|
DI SINI LOPPIESS
I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky, And all I ask is a tall ship and a star to steer her by, And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking, And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking. Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) email: zamlope@yahoo.com
last modified Mar 5, 2008 at 16:05
kegalauan minda ialah kekacauan yang wujud bertolak dari kegagalan nubari atau kalbu bersetuju untuk menuruti sahaja hukum yang baik baik, maksudnya ada wajah engkar atau perkelahian antara mahu dengan membantah, pertentangan itu selalunya membuntingkan kegalauan minda.
galau minda acapkalinya memesongkan manusia dari berfikir yang patut patut atau hasil dari kegalauan itu membuatkan minda tidak dapat dikawal seperti sepatutnya maka selalunya juga membuntingkan ketidakpatuhan kepada jalan yang normal.
ada orang mahu melayah dari tingkat 10 flat san peng atau flat pekeliling kerana galau mindanya menjadi terlalu galau. ada orang menusuk pisau ke perut orang lain ini kerana galau minda sudah miskin rasa belas dan pertimbangan, ada orang meminta wang suap sebanyak delapan juta buat meluluskan projek lapan billiun ini adalah hasil dari kegalauan minda hingga wang keluar dari biji mata hitamnya seperti cerita kartun saja layaknya. ada orang melampiaskan berahinya kepada perempuan perempuan di pinggir jalan atau juga kepada wanita yg dulu di timangnya, itu galau minda tahap tinggi hingga semua orang bersetuju untuk memanggil mereka ini galau minda tahap binatang.
galau minda ini tercetus kerana kegagalan sistem daya tahan minda, atau sistem tumbuhbesar yang lompang dan miskin kasih, mungkin juga galau minda ini tercetus hasil mimpi buruk waktu kecil atau juga hasil memasukkan dadah ke salur darah. Banyak pencetus galau minda ini dan antara yang terbukti ialah kegagalan mengenal jalan Tuhan.
aku menulis sebuah sajak tentang galau ini :
galau aje tumbuh lewat musim pengayuh beca hanya tidur dibawah pohon nelayan menyucuk lengan di dada lautan para jurutera meruntuhkan jalan dan para pokok ditebang sembarangan
galau meniti jam dan hari para menteri yang sering berjanji harus di selamatkan dari ruang berjeriji pengilang mengalirkan toksik ke longkang beli vcd berahi di pasar malam dapatkan rumah bandaraya buat keluarga tercinta
teksi untuk sikaya sahaja bekas perajurit sesuai jadi jaga flat kos rendah untuk kuota parti si amah hospital menjilat jari
galau minda galau segala aku bergulat dalam kelibut jerebu galau sembunyikan duka galau mindaku galaulah negara
loppiess, yang tak usah kau pedulikan.

bersatu dengan alam dengan jeram batu bersatu dengan jernih air dengan pohon pohon bersatu dengan angin dengan reja sinar mentari bersatu dengan burung dengan paku pakis dengan riuh murai dengan siul kera dengan cempera unggas rimba
mari bersatu kita dengan alam maya lupakan luka, duka, nestapa dan hiba lupakan amarah, lupakan lelah, lupakan untung rugi mari mandi, mari lupuskan segala daki
mari marilah ke sini mari bernyanyi nyanyi.
loppiess * 16/04/2005
Burung burung tiong kerbau yang tidur di palang palang tiang bengkel telah lari entah kemana ini kerana Ramli dan rakan rakannya telah memasang sejenis alat yang tergantung yang diikat di lampu lampu yang kononnya boleh mengeluarkan gelombang untuk menjadikan burung burung tiong itu pekak atau mata mereka buta.
Ini kerana lantai bengkel selalu kotor oleh tahi tahi burung tiong yang jatuh dan Kak Nenot yang juga supervisor cleaner telah membuat komplen beberapa kali.
Ramli memberitahu untuk setiap alat yg di pasang, kosnya di anggarkan RM2000.00. berteknologi Jepun dan tiada mengunakan apa apa sambungan elektrik.
Ramli yang iras iras Willian Hung yang menyanyikan lagu She Bang di American Idol itu bersungguh sungguh mahu tahu bagaimana keretapi boleh berjalan tanpa pemandu, aku menjawab dengan tegas "selagi engkau tak hentikan perangai untuk membutakan dan memekakan telinga burung, jangan bersembang dengan aku lagi" semenjak itu Ramli hanya diam sahaja.
Kesian burung burung tiong itu, dulunya mereka tidur beramai ramai di belukar dan pohon pohon kayu tinggi di sebelah bengkel ini tetapi setelah belukar itu dan semua pokok2 ditebang mereka tiada pilihan.
aku bermimpi pada satu malam seekor burung yang besar datang dan memberitahuku, " kami pun punya kehidupan, ini bumi Tuhan buat kita sama sama menumpang, kalau semua tempat manusia saja yang mahu, kami ini bagaimana?".
kemudian burung itu mengeleparkan kepaknya, di lehernya tergantung kepala Ramli seperti sebiji buah rantai........................ Aku tak sabar sabar untuk menceritakan kepada Ramli tentang mimpi paling mengerikan ini.
Aku sampai di pejabat pos besar Alam Maya genap tengahari yang kering. Musim tidak dapat diduga kebelakangan ini, walaupun semalam hujan turun semahu mahunya tetapi tengahari ini menjadi tengahari yang begitu pijar dan orang orang yang kelibut mencari parkir memperlihatan momok muka yang runsingnya bagai kehilangan uwang satu juta.
Begitu aku masuk saja ke dalam ruang pelanggan, udara sejuk menyerbu ke muka ku, deretan kerusi dan suara elektronik memanggil nombor dengan ghairah bersimpang siur dengan poster poster filateli dan kerani kaunter yang ramah. Di hujung sebelah kanan pula ada galeri kecil yang di pertontonkan barang barang warisan pos besar Alam Maya. Pelanggan dengan santai duduk duduk sambil menunggu nombor untuk barangkali penungguan itu semaksimanya akan mengambil dalam 4 minit, pencapaian yang baik barangkali atau juga aku datang bukan pada waktu puncak.
talipon tangan ku berdering, di skrin nya terpapar nama Jojeng, kebetulan aku berada di pejabat pos besar Alam Maya, Jojeng adalah posmen paling dedikasi, aku tak putus putus mengajak Jojeng untuk mengerjakan tanah terbiar di kampung untuk di tanam buah naga.
Aku di ajak Jojeng kebelakang pejabat pos besar Alam Maya tempat dia bertugas dan kebetulan ada surau, bagus saja kalau di dirikan terus solat zohor.
Hanya di bezakan dinding, aku melihat dua fenomena yang begitu berbeza, di depan pejabat pos besar dan di belakang pejabat pos besar.
Ada barangkali hampir dua ratus orang posmen di belakang ini, mereka mempunyai satu slot partition dan tiga rak yang tinggi dengan slot slot kecil, untuk posmen kawasan Bukit Bukau, dia mengasingkan surat surat dengan teliti mengikut taman dan jalan di kawasan Bukit Bukau, untuk posmen kawasan Sungai Ketipung Payung, dia mengerjakan benda yang sama, begitu juga posmen utk kawasan Padang Kerbau, Gunung Ganang, Taman Sawah Terbiar dan lain lain lagi, begitu juga posmen untuk kawasan Taman Datuk Umno, Taman Sri Gelak Ketawa, Taman Si Miskin dan Taman Tan Sri Embong Awang Mamat.
Di sebelah slot slot posmen ini, maksudku di tiang besar ada empat biji kipas dinding yang berjalan tidak henti henti ke arah para posmen yang bertungkus lumus menyusun surat surat yang banyak, getir rasaku, bagus saja kalau di letak pedingin hawa buat mereka kerana seorang posmen bernama Jusoh Kandar sudah menanggalkan baju kerana pijar tengahari tidak dapat di tepis oleh putaran kipas dinding semata.
Usai usai saja mereka menyusun surat surat yang beribu jumlahnya, surat surat itu di masukkan pula ke dalam beg yang terdiri daripada dua bahagian, surat surat yang begitu berat di pikul untuk di letakkan ke atas motosikal, Jusoh Kandar kembali memakai baju dan meluruhkan lengan bajunya yang semenjak tadi terlipat ketika tergantung di slot tempatnya. Dia bergegas memakai sarung tangannya yang kelihatan begitu usang lalu mengikatkan tuala ke mulut dan hidungnya, memakai helmet, menghidupkan enjin motosikalnya dan terhoyang hoyang bergerak perlahan lahan meninggalkan kawasan pejabat pos besar Alam Maya ketika matahari yang pijar dan musim kering bulan april menghasilkan nyala haba berwap naik berkepol kepol ke langit.
Kami duduk di cafe sambil minum tea o ais limau, Jojeng memang telah lama bercerita tentang keresahannya sebagai posmen, dengan gaji asas sebanyak RM651.33, di tambah dengan elaun serahan, elaun rumah, elaun transport, gajinya menjadi RM 893.41, di tolak EPF RM 98.32, biro angkasa untuk baki pinjaman terdahulu sebanyak RM 342.71, berapa sangatlah yang tinggal.
Jojeng menambah, gaji naik begitu kecil, semenjak di swastakan Union entah kemana untuk memperjuangkan nasib orang orang sepertinya. Harga stem tak naik naik malah semenjak dunia di perkenalkan dengan internet atau email, surat semakin kurang, tentu jugalah pendapatan majikkannya berkurangan. Cuma kadangkala yang banyak ialah bila pasaraya Mokro membuat promosi, berjuta katalog yg harus diserahkan kepada pelanggan. Semakin lama industri pos ini kelihatan semakin menjadi industri yang tradisional. Kos sara hidup yang semakin tinggi, orang orang seperti Jojeng, Jusoh Kandar dan lain lain semakin terhimpit, namun insan insan kecil ini masih sayang akan dunianya di samping bersyukur kerana punya kerja tetap dan juga takut untuk berubah.
kami makan di cafe pejabat pos besar Alam Maya, bunyi kipas silingnya berdesing desing, aku tak henti henti memujuk agar Jojeng bersetuju saja untuk memulakan projek menanam buah naga di samping memelihara kambing di sawah terbiar kg kami.
Jojeng membuka mulut, boleh ke lope ?
Haji Safuan telah tiada..., dia telah pergi dengan isteri dan dua anaknya. rohnya telah keluar dari kereta iswaranya yang remuk meninggalkan jasadnya tersepit di antara stering dan dasboard. roh isterinya juga turut serta mengikut roh Hj Safuan meninggalkan jasadnya ketika darah masih mengalir ke pintu dan reja reja kaca yang bertaburan tetapi roh anaknya keluar ketika para doktor dan jururawat di HTAR berlumba lumba untuk menghalang nyawanya itu dari tercabut. tinggallah jasad jasad mereka yang kemudian dikafankan, di sembahyangkan dan di kebumikan. Haji Safuan telah pergi jauh dari kami.
senyum dan tawa Haji Safuan masih berlegar legar dalam dering dan denyut kenangan. Orkid orkidnya masih tergantung di depan rumah sambil berbunga menyahut seru alam. kasut sekolah anaknya masih berbaris dan beratur di birai pintu. motosikalnya kelihatan diam dan semuanya amat kesepian.
kami hilang Haji Safuan dalam sekelip mata, Haji Safuan, isteri dan anak anaknya pergi ketika suatu senja hujan yang lebat. Sebuah lori yang tidak terkawal, tidak mampu lagi mengenal mana lorong dengan kejam merempuh kereta Haji Safuan. alir air hujan berwarna merah melata lata mengalir kelongkang dan kemana saja.
angin bertiup dan awan yang hitam berarak perlahan. burung burung ciak yang kecil meniti dari atap garage ke ranting bunga kertas di hujung pintu pagar. angin dari padang sekali sekala datang menyapa rambutku. denting jam terus menyanyi, masa beredar ketika tidak memperdulikan ku yang bersedih ini, tidurlah engkau wahai Haji Safuan di alam kubur mu, berehatlah sedangkan aku ini terus menyaksi dunia berjalan, pergi adakalanya dari pintu pagar ke pintu pagar sambil berpesan kepada diriku sendiri tentang hidup yang pendek dan Tuhan yang Agung.
Fhadail Amal yang sunyi dan kedinginan ku buka perlahan lahan.
Tangisan melayah ke langit tinggi menghimpun sedih berhari hari tenang gugusan Sitoli-toli sebak bersambung bertali temali
Menghimpun sedih berhari hari sendu tertebar serata negeri gagah berdiri Sitoli-toli tanahnya retak bagaikan mimpi
Sendu tertebar serata negeri kutulis pilu menjadi puisi ratap hiba Sitoli-toli melata janji Tuhan menguji.
loppiess, 03/04/05 musim sendu buat Gunung Sitoli.
|