|
Perjuangan Belum Selesai ( 2 )
“Parti parti lain selain Parti Melayu Abid memang hanya suka bermain kata kata sahaja. Janjikan yang bukan bukan. Impikan yang bukan bukan. Seperti orang angau bercinta layaknya, mahu berenang di lautan api, poorahh!. Dengan duit apa dia nak buat jalanraya?, duit motong getah?, Tuan tuan dan puan puan, kita perintah Negara bukan boleh cuba cuba, ini bukan main dam di kedai kopi, lihatlah dulu gambar telivesen tuan tuan dulu kabur dan bobot sahaja sekarang sudah terang bukan?”. Itulah antara kata kata Hamid Sidon, ketua cawangan Parti Melayu Abid kepada beberapa penduduk di kedai Sipah Gendut. Datuk Abd Mulok selalunya tidak perlu untuk berkempen dan membawa isu yang berat berat. Malah dia pun tidaklah jelas apa itu Islam Hadhari. Apa yang dia tahu pun Islam hanya ada satu sahaja, tidak dua atau tiga. Apa yang dia faham ialah Islam Hadhari itu Islam pasca moden, bertolak ansur, bertoleransi, melihat sesuatu isu itu dalam bentuk dan saranan masyarakat majmuk, sesuai digunapakai untuk mengelak konflik. Namun bila datang kepada hukum, dia sendiri pun tidak jelas. Dia tidak berani. Dia kurang periksa pulak bab itu. Namun itu semua tidaklah berapa penting, yang penting, yang maha maha penting bukan anutan parti yang diwakilnya itu, bukan agenda bangsa, bukan agenda ugama, bukan atas prinsip kebenaran mutlak, bukan itu semua. Itu semua hanya ocengan mulut sahaja. Itu semua hanyalah menanam tebu sahaja. Yang penting ialah dia dicalonkan semula. Dicalonkan untuk satu penggal lagi bermakna jika tiada malaikat pencabut nyawa datang maka dapatlah lagi dia dalam barang empat tahun lagi menikmati kehidupan sebagai YB ini. Itu sahaja. Itu sebab apabila namanya naik semula sebagai calon, dia merasakan perjuangan sudah tamat dan dia sudah berjaya. Perjuangan politik batang leher ini bukan sahaja dia yang lakukan malah oleh semua calon calon Parti Melayu Abid. Berbulan bulan lamanya ke sana ke sini untuk melobi, orang orang bawahan dikerah, orang orang atasan dipujuk rayu, dicumbu, dijanjikan, dilagukan. Bukan mudah dan bukan sedikit duit terbang melayang. Siapa yang kuat daya lobinya, siapa yang hebat cumburayunya, siapa yang ampuh bertahan assakkan, siapa yang gagah dengan ugutan maka orang itulah yang berjaya menjadi calon. Calon bukan lagi berdasarkan siapa yang boleh bekerja, siapa yang amanah, siapa yang bersih licin, siapa yang warak, siapa yang benar benar bertunjangkan agenda bangsa dan Negara. Bukan lagi. Calon yang berjaya dicalonkan ialah calon yang mahahebat lobinya, tidak kira dia tua dan botak, tidak kira dia pencacai rasuah, tidak kira dia hanya berkelulusan darjah lima, tidak kira dia kaki sundal, itu semua tidak diambil kira. Moral bukan lagi tiket mutlak pemilihan calon. Bukan lagi. Tidak samasekali. Non. Bagi Datuk Abd Mulok melobi tidaklah salah. Melobi bermakna seseorang itu masih punya kekuatan dalam perjuangan. Masih ingin berbakti kepada rakyat dan bangsa. Masih ingin meneruskan perjuangan yang tak pernah selesai. Namun dalam mencari salahbenarnya melobi, Datuk Abd Mulok tetap sedar bahawa melobi adalah perjuangan batang leher sendiri. Tapi memperjuangkan batang leher sendiri semata mata untuk nantinya memperjuangan rakyat pula tidak ada salahnya. Ia perkara yang kait mengait, yang berbenang benang. Bukankah melobi itu semata mata untuk memastikan pelobi itu akan memperolehi semula kuasa dan nikmat nikmat di sekeliling kuasa itu?, ya betul, itu adalah sebahagian peri pentingnya melobi tetapi ada sesuatu yang lebih jauh daripada itu, yaitu rakyat. Disamping untuk batang leher sendiri itu semua juga untuk rakyat..ya rakyat, rakyatlah yang menentukan samaada calon itu diterima, yang boleh mewakili mereka. Tetapi rakyat tidak melihat calon lagi Datuk, rakyat sebahagiannya melihat lambang keramat timbang yang dilatarbelakangkan dengan warna biru pekat itu. Samaada calon itu manusia atau kambing pencen, itu tidak penting lagi, yang penting ialah Cap Timbang. Entahlah. Memang semenjak beberapa bulan ini Datuk Abd Mulok kerap bermonolog. Adakalanya terjadi pertikaian yang penuh dengan paradok. Dia sendiri pun hairan kenapa tabiat tabiat bermonolog ini semakin berkembang dan berbagai. Apakah ilham ilham yang datang ini ingin membawanya ke satu dimensi yang baru. Tanpa disedarinya telah ada dua makluk yang mengongsi dirinya. Satu ialah kesedaran yang samar samar dan yang kedua ialah penolakkan kepada kesedaran yang samar samar itu. Dari wajah tuanya tersusun baris baris risau, apakah petandanya ini. Sepatutnya tiada lagi kerisauan setelah namanya dicalonkan semula. Pastinya tidak ada lagi halangan halangan yang menunggu dihadapan. Parti Bulan Di Awangan yang dihadapinya kelak tidak lansung membenihkan apa apa ketakutan. Lantaklah mereka ingin berkempen siang malam pagi petang, terpulanglah, rakyat di DUN Tiang Tiga Batang ini tidak akan lagi ambil pusing, mereka tetap inginkan mobil Cap Timbang ini untuk terus mengerakkan kemajuan yang sekian lama telah mereka nikmati. Kempenlah apa sahaja yang disukai, bariskanlah nama nama hakim yang korup yang kuat menyundal, sebut sahajalah harga barang apa yang naik, laungkanlah apa apa pun isu yang mereka suka, Parti Melayu Abid tidak akan kisah. Rakyat di DUN Tiang Tiga Batang tetap utuh dan teguh dengan kepercayaan hakiki yang tiada siapa dapat meleraikannya. Begitulah. Hari penamaan calon pun tiba. Datuk Abd Mulok datang dengan pakaian baju melayu dan bersamping dengan segaknya. Di kiri dadanya terlekat lambang CAP Timbang, di kanan dadanya terlekap pula lambang keris terhunus. Di belakangnya ada barangkali 5000 orang yang berarak dalam gelombang biru dan merah kuning pula. Sedangkan di seberang sana ada barangkali 50 orang berarak dengan lambang Bulan Mengambang dan ditengah tengahnya seorang tua berkopiah putih tersenggih senggih sambil berjalan dengan tertibnya. Mereka masuk ke dewan . Berita jam 8 malam di TV Perdana akhirnya mengeluarkan keputusan penamaan calon untuk semua kawasan di Bumi Bertuah ini termasuklah DUN Tiang Tiga Batang. Semua mata tertumpu seperti mata kucing yang berahi melihat ke kaca TV. Haji Taat Wagiman dari DUN Tiang Tiga Batang menang tanpa bertanding. Datuk Abd Mulok telah lama tidak sedarkan diri di wad kecemasan Hospital Sungai Lam, kata orang, borang penamaan calonnya tersilap isi.
last modified Feb 25, 2008 at 23:56
|