|
Dik Joe @ Genceh
Malam sangat sunyi dan dingin di atas Bukit Kenudai. Hanya bunyi riang riang, cengkerik, burung malam dan bunyi kera dan siamang dikejauhan. Langit tinggi juga hanya menabirkan kegulitaan, hanya seulas bintang yang jauh berkelipan, bulan tiada dan angin menderu berpusar di atas kanopi hutan dan pohon pohon getah. Kesunyian, kedinginan dan kesakitan mengongsi ruang jasad dan mindanya. Darah yang mengalir kini membeku berpalitan di mana mana, di mukanya, rambutnya, di janggutnya, memerahkan bajunya, seluarnya. Dia menangis. Airmatanya membasuh darah beku yang terpalit. Dunia ini menjadi amat kosong. Dia kini kehilangan segala galanya. Hilang kasih sayang. Hilang kewarasan. Fikiran amat bersimponggang. Tiada fokus, otaknya bertukar dari segmen ke segmen, dari satu frame ke satu frame, fikiranya muncul dan hilang, bertukar amat cepat seperti sebuah filem yang rosak. Dia tidak berdaya. Darah yang keluar dari toresan pisau rumput kini terus keluar tidak henti henti. Toresan di bawah dada, di perut kiri dan kanan kini amat melemahkan dayanya untuk bangun, dia memerhatikan langit, cahaya bintang yang jauh yang berkelipan seperti lampu kapal terbang kini amat kabur. Bunyi cengkerik dan riang riang juga semakin perlahan. Dingin malam di Bukit Kenudai amat meresap ke jantungnya. Detik detik selepas itu hanyalah kekaburan. Dia hanya berfikir tentang bagaimana hidup sunyi yang dipacu semenjak bertahun lalu akan menemukan noktah di malam dingin Bukit Kenudai ini. Dia bermimpi ribuan burung wak wak yang muncul dari awan mendatanginya, bunyi kepak mereka yang bertebaran bagai sebuah lagu merdu, bagai keroncong dengan gesekkan biola. Dia mendengar pekikan siamang seperti pekikan sargent di kem latihan, berbobot bobot tentera yang berkepala botak dan berkulit hitam melangkah dengan penuh gagah dan tertib, senapang mereka dengan bayonet terhunus di kepit erat di celah ketiak. Deru angin di puncak kanopi bagai saja deru trak trak yang beratur sepanjang jalan...dan pada satu malam ketika itu party baru sahaja usai di bangunan mess. Dia membawa sebuah trak besar dan Sargent Basar berada di sebelah tempat memandu. Kopral Kanai, Prebet Malim, Prebet Yaakob, Prebet Razak dan Prebet Jaya berada di belakang trak. Dia tahu ketika keluar dari kawasan kem dia telah melihat Jalan Long menjadi tiga jalan yang berubah ubah. Kepalanya berpusing dan lampu lampu jalan berputar putar, dia tahu penangan arak kini menguasai kepalanya namun atas desakkan Sargent Basar dia akhirnya memandu juga. Ketika melepasi Jalan Long masuk ke Jalan Jambu dia melihat lampu isyarat bertukar dari merah ke hijau dan menjadi merah semula dan hijau semula. Dan ketika itu sebuah Kancil comel seorang ibu muda melintang di depan trak. Ibu muda itu dijemput malaikat maut. Dan sepi di atas Bukit Kenudai tak henti henti menayangkan semula episode episode filem rosak. Dia semakin lemah ketika segmen segmen bertukar dengan ligat. Dalam tangisan dia terkenang semula Mahani. Tunangnya itu pergi ketika tali cinta terikat erat. Dan wajah Mimi datang. Dan kemudian segmen Mimi menulis surat terakhir untuknya berputar semula. Selepas Mahani pergi dia ditemukan Mimi dan ketika cinta menjadi begitu sarat, Mimi pergi. Dia bergulat semula dengan arak, arak siang dan malam. Dia hadir di sebuah zone yang sepi dan melayang. Dia tidak memijak bumi lagi. Dia menjadi manusia lain, manusia yang terbang melayah bercempera dengan rona rona baru yang mengasyikkan. Dia akhirnya di tamatkan jawatan sebagai seorang tentera kerana setelah beberapa lama di rehatkan, dia ternyata tidak pulih. Kata Sargent Basar, dia kerap berkata kata sendiri dan kemudian ketawa. Dia merokok tidak berhenti henti dan dia menyimpan tin tin arak di dalam poket jaketnya sepanjang masa. Dan dia pulang ke kampung menjadi seorang pemuda yang lain. Sudah bertahun dia hidup dengan dunia sepinya, dengan segmen segmen yang berubah dan tiada fokus. Dia menjalani rutin dengan mimpi mimpi kosong yang aneh. Dia melihat alam tidak ubah seperti ruang sempit yang penuh kekaburan. Dia meniti episode episode yang tidak tertulis seperti dia tidak tahu apakah yang berlaku atau seperti juga dia membiarkan bisikan2 lembut yang datang entah dari mana untuk mengaturkan langkahnya. Kata ibunya, dia tidak sakit, dia tidak gila, cuma dia mahu bersendirian, dia mahu berkapokan dengan dunianya. Dia cuma mahu bersendirian dengan dirinya dan melupakan dunianya yang lain yang panas. Ibunya tidak bimbang kerana anaknya tidak sakit. Anaknya tidak gila. Anaknya normal seperti orang lain juga walaupun bekas suaminya dulu telah dihunjam dengan sebiji penumbuk oleh anaknya namun itu juga normal, memang barangkali bekas suaminya dulu layak ditumbuk, begitulah. Dia kini berselimutkan kesakitan, dingin Bukit Kenudai tidak mampu lagi menidakkan kepedihan dari liang liang toresan pisau sabit rumput di bawah dadanya, di kiri kanan perutnya. Dia tidak peduli lagi jika ada merbah atau serindit bertenggek di pohon tinggi, dia tidak mampu lagi, dia kesakitan. Dia tidak peduli lagi jika burung wak wak atau puyuh terkena jerat siding, dia tidak peduli lagi jika mensiang di paya baruh bergoyang goyang tanda wak wak terjerat. Dia tidak peduli lagi jika sungai airnya keruh tanda keli terkuap kuap di selok selok, pergi mampuslah dengan musim kemarau, musim menimba kolam, pergi jalanlah dengan pohon leban berbuah lebat tempat berhimpunnya merbah, lantaklah rambai ranum tempat serindit makan siang malam. Dia kesakitan kini di atas Bukit Kenudai yang sepi dan gulita. Tiada siapa pun yang tahu. Tiada siapa pun yang ambil tahu kerana kasih sayang telah pergi. Kerana semua orang orang yang di sayangi telah pun pamit. Yang tinggal hanya dirinya bergulat dengan hidup di alam asing yang aneh...ya aneh. Di atas Bukit Kenudai tiada siapa siapa pun, hanya sepi. Hanya dingin. Hanya gulita. Hanya nyanyian riang riang dan cengkerik. Hanya laungan kera dan siamang. Hanya deru angin yang berpusar pusar di atas kanopi pohon pohon getah dan kayu kayu hutan. Hanya ada kesakitan. Hanya ada segmen segmen yang bertukar dengan cepat. Hanya ada filem filem rosak yang menceritakan tentang kehidupan yang aneh dan terkeluar dari paksi kenormalan. Hanya ada rona rona yang bergetaran namun gagal ditangkap ulas ulas alunan apakah?. Hanya ada ruang ruang sempit yang pengap dan penuh kekaburan. Dia kini keseorangan di malam dingin Bukit Kenudai. Dia dapat merasakan kedinginan itu dan dia masih dapat merasakan udara meluru masuk dan keluar ke ruang jantungnya, ya...udara masih meluru keluar dan masuk. Keluar dan masuk.
last modified Jun 14, 2009 at 20:31
|