home
login::signup
we::blog

DI SINI LOPPIESS

I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky,  
And all I ask is a tall ship and a star to steer her by,  
And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking,  
And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking.  
Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) 
 
 
email: 
zamlope@yahoo.com

last modified Mar 5, 2008 at 16:05


Saturday, October 30, 2004

ramadan yang hujan di tak bai

tak bai
tak bai
tak bai
hujan jatuh satu satu seperti mimpi yang singkat
ketika duduk untuk rakaat tarawih yang ke duabelas
para guru yang duduk di mimbar telah berlalu terdahulu
yang melafaz niat ramadan di dalam trak trak
kemudian hilang

tak bai
tak bai
tak bai
ada kuatir melambai
ada gelisah tertuai
ada mahu tak tertunai
ada gerombol binatang berkeliaran di hujung malam
di tangan mereka ada kuasa dan senapang

tak bai
tak bai
tak bai
kasih ibu terlerai
tangan suami dan para lelaki terusai
maut mengintai dari balik tirai
wahh...ramadan, nyawa naik kelangit dengan
wangi wangian tertebar
awan gemawan riuh dan langit menjadi mendung
hujan kemudian luruh membasuh aspal yang merah

tak bai
tak bai
tak bai
aku menangis di sini tak henti henti
pedih bagai aku juga terkena peluru
air mata kemudian mengalir dan jatuh
seperti
ramadan yang hujan di tak bai

tak bai
tak bai
tak bai
luka ku tak kan usai.

126458 | posted by loppiess at 20:09 | 2 comments

Friday, October 1, 2004

basa basi di sudut september yang sunyi

Anekdot 1
Ketika aku menulis ini hujan turun mencurah curah, musim hujan jatuh dari langit telah datang semula dan lanskap alam mula bertukar menjadi basah, dingin dan termanggu. Begitu lama ku rasakan tidak duduk dimeja tulisku yang kecil dan menghadap jendela ini, terasa begitu lama lampu tulis tidak di hidupkan, begitu lama membiarkan fhadail amal duduk kesejukkan untuk melayan habuk habuk yang gundah gulana, begitu lama tidak bercumbu dengan puisi puisi sendiri ( kalau wajar di panggil puisi), semuanya bagai telah begitu lama di tinggalkan, terasa lama mungkin oleh kerana kerinduan untuk bersendiri, menulis dan mewarna sajak, melakar rintih atau mencatat satu satu perkataan yang sentiasa meminta kebenaran kerana kehidupan yang laju selalunya membenamkan saja kebenaran kerana kebenaran adalah barangkali beban yang menyakitkan ladam kaki.

Menyoal benar salah sesuatu yang berlansung adalah tuntutan yang tak akan habis, kerana kebobrokkan tidak harus di biarkan santai santai menghuni jalan yang barangkali masih panjang di hadapan. Kalau pun telah wujud kebencian kepada diri sendiri kerana asyik menyoal seolah semua orang memegang salah, diri sendiri sahaja yang betul, aku tidak peduli, harus benci kepada diri sendiri sekali sekala tidak apa kerana itu juga proses muhasabah, dan yang berlaku selalunya akulah yang hilang kebenaran, di panah dengan amarah dan benci, hingga lewat satu tulisan ku yang terdahulu, seolah aku mendoakan orang untuk mati dan di bakar api neraka yang menyala-nyala, demikian aku ini kadangkala hilang, di hukum oleh kononnya aku ini benar belaka!

Adakalanya bagus saja aku menulis tentang cinta, tentang rindu, tentang pelayaranku yang terdahulu. Bagus saja bercerita tentang ombak dan camar, tentang desa tercinta barangkali, tentang ibu yang menunggu di birai jendela rumah pusaka, itu semua tidak akan menerbitkan amarah selain rasa syahdu atau kasih yang tinggi melangit, tetapi mampukah aku hanya mendiamkan rasa gundah, meyimpan di dalam album untuk hanya sekadar boleh ditatap? Sedangkan kelucahan politik berlansung hanya untuk di telan kemudian disungutkan? Barangkali itu akan menjadi mustahil!.

Malam yang mampir ke jendela

Musim hujan datang lewat kesunyian September
Ketika aku kembali ke dalam diri memerhati
Denyut jantungku dan alir darahku yg masih mengalir
Denyut hidup dan langkah yang culas dan kelelahan
Jalan basah dan bayang yang herot jatuh ke kolong alpa
Langkah menjadi pongah dan wujud diri disoal sangsi
Benang hidup nan kusut tak bisa di urai
Resah berpesta di pentas tak usai usai.

Musim hujan datang lewat kesunyian September
Dan yang ku ketemukan hanya
Malam yang mampir ke jendela.

Loppiess/sept2004

Anekdot 2
Para hubaya baru saja usai berkenduri besar berlaukkan udang harimau 3000 kg, beribu kg ayam, daging lembu dan sayur sayur terpilih. Kerana barangkali makanan yg enak enak ada hubaya terlena ketika hubaya yg lain berucap berapi api bagai mahu membakar siling dewan.
Hubaya hubaya wanita atau perempuan muda begitu juga dengan lelaki muda telahpun keluar dengan deklarasi tidak mahu petualang atau penderhaka di terima kembali ke parti para hubaya. Hubaya hubaya mentah itu tidak pula memperdulikan cik nab perempuan melayu awal 40’an di kampungku yang menjual getah sekerap sebaldi untuk sekilo beras dan setengah kilo tepung, untuk 80 sen minyak kelapa dan 50 sen bawang, untuk 20 sen garam dan 3 biji panadol.

Pak cik isa memang hebat, lelaki itu telah mentadbir n.s puluhan tahun ( hampir sama dgn tun maha memerintah). Dia menang undi terbanyak. Siapakah menyangka lelaki kecil itu menang dengan sebegitu besar undi. Dia tak akan berjumpa sapa sapa di padang masyar kelak, tak tahu kah pak cik isa yang di padang masyar nanti, tangan, kaki, mata, telinga, dada dan semua sub system badan kita boleh berkata kata?

Pak cik ali tak kurang hebat, mungkin barangkali dia hensome, maksud saya misainya. Ketokohannya bagi saya hanya mencantas semua kontarktor2 bumiputra di melaka yg condong ke parti lawan.

Majlis kenduri seperti biasa tamat, riuh gerai menjual segalamacam barang pun berakhir, retorik retorik lama di ulang dalam bentuk yang baru.

Anekdot3
harga petrol naik lagi, bermakna kerajaan berjimat beratus juta dari membelanjakan duit untuk subsidynya. apalah sangat 5 sen, satu sms pun dah lebih dari itu!

dari 5 sen itu si peniaga mula mengira kenaikan kos perniagaan, semuanya harus di pindahkan kepada pengguna, kepada posmen atau kerani , kepada amah hospital dan penjaga gate keretapi, mana pernah pak menteri tahu tentang kos minyak keretanya atau harga sekilo tepung.

cikgu dol pun mengira semula kos ke sekolah dengan berkereta, kemudian ambil keputusan untuk mengunakan motosikal saja. sampai di simpang lori yang rosak breknya bertemu motor cikgu.
kalaulah minyak tak naik 5 sen, cikgu dol akan masih kelihatan berjogging setiap petang di taman.

tanpa sedar ubat gigi naik 20 sen, cili kering naik 15 sen, biskut merry naik 20 sen, ayam naik 60 sen, kacang buncit sekilo naik 30 sen, ubat nyamuk cap ikan emas naik 10 sen, mentol lampu naik 30 sen..semuanya naik, ramlan si mekanik gred tukang class 2 tiba tiba merasakan bagaimana ya, setiap bulan beli barang hanya 60 ringgit saja tetapi la ni dah 90 ringgit. gaji naik 5 ringgit untuk tahun nii...hidup semakin susah tahun demi tahun rupa rupanya.
terima kasih kerajaan!

naikkan saja apa apa yang kamu inginkan, penuhkan tuntutan para peniaga yang haloba itu. kayakan mereka dan susahkan kami, kami akan tetap mengundi kamu wahai pak menteri. kami udah tidak bisa berfikir kerana kamu menzikirkan kami lewat muka televisyen dan corong radio......................terima kasih malaysia!

anekdot 4
kalau juga aku tidak berhenti menulis di sini dikala ini maka akan lebih semboronolah aku memaki atau menuduh semua orang pencacai yang culas. berhenti sajalah dulu atau kemudian bila marah telah reda tulislah semula cerita lain seperti bunga bunga yang harum di taman atau kasih sayang yang besar yang memandu hidup.

demikian maafkan aku lewat tulisan ini kerana aku mengasihi semua tidak seperti yang engkau sangka. selamat malam.

122759 | posted by loppiess at 9:45 | 3 comments