|
Catatan kepada Bro Keng
Bro, sungguh terharu aku membaca catatan mu lewat email terdahulu, maaflah bro kerana waktu yang laju ini turut menjinjingku sama bertabrakkan dan lemas dalam arusnya hingga untuk menulis kepadamu semula semakin lewat namun aku mencuri masa juga untuk menulis catatan ini. Bila saja mengenangkan Uztaz Abd Halim, rasa jiwaku mengembang dan berbunga, alangkah bertuahnya menjadi dia, risaunya dan bimbangnya membawa hingga ke daerah daerah kecil di liku Crocker, dia diantara manusia terpilih yang diberi hidayah melimpahruah hingga membangkitkan keinginan yang kuat berputik di dalam kalbu zulmat kita yang seringkali terlalai ini. Terima kasih bro kerana cerita cerita tersebut, muga AHA meneruskannya sehingga bila bila. Aku dan family baik baik saja bro, hujan dan panas yang silih pergi dan datang tetap menghadiahkan kesihatan yang baik dan keamanan Ladang Tremelbye ini masih terpelihara, hutan kecil people park masih hijau dan burung burung kelicap dan tiak rumah masih riang ria berterbangan dicelah bunga kertas dan kekwa. Diharap bro dan family juga dilindungi Allah, sudah berangkatkah ke Kaherah, jika belum, selamat berangkat dan berhati hatilah, aku masih ingat beberapa peristiwa ketika di sana, Arab Mesir agak sedikit kasar barangkali namun tentulah bro lebih memahami kerana lama di sana dahulu. Anak saudara saya juga masih di sana membuat kedoktorannya, di Uni sedikit luar dari Kaherah, aku sudah lupa bro apa nama Uni nya. Apapun bro, terima kasih kerana menulis padaku, ingatan itulah yang mahal selain ungkapan kata kata yang membawa aku kepada menyedari betapa kecilnya kita di sisi-Nya. Bertuah mengenali bro, sahabat yang barangkali dari aliran agama kerana aku tidak begitu, belajar dulu dalam marine engineering makanya lebih kepada enjin, generator, penyuling air laut dan berbagai pump dan dandang. Sekian bro, selamat berangkat, aku mengaminkan saja setiap doamu moga kita satu hari nanti menjadi insan terpilih seperti AHA. Loppiess Ladang Tremelbye.
last modified Jan 7, 2008 at 0:56
Siti, Selamat tahun baru juga buat Siti dan semua sahabat, seperti biasa, seperti rutinnya, seperti barangkali lazimnya kita mahu menjadi yang lebih baik. InsyaAllah.
AJ, kalaulah kau menurunkan serangkap dua kata kata di sini makanya boleh kutahu isihatimu namun hanya senyum, apalah yang dapat aku huraikan.
saudaraku UIPTS, betul sungguh katamu bro,dimanakah engkau sekarang bro, di Malaya ini atau di England sana?
Salam Bro, Ya, memang sering kita berasa mereka yang terpilih untuk melalui aliran ugama dari awal persekolahan hingga ke alam kerjayanya sebagai mereka yang bernasib baik. Sedang kita yang tidak melalui jejak-jejak formal belajar aliran ugama mudah terasa kekurangan dan rendah. Tetapi bro, Allah Maha Adil untuk memberikan pahala kepada siapa saja yang membuat amalan walau sekecilmanapun dan balasan baik dan syurga Allah terbuka untuk semua walaupun dia seorang tukang sapu.
uipts

selamat tahun baru encik Loppiess. teruskan menulis ya kerana tulisan kamu kadang2 mampu menyedarkan saya yang selalu leka ini.
|