home
login::signup
we::blog

...sambungan Al-Ruwaibidah

Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya‘la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al- Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi. 
 
Maka menjadi tanggungjawab rakyat dan kepimpinan memastikan setiap tokoh yang akan dilantik adalah kerana kewibawaannya. Karisma atau kewibawaan dirujuk kepada dua persoalan asas; pertama; pegangannya kepada agama secara menepati al- Quran dan sunah. Ini kerana kemuliaan umat ini mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisah dengan penghayatan seseorang terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya. Kedua; kemampuannya memegang amanah kepimpinan dalam erti kata mampu memimpin umat ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Bukan semestinya lebai atau ustaz, tetapi iltizam dan keupayaan. Bukan kemewahan harta atau lebar serbannya tetapi kewibawaannya. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (an-Nisa’ ayat 58). 
 
Amatlah dukacita bagi sebuah masyarakat yang apabila disebut pemimpin politik lalu terus terbayang dalam pemikiran tentang limpahan harta dan gaya mewahnya, bukan ketajaman minda atau keprihatinannya kepada rakyat. Kita suka pemimpin yang berharta, jika itu membolehkannya membantu rakyat khususnya muslimin. Namun hendaklah kekayaan hasil titik peluhnya atau usahanya yang tidak mencemarkan kepentingan harta rakyat. Jika itu dapat dilakukan, dia bukan sahaja memimpin idea yang baik, juga penderma yang membawa kebaikan untuk rakyat. Kekayaan pemimpin mesti untuk manfaat rakyat. Maka dengan itu dia dipilih di samping kewibawaannya juga kerana kesudiannya menghulurkan bantuan, bukan membisneskan harta rakyat. 
 
Dalam Musannaf Abi Syaibah juga meriwayatkan surat Amirulmukminin Umar bin al-Khattab r.a. kepada gabenornya Abu Musa al-Asy‘ari r.a., antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan.” (8/147). 
 
Maka seorang pemimpin itu mestilah mempunyai penasihat-penasihat yang baik. Mereka menasihatinya dengan jujur, dan hendaklah selalu dia berkata “berikan pendapat yang ikhlas lagi diredai Allah kepada saya. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah (Riwayat al- Bukhari dan al-Nasai). Semua pemimpin hendaklah memastikan perdampingan dengan penasihatan yang baik itu benar-benar dihayati dalam kepimpinannya. Inilah jalan selamat setiap kepimpinan. Umara jujur hendaklah selalu bersama para ulama yang ikhlas. Keikhlasan para ulama menyuburkan keadilan pemerintah. Maka haram dan khianatlah ulama jika mereka mengampu sehingga pemimpin terbuai nyenyak dalam kesalahan. 
 
- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan

last modified Dec 4, 2007 at 0:36



[ add a comment ]