|
DI SINI LOPPIESS
I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky, And all I ask is a tall ship and a star to steer her by, And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking, And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking. Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) email: zamlope@yahoo.com
last modified Mar 5, 2008 at 16:05
Wak Howe tercegat memerhatikan para kuli mencuci keretapi , jangan sampai ada yang curi tulang, tidur di kerusi gerabak atau sekadar berjalan lenggang lenggok sambil membiarkan mob yang basah mengekori buntutnya. Nanti jam 4:30 pagi akan ada badut dari depoh dengan muka kusam dan menyapu tahi mata melihat lihat ke dalam gerabak, maka dengarlah pekikkannya jika lantai gerabak kelihatan kotor atau masih ada minyak rambut penumpang melekat di tingkap cermin pintu. Selalunya yang buat hal atau paling pemalas ialah Rostam, Yusof Kandar dan Boestamam Tobing.
Jika di hitung ada semua tiga puluh lapan gerabak yang harus di cuci sebelum jam lima pagi. Lantainya harus di sapu dan kemudian di mob dengan sabun cap kuda belang dan kemudian di bilas semula dengan air bersih, kerusi gerabak yang bewarna merah dan ada antaranya hijau itu harus di lap dengan sabun juga kemudian dikeringkan dengan berhati hati. Di antara kerusi gerabak selang sebaris ada tiang besi putih bersambung di palang atas yang penuh tali pemegang untuk di pegang penumpang kala bersesak sesak di waktu puncak, itu pun harus di lap dengan sabun kemudian di keringkan. Cermin tingkap dan cermin pintu mesti di lap juga, kalau tidak nanti di kala matahari bersinar maka akan kelihatanlah tompok tompok hasil minyak rambut, calit calit gincu, reja reja selsema yang keluar dari bersin atau juga kesan jari jari montok yang terpalit ais kerim.
Siling juga harus di bersihkan, jangan sampai si badut yang datang jam 4:30 pagi terkesan palit hitam, maka akan di sapunya dengan jarinya yang panjang dan seruas seruas itu ke merata tempat, awas jika jarinya turut hitam, wahh bisa terjaga gerombol tiong kerbau yang tidur di palang atap depoh mendengar jeritannya, itu barangkali hasil kerja samaada Rostam, Boestamam atau Yusof.
Telah ada beberapa kali semenjak Wak Howe di lantik sebagai cleaner leader ada komplen dari Pegawai Pegawai keretapi tentang mutu cucian gerabak. Para kuli yang bekerja di sini juga semuanya sekampung dengan Wak Howe di Jawa Tengah sana, maka sedikit sukarlah Wak Howe untuk betul betul tegas, malah Rostam dan Boestamam sendiri datang ke sini sama tongkang dengannya, merempat berbulan bulan di ladang kelapa sawit di Labis sebelum sampai ke kota ini. Malam mencuci keretapi di depoh dan siang bekerja di pest control membunuh lipas, tikus atau semut.
Hitung hitung sebulan hasil dari mencuci keretapi Wak Howe mengumpul sehingga lapan ratus dan hasil dari membunuh lipas hingga enam ratus, campur jadi seribu empat ratus, wahh.. berjuta juta rupiah, tidak termimpi untuk mendapat sebegini banyak jika masih duduk di kampung.
Namun semenjak dua menjak ini ada tali kerunsingan bersambung dan berpintal kusut di dalam cerna minda Wak Howe. Kegelisahan itu mampir ke teluk fikirnya kerana Wak Howe tidak punya apa apa, tidak punya sebarang surat perjalanan, tidak ada dokumen yang tertera wajahnya yang polos, hitam dan penuh jeragat itu. Tidak punya apa apa pengesahan kerana apa dia berada di Malaysia. Malah pintu masuk dia memijak bumi Malaysia ini pun tidak pernah di ketahuinya kerana takala dia sampai ke pantai pada malam itu, juragan Mutalib yang hanya di kenalinya di Tanjung Balai menjerit menyuruh mereka melompat ke air, katanya ada beting pasir dan tongkang bisa tersangkut di dasar pasir. "Äku hampir saja menemui ajal kerana pada ketika aku melompat, jasadku terus meluncur ke dasar laut yang sunyi, ya memangnya jika tiada Boestamam aku telah mengunjungi aruah bapaku ke alam mereka".
Operasi pemutihan pun berlansung, aku tidak lagi dapat bersembang dengan Wak Howe kerana aku telah di tugaskan untuk mengawal selia sistem SCADA keratapi, lama sudah tidak pekena gudang garam aslinya. Beberapa hari lalu aku terima poskad bergambar sawah di lereng bukit,
Bapak yang sungguh saya ingati, saya sudah membeli beberapa ekor lembu dan menjadi petani, melihat runcing gunung dan hijau sawah, tiada lagi keratapi dan hiruk tiong kerbau, cuma saya harus mengulung rokok semula, tidak bisa lagi membelinya.
Howe.
Bonda ku, ketika aku menulis ini malam telah begitu dewasa namun bulan tidak juga hadir, begitu juga bintang bintang, langit begitu gelap, gelapnya benar benar hitam dan likat. Dari awal senja, gelap itu berjatuhan ke ruang alam, menimpa pohon pohon dan bukit bukau, gelap itu jatuh adakalanya seperti hujan dan adakalanya tertebar seperti jala, hitam itu akhirnya tidak dapat lagi di tahan tahan, hasilnya malam begitu gelita.
Bonda ku, sering saja bila aku kesunyian atau runsing menjadi tamu hati ku, aku segera teringatkan mu, bagai aku ini bayi mohon engkau mengusapku, kala aku letih maka letih itu kan pamit tergesa gesa, kala aku resah, resah itu kan menjauh seperti sampan kertas di dada sungai, kala aku berdebar maka debar itu akan segera pergi, bagai engkau menyiram air ke dalam dadaku yang kontang.
dewasa ini bonda, aku sering saja runsing dan gelisah, bagaimana kan ku katakan pada mu gelisah itu, kerana ia bukan dosa ku atau bobrok engkar ku atau jahilku atau aku ini pemberontak tapi cuma aku ini menjalankan tugasku sewajarnya, atas maksud Tuhan memberikan undang undang dan kami ini sedayanya bagai cuma sebutir pasir di padang luas ingin menegakkannya namun lagi kami cuba menegakkan hukum lagi kami kan terima balanya lalu bonda, aku ini apa, si polan dari jabatan agama menegakkan hukum kemudian si polan di hukum. tidak apa dan yang wajarnya bagaimana? tongganglah arak atau tidak usah pakai apa apa biar kemaluan di tayang kehulu ke hilir, tidak apa dan yang bersalah cuma si laknat yang berjanggut cuba menegak hukum.
bondaku, aku belajar untuk membiarkan kebobrokkan atau kelucahan sosial berlansung, jangan peduli atau yang bagusnya ayuh sertai saja! sertai mereka untuk berdansa sehingga pagi biar peluh keluar bagai melakukan sepuluh kali persetubuhan. Ayuh tongganglah arak, biar mabuknya berbulan bulan, jangan pakai apa apa pakaian, bukankah itu lebih mudah dan ayuh sama sama menayang kemaluan, marilah kita duduk di rimba peradapan paling modern ini.
bonda, maafkan aku kerana begini celupar, bukankah engkau juga yang mengajar supaya tidak akan membenarkan sebarang kebobrokkan sosial berlaku di sekeliling? namun kita tak punya apa apa bonda, tidak punya apa apa kuasa selain lidah kita , kalam dan kertas asing yang tak di baca orang ini.
Salam aku pada Atan, Ngah Bedah dan Pak Udo Taugeh, kasihmu bonda memimpinku menjadi sebegini pemarah.
Abdul Solehin Embong, Kuala Lumpur
Hj Udin imam Kg Pelam Sebatang kini jelas sudah tidak mampu lagi berdiri di mimbar. sudah amat tua, ketuaan itu diceritakan oleh rambutnya yang memutih, kedut mukanya atau lihat saja ketika dia terbatuk batuk, lembir kulit di bawah dagunya bergoyang ke kiri dan ke kanan seperti rambu merah ayam jantan. Bukan setahun dua Hj Udin berdiri di mimbar masjid Kg Pelam Sebatang, kalau nak di kira dengan jari, harus jari kaki pun turut di campur, Hj Udin tahu siapa paling liat datang ke masjid, tak usah menyorok, Hj Udin tahu siapa yang tak pandai baca al fatihah bila nak akad nikah, Hj Udin tahu siapa yang mati mulutnya berbuih sehingga ke liang lahat. Semua Hj Udin tahu, siapa yang laki bini porak peranda angkara janda Piah, Hj Udin tahu, hinggakan siapa tonggang arak dan di papah jantan kehulu kehilir di kolumpo tapi balik kampung pakai mini telekung pun Hj Udin tahu, usah...usah nak sembunyi.
Tapi kini Hj Udin tiada lagi berdiri di mimbar, bukan saja berdiri di mimbar, bahkan berdiri di kolong pintu masjid pun dia tidak mampu lagi, sebelah badannya telah diam tidak mahu lagi bergerak, kata dressar Maujud, kelompok elektronik otaknya telah habis battery, kelompok yang mewakili sebelah kiri jalur wayar wayarnya, wayar wayar yang bertugas untuk menghidupkan suis tangan, suis jari, suis kaki, suis lutut dan entah suis apa lagi, Hjh Zabedah isteri Hj Udin hanya menganguk ketika Maulud becok memberitahu, Hjh Zabedah tahu yang Maujud kaki bercerita, Hjh Zabedah hanya ambil sedikit, lain lain hanya kelentong Maujud. Semenjak anak Maujud yang kedua lahir bermulut sumbing, orang orang Kg Pelam Sebatang mula marah marah pada Maujud kerana engkar untuk menghentikan tabiat kaki pancingnya itu. Maujud berteriak, itu semua mahu Tuhan, orang kampung berbisik anak Maujud kena kenan ikan.
Kerana lamanya Hj Udin menguasai mimbar hingga tidak cukup jari tangan mengira tahunnya maka orang lain, samaada Bilal Dol atau Siak Deraman tidak lagi memasang angan angan untuk berdiri di mimbar. Lalu bila tiba tiba saja menjelang aidil adha Hj Udin di beritakan tersentak sebelah badan ketika mencabut ubi untuk di beri makan lembu korban, Bilal Dol dan Siak Deraman kecut perut, siapa nak naik kemimbar ketika solat sunat aidil adha?, jangan buat gila tuh beratus jemaah, ada tok kadi, ada budak belajar di Mesir, ada pegawai satu di Jabatan Agama, ada manager besar, ada budak sekolah pondok hafaz qur'an, kalau setakat jemaahnya seperti Acu Luncai atau Manaf Bujang Telajak saja tidak apa, ini di belakang sana guru hebat hebat belaka. Bilal Dol memandang wajah Siak Deraman, Siak Deraman memandang wajah Bilal Dol, bila saja mata Siak Deraman hinggap ke pipi Bilal Dol, bingkas Bilal Dol memandang ke bukit bukit di sebelah tanah perkuburan, mahu tidak mahu, Bilal Dol harus ke depan, tidak ada tapi lagi.
Pagi aidil adha sungguh cerah, matahari timbul dan menyapu seluruh daerah Kg Pelam Sebatang. Pohon nyiur yang tinggi, pohon pohon getah dan kelapa sawit, pohon pohon durian dan pohon pohon manggis dan rambutan memberi hijau pada tanah subur. Sinar matahari terpantul dari titis embun dan dari hujung rumput rumput. Suara takbir bergema, pujian pujian pada kebesaran Allah bertebaran dari lembah sawah ke puncak puncak bukit, ada kesayuan dan rintih pada mereka yang tiada, ada kasih dan syahdu mengisi pagi dan kalbu.
Bilal Dol menghidupkan enjin motosikal modenasnya, fikirannya hanya di mimbar, tentang para jemaah yang terbeliak mengutuknya, tentang heboh cerita "imam Dol" terkedu di mimbar. tentang imam Dol baca khutbah seperti Karam singh Walia, cerita tentang imam dol ke bilik air ketika membaca kutbah.......sedar sedar imam dol telah berdiri di kolong pintu masjid.
Usai usai solat dua rakaat imam Dol pun membaca kutbahnya. ketika usai khutbah solat aidil adha aku pun bergegas ke mimbar bertemu imam Dol, ketika bersalam aku mencium tangannya, "uztaz, uztaz melakukannya dengan begitu hebat", selesailah ujian pertama imam Dol, semua jemaah terkedu betapa hebatnya imam Dol, bayang Hj Udin kian hilang.
Aku masih ingat ketika mengaji bergurukan imam Dol, jika ada perlawanan bola maka mengaji malam itu di batalkan.
Dewasa ini Long tidak sangat mempercayai hari yang pijar kerana getar panas yang bertingkah di atas tiang tiang lampu dan ubun ubun pohon akan saja hilang yg kemudian tanpa tergesa gesa di ganti oleh ulit mendung yang bertabrakkan di awan kalau saja mahu ia akan segera menjuraikan hujan yang bermula dengan rintik rintik yang acuh tak acuh saja lalu kemudian turun gegak gempita bagai bumi dan tanah ini di cipta untuk di rempuh dengan berwenang.
Long termenung di birai tingkap opisnya, tingkat 12 bangunan kerajaan itu kalau berdiri di birai tingkapnya maka akan berjajaranlah pemandangan bermula dari taman bunga yang indah yang memanjang yang kemudiannya menjatuhkan bayang empat tiang besar masjid biru kedada tasik, awan pula bergerombolan memutih memidai langit, walau bagaimana indahnya pemandangan di depan Long namun Long tetap gusar, ada sakit hati, ada rasa marah yang bertemali dengan geram dan risau, ada rasa kempunan bila setiapkali menelan air liur yang terasa cuma pahit bagai ubat cap kaki tiga si badut.
Kocak air di tasik, Long bagai tergambar kocak air Sungai Nil, puncak puncak bangunan, Long bagai terasa puncak piramid tertonjol di daerah permakaman firaun, goyang pohon di tepi tasik, Long bagai tergambar belly dance yang bisa melelehkan air liur...waduhh, Long beberapa kali menelan air liurnya yang semakin pahit itu.
abangnya..!!, bagus sangatkah parlimen dan sistemnya yang berjalan di Cairo tu? udah...uda demam tu, bawak ke klinik, takut nanti denggi pulak!
selesai Long mendengar suara dari dalam talipon bimbitnya, Long bagai mahu mencampakkannya ke bawah dari tingkat 12 itu, biar bersepai kalau hanya itu yang memuaskan hatinya.
|