubuk, di parit, di bondar, di taliair. Ikan puyu, ikan keli atau haruan. Ikan belut juga banyak, pancing saja, tidak lama, setakat untuk masak siang dan malam cukuplah. Kalau musim kemarau panjang, air lubuk menyusut, inilah musim menimba. Buat empangan kecil dan buang semua air dalam kolam, sembilang, puyu, sepat atau haruan akan terkuap kuap, masa tu kita semua main tekap saja, seluk perlahan lahan, kalau keli, harus kenal mana durinya, kalau pegang jari telunjuk dan ibu jari haruslah sengatnya terkangkang dan kepit pada sendi kepalanya. Harus pandai kalau tidak, terkena sengat keli, lebam sebelah tangan. Bisanya mengalir dalam urat hingga ke bahu. Jangan buat hal. Ikan kalau dah banyak bolehlah buat pekasam. Nanti kalau saudara jauh datang atau pulang ke kampung bolehlah dibekalkan bila mereka mahu pulang nanti. Begitulah, tak banyak penyakit masa tu, ikan fresh dari lubuk atau bondar, tiada pengawet. Ayam kami bela dalam reban, tiada antibiotik. Sayur kami pungut dari kebun, tiada racun serangga. Kerbau dan lembu juga tiada antibiotik, mereka hidup bergelumang di sawah pagi petang siang malam. Kambing apatah lagi, kalau Pak Ya Hitam, reban kambing di bawah rumahnya saja. Wap tahi kambing malam malam naik, patutlah Pak Ya suka tak pakai baju. Panas!. Musim bersawah, semua orang ke sawah. Hiruk pikuk. Bunyi orang, kalau padi dah terbit ( berbuah ), bunyi tin tin pula riuh untuk menghalau pipit uban yang datang berkumpulan. Mereka kalau makan sungguh laju. Setangkai padi yang mekar boleh habis dengan cepat. Ramai tak setuju dengan kata kata Tok Siak Long "sedekah pada mereka". Kalau berbicara tentang pondok di tepi sawah pula, biasanya pondok Hj Saidlah yang paling cantik. Ini kerana selain seorang tukang rumah, Hj Said punya empat relung sawah. Pondoknya di atas busut tinggi, ada varandah. Angin tengahari di sawah sepanjang masa bertiup ke pondoknya. Di tepi pondok pula ada lubuk kecil yang penuh teratai. Sambil duduk duduk kami juga menghulurkan joran pendek ke lubuk kecil itu. Ikan yang menyahut umpan akan ditanggalkan dari pancing dan dengan mengangkangkan mulut ikan itu, kami menyucuknya ke dalam seurat dahan kenuduk yang bercabang dihujungnya. Bila petang, penuh sebaris dahan kenuduk itu dengan puyu dan keli. Kami tidaklah malas sangat. Kami rajin mengaji, senang pula pandai, tajwid betul, dengung betul, berbaloi sebelum mengaji sapu halaman Tuan Guru. Angkut air dari perigi. Kayu api susun bertingkat-tingkat sebelum kering, bila sudah kering masukkan dalam pasung bawah ruang dapur. Kalau mengaji rumah Hj Hassan, kambingnya pun kena rebankan dan hidupkan unggun api. Terung, bayam pasir dan petolanya kena siram, basikalnya kena basuh, tak mahu ada kesan air getah sekerap. Kami mengaji tidak dikenakan bayaran tapi kami kena berkhidmat dengan Tuan Guru. Tuan Guru kami semua garang garang. Kepala disugunkan ke rehal perkara biasa. Sekeh dan rotan juga perkara biasa, tapi kami redha, tidak melawan walau sepicis ayat pun, tidak menjeling, hatta kepala pun tidak berani di angkat. Penyerahan penuh. Total. Itu sebab kami cepat pandai. Sehingga hari ini, lengguk ayat, rima tajwid masih boleh digunapakai.
last modified May 7, 2007 at 20:57
|