home
login::signup
we::blog

Perjuangan Belum Selesai ( 1 )

Akhirnya Datuk Abd Mulok dapat melelapkan matanya. Lelap yang lazat. Sunyilah mendinding jasadnya. Tidur kali ini adalah tidur mati. Tidur yang bangat dan dia kembali bersendirian. Helaian saraf otaknya dan serabut urat di bujur jasadnya kembali kepada istirehat yang total. Watikah perlantikan semula sebagai calon yang diterimanya dari Menteri Besar malam kelmarin adalah segala-galanya. 
 
Melobi untuk dicalonkan semula adalah perjuangan maha hebat. Ianya lebih hebat dari perjuangan yang lain lain. Perjuangan untuk menentukan politik batang leher ini adalah perjuangan nombor wahid. Adakalanya Datuk Abd Mulok merasakan ianya seperti perang Badar atau perang Vietnam. Berada di perbatasan terakhir dengan peluru musuh seperti hujan datangnya adalah mimpi yang amat mengerikan. Peluru peluru yang bukan peluru kapur itu diletuskan dari laras laras senapang yang moden dan canggih. Ianya dilepaskan oleh musuh musuh yang tidak menentu pula, yang muda muda dan yang berketerampilan pula, yang dilatari dengan sijil sijil ternama universiti terkemuka. Makanya sebagai orang lama yang botak dan pencapaian tertinggi hanya setakat guru besar sekolah rendah, Datuk Abd Mulok berasa begitu risau, bimbang jika kemegahan sebagai YB akan sampai ke saat tepinya maka hilanglah segalanya, hilang kuasa, hilang penghormatan seperti yang dikecapinya selama ini, hilang kenikmatan yang seiring dengan pangkatnya, hilang peluang peluang duit yang muncul di kiri kanan dan kehilangan yang besar ialah hilang peluang untuk melangkah lebih jauh, paling kurang pun untuk menjadi exco kerajaan negeri.  
 
Selepas pastinya dia dicalonkan semula, segala amukan badai gelombang dan ribut taufan yang mengila di sanubari paling dalam Datuk Abd Mulok terhenti. Kemudian yang keluar hanyalah bunga bunga kembang sekuntum sekuntum. Pastinya usai usai PRU nanti Datuk Abd Mulok telah berjanji kepada Datin Sabariah dan anak anak ; “kita akan mengerjakan umrah satu keluarga”. Anak dara Datuk Abd Mulok yang mewarnakan rambutnya merah keseluruhan hanya menganguk tawar. 
 
Di DUN yang Datuk Abd Mulok tandingi ini adalah zon selamat Parti Melayu Abid. Dari zaman berlambangkan kapal layar dulu lagi, tidaklah pernahlah mana mana parti selain Parti Melayu Abid yang menang, Masuk Apollo, Apollo lingkup. Masuk Parti Bulan Di Awangan…lingkup. Masuk Parti Cap Mata Lebam…lingkup hatta dulu ada juga parti cap anak kunci…juga lingkup. Tidak akan terjadi selain dari itu, pernah dulu pengerusi Parti Cap Mata Lebam menghebohkan “ hatta engkau letakkan kambing pencen yang bulunya pun telah 60% luruh sebagai calon Parti Melayu Abid, maka parti itu tetap menang!”. Kata kata itu walaupun ramai pengundi masih ingat namun mereka tetap mengatakan itu hanyalah lelucon orang kecewa. Jangan diambil kisah. 
 
DUN Tiang Tiga Batang akan ditentukan oleh hanya 4% India dan Cina selebihnya adalah orang orang Melayu. Dalam 96% orang orang Melayu itu termasuklah Budin Che Kembang, very outspoken person dari serpihan Parti Cap Mata Lebam, Hj Md Din Dahalan dari Parti Cap Bulan Di Awangan dan Ah Kau Ayam dari Parti Apollo. Di belakang nama nama itu tadi adalah barang sekerat dua penyokongnya itu pun mereka terdiri daripada insan insan yang kecewa kerana tidak dilantik semula menjadi imam, tidak mendapat permit teksi setelah hampir 14 tahun memohon dan ada juga dikalangan mereka, seperti Siti Mariam, ketua wanita cawangan Parti Cap Mata Lebam yang marah benar bila anak keduanya yang mendapat 5A dalam UPSR tapi gagal memasukki MRSM. Itulah saja alasan alasan yang wujud untuk tidak mengundi Parti Melayu Abid namun dalam banyak peristiwa yang dulu dulu, bantahan itu atau bangkangan itu akan lupus bila setiapkali hampir benar hari mengundi. Kain kain pelikat cap Gadjah Berdiri dan kain batik jawa tenunan Bandung bertukar tangan. Susu cap orang memikul bakul, biskut lemak krim Batu Pahat, beras Siam Gred Super 5% dan segala macam lagi pun juga bertukar tangan. Saki baki harapan calon parti pembangkang untuk tidak kehilangan wang pertaruhan juga lenyap. DUN Tiang Tiga Batang ; Parti Melayu Abid menang mutlak. 
 
Pengundi tradisional DUN Tiang Tiga Batang amat taksub kepada warna biru, lambang timbang dan juga lambang keris terhunus di dalam bulatan merah. Itulah hidup mati. Itulah pemberi makan. Itulah kenderaan yang memobilkan kemajuan, jalanraya, lampu, paip air, astro, jambatan, surau indah, masjid gah dan segala galanya. Bab meminta mereka mempertimbangkan semula, menilai semula semua duduk perkara atau memikirkan semula ketaksuban hakiki yang mereka anuti, itu tidak akan berhasil, tidak akan ada kompromi. Kalau dilakukan juga maka tidak ubah seperti mencurah air di daun keladi malah jika nasib tidak berapa baik, mahu terkena carutan atau jika lebih dasyat daripada itu, selipar akan naik ke muka. Memang tidak mudah. 
 
Maka itulah sebabnya apabila nama naik sahaja untuk menjadi calon yang mewakili ikon Timbang dari Parti Melayu Abid makanya Datuk Abd Mulok merasakan perjuangan sudah tamat. Dia sudah berjaya. Soal kedua samaada menang pilihanraya atau tidak, tidak wujud lansung. Dia pasti akan menang. Malah jika ditanya adakah betul kenyataan yang dibuat oleh Budin Che Kembang tentang kemungkinan jika diletak kambing pencen yang bulunya 60% luruh itu pun akan menang juga, pastinya Datuk Abd Mulok akan menjawab” barangkali!”.

last modified Feb 25, 2008 at 23:55



[ add a comment ]