home
login::signup
we::blog

DI SINI LOPPIESS

I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky,  
And all I ask is a tall ship and a star to steer her by,  
And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking,  
And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking.  
Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) 
 
 
email: 
zamlope@yahoo.com

last modified Mar 5, 2008 at 16:05


Thursday, April 29, 2004

sessi pulang ke alam kali kedua.

sessi pulang ke alam kali ke dua. tetapi kali ini lebih teratur dan tidak bersimponggang. tersusun bagai balam balam pucuk hutan berbaris baris menutup bukit , ketika hujan, kabus dan awan tidak lagi berbeza. sessi pulang ke alam kali kedua adalah sessi pulang buat bersatu dengan pohon pohon seribu tahun dan lipan bara yang muncul dari selerak daun kering. penyatuan itu turut dianut oleh cendawan gajah dan helang diatas tualang yang menjulang awan.

park rangers jai membawa kami menyusur lantai hutan tropika. sehari di FRIM tentunya sessi yang pulangkan budak kampung sepertiku ini kembali semula kepada hijau hutan kalau bukan ia hidup didalamnya tetapi merasa dinginnya apa lagi yang kau ingin? udara yang ku sedut adalah udara yang keluar dari desir daun dan hilai bunga bunga hutan yang kemudian masuk kejuring paru paruku seperti sebongkah ais yang dingin dan sopan, setiap nafas yang dihela adalah helaan udara yang turut mengalir dari denai denai air jernih yang melewati batu batu dan pohon reput.

pedulikanlah helang yang memandang curiga lewat kumpulan kami mencecah banir tualang, hutan tua yang menampung dua ribu enam ratus species pohon tidak lelah lelah mengucap selamat datang. banir keranji atau banir pohon ara bagai khemah kecil buat berlindung dari gelisah riang riang. pianggang yang terbang tidak peduli, leaf hoppers tidak acuh, kutu daun tidak ambil tahu, pacat tengah mengilai dihujung rumput buat menyambut panas darah. cicadas dibawah daun tersenyum lewat berita hutan ini akan sebegini hingga berjuta tahun lagi.

ketika hari semakin tinggi dan bayang mentari yang keluar dari celah rimbun daun daun memanah sekelian penghuni lantai hutan kami semakin asyik melihat tarian rotan sega dan manau yang melilau membelit sekelian pohon yang perkasa mengapai awan. belalang kunyit dan raja semut merah mengacah diatas ranting meranti bukit. tarian ballet buah keruing kipas yang berjatuhan diantara silang tega pohon keruing dan agam meranti merah bagai didewan orkestra, cuma muziknya hanya jajaran melodi unggas dan laungan kera dan cikah yang jauh. pohon melunak dan rengas, meraga dan balau merah beratur diantara merbau gagah, pohon kempas dan pohon putat, jerkah buah kulim dan semborono labo, ulat gongort dan raja anai anai bersatu semula dengan kami sebagaimana kami ingin bersatu dengan mereka seperti pada mulanya.

betapa kasih akan hutan ini jika kita berada didalamnya tidak hanya melihat dari jauh dan melepaskan dengus kasihan tetapi merasainya dan bersatu dengannya, cukup jika pohon cengal itu mengambil 60 tahun untuk mencapai tinggi 6 meter..!, kalau yang ditebang itu sebesar pemeluk 4 lelaki dewasa lalu berapa ribu tahun ia telah hidup? , jika terus saja ditebang semuanya akan hilang, kalau mahu melihat semula bagaimana ia seperti asal maka akan mengambil masa 400 keturunan..! ohhh.

akhirnya ketika waktu solat zohor hampir hampir sampai kami telahpun berada diatas canopy hutan. walaupun hujan turun jai tetap banarkan kami melalui jembatan gantung yang dibina hasil bantuan kepakaran german ( sebenarnya ia sangat simple, tidak perlu germany barangkali), hujan turun ketika aku berada diatas pucuk pucuk kayu yang secara logiknya jika tidak ada jejambat tersebut hanya helang yang mampu ke sini. dari jejambat kita dihidangkan dengan sebahagian pemandangan kota, hujan diatas pucuk kayu pohon besar, diatas bukit, di dalam hutan tropika adalah hujan yang memberikan aku kenikmatan tiada tara !!

demikianlah sessi pulang ke alam kali kedua.

tiada siapa lagi yang boleh menyelamatkan hutan dan menyanyanginya kecuali kita.

kami bersolat zohor ketika waktu asar bergegas tiba. seusai solat ketika berdoa, dibelakang sana semua pohon pohon turut menadah tangan, kasihi kami, kasihi kami.

kasihi kami !

103467 | posted by loppiess at 10:47 | 0 comments

Sunday, April 25, 2004

kemudian hari yang baru muncul ketika aku masih lena

kebelakangan ini hari tidak dapat diramalkan, tidak dapat dibaca, tidak dapat diteka, tidak dapat diduga. kalau pagi dilangit hanya redup dan penuh dengan awan yang sendu, awan yang berduka tetapi tiba tiba sahaja matahari gagah keluar dan cahayanya yang panas dan hangat segera pula jatuh bertimpa timpa kerumput, lalang dan bumbung bumbung rumah. panas yang kekar itu tidak pula berlanjutan, sekonyong konyong awan mula kembali merintih, dengarlah laung kilat dan guruh bagai bala tentera kerajaan berkuda datang dari balik bukit bukit untuk mencabut nyawa kami disini. dari jerit kilat dan dentum guruh yang berjajaran dari balik awan dan turun ke atap rumah rumah pangsa, jajaran jajaran kilat mula terukir dikolong langit bagai cempera urat urat nan besar bertingkah, berlawan dan gema gempita berjeritan dan bersambung sambung seperti perlawanan pedang para rasaksa sedang berlansung. alam semakin hitam takala titik pertama hujan menyapa bumi. kemudian titik titik itu bercambah menjadi seribu dan kemudian sejuta hingga ke beliun dan menjadi triliun. sorakkan sorakkan pohonan dan tangisan tangisan para serangga bercampur baur dengan jeritan jeritan lalang lalang dan para rumput. tempikkan tempikkan menatang rahmat bersambung bersama duka duka dari angkatan semut yang riuh menyelamatkan diri, takala hujan yang jatuh dari langit tidak lagi ada peduli pada apa apa, ia jatuh bagai tidak dapat ditahan tahan, sekelian dicurahkan selagi awan tidak kembali berwarna putih..!!

sekian senja yang muncul dari pesta hujan turun menghasilkan malam bungkam yang merangkak perlahan perlahan. aspal yang basah, angin dingin yang longlai, lampu jalan yang suram dan pohon pohon yang diam melukiskan wajah malam nan keletihan. rintik rintik air yang jatuh dari langit terus saja jatuh tetapi tidak lagi terlalu ghairah, titik titik itu cukup cukup saja untuk membasahkan bulu tikus mondok yang mengendong anak dilongkang besar. dari billiun titik itu kemudian hanya menjadi ratusan saja, doa si pengantin baru untuk mendodoikan hujan agar bersambung hingga kepagi tidak dimakbulkan Tuhan barangkali untuk malam ini. pemandu teksi hanya duduk tenang didalam teksi menunggu penumpang sambil melayan keroncong bulan tersangkut didaun kelapa dendangan radio gelombang selatan. penjual kue tiaw menyumpah akan hujan atas kegagalan mempoketkan sejumlah uwang buat melunaskan yuran peperiksaan si amoi. disudut simpang, barangkali pelacur tua tidak peduli akan gincunya yang tercalit hingga kemata. di sudut sudut tiang kedai lama siburung layang layang berbondong bondong mencari tempat untuk memejam mata, semua kelihatan semakin lelah, dingin hujan dan basah aspal menjadi semakin sepi. kehidupan malam beransur pamit, yang tinggal hanya aku masih menaip sambil menyaksikan alam ini berlalu. deru kipas, desing serangga malam, sesekali lalulalang kenderaan dan lerai angin ku gubah menjadi lagu untuk didendangkan buat memejam mata untuk malam yang iseng ini.

hari kemudian berlalu lagi ketika aku sedang tidur, ketika aku sedang tidur kemudian hari yang baru muncul mengetuk pintu alam.
aku masih lena.

aku masih lena.

102704 | posted by loppiess at 9:22 | 0 comments

Thursday, April 22, 2004

jalan

aku tidak dikenakan tiket
atau uwang tambang
aku tidak harus beratur
atau menunggu nombor
aku tidak diambil cap ibujari
atau pengenalan tahilalat dipipi
aku hanya perlu melangkah terus
kerana jalan yang benar adalah
antara dua titik garisan lurus.

demikian perjalanan tidaklah payah
cuma iman yang selalu goyah.

loppiess.kelanajaya

102400 | posted by loppiess at 19:13 | 1 comments

Monday, April 19, 2004

dari satu titik kusambung bulatan untuk satu putaran

rasanya telah lama sangat tidak kesini. kerana hari sangat cepat beredar dan hari hari yang laju tersebut menjinjingku dan mengepitku agar turut berlari bersama. ketika kakiku bagai tidak dapat berpijak ketanah, aku telah turut serta dihanyutkan dengan riuhnya hingga aku tidak dapat duduk duduk disini, kembali kedalam diri sendiri, bermuhasabah dan pusingan hidupku terasa semakin besar cyclenya, kerana setiap putaran itu berbentuk bulat dimana setiap putaran itu bermula mestilah dari satu titik , titik itu ada disini, disini loppiess, disini dititik menilai hari dan menilai diri. kegagalan untuk kesini bermakna gagal mendapat masa untuk duduk sebentar memeriksa diri setelah lelah untuk menghabiskan satu pusingan. dari lelah tersebut untuk kembali berputar guna melengkapkan jadual haruslah bermula dari yakin akan diri dan telah menyemak dosa dosa yang subur lewat putaran terdahulu. demikian kefahaman yang amat leceh..! yang harus atau tidak ada tolak ansur yang aku nikmati sebagaimana layaknya loppiess ini untuk membenarkan kenyataan betapa dia hanyut dalam metamindanya yang berahi dan asyik dengan mabukseni atau benarsalahnya segmen segmen yang berlansung.

zul menghadiahkan ku tetikus yg sungguh comel untuk laptop ku.

selamat malam kepada tv, kipas siling, kerusi, meja, pen, surat surat, jendela, maxi priest, shogo hamada, flower horn, kasut, bag dan surah yassin.

kepada telefon bimbit, bunyikan saja alarm pada pukul enam pagi kerana seperti pagi pagi terdahulu aku akan tetap meminta pada-Nya untuk menjadikan hari hari tersebut adalah hari yang lebih baik dari hari hari terdahulu.

101687 | posted by loppiess at 9:17 | 3 comments

Monday, April 12, 2004

bank, beruk, biawak dan kehidupan.

seusai berjumpa konstable fazlan aku bergegas ke maybank SAAS berjumpa din kerana masaalah housing loan yang masih diam. wahh din kelihatan macam mesin, terlalu sibuk...meja yang bertimbun fail, talipon yang bertali arus, komputer yang lip lap, printer yang semborono, dan........

...dan monyet yang turun dari siling !

aku bergegas bertanya pada din, ini bank kah atau zoo ?
jawab din dgn selamba..dua dua.!

spesis kera berekor panjang tersebut santai santai aje melihat para pegawai, kerani, tea lady dan security guard di dalam bank tersebut tanpa takut atau rasa bersalah kerana "pecah masuk bank". dia dengan gelojoh akan menyelinap ke dalam pantry dan ambil saja apa apa yang boleh di makan, hatta sabun pun jalan!

bagus jugak kalau di ajar untuk membuka peti besi...kayo pakcik..!!

demikian secebis kisah kehidupan di satu sudut lembah klang yang terlalu laju membangun tanpa ada simpati pada belalang barangkali, pada serangga, pada burung burung di paya, pada ular, pada biawak, pada cicak kobin, pada ikan puyu, pada tebuan, pada siput babi, pada lipan dan jengking kala, pada ulat bulu dan kerengga, pada wahhh....banyaknya yang terancam, ini termasuk "brader" yang memecah masuk bank.

tidak ada, tidak ada simpati atau perancangan untuk berfikir barangkali mahu jadi apa sekelian mereka itu?, pedulikan kerana silau warna uwang adalah silau yang melekat dihati dan menjadi hijab untuk merasa kasihan.

tebang sekelian pokok dan timbus sekelian lombong, ratakan sekelian paya dan gores sekelian bukit.

cerita beruk lusuh

anakku yang ku kendong
ketika melintas lebuhraya
tercicir dan disambar lori tangki
aku memungut cebis hati dan kaki

musnah segala
kerana kami telah bertukar menjadi manusia
dan manusia bertukar menjadi kami.

demikian putaran alam yang tak berhenti.

loppiess.kelanajaya

aku yang kecil ini tidak punya tangan dan mampu, punya mahu cuma tidak cukup untuk kembalikan mereka kehutan. cuma kasihan dan keluh, pun kalau itu pun tidak ada, lalu dalam kategori apakah kita ini?

100146 | posted by loppiess at 5:10 | 1 comments

Friday, April 9, 2004

menumpang lalu

dikala aku menulis ini malam sebenarnya telah begitu panjang. setelah hujan dan petir berhunjam ketika mengatakan selamat datang kepada senja. senja menjadi terlalu dingin, daun daun dan pohon pohon yang basah, aspal yang licin dan silau lampu jalan menjadikan malam begitu longlai dan merintih. hanya hitam sekeliannya yang menabiri langit, entah mana kawanan bintang untuk dipuja, entah mana sang bulan untuk dinyanyikan lagu bengawan solo.

Tuhan,
diri ku yang kecil ini, lewat malam yang panjang ini hanya mohon pada-Mu untuk menumpang lalu.

menumpang lalu

usai usai solat subuh
aku kembali pada hidup nyata
untuk hari ini pula

wah banyak sengketa
banyak teka silangkata
bertimbun siksa melambak dusta
sengsara dimana mana

Tuhan,
aku hanya pinta izin-Mu
menumpang lalu.

loppiess.kelanajaya.

abah menelefonku lewat pagi, merancang untuk pada satu ahad yg sesuai agar dapat balik dan menolong menyiapkan tambahan atap untuk dapur rumah di kampung, abah tahu aku lansung tidak tahu bertukang, tetapi abah tetap mengajak aku balik.

abang lang menghantar sms, minta di forwardkan ke 7 orang kawan maka akan beroleh keberuntungan, minta maaf saja padanya, aku ada banyak kerja lain !

jumpa zul kawan sewaktu di kolej, minum cendol selepas solat jumaat. zul sekarang tauke sykt, ambil sub dgn maxis.

baca weblog hs, sungguh mengesankan, baca weblog siti, sebuah cerpen yang begitu menarik.

hari hari terus datang dan pergi dan aku mengucapkan selamat datang dan selamat jalan kepada hari hari tersebut.

selamat datang dan selamat jalan

selamat pagi pada hari khamis
dan aku masih menghirup nafas
pagi pagi terdahulu telah berlalu
selepas subuh dan
tengahari dan senja sering pamit
petang yang longlai iseng iseng mengucap
selamat jalan dan malam yang hitam dan gelap
adalah rupa diriku yang mendodoi alpa.

loppiess.kelanajaya.

demikian untuk malam ini, kerana tidak akan ada lelah barangkali untuk aku terus menulis puisi maka aku akan menulis lagi untuk memenuhkan berahi mabuk seniku ini.

pun jalan masih panjang, Tuhan masih tak henti henti memberikan aku nafas dengan percuma.

99732 | posted by loppiess at 10:39 | 2 comments

Tuesday, April 6, 2004

terlalu banyak

telah terlalu banyak, tidak dapat dihitung. tidak pernah dapat dihitung kerana terlalu banyak.

terlalu banyak

aku telah pun meneroka hidup ini
untuk tahun tahun yang banyak
nafas yang kuhirup adalah
untuk yang kedelapan biliun barangkali
lalu aku kemudian kehilangan bahasa apakah
untuk ku ajukan
kerana Engkau memberi aku
terlalu banyak
terlalu banyak
terlalu banyak.

loppiess.kelanajaya
january 2004.

99168 | posted by loppiess at 13:17 | 4 comments

Monday, April 5, 2004

ray ban ku hilang di dalam kolam mandi. kemalangan motor berhampiran simpang rumah ku. hati yg sakit kepada pemandu yg gelojoh memotong keretaku dari kiri. pegawai bank yang masih tidak approvekan permohonan penurunan kadar faedah bai bitaman ajil housing loanku. anjing jiran belakang ku yg kuat menjerit. acara ampu di TV dan surat khabar dan flower horn ku yang tidak mahu makan.

...adalah beberapa perkara yg masih tidak selesa dan mampu menjolok rasa bimbang atau sakit hati.

lain lain ok saja. hujan menghadiahkan aku dingin dan tidur yg selesa. jarum meter penunjuk temperature keretaku berfungsi semula dengan sendirinya, mak dan abah sihat, angah di pontian semakin pulih sakitnya.

dan yang lain lain ialah politik dunia yang tidak adil. US ada veto yang tempangkan kuasa PBB, pengebom di Spain meletupkan diri sendiri. si sharon bull dog masih tak jemu membunuh. pemabuk di bar golok mati sebelum mengucap.

aku disini mentafsir resah, bila lagi mau mengapai darjat orang baik baik. tidak juga..cuma mahu masih panas, cukuplah itu dahulu.

99067 | posted by loppiess at 17:46 | 2 comments

Sunday, April 4, 2004

musim panas yang kering dan menghasilkan tengahari yang hamis dan aspal yang pijar barangkali sudah pamit, memang bukan barangkali lagi kerana saban petang lewat beberapa hari nan lalu hujan saja yang menghuni alam, betapa riuh mereka turun, berpesta lagaknya. begitulah musim, kalau mau pamit tergesa gesa saja. tidak peduli.

aku terkenang mak di kampung, mak yang duduk dibirai tingkap. rumah pusaka kami yang menghadap bukit bukau yang puncaknya hilang di litup kabus. ayam ayam yang kesejukkan dibawah rumah. curahan air di cucur atap.

di sini dibandar ini ketika musim hujan dan memandu pulang dari pejabat pada setiap petang,
kita harus bersedia mental dan fizikal.

ketika hujan lebat
aku masih terjebak dengan
gilanya kereta dilebuhraya
setiap simpang kereta memanjang
jalan pulang tertutup oleh
resah bersambung
amarah dan gelisah
bercampur.

98901 | posted by loppiess at 14:02 | 2 comments