home
login::signup
we::blog

Lukah Gila

majlis pembukaan tapak Pekan Rabu yang baru akan diadakan sabtu ini. Tapak lama sebelah kedai Cikgu Daud akan ditutup terus memandangkan bukan saja tanah tanihnya lecak bila hujan kerap turun malah ianya juga menghalang jalan penduduk penduduk yang tinggal di hujung sawah. Wakil rakyat YB Kasah akan hadir merasmikannya. Jawatankuasa dulu menyemput M Daud Kilau hadir tetapi tidak jadi kerana beliau hadir di majlis lain pula, mahu tak mahu harus difikirkan pula alternatif hiburan untuk diadakan pada malam harinya. Jamali Atan pun tak dapat hadir, Fauziah Ahmad Daud mahal, Hamid Gurkha dan Yahya Sulong juga tidak dapat hadir makanya kata Mat Hussien Kerbau " jemput sajalah wayang pengandar, boleh kita tengok cerita bobby". Wayang pengandar dari Jabatan Penerangan Kuala Pilah juga tidak dapat hadir kerana ada pertunjukkan di kampung lain mengenai lawatan Hussien Onn ke luar negara. Jawatankuasa hampir buntu. 
 
"Payah payah jemput sajalah Mat Syah pemuzik Kampung Tengkek untuk membuat persembahan bersama Saloma isterinya, enak juga melayan arkodiannya, tarik kuncup, tarik kuncup tak sedar nanti ayam mula berkokok", kata Mail Dubun. Mat Syah pulak ada hal lain. 
 
***** 
Terkenang Mail Dubun teringat aku pantun lama sahabatku Jewit, beginilah bunyinya. 
 
Mail Dubun 
terberak dalam kebun 
beraknya selunggun 
ditutup dengan daun
 
 
***** 
 
Akhirnya Hj Selamat mengesyorkan untuk di panggil pawang Bukit Kenudai untuk membuat permainan "Lukah Gila". Wahh, semua angguk. 
 
Maka malam itu terjerit pekiklah para audien yang terdiri dari petani, penoreh kecil, pekerja pejabat pangkat rendah, haji haji dan budak budak sekeliannya melihat permainan lukah gila itu. 
 
Sebuah Lukah dipakaikan baju kurung lengkap berkain, dipakaikan tudung ke sawah. Dua orang memegang tampuk lukah yang berdiri itu dan Pawang Bukit Kenudai pun mula membaca jampi serapah, di antara jampi serapah yang sempat aku dengar berbunyi begini : 
 
hai hantu sawah, hantu bukit, hantu sungai, hantu hutan, datanglah kau menghuni jasad lukah, hidup kau bergoyang kau, jangan kau lari, hai hantu pokok, hantu air, hantu tanah, hantu segala hantu, datanglah kau bertamu, hai hantu polong, hantu manjangan, hantu rumah, hantu kubur, aku seru kau, aku pohon kau, hidupkan lukah, goyangkan lukah, hai hantu........, ........... 
 
maka sekonyong konyong lukah pun bergerak perlahan lahan, dua orang pemegang buntut lukah mula cemas, lukah sedikit sedikit mula menghayun keras, ke kiri ke kanan, meliuk, melentok, baju kurungnya melayah, melibas, orang orang para audien mula bertempik sorak, lukah dah hidup! lukah dah hidup, jangan lepaskan nanti ikut balik kerumah, jangan lepaskan, nanti terbang ke langit tidak mahu pulang, segala ayat ayat terhambur dari tempik sorak para audien ini termasuklah selang seli kata kata lucah, kata kata sembrono. Pawang Bukit Kenudai semakin rancak, lapan batang lidi daun kelapa terus dihayun ke badan lukah sambil menteranya bergentayangan menyebut segala jenis hantu, malam kian larut dan bintang bintang di langit tidak lagi disedari kehadirannya. 
 
Aku berdiri betul betul di balakang Pawang.

last modified Jan 31, 2008 at 0:36



[ add a comment ]

tak ada rahsia bro, cuma nak tahu mentera yg dibaca, barangkali nanti aku boleh mengerakan basikalku atau lastik ku dengan sendirinya.

160821 | posted by loppiess on February 13, 2008 at 21:52

apa rahsia nya ?

apa rahsia di belakang pawang ?

160794 | posted by saorangorang on February 7, 2008 at 2:15