home
login::signup
we::blog

Masduk

Ingin kuceritakan tentang Masduk sahabat baik ku, beliau seorang jurutera di sebuah syarikat pengangkutan. Kawan lamaku, kami sama sama belajar dan sehingga sekarang ada juga satu dua aktiviti meredah alam yg kami jalani bersama. Beliau telah mengerjakan umrah dan dia begitu seronok bercerita tentang kelansungan hidup, harapan dan matlamat bila saja kami berpeluang berjumpa di mana mana kopitiam atau kedai makan yang berbalcony. Tidak seperti aku, beliau masih merokok, memanjangkan tabiat kami semasa di kolej, berkongsi sebatang rokok, ada ketikanya sebatang rokok bukan sahaja dikongsi berdua malah bertiga, selalunya dengan Karim yang sekarang menetap di Dubai. 
 
Dengan Masduk, kami sering saja berfalsafah tentang apa sahaja, ini pun tabiat kami dari zaman sekolah. Adakalanya falsafah semborono yang kami ketawakan sehingga hari ini namun Masduk tidak pula menulis sajak seperti aku. Yang kami sama gilakan ialah project "pulang kepada alam" contohnya seperti berkemah di Jeram sangkut, memanjat gunung, berkelana dengan kereta api, menjadi tetamu pulau atau memancing di kelong atau celah rumpun rumpun bakau. Namun bila usia merangkak dewasa, kami akhirnya terjerumus ke dalam pusaran kitaran hidup masakini yang terlalu banyak mendambakan masa, tenaga dan fikiran. Kehendak kehendak masakini itu terlalu pelbagai dan untuk menjadi sebahagian dari mereka yang kononnya mengikut arus kita haruslah sama bercemplong dalam arus itu hingga adakalanya tidak mampu pula menyeruak untuk bebas dalam pusaran yang dari masa ke semasa semakin ganas pula sifatnya. Kata Robert Kiyosaki, kita menyertai perlumbaan tikus yang berlari didalam satu lingkaran bulat, sedemikian dikayuh dengan laju harap kita sudah pergi jauh namun kita rupanya masih di dalam lingkaran bulat itu dan masih juga di dalam sangkar yang sama.  
 
Berbalik kepada Masduk, begitulah kami setelah bekerja, berkahwin dan punya anak anak, masa sungguh mengawasi kami dengan teliti. Terasa Masduk semakin jauh hanya kadangkala cuma ada satu dua email, itupun bukanlah bertanya kabar cuma email email forward yang berkisah tentang seperti penemuan makanan tidak halal, point point perangkap laju polis, gambar2 kemalangan, gambar2 yang cantik, pelik atau adakalanya juga gambar hantu dan aku tidak pernah mereplynya. 
 
Dulu, semasa kami belajar, ada juga dikala cuti aku mengikut Masduk pulang ke kampungnya di Selangor. Kampungnya penuh dengan sawah padi dan kelapa yang tinggi. Aku menolong mengopek isi kelapa, menolong mencabut anak anak padi untuk di pindah ke petak sawah, aku menolong membersihkan pohon pohon koko yang ditanam di celah celah pohon kelapa, kami ke gigi pantai mencari siput dan ketam, kami ke Pekan Sungai Besar membeli ubat batuk yang kata Masduk apabila dicampurkan dengan cocacola dan diminum akan menerbangkan fikiran kita ke alam lain, alam yang dikongsi oleh alunan Deep Purple, bunyi cengkerik dan sunyi malam. Aku pun turut merasakan alam yang Masduk ceritakan, namun tidaklah pula aku terbang, cuma tidur yang fana dan melupakan solat dikala fajar terbit di ufuk. 
 
Masduk juga pernah ke kampungku yang jauh di pendalaman Negeri Sembilan sana. Dia kubawa mengikut Pak Busuku menoreh dan memungut getah sekerap, aroma di tangannya tidak hilang hilang untuk beberapa hari, dia bersumpah tidak akan menyentuh getah sekerap lagi. Kami juga kebendang, dia juga kubawa ke rimbun semak dihujung sawah untuk melastik merbah dan memikat pipit uban. Dan yang dia tidak lupakan hingga kini ialah masakan ibuku. Goreng tempoyak pedas atau juga masak lemak cili padi ikan keli. Katanya dia sering mencari masakan itu di buffet sekitar Kuala Lumpur namun tak pernah ketemu. 
 
Demikianlah Masduk, dia adalah diantara manusia manusia yang hadir ke dalam hidupku dan aku menulis tentangnya. 
 
Salam kepada bro. keng dan Bunga Rampai.

last modified Sep 18, 2007 at 17:57



[ add a comment ]