|
Seusai Taufan - Kg Permatang Kassim.
Laut sangat tenang ketika ikan ikan belacak mundar mandir di pantai yang berlumpur. Jeti nelayan Kg Permatang Kassim masih seperti dulu, tiang tiangnya ronggak dan papan papan lantainya berlubang, patah dan simpang perenang. Sampan sampan lama yang amat usang tersandar lelah seperti juga lelahnya Pak Hasbol, Mat Kembung dan Hussin Babu, nelayan nelayan kecil Kg Permatang Kassim. Jeti lama ini juga dikala malam menjadi tumpuan kaki ganja, menyedut barang sepam dua dan kemudian lalok, terbuai bercemplong dengan bising ombak yang menghempas banir bakau. Melayu tipikal yang wujud di Kg Permatang Kassim ini sedemikian lama dilupakan. Kulit mereka yang hitam oleh usap binar mentari sedemikian kontangnya, rambut, wajah dan urat urat yang kering diselirat kaki mereka memberikan lakaran tentang betapa payahnya hidup untuk dikemudi. Mereka adalah Melayu yang melukut dalam era pemerintahan yang bertukar dari tangan ke tangan. Namun seusai taufan ini tiba tiba sahaja parti Apollo naik dan duduk dikerusi Ketua Menteri. Inilah yang berlaku pada satu malam beberapa hari lalu : Borhan datang ke Jeti mengajak semua nelayan yang sedang bermain dam untuk esok pagi sama sama membawa sepanduk, orang orang Apollo menafikan hak kita, kita harus bangun, bawa sepanduk dan tentang !. Pak Hasbol, Mat Kembung dan Hussin Babu terpinga-pinga. Begitu lama kami disini tidak dipedulikan tiba tiba Borhan datang mengatakan hak kita dicabul?. Bukankah pencabulan itu telah kami nikmati berkurun lamanya?. "Err...En Borhan, kami tidak mahu kerana kami sebenarnya tidak pernah mengundi, kami hanya mengundi parti ikan belacak!". Kata Mat Kembung yang kemudian diikuti ketawa terkekeh kekeh yang mengegarkan pondok kecil jeti Kg Permatang Kassim yang usang itu. Ikan ikan belacak berterabur lari mengendap dari takung lumpur.
last modified Mar 16, 2008 at 18:25
ya bro, berdoalah kita.
badai mana yg tiba..? Mengubah haluan kapal kita Monsoon barat daya kah ? Atau angin timur laut ? Angin tenggara juga tak kurang kuatnya Muga kapitan dan bosunnyer tidak lena yer.. Supaya kapal tidak hanyut tanpa haluan
|