home
login::signup
we::blog

matahari di atas Bukit Kenudai

Demikianlah, hari berlalu dan musim berganti. Dengan bergeraknya jarum saat maka bergeraklah pula usia kita untuk menuju ke zaman akhir dimana ruh kita dipisahkan dengan jasad yang terkujur. Tidak boleh samasekali untuk berkata " roh, tolonglah masuk semula ke dalam jasad, aku mahu hidup semula dan bermain golf", tidak mungkin samasekali. Roh akan pergi ke satu tempat yang Tuhan aturkan, mereka akan mendiami tempat itu...barangkali ia sangat jauh. Ya jauh! 
 
Kalaupun yang tinggal ialah jasad itu yang ditanam di daerah permakaman yang sepi dan gulita barangkali. Hanya bunga bunga kemboja dan semilir angin yang seulas seulas bertiup menyisir daun daun, segalanya sepi, bening, syahdu dan kalaupun ada rasa yang tersambung ianya cumalah kenangan dan kerinduan. 
 
Kita sangat sibuk barangkali untuk sejenak bermenung, menjeling kepada musim musim yang berangkat, tahun demi tahun, dimanakah kita, kita tenggelam dalam riuh duniawi semata, riuh pangkat, riuhkan harta, riuhkan scuba, riuhkan gadis gadis rupawan yang boleh dipegang, riuhkan kereta besar, riuhkan penyanyi penyanyi yang bertanding di pentas juga riuhkan anak anak yang membuat doktor barangkali hingga kita lupa untuk sejenak bermenung, memikirkan bahawa musim musim yang berganti membawa sama usia kita untuk sampai di daerah dimana roh dan jasad dipisahkan dan kita akan berhenti. Selepas itu hanyalah janji janji Allah belaka. 
 
Kerana kemerosotan pada fikir yang jernih dan tidak mahu mendapatkan barang seminitdua untuk sejenak bermenung maka nilai atau kualiti insan jatuh mendadak maka bercambahbiaklah segala jenis kemungkaran dan kejahilan, hingga sekarang ini untuk entah hari yang keberapa adik syalinie masih entah dimana, saat demi saat dan jam demi jam kita berjuta rakyat Malaysia ini mengira detik itu dengan penuh ketakutan dan pengharapan yang menggunung, namun nampaknya semua hanya mengharap, hari hari berlalu dan Syalinie masih entah di mana. Dimanakah kau ohh Syalinie? 
 
Kemerosotan moral dan etika ini telahpun menyusup kepada semua peringkat manusia di bumi Tuhan ini. Seperti sekarang ini di Mahkamah Jalan Duta, orang orang besar yang dianugerahkan Tun tengah berpencak silat menangkis segala kononnya tohmahan, Tun Tun ini yang pada zaman gemilangnya tidaklah boleh diusik barang secubitpun kerana mereka amat pantang untuk berdiri di dalam kandang orang kena tuduh di mahkamah, mereka amat kebal dan mereka amat berkuasa, namun itu semua rupa rupanya hanyalah kuasa ciptaan manusia sahaja, kuasa Tuhan, ketentuan Tuhan amat besar dan tidak ada seorang pun manusia yang dapat mengelakkannya. Selepas bersara, para Tun dan datuk datuk ini pun dibogelkanlah segala dosa mereka terdahulu, di dunia ini mereka sudah dapat hadiahnya, apatah lagi di akhirat. Namun mereka tidak samasekali menyerah hatta harus menjadi seorang munafik pun tidak apa !!! . Patut patut ketika menjalani zaman bersara ini diharungi dengan matahari yang bersinar dan harum bunga bunga di taman, bersantai dengan cucu atau sekali dua membuat syarahan tentang peri pentingnya nilai kekeluargaan kini harus dihabiskan dengan kerisauan dan kepedihan, penghinaan dan kejelekan dari masyarakat. Marilah kita semua berdoa semuga orang orang besar ini dibukakan pintu hati mereka dan kembali mengakui bahawa Allah lah yang Agung bukan hartabenda dan kuasa, Amin. 
 
Di sini juga aku ingin meluahkan simpatiku yang dalam dan kepedihan yang ku kongsi atas pemergian ibu sahabatku Jangnoes baru baru ini, ini membuatkan aku sedar akan betapa besarnya nilai ibu kepada kita. Tidak akan ada tolokbandingannya. AlFatihah untuk Allahyarham. 
 
Kembali kuulangi, duhai sahabat sahabat ku, masa berlalu amat laju dan sering saja kita hanyut dalam arusnya. Oleh yang demikian haruslah kita duduk bermenung sejenak untuk memikirkan jalan jalan terdahulu yang telah dilalui dan jalan jalan hadapan yang bakal dilalui. Demikianlah kita.

last modified Jan 28, 2008 at 20:51



[ add a comment ]