home
login::signup
we::blog

DI SINI LOPPIESS

I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky,  
And all I ask is a tall ship and a star to steer her by,  
And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking,  
And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking.  
Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) 
 
 
email: 
zamlope@yahoo.com

last modified Mar 5, 2008 at 16:05


Tuesday, March 30, 2004

Perginya mohd farid ibrahim

aku ingin mengucapkan takziah dan tumpang berduka yang amat dalam kepada ibrahim,norizan dan keluarga termasuk jangnoes di atas perginya mohd farid.

mohd farid meninggal dunia akibat dibelasah oleh senior2 disekolahnya.( sek men ugama ampangan seremban). bapa dan ibu mohd farid sekampung dengan ku.

jangnoes bapa saudara kpd mohd farid adalah kawan yang selalu juga singgah di "disini loppiess" dan meninggalkan komen2nya yg berkesan.

sifat apakah yang singgah kepada senior2 mohd farid ini? ohh Tuhan, tidak dapat kita bayangkannya. Mohon pada kementerian pelajaran yang di terajui oleh YB hisammuddin agar menjadikan kes mohd farid ini sebagai pemangkin gelombang perubahan yang drastik, jangan kau asyik dengan politik adu domba dan gila kuasa semata..!

demikian marahku memijar dan sedih dan duka dan rintih kemudian aku sembunyikan agar kau hanya melihat aku sebagai seorang yang tenang, namun aku adakalanya tak upaya.

98061 | posted by loppiess at 22:01 | 3 comments

Monday, March 29, 2004

musim panas bulan tiga yang kering

diatas udara yang sangat jauh disana, langit menjadi terlalu tinggi, biru dan di antara tempat aku hidup ini dan langit tergantung di tengah tengahnya gumpal gumpal awan yang putih dan mula semakin sedikit.

lanskap alam mula kering, rumput rumput menadah doa untuk Tuhan memulakan musim hujan yang seterusnya.

kota yang bingar dengan jerit pekik manusia dan sekelian kenderaan melepaskan haba dari juring juring tembok nan tinggi, segala panas naik ke atas bersama dosa yang barangkali tercipta saban saat tak henti henti.

wahh, panas siang tak lelah mengheret habanya hingga lewat malam menjadikan tidurku gelisah dan menghasilkan keluh yang dungu.

musim panas yang pijar

bukan hukuman ini
cuma keluar dari zon selesa
untuk kita memikir sekejap
tentang nilai selesa yang percuma
yang setiap hari kita pungut

kalau leka membuai kita
tidak ada muhasabah tentang diri
dan jalannya.
maka asyik saja yang memacu
tidak ingat barangkali.

musim panas yang pijar
adalah musim panas haba
yang keluar bersama dosa barangkali
untuk kita kembali menilai hati

terima kasih pada-Nya
kerana musim panas ini adalah
pintu yang terbuka untuk menilai masa.

loppiess.kelanajaya.

97785 | posted by loppiess at 16:41 | 3 comments

Sunday, March 28, 2004

workshop kenali diri dan kemudian aku ingin berkongsi sesuatu.

kebetulan, hari ahad yang santai kemudian menjadi hari yang riuh dengan rasa yang terbakar oleh kata kata motivasi dari nasiron, aku teringat beberapa orang kawan yg selalunya tidak lupa utk datang ke "disini loppiess", berkongsi dengan mereka satu cerita agar cerita ini dapat sedikit menjadi riak yang kalau diizinkan menjadi gelombang kemahuan untuk berubah.

cerita mengenai perubahan saya

sewaktu saya masih kecil
saya bercita cita untuk mengubah dunia

apabila saya meningkat dewasa
saya rasakan ianya terlalu tinggi
jadi saya ubah fikiran untuk mengubah negeri saja.

semakin meningkat dewasa, saya rasakan cita cita ini terlalu tinggi jadi saya merancang untuk mengubah kampung saya sahaja.

apabila saya sedar, ini juga mustahil untuk saya lakukan, saya mencuba pula untuk mengubah keluarga saya.

sekarang saya sudah tua, saya sedar bahawa saya seharusnya bermula dengan mengubah diri saya sendiri terlebih dahulu.

"seandainya saya telah bermula dengan mengubah diri sendiri dulu, saya mungkin dapat mengubah keluarga saya, kampung saya, negeri saya dan mungkin dunia, siapa tahu?.

* kehidupan merupakan satu perubahan yang berkesinambungan.

97475 | posted by loppiess at 6:21 | 4 comments

Friday, March 26, 2004

Di dalam train komuter lewat satu pagi jumaat

beberapa hari lalu pak ya tel untuk mengatakan tentang seminar jump start pada 26 & 27 di Bangsar, rasa penat memandu aku hanya menunggang motosikal ke stesyen komuter yang berhampiran, membeli tiket RM 3.70 dan duduk diam diam hingga sampai ke stesyen kuala lumpur sentral.

air condnya dingin dan tempat duduknya lembut.

di dalam train komuter lewat satu pagi jumaat
semua mengantuk di dalam gerabak ini
kakak dan abang terlelap
mak cik terlelap, pak cik terlelap
adik terlelap, dara terlelap
si sunti terlelap
minachi terlelap

si tua bergayut di palang besi
tak peduli
si kakak perut besar seguni
tak peduli
si capek bertongkat memerhati
tak peduli
heii...aku membayar harga kerusi..!!

semua terlelap dari stesen ke stesen
semua terlelap dari rasa ehsan.

loppiess. petaling jaya

97262 | posted by loppiess at 7:34 | 2 comments

Thursday, March 25, 2004

pelayaran pelaut yang pertama

ketika tali kapal itu dilepaskan oleh para stevedore yang lusuh dan tua itu, sedikit sedikit kapal meregang dari dermaga, bunyi enjin bot penunda dan enjin kapal bersimpongang berbaur bersama debur air dan sampah sampah yang terapung turut berpusing tanpa haluan. gegendang besi yang besar pun berpusing sampil pelaut pelaut melekatkan tali kapal agar turut berpintal dan menjadi gulungan besar. derik sauh kemudian di putarkan dan rantai rantai sauh yang besar dan hitam turut berpusing dan juga menjadi gulungan rantai besar yang hamis, lusuh dan terlekat hanyir laut.Gangway disandarkan kedinding kapal, mast light dinyalakan, ini kapal mula melorong meninggalkan pelabuhan, perlaha lahan berjalan, laut lepas yang terbuka menanti. tiang tiang crane di pelabuhan semakin sayup di tinggalkan. kemudian pelabuhan hanya kelihatan bagai sederet lampu yang kecil dan hilang.

96952 | posted by loppiess at 0:44 | 0 comments

jadual adakalanya menjadi harimau yang menunggu di simpang jalan.

untuk menjadi santun mengikut jadual terlalu payah kerana harus menidakkan rasa malas, jadual adakalanya bagai harimau disimpang jalan yang menakutkan.

96940 | posted by loppiess at 0:24 | 3 comments

Monday, March 22, 2004

kepulangan seorang insan bernama Shaik Yassin kepangkuan Ilahi.

Samaada pagi di palestine atau pagi disini atau pagi di kerala atau delhi, atau pagi di jakarta atau acheh, atau di karachi atau di yarmouk, samaada pagi di kashmir atau di fremantle atau dimana saja tetap menyatakan bahawa permulaan hari bermula kembali. pusingan itu tidak peduli siapa yang tertinggal atau mati, tidak peduli siapa yang lapar atau siapa yang bersedih, tidak peduli siapa yang meratap atau siapa yang angkuh. kehidupan tidak pernah berhenti untuk bersimpati. jalan. jalan terus.

dengan shaik yassin aku hanya di ikatkan oleh kepercayaan hanya Allah Tuhan sekelian alam dan Muhammad pesuruh-Nya. tidak ada yang lain. wajahnya sering keluar lewat media, janggutnya atau serbannya kian sinonim dengan perasaan ku, si tua itu telah tiada sekarang. kepalanya terpisah dari tubuhnya, kerusi rodanya telah hancur. sedang aku di sini hanya terdaya bersedih dan menulis puisi.

inilah puisi yang kutulis lewat beberapa bulan lalu di melayu.com, lalu apakah lagi yang aku terdaya untuk menolongnya selain cuba mengambarkan perasaan ku ini seperti aku menyelami jiwa para kanak kanak yang melontar batu itu.

dari tingkap ku ke Baitulmaqdis.

I

mati dan mati
dendam terbakar di aspal
di tiang telefon dan cafe tepi sungai
di dalam bas atau di pos kawalan

aku mati dan kau harus mati
kau lihat aku berani kerana buah zaitun ku
berabad kau curi nahh lihat
di lilit badanku dan celah nafasku

ada bom tiada santun
tiada tamat kerana ini dendam kesumat
tiada tamat hingga hari kiamat..!!!

II

hari hari ku adalah pasir dan tembok
batu dan kasut renyok
waktu waktu ku adalah mimpi yang pinar
nafas nafas ku adalah panas yang pijar

untuk kesejutakalinya
akan ku ulang
tiada si jahanam petualang
berwenang berwalang menjadi jembalang

untuk kesejutakalinya
akan ku ulang..!!
akan ku ulang..!!

III

jasadku tak akan melepasi tembok
yang kau bina dari mimpi gusarmu

tapi aku kan melepasi segala
dengan jiwa ku yang menyala

selagi ada dosa yang kau pacu di atas pasir ku
selagi ada ingin terbakar di jemala ku

demikian,
aku kan berada dimana mana
di tubuhku telah ku ikat kejap jantung hati ku.

loppiess.kelanajaya.

96457 | posted by loppiess at 19:38 | 4 comments

catatan buat Mariah

demikian pilihanraya pamit juga. dan keputusannya tengah menerawang ruang angkasa, tidak ada kejutan kerana semua di isi dengan kepalsuan maha besar. aku tidak murung, kalau pun tidak ada barang satu DUN pun dimenangi pembangkang aku tidak hairan apa apa. pilihanraya hanya satu permainan bodoh oleh si bacul yang berwenang berbuat apa apa sambil berlagak menjadi guru demokrasi.

ketawakan saja si bacul itu. mereka hanya pelawak yang memakai pakaian badut beranika warna. berhiburlah semuanya.

Catatan buat Mariah.
( buat Dr.Mariah )

tidak terkejut dan tidak merasa apa apa
tidak terkesima atau koma
tidak terperanjat atau meraung
tidak marah atau buntu
tidak hilang akal dan menjadi gila

Mariah,
kita menang ketika engkau kalah
kerana kita memegang maruah.

loppiess. Kelana jaya.

96453 | posted by loppiess at 19:05 | 0 comments

Thursday, March 18, 2004

pohon dua ratus tahun dan helang terbang rendah

Perjalanan ke brinchang di momokkan dengan musim hujan dan jalannya yang berliku liku. jalan yang tinggi dan basah, paku pakis yang besar dan kembang. orang asli penjual petai dan juga helang yang terbang rendah.

kembali pada alam setelah bermusim asyik dengan riuh kota dan asap asap kenderaan . kembali pada hutan nan tua, kembali pada embun yang lembab, kembali pada serangga yang hidup harmoni, kembali pada burung burung bernyanyi nyanyi. kembali pada tanah tinggi ini sambil merasakan nafas menjadi lembut dan hela angin yang masuk ke hidung amat segar sambil bau pohonan hutan bercampera, bunga bunga kembang dan lumut lumut yang menumpang di pohonan melekap bagai tak mau lepas lepas dari rangkulan pohon nan gagah mencapai awan.

kami sampai ke ringlet pada lewat jam 11 pagi. kabus yang mesra dan dingin angin yang lalu lalang mengucapkan selamat datang. ke tanah rata dan ke taman sedia, menetap di kediaman dr ayob.

musim dingin di eropah lewat perjalanan kami terdahulu kembali bagai terasa. malamnya dingin yang amat. membenarkan angin masuk ke dalam rumah adalah tidak samasekali.

poster porter pilihanraya merosakkan pohon pohon dan pandangan kami. heii kenapa di malaysia riuh sangat dengan poster. ooo siapa yg banyak poster dijalanraya maka pengundi akan mengundi mereka. pengundi akan mengundi party yang banyak poster. hahaha.

kemudian sebagaimana lazimnya, ole ole di tanah tinggi cameron, aku sempat menulis sebuah puisi utk beberapa kawan spt hanyasayang, sitiniesta atau rainbowboy.

ku tulis puisi buat Sinderut.

helang terbang rendah dari
pos lemoi ke pos lanai
rama rama dan umbang langsuir mengirai dari
kuala medang ke tanjung gahai
sepi di batu yon resah kubuang ke telamok
ahh kena kopi di brinchang sambil bincang bincang
makan strawberry di tanah rata, tanahnya tidak rata.

ahh dingin sedingin aircond di pejabatku barangkali,
lelah dah kami tinggalkan di tapah
bercumbu dengan alam tak mahu usai usai
bermalas disini santai santai
minum tea ginger yang dibeli di boh
ladang tea bagai kotak kotak tanah yang retak
dari bukit ke bukit bersambut

solat di ringlet
dalam doa kami ya Tuhan,
ini alam indah dan Kau harus lembutkan
hati hati si tukang yang membotak hutan
agar harus sedar dan kasih akan alam
kerana ruang ini semakin sedikit
kerana ruang ini semakin sempit.

kediaman Dr Ayob,
Tanah Rata.

95787 | posted by loppiess at 17:55 | 4 comments

Friday, March 12, 2004

si pencopet dan dosanya terburai di flatform station

lewat tengahari yang hamis seperti biasa ketika panas bersambung dari minit ke minit aku berdiri di flatform station menunggu train untuk pulang ke kelana jaya. wahh tiba tiba ada ribut..si pencopet sedang bekerja dan sikena copet lagaknya seperti disambar kilat. maka di flatform menjadi huru hara dan sememangnya aku yang kelibut mencari punca onar apakah ini berpeluang melihat sebahagian dari kehidupan di kota ini, kehidupan yang banyak dan berbagai.

hukuman buat si pencopet.

hukuman buat si pencopet ialah terajang ia dan belasah hingga parah.
jangan kau soal kenapa ia mencopet
jangan kau soal sudah makankah dia
jangan kau tanya catatan perjalanannya yang
jauh dan hitam dan
jangan kau tanya anak siapakah ia kerana
barangkali ayahnya kaki todi
ibunya pelacur atau buruh bandaraya

jangan kau tanya kenapa mencopet
kerana kota ini hanya milik orang orang rukun
si gelandangan yang busuk adalah
si haprak yang ditangkap untuk
disembunyikan bila persidangan menteri dunia
bermula.

hukuman buat si pencopet ialah
terajang ia dan belasah hingga parah
jangan kau tanya dia sekolahkah atau tidak kerana
dia hanya picis debu yang kelabu
jangan tanya siapa peliwatnya ketika muda
jangan kau tanya setinggan mana dia
memesra usia kerana si pencopet lebih hina dari
si perasuah yang halaman rumahnya lapan ekar.

hukuman buat si pencopet ialah
terajang ia dan belasah hingga parah.

loppiess.kelana jaya.

94628 | posted by loppiess at 9:43 | 1 comments

Thursday, March 11, 2004

bisik untuk anak sebelum masuk tidur

( buat ayah ayah yang mogok lapar )

anak, mama tidak tahu apa dosa ayahmu
pada satu lewat malam ada orang orang yang datang
mereka merampas ayahmu dari mama dan dari kamu juga
kata mereka ayah berbuat dosa maha besar hingga
sampai kini ayah hanya menghantar air mata
buat kamu anak dan buat mama dan buat adikmu
yang semakin kurus merindu.

kalau benar ada dosa di dada ayah
ayuh katakan dan buktikan
kalau benar ada dosa di kerikil juang ayah
ayuh katakan dan bicarakan
kalau benar ada dosa di betis langkah ayah
ayuh katakan dan tunjukkan

anakku, ayah wujud terang di kalbu mama
ayah insan besar bergayut di sukma mama
ayah kuat dan tega bergentayangan disetiap hari mama

anakku, mereka punya kuasa di tangan
kita punya Tuhan untuk di gantung segala harapan.

loppiess. kelana jaya.

94424 | posted by loppiess at 8:18 | 5 comments

minit yang ke berbeliun untuk menjadi hari yang ke beratus ribu.

Hari ini panas, dan sekonyong konyongnya hujan turun setitik setitik dan kemudian hilang, kemudian turun lagi setitik setitik dan hilang semula. ada dan kemudian hilang semula. Titik titik yang jatuh itu jatuh dalam sinar mentari yang masih terik. di kolong langit sinar matahari memancar sahaja seperti biasa tidak tertekan dengan beberapa kelompok awan yang gelap. Langit hanya memerhati saja lagak matahari dan awan, tidak peduli kerana itu adalah pusingan hari dan minggu dan bulan dan tahun dan dekad dan abad, selagi pusingan bumi berturut seperti janji mereka terdahulu tidak apa. turunlah hujan banyak mana dia suka kerana didataran bumi sana bersepah pohon pohon menadah tangan minta ia turun, rumput rumput barangkali atau sungai sungai yang resah dan bukit bukit yang botak kepanasan. semua menunggu untuk meraikan pesta hujan turun kali yang ke sebeliun.

aku berada di tribunal perumahan di damansara selama beberapa jam, rumah yg sepatutnya siap tiga tahun lalu masih kelihatan seperti pondok durian. Enaknya jadi pemaju perumahan di malaysia tercinta ini, buat gambar rumah cantik cantik dan masukkan ke dalam akbar, jual rumah ketika tapak rumah masih hutan. rumah entah dimana dan pembeli hanya membeli janji janji manis.

maka duit beratus ribu pun di pinjam dari bank bank yang hauskan bunga, nahh lambak pada pemaju utk buat rumah, sekian waktunya jarum jam berputar, rumah masih entah dimana, pinjaman di bank harus di bayar, pemaju telah lemas dan bank tidak simpati. orang orang kecil seperti aku ini terkapai kapai seperti orang orang bodoh menganga dibawah kolong janji menjadi si badut sarkas, kesana kesini, heiiii....apa ini hahhh?

ini soal dasar kerajaan, ia sudah sampai masanya untuk berubah, pembeli tidak harus membayar untuk janji janji manis lagi, pembeli harus membayar rumah yg telah siap..!! seperti yg terlaksana di nagara negara maju.

tetapi masalahnya ialah pemaju pemaju adalah badut badut yang membelanja minum kopi para menteri. dasar hanya perlu di ubah bilamana keperluan itu di inginkan oleh mereka yg kaya, tetapi jika keperluan utk mengubah dasar itu datang dari orang orang kecil disini maka dasar itu tidak perlu di ubah. buang masa !!

di kaunter tribunal penuh dgn wajah wajah orang orang yang perlu di kasihani, mereka adalah pekerja kilang dan buruh bandaraya, pegawai rendah kerajaan dan peniaga pasar malam, posmen dan kopral polis, juruteknik JKR dan driver bas. duit mereka telah melayang ribuan ringgit tetapi sesuatu yg bernama rumah cuma igauan dasyat yang memenuhi mimpi ngeri mereka saban detik berlalu.

ketika aku ingin pulang, Pak Samad yg membeli rumah flat yg masih tak siap di puncak alam hanya membeli dua ringgit goreng pisang untuk makan tengahari, dia memberi aku satu dan pada tengahari yang panas dicelah lalu lalang kereta kereta besar, kami melepaskan keluh dan resah itu terbang dan melekat di tembok tembok bangunan, di pohon pohon, di bas dan lori , di gadis gadis yang berpusu pusu, di baju si attendant parking dan disegenap pelosok makluk makluk yang wujud yang berkongsi tengahari yang hamis ini.

demikianlah, kami hilang dalam hiruk pikuk kehidupan.

94422 | posted by loppiess at 7:59 | 0 comments

terowong data yang kejam

aku mengatakan terowong data itu sangat kejam kerana sekian lamanya komputerku mendail untuk mencapai talian tetapi gagal. Gila apa orang orang hingga bergayut di terowong data terlalu lama hingga nyamuk dibawah meja komputer ku kenyang kerana menanti giliranku untuk terjun ke laluan data data yang berbondong bondong menjungkirbalikkan lorong, bersepah, berterabur sehingga kucil kucil bertabrakkan, tidak peduli..!

menunggu untuk berpeluang masuk ke juring data bagai menunggu surat kekasih, tidak sabar, gelojoh dan pasrah. menunggu untuk turut serta berguling di terowong data bagai menunggu senyum kekasih yang merajuk, penuh penantian, penuh harap dan penuh ingin.

ini semua kerana pemilu yang akan sampai lewat seminggu dua ini. sampainya musim penipuan dan gelojoh sang pemimpin ingin kedudukkan bukan ingin membantu orang orang kecil yang bersepah disana sini.

ohh Tuhan, kenapa aku begini bebas lepas menulis hingga kadang kadang aku berada di luar pagar yang Kau pacakkan tiangnya buat tahu sempadan.

94421 | posted by loppiess at 7:29 | 0 comments

Monday, March 8, 2004

para perempuan dan lelaki yang duduk duduk di bangku

mereka duduk berbondong bondong, bagai alam ini sangat sempit layaknya.

93743 | posted by loppiess at 10:03 | 0 comments

Saturday, March 6, 2004

darah, daging, kaki dan organ bertaburan di dataran.

ini adalah berita biasa di iraq. sejak bush datang nyawa tercabut amat mudah seperti meludah ke longkang saja. bom meletup dimana mana, sungai yang lesu menjadi merah, kubur merata rata, anak anak kecil melihat debu sebagai masa depan yang kusam. tiada belas kasihan untuk si tua atau si cacat yang hilang kaki kalau bukan hilang kepala.

kau lihatlah raut muka lelaki lelaki yang bersimpang siur di jalanan, atau lelaki lelaki yang memegang senapang AK atau lelaki lelaki yang beratus jumlahnya yang sedang mengerjakan solat jumaat dikaki lima kau lihat wajah mereka, wajah mereka adalah raut duka dan pedih, laut sengsara dan kepayahan, peradaban yang tiada, liar dan sembrono, wajah mereka adalah wayang kepada derita yang berlapis lapis yang di bawa zaman berzaman. wajah mereka bagai penuh rasuk kekejaman yang diciptakan pemain politik yang hidup memang di atas darah para marhaen ini.

ketika ku lihat darah, daging, kaki dan organ bertaburan seusai bom besar yang meletup, aku terkesima, dimanakah cinta, dimanakah kasih, dimanakan kemanusiaan? apakah yang mereka mahu dari hidup ini sebenarnya.

cinta yang dalam telah pudar dan yang di isi didalam jiwa hanya amarah dan dendam.

Tuhan, kemudian setiap waktunya akan kan tetap meminta minta pada-Mu untuk kau bersihkan jiwa ku dari nafsu yang kadangkala menjadi api yang menyala sedia untuk membakar tawaduk ku.

93507 | posted by loppiess at 23:16 | 0 comments

semalam riuh dengan hujan yg turun

beberapa berita
pembubaran parlimen
ezam dan azmin tak boleh bertanding
mak dan abahku akan ke Mekah utk umrah

parlimen telah di bubarkan,
parti parti diberi lapan hari untuk berkempen
dengan jentera kempen yg lemah dan tiada media yg kuat, masa berkempen yg sekejap adalah cubaan kerajaan membunuh pembangkang dgn kaedah mudah.

ezam adalah cerita yang lebih mudah. kau ceritakan kebobbrokkan si lanun yang merompak segala kapal jika ada peluang tetapi rompakkan itu adalah rahsia. kerana kau cuba membuka rahsia perompak kau harus duduk di penjara. sedangkan perompak santai santai aja hidup dalam syurga duniawinya. ha ha ha ha pelik aku.

dan azmin kau pula hilang kerusi, kau ceritakan sesuatu dalam mahkamah tentang sesuatu yang benar untuk menolong si anwar yang merintih sakit itu lalu kau di tuduh sebagai saksi yang berbohong, kena..!! ha ha ha ha ha pelik aku. mudah sangat rupanya perhitungan yang berlaku.

si irene fernandes juga satu, tahanan tahanan yang daif kau ceritakan pada dunia luar, derita mereka kau bawa dan tayang di kolong langit, itu tidak boleh rupanya dan kau kena, ha ha ha ha ha, hukuman apakah ini semua?

mak dan abah akan ke umrah, doakan saya supaya menjadi manusia yang wajar.

93503 | posted by loppiess at 22:52 | 4 comments

Wednesday, March 3, 2004

duduk di tepi padang ( seperti duduk di taman)

awan di kolong langit yang biru sama juga seperti semalam dan hari sebelumnya. awan berwarna putih itu patuh saja untuk menabiri ruang langit, melindungkan matahari buat seketika.

angin bulan march santai santai bertiup dan menyapu sekelian yang duduk di padang ini.
pohon pohon yang rendang dan lalang lalang yang berdiri berbaris baris, rumput rumput yang hijau dan tiang gol yang berpanas juga di sapu angin bulan march ini.

duduk di tepi padang adalah duduk santai, duduk yang berupaya melontarkan pandangan bebas lepas ke kolong langit atau kawanan awan yang putih bagai kapas. duduk yang mengembalikan aku seketika pada diriku dan perjalanan hidup.
muhasabah dan telanjang untuk mengukur pencapaian atau kelemahan.

duduk disini ialah duduk untuk mencari cacat cela diri. duduk untuk lari dari dikejar kegopohan yang terpalu lewat kegelojohan yg tidak disedari yang menumpang dan mennghuni dalam jiwa, minda, hati dan sanubari.

duduk disini ialah duduk yang pertama untuk memutarkan semula putaran hidup. demikian, duduk duduk disini ialah duduk duduk untuk kembali berjalan.

92996 | posted by loppiess at 18:43 | 0 comments

line yang sibuk

kesibukkan line sejak kebelakangan ini menghasilkan weblog ini kosong untuk beberapa hari, biliun manusia bersesak sesak didalam talian hingga aku begitu sukar untuk mencelah. Kalau pun aku berjaya mencelah dalam sesak sesak biliun manusia itu aku akan segera tertendang keluar, masuk dan tertendang, masuk dan terpelanting, masuk dan terkucil, masuk dan tercicir, talian internet bagai talian juring raksaksa berselirat didalam udara, ketika ku nampak, biliun data data berbondong bondong, berasak asak kehulu dan kehilir, tidak kira jam dan saat, tidak kira. Data data itu membawa sekeliannya termasuk gambar gambar lucah yang selucah lucahnya, termasuk binatang binatang, sekelian rupa manusia, sekelian huruf dan angka, sekelian berita dari berita kebuluran hingga berita gelojoh gossip yang liar bersambung sambung dengan berita keimanan, tuhan, patung, meja, almari, kereta, air minuman, roti, awan, langit, roket dan apa apa saja yang terbetik dalam minda manusia.

setiap hari bondongan bondongan itu tidak lelah lelah bercampera, berhunjam dan bergempita lewat juring talian yang besar itu.

dan kita adakalanya turut berhunjamtari dalam sesat perjalanan demi perjalanan.

92961 | posted by loppiess at 17:46 | 0 comments