|
Dulu-dulu ( 2 )
Musim hujan adakalanya amat panjang. Hujan jatuh dari malam membawa ke pagi dan kemudian membawa ke petang sebelum bersambung membawa ke malam semula. Langit yang biasanya biru sudah menjadi kelabu, hitam bertompok tompok, kabus penuh di jejeran bukit, kabus di bukit bersatu dengan awan yang rendah. Hutan kelihatan berwarna biru gelap, diam dan kaku. Tempua duduk diam di sarangnya yang tergantung gantung di buai angin di hujung pelepah kelapa. Atap zink berbunyi tap tap tap, mula mula setitik setitik rintik rintik jatuh satu satu kemudian selang beberapa saat irama berubah seperti orkestra gendang bertalu talu dan selang beberapa minit kemudian irama tidak dapat lagi dikesan, ledakkan hujan yang jatuh menimpa atap zink seperti ketukkan jutaan pemukul gendang bersimpongang bertabrakkan. Bertalu talu, kami duduk bersimpuh di juring tingkap, berteleku menyandarkan dagu ke birai kayu melihat air yang jatuh dari pancuran, berlumba lumba mendesah, membawa sekelian daun daun rambutan, daun limau dan biji biji getah menakahi turun lekuk lekuk hujung halaman sebelum meluru hingga ke banir manggis dan terpecah melata di sekitar kangkung yang meliar dan tunggul kelapa yang di selimuti daun daun sireh. Kalau malas ke perigi, berdiri saja di pelantar tangga, berwuduk dengan air pancuran yang bertubi tubi jatuh dari atap. Tabuh surau jarang kedengaran kerana orang orang sejuk berteleku, kalau pun yang tetap berjemaah hanya Lebai Makrom dan Hj Wahab, Lebai Makrom datang berpayungkan daun pisang, kain di ikat hingga ke pangkal peha, tali pinggang Mekahnya di ikat kuat, di lipatan tali pinggang itu juga tersimpan rokok daun dan sedikit tembakau cap ayam jantan sedang berkokok. Hj Wahab datang dengan payung buluhnya, payung cap rama rama. Udo Kelah juga datang jika beliau tidak ke hutan berburu. Suka yang amat. Kita dulu ke Surau. Terutama jika ada kenduri. Maulud Nabi. Kenduri Israk Mikraj. Awal Muharranm juga. Kenduri tidak masak di surau. Semua orang bawa nasi dan lauk dari rumah. Jika 40 keluarga datang, maka 40 jenis lauklah. Ada bawak gulai telur itik campur kulit rambai, ada bawa gulai daging landak raya, ada bawa gulau rendang ayam, ada bawa siput sedut, ada bawa lauk ikan keli salai, ada bawa gulai umbut enau...nahh, carilah mana mana buffet di hotel di Kuala Lumpur sana, tidak akan dapat di ulangi itu semua. Di surau juga bila makan, para ibu sibuk mencari anak anak mereka, menghulurkan lauk lauk terpilih, para bapa dihantar petai dan kerdas, nasi dalam dua bekas bertingkat ( bekas dibuat dari aluminium dan dibeli di Kelantan semasa rombongan selepas menuai ) setiap orang habis, para bapa duduk tersandar di varandah surau, menanggalkan kopiah mereka dan menyarungkan di kepala lutut, bau rokok daun bertembakau cap ayam jantan sedang berkokok bertebaran, begitu juga rokok 555 dan juga Goldleaf. Hampir 12 malam barulah usai. Di tepi sawah ada belukar berjejeran selepas mengharung paya mengkuang yang hidup subur bersama kolam kolam yang penuh ikan sepat berjanggut panjang. Selepas musim menuai dan jerami jerami di bakar, sementara menunggu musim membenih bermula kembali, orang orang perempuan bergotong royong membuat tikar mengkuang. Daun daun dewasa mengkuang dipilih dan dipotong, dibuang duri dan disalai sehingga agak lembik sebelum dipotong berlembar lembar, dilipat seperti simpulan besar kemudian direndam ke dalam air. Selang beberapa hari sesudah lembut, diangkat semula dan dijemur sehingga kering kemudian mula diannyam. Kecekapan jari amat perlu dan setiap sisi tikar harus dilipat dengan teliti. Tikar yang baru siap disimpan. Nanti ada saudara yang jauh datang, segera di bentang. Tetamu akan duduk di atas tikar baru. Jika tidak bersekolah ( disebabkan cuti atau kami sengaja ponteng ), kami akan menghabiskan masa di sungai, memancing di kelok kelok sungai. Sembilang atau seluang yang menyorok dari arus laju sungai di kelok kelok liku memang lapar, hulurkan mata umpan yang diselimuti cacing gemuk akan segera dimakan, menjelang petang penuh setangkai dahan kenuduk dengan sembilang sungai atau seluang sungai. Jika tidak ke sungai, kami akan ke belukar memikat merbah atau pipit uban. Sangkar pikat yang kami buat sendiri dengan lidi penyapu dan batang sagu kecil memang cantik. Jumlah semua bilik ada 5 termasuk bilik ditengah tengah yang disediakan untuk pipit uban pengumpan. Sangkutkan selembar padi masak disetiap bilik, bila merbah atau pipit uban melangkah masuk, memijak batang penyangkut, pintu bilik sangkar pemikat tertutup. Bertambah koleksi kami. Saat yang paling indah ialah mengintai merbah atau pipit uban yang melompat dari ranting ke ranting sebelum masuk ke sangkar pikat. Kami duduk senyap di sebalik belukar memerhati dengan penuh debaran. Adakalanya pipit uban tidak jadi masuk dan adakalanya masuk tapi tanpa memijak jerat pelentik maka pintu tidak tertutup. Bermain dengan pipit uban sungguh mengasyikkan. Kilau matanya sungguh menawan, kami suka memasukkan tangan kami ke dalam sangkar dan membiarkan pipit uban memijak tangan kami. Itulah kemesraan yang sukar dimengertikan. Selepas menuai, pagar dibuka. Kerbau kerbau bebas keluarmasuk bendang. Kami naik ke belakang kerbau dan menarik ekornya supaya berjalan. Ketika kerbau melompat parit besar, kami terjun terus ke dalam parit. Apai sepupuku membuat gelang di tangannya dari lintah lintah kerbau yang besar. Mentari di sepanjang siang menghitamlegamkan kulit kami. Rambut menjadi keras kerana lumpur. Malam penuh dengan keletihan. Bunyi burung malam, cengkerik dan denting atap zink membawa kami meneroka ke alam mimpi.
last modified May 7, 2007 at 20:58
Masa lalu adalah daerah kita yang hilang. Aku mencarinya semula dalam bentuk menyusur kenangan dan menulisnya di sini. Harap harap satu masa nanti anak anak dapat menikmatinya walaupun dalam bentuk tulisan. Untuk menulisnya di sini aku harus bermabukkan dan khayal dengan masa lalu. Mengutip kenangan dan memperincikannya lalu menulisnya bukanlah seperti mengutip siput di tepi pantai, kita harus mengundur puluhan tahun ke belakang dan merasainya semula untuk memberi roh kepada tulisan2 itu. Kenangan dan peristiwa peristiwa itu barangkali berjuta banyaknya bergantung kepada warna warna kehidupan yang kita lalui dulu, sebagai budak kampung, aku punyai warna warna yang pelbagai dan adalah dikesali jika aku gagal memberitahu mu tentang warna warna itu. nantilah bro, jika aku dapat meluangkan masa dan kembali bermabukkan dan khayal dengan masa lalu itu, akan kutulis lagi kerana diary ini adalah tulisan ku yang pelbagai yang berada di dalam lingkungan tubuhku semenjak mula bernafas.
lope, rakaman kamu tentang masa dulu itu cukup mengesankan. Aku terpaku dengan ketelitian kamu merungkaikan setiap detik yang dilalui. Detik-detik yang mungkin tidak lagi dirasai oleh anak2 aku dan kamu. Kerana mereka telah jadi anak orang taman yang tidak kenal mana satu burung merbah mana satu ayam jantan berak kapor. Burung serindit hijau yang memenuhi pokok belimbing buluh itu mereka hanya pernah jumpa ketika lalu di jalan masjdi India kerana burung itu mengutip daun terup satu demu satu. Alangkah damainya dimasa lalu itu, walaupun ketika hujan lebat, ubi rebus dicicah kelapa kukur campur sedikit garam sudah mengenyangkan. Teruskan lope dengan rakaman begini.
Yang ingat amat tentang kampung ialah deretan pokok getahnya sampai ke jalan besar keluar kampung.
Cari kayu api disitu,Mandi sungai di situ,Cari lembu (atuk punya) disitu.
Sekarang dah ditanam dengan pokok-pokok getah baru.Lagipun kawasan ladang getah tu dah berpagar.Tak boleh nak main masuk sembarang aje.
Kampung Temenin Baru-Kota Tinggi.
|