|
Catatan lewat September.
1. Memang sangat mengujakan untuk berdiri semula di sini, rasa teruja itu sama seperti dirasakan lewat pendakian pendakian terdahulu. Memegang papan tanda Gunting Lagadan ini dan melihat matahari yang acuh acuh keluar dari rimbun awan seperti kita kembali memutarkan lagu lagu kepahlawanan lama kita untuk kita tonton sendiri walaupun kehebatan itu tidak seperti berada di puncak Everest namun keinginan untuk berusha itu atau kepayahan yang kita tempuh membuatkan kita merasakan kepuasan. Namun yang sangat aku nikmati ialah aku terasa berada sangat hampir dengan alam. Terasa diriku bagai sebahagian alamiah. Kedinginan, gunung ganang, awan gemawan, hutan, hujan, tupai dan juga lukisan Banjaran Crocker di depan sana mendakap erat menyerap ke dalam jantung zulmat. 2. Dalam kelibut jam yang berdenting dan siang bertukar senja dan kemudian subuh akhirnya menemukan semula ramadhan al mubarak kepada kita. Sungguh cinta. Sungguh kasih kita akan bulan yang satu ini kerana ia bulan luar biasa, yang kembali mendinginkan kita dari apung pijar..pijar alpa, pijar duka, pijar semborono, pijar gering hati, pijar dunia dan berbagai pijar lagi. Dan aku seperti Cikgu Suri yang menghantar sms lewat selepas magrib semalam ingin pula memanjangkan ucap selamat ramadhan semuga ramadhan ini adalah kitaran baru kepada kehidupan berugama kita yang penuh muhasabah dan rasa kerdil kepadaNya, kepada sahabat2 yang mungkin membacanya spt: Siti Nesta, Abang Keng, Bunga Rampaiku, sahabatku Denai di Musir, Jangnoes ( terkenang mee ikan Kak Nong), AbdullahJones, Saorang-Orang, Sinaganaga, Rainbow, Hanyalah Sayang dan banyaaaak lagi yg tak upaya kuingati. 3. Sapiah meneleponku lewat selepas sahur untuk mengatakan rumahnya bergegar dan semua orang harus turun, maka dimalam ramadhan yg pertama itu bertempiaran penghuni turun bimbang jika terbit musibah yg lebih besar. Di Padang Sumatera, spt diceritakan orang, ramailah umat bertemu malaikat maut, mahu tidak mahu, malaikat maut hanya menjalankan tugas yg di amanahkan. Kepada mereka2 yg pergi terdahulu, kita sedekahkan Al-Fatihah semuga roh mereka tergolong di dalam golongan orang2 yang dirahmati Allah. Demikianlah.
last modified Sep 12, 2007 at 18:27
|