home
login::signup
we::blog

DI SINI LOPPIESS

I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky,  
And all I ask is a tall ship and a star to steer her by,  
And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking,  
And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking.  
Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) 
 
 
email: 
zamlope@yahoo.com

last modified Mar 5, 2008 at 16:05


Monday, May 9, 2005

Bosun Kadiaq

Namanya Kadeer, atau semua orang kenal sebagai Bosun Kadiaq. Berpangkat Bosun kerana dia adalah ketua kelasi bahagian dek. Aku belum lahir lagi ketika Kadeer mula menjadi Ordinary Seaman di kapal kapal dagang Greek yang berlabuh di Singapura. Kapal dan laut adalah hidup Kadeer, dek yang sarat menampung karat dan cat cat yang bertimbun adalah urat urat yang berselingkuh di lengannya. Crane yang tertenggek didada dek, funnel yang hitam berjelaga, lubang lubang petak hatta rope dan camar camar yang melayah adalah nafas bagi Kadeer. Hanyir laut dan ayun gelora, buak ombak dan oleng arus adalah tarian yang saban saat Kadeer tarikan.

Kadeer telah begitu tua sebenarnya bilamana EPF nya tidak perlu lagi di potong. Namun badannya yang kekar dengan dada yang kembang dan misainya yang berkuntum menjelmakan Kadeer dalam bentuk beberapa belas tahun muda dari usianya.

Dia punya kisah cinta yang menyedihkan. Isterinya lari ke pelukkan jantan lain. Beginilah kisah tersebut: aku sampai ke rumahku ketika malam telah begitu larut, perjalanan dari Singapura memakan berbelas jam kerana dari railway station KL aku mengambil teksi buruk ke Ipoh dan bertukar bas ke Penang. Kebetulan sebelum Singapura kapal belayar dari China, aku membeli jade dan berlian paling cantik hingga harganya tiga bulan setengah gajiku. Itulah tanda hadiah untuk isteriku yang paling di rindui. Sengaja tidak ku beritahu isteriku atas kepulangan kali ini biar dia terperanjat akan silau berlian ini bila aku kejutkan ia dari tidur. Aku sampai ke pintu rumahku dalam jam 2 pagi. Ketika ku ketuk pintu, isteriku yang membukanya, matanya terbeliak melihat kujur tubuhku yang berdiri. Ketika ku tolak daun pintu agar terbuka lebih luas, seorang lelaki yang tanpa seutas benang pun tengah terlentang di kusyen depan. Ketika itu pandangan ku gelap. Siling rumahku kemudian berpusing pusing dengan ligat. Aku terduduk di anak tangga. Malam terasa bagai di siangkan oleh matahari yang tiba tiba muncul diufuk barat. Rasa cinta, rasa rindu, rasa kasih kemudian bertebaran keluar dari dadaku dan hilang lenyap di dalam kegelapan malam, segalanya menjadi amat kosong. Kemudian berlian dan jade itu ku serahkan padanya. Aku lepaskan kau dari ikatan perkahwinan kita, dari ikatan rindu dan kasih sayangku, maka semenjak malam ini kita tidak lagi mempunyai apa apa ikatan. Kemudian aku pun melepaskan talak.

Kadeer kemudian belayar tak pulang pulang lagi. Arak kemudian menjadi temannya untuk melupakan kelukaan cinta. Dia tidak lagi memperdulikan dirinya, setiap pelabuhan yang disinggah akan menyaksikannya dipapah kelasi lain setelah bergulat dengan arak dan kemabukkan yang amat. Dia meniduri sekelian perempuan. Hinggalah sampai pada satu saat ketika itu kapal baru saja menyusur keluar dari Rotterdam dan dalam perjalanan ke Bremen Heaven, Kadeer jatuh di dek.

Lapanbelas hari dia duduk di wad di Hamburq. Setiap malam di hospital dia bermimpi aruah ibunya datang mengosok rambut dan ubun ubunnya sambil menangis menasihatinya hingga satu pagi bila tersedar saja dari tidurnya memang ada tompokan basah di lengan bajunya.

Kami duduk ketika itu disebelah portside menghadap gangway yang berlipat, angin laut menerjah tali rope dan dari jauh sekawan dolphin kemudian riuh melompat, di horizon sana awan dan laut bagai berkucup ketika jalur jalur mega matahari keluar dari celah celah awan menikam dada laut yang tenang dan bagai cermin.

Semenjak itu aku tidak lagi menyentuh arak dan perempuan. Aku membeli kitab dan membaca quran, tenang sungguh takala malam sunyi yang jauh di laut terbuka ini kita berdamping dan aku merasa sangat dekat denganNya. Dialah cinta abadi yang selama ini aku lupakan. Terima kasih kepada bonda ku kerana kasihnya kepada ku tak putus putus.

Setiap pagi Bosun Kadiaq lalu di depan kabin ku sambil menyelitkan di bawah pintu nota arah kiblat untuk hari itu ( arah kiblat akan bertukar setiap waktu selalunya bila kapal menukar haluan ). Jika di luar ombak terlalu besar untuk bekerja di dek, Kadeer akan membasuh karpet surau atau duduk di biliknya membelek ihya ulummudin.

Dia akan bersendirian selalunya dan berkata kata dengan Tuhan lewat zikirnya yang terbang melayah kedada lautan sebelum naik kelangit menyapa awan.

141523 | posted by loppiess at 10:16 | 6 comments

Sunday, May 8, 2005

selepas magrib...

Sore beranjak perlahan, matahari yang lelah ingin cepat cepat masuk ke balik bukit sana. Sebelum gelap jatuh ke padang, pokok pokok dan bangunan bangunan kilang, cepat cepat burung gagak berkawan kawan pulang ke pohon tempat beradunya sambil riuh bercerita tentang sampah dan penembak curi. Gelap yang dari tadi hanya duduk di pinggir awan untuk jatuh mula berjatuhan seperti hujan dan lama kelamaan alam bagai telah dicurahkan cat hitam kerana gelap tidak lagi dapat di kalahkan oleh cat biru tangki air atau warna kuning kubah masjid Sultan Suleiman.

Seusai solat aku kemudian duduk di birai surau sambil membiarkan kaki terjuntai bergoyang goyang bagai saja memancing nyamuk sementara menunggu azan insyak . Kemudian duduk Firdaus di sebelah ku, kopiahnya berwarna hijau dan sedikit anak rambutnya terkeluar seperti saja kelihatannya musafir bangla. "sampai aje aku di Sungai Pinang, abangku yang duduk di Medan segera memberitahuku agar usah pulang, para lelaki Acheh di kenali lalu di sumbat ke penjara atau jika kurang bernasib baik, tidak lagi akan di ketemukan".

"air mataku jatuh ketika itu bagai hujan, musibah terlalu besar berlaku di kampungku, bagaimana nasib ibubapaku, tetapi mereka bagai mengambil kesempatan, pahlawan pahlawan yang lari di tunggui kepulangan mereka dengan muncung senapang".

'usah kau percaya mereka mampu membunuh kami, yang mereka bunuh adalah orang orang kampung yang tak berdaya, kami menunggui mereka dari segenap ruang hutan kami, kami dibesarkan didenai denai belantara Acheh, tidak setetes pun darah kami jatuh"

"kalau darah Achehlah yang mengalir ke selirat urat ini, makanya itu adalah manusia yang menyimpan sejuta dendam yg tak padam walau di simbah ombak tsunami namun ia kan tetap menyala".

Kebetulan aku bertemu Firdaus lewat satu hari selepas asar. Beliau ahli GAM yang di iktiraf UNHCR bagi hal ehwal pelarian sebagai pelarian Acheh. Beliau telah ke Norway dan Sweden sebelum ini. Bagaimana hebat pun di sana, Malaysia tetap tempat yang lebih sempurna baginya.

Sebelum Azan Insyak berkumandang malam itu, aku melihat wajahnya yang amat tegar menyimpan sejuta harapan, walaupun harapan itu adakalanya bagai hanya buih buih yang terbentuk dan kemudian hilang namun impian itu tak pernah padam. Ia terus hidup dan menyala.

Nyalaan impian itu menerangi jalannya yang semakin samar.

141452 | posted by loppiess at 10:43 | 0 comments

Monday, May 2, 2005

bangsawan telah ke udara.

Uztaz Yaakob sekarang telah bersara setelah hampir 40 tahun mengajar bermula dari sekolah kebangsaan yang berdinding papan sehinggalah sekolah berdinding batu. Mudi mudi atau abangkakak atau juga ayahibu dan atuk atuk di daerah Kg Melukut ini semua kenal Uztaz Yaakob. Mengajar fardhu ain, mengajar muqaddam, sejarah nabi untuk murid sekolah rendah, mengajar sembahyang untuk kaum orang asli di Kg Loklok semuanya uztaz lakukan. Jika beliau menunggang motosikal atau terdahulu vespa hijaunya, ekor serbannya terjuntai juntai ke belakang dipuput angin, semua orang tahu Uztaz membawa motornya agak laju, pernah berlaku bertembung dengan Tocong ketika Tocong membawa sebatang kayu getah yang panjang untuk di buat kayu api gula enau, dua duanya terhumban ke dalam paya berhampiran rumah Duroji. Sekali lagi peristiwa ialah motor Uztaz bertembung dengan babi hutan ketika gerombol babi hutan tersebut semborono menyemberang jalanraya dari tebing bukit ke paya rumbia, tangan uztaz terseliuh.

2.

Haji Sahak telah 40 tahun duduk di Bandar Tun Razak, Cheras. Dulu hanya duduk dirumah teres yang kecil dua bilik, Di depan rumahnya ada pokok mangga yang rendang. Ketika mula mula pindah dahulu Hj Sahak menanam mangga tersebut utk dirasa oleh anak cucu. Si Rosli anak pertamanya sudah pulang dari England beberapa tahun dulu, sekarang menerajui firma arkiteknya sendiri. Dulu ketika baru pulang dari England, Rosli membawa sekali kereta volvo yang amat besar dan panjang, kalau lalu di denai kecil ke rumah Mak Cik Som di kg, habis semak samun dikiri kanan denai disebat keretanya tapi kini kereta gadang itu duduk diam dibawah pokok mempelam siam dibelakang rumah, Pomen Pomen di Cheras tak tahu merepairnya atau spare partnya minta di order dari England juga.

3.

Wajah runsing Alang Timah kini dapat di lihat dari matanya atau dari kata katanya. Hakim tidak pulang lagi semenjak 4 tahun sudah. Hakim bagai tidak merasakan lagi bahawa dia masih punya ibu di kg dan masih punya ayah yang kini kurus kering di mamah diabetis. Bila hari raya tidak seorang pun berani bertanya tentang Hakim kepada Alang Timah, kalau bertanya sekadar mengundang hiba dan mengalirkan air matanya hingga titisan airmata itu jatuh berguguran seperti daun getah ketika musim daun mengoreh. Semenjak berpisah dengan isterinya Hakim tak pulang pulang lagi, kalaupun kecil hati dengan mertuanya jangan pula buang keluarga sendiri. Macam macam perkabaran datang bertiup bagai angin masuk ke telinga Alang Timah, ada orang ketemu Hakim berjalan dengan pakaian busuk dan serabai mundar mandir disekitar bus stand Kelang, di Kolumpor, ada orang kata Hakim dah di sumbat kebilik berjeriji malah setiap kali ada mayat tak dikenali yang dipungut di sungai Kelang atau dimana mana longkang maka bergegaslah Si Nosam mengenal pasti takut kalau kalau itu abangnya Hakim.

4.

Mak Paizah sudah bertahun mengidap sakit lutut, pantang dengar sahaja dukun yg pandai maka pergilah dia berubat, duit dah habis barangkali ribuan jumlahnya. Reda sakit lutut datang pula penyakit pedih hati, silap makan ubat maka berhari harilah bergulat dengan kesakitan dan kepedihan.

5.

Uztaz Yaakob dulu pernah berbincang dengan Haji Sahak abangnya, kalau dua dua adiknya, Alang Timah dan Mak Paizah enggan menjaga ibunya maka tanah tanah yang adik adik mereka dapat itu harus di persoalkan, kerana mereka perempuan dan layak untuk harta pusaka maka dengan itu mereka harus dipertanggungjawabkan untuk menjaga ibu mereka yang tua, bongkok dan sakit itu. Semasa aruah hidup hanya adik adik perempuan sahaja yang bergilir gilir menjaganya. Uztaz dan Haji hanya datang sesekali berziarah ibunya sambil membawa barang sekilodua buah epal atau lai china. Memang patut hanya mereka berdua menjaganya kerana mereka dapat tanah adat, kebun, tanah sawah dan dusun durian sedangkan uztaz duduk menumpang tanah isterinya dan Haji Sahak membawa diri ke Bandar Tun Razak.

6.

Kini Uztaz Yaakob, uztaz yang pakar dalam mandi junub dan imam yang hafaz bacaan utk solat subuh sujud sejadah kini di lemahkan tangan kanannya, tidak bisa lagi membawa motosikalnya ke mana mana. Haji Sahak pun sudah uzur benar di tambah ada lemah jantung. Anak anak pula sangat sibuk dengan firma mereka atau dengan isteri mereka sahaja.

7.

Semenjak Aruah ibu mereka pergi, mereka merasakan sesuatu tanggungan berat sudah lepas, tiada lagi bebanan yang harus di pikul atau di fikirkan tetapi lain pula jadinya. Uztaz kehilangan kekuatan sebelah badannya, Haji Sahak amat lemah dengan kompilasi jantung, Alang Timah kehilangan Hakim dan suaminya di rundung beban diabetis dan Mak Paizah di usik derita lutut dan pedih hati.

8.

Awan mendung bertaburan menabiri alam. Betapa seketul daging di panggil "hati" amat berkuasa mencorak kehidupan.

141150 | posted by loppiess at 22:45 | 4 comments

Sunday, May 1, 2005

musim mangga di Karachi

Sampan sampan nelayan yang kecil yang teroleng oleng di buai tarian laut bulan disember menyambut MV Bunga Siantan ketika kapal tangki yang membawa jutaan liter minyak kelapa sawit itu perlahan lahan memudiki laluan ke dermaga pelabuhan Karachi. Pagi masih bening dan kabus masih belum terusir sepenuhnya dari dada laut, dermaga yang memanjang di selang selikan dengan crane crane yang terpacak seperti tangan raksaksa juga masih sebahagiannya sepi, perlahan lahan pintu pintu utama barisan gudang dan selirat paip paip besar mula menerima panahan matahari yang pertama pagi itu.

Kelibut sampan dan tug boat dan jerit para stevedore perlahan lahan mula mengerakkan jam hari agar beredar dengan cepat. Lori lori yang besar dan ganas mula bertempiaran dan tidak lama selepas itu tali MV Bunga Siantan telahpun di lemparkan ke dermaga, bunyi derik rope dan jeritan para kelasi di buritan dan haluan menandakan bila bila masa sahaja kapal tangki minyak yang besar ini telah pun di ikat kemas ke dermaga setelah berminggu membelah lautan, di hempas ombak, di cium oleng gelora atau disinggah camar yang lelah.

Di pintu pagar utama pelabuhan, beca beca yang meriah dengan awan larat dan figura bunga bunga bercampera dari segenap sudut, begitu juga bas yang juga penuh ukiran corak dan bunga bunga datang dan berlalu dengan sarat, kepol asap naik keudara hingga di sekitar gate utama, udaranya hitam. Para pekerja yang hanya berselipar dan menjinjing bekal makanan, dengan baju tradisi Pakistan yg kumal dan wajah mereka yang menyimpan sarat resah datang dan pergi tiada henti hentinya, para tua yang berjanggut menutup dada tidak di pedulikan, penjual kuih muih atau buah mangga juga disapa para kambing yang berkeliaran. Wajah Karachi mula hidup, debu debu naik ke awan sebagai utusan minta Tuhan melihat untuk pertolongan apakah yang wajar.

Inilah kota yang belum siap, seperti juga Kaherah atau Aqabah atau Delhi atau Mumbai, kota ini tertinggal jauh kebelakang. longkang longkang yang trajis, pasar yang mengerunkan atau kita bagai saja melihat sebuah beg yang penuh bom untuk di letupkan. Sungainya mengalir penuh duka, cuma jaket kulitnya agak murah, atau perhiasan ukiran batu mar marnya yg pelbagai.

inilah negara yang budget perangnya mengatasi budget untuk pendidikkan, senapang tentunya lebih penting dari pencil. majority penduduk tidak tahu apakah priority dalam kehidupan. Para politikus menghambakan rakyat dengan sentimen politik yang miskin peradapan. Para rakyat digula-gulakan dengan perjuangan sempit cuma. Semangat marhaen dicerna hanya untuk memercikkan gelora perkelahian yang tak akan usai.

kerana musim mangga, kami membelinya berkilo kilo. Ketika kapal telah beratus batu nautika dari dermaga Karachi, mangga masih belum habis, manisnya melekat kelidah kami sedangkan pahit kehidupan marhaen di gate pelabuhan atau di pasar besar juga masih melekat dan bagai tak mampu di ubat.

141087 | posted by loppiess at 19:40 | 2 comments