|
DI SINI LOPPIESS
I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky, And all I ask is a tall ship and a star to steer her by, And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking, And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking. Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) email: zamlope@yahoo.com
last modified Mar 5, 2008 at 16:05

aku mendapat email dari seseorang, beginilah isinya:
Makluman Semua mesin ATM di seluruh negara akan di bekukan buat sementara waktu berkuat kuasa serta-merta, ini adalah disebabkan oleh bapa kepada Nombor Pin iaitu Ayah Pin telah melarikan diri. Sekian Terima Kasih
Memang gerombolan burung tersebut perlu wakil dalam meeting yang akan di aturkan oleh penyelia Mahmood. Busra faham akan apa yang terkandung didalam benak gerombolan tiong kerbau tersebut. Mereka perlu ada wakil bagi memanjangkan ketidakpuasan hati mereka. Lijah Agogo, tukang sapu bahagian railborne ambil sikap berkecuali kerana kesian pada Busra dan takut pada Mahmood.
Cerita awalnya gerombolan tiong kerbau tersebut adalah penghuni asal kawasan bengkel depoh. Dulu kawasan ini cuma tempat pembuangan sampah, segala sampah termasuk sampah manusia. Tiong kerbau tinggal dikawasan ini tetapi bila kawasan ini mula dibaik pulih untuk di jadikan depoh makanya mereka berhijrah ke semak samun belukar tepi lombong bersempadan dengan gudang keretapi lama.
tetapi semak samun itu juga di lanyau untuk mendirikan kondo mewah yang kolam renangnya di tingkat empat. Gerombolan tiong kerbau itu akhirnya pulang semula ke tempat pembuangan sampah yang kini sudah terbangun bengkel depoh.
itulah punca onar, sampah sarap termasuk daun daun lalang dan jerami, plastik halus dan kertas kertas telah gugur ke ruang pejabat bengkel dari sarang tiong kerbau di atas para para bengkel.
tiong kerbau tidak ada pilihan, kembali ke sini menumpang untuk tidur dan beranak pinak. Mereka adalah korban kepada kemajuan sekitar Kelana Tak Jaya. Itulah yang Busra cuba katakan, mesti ada sedikit pembelaan pada gerombolan tiong kerbau kerana mereka adalah 'mangsa' dalam kes ini, namun itu semua jadi bahan bengkengan Mahmood.
Kalau kau nak jadi wakil burung burung tu Busra, memang boleh tapi syaratnya kau pun kena tidur dan beranak pinak di atas para para bengkel ini sama seperti mereka...kah kah kah kah, bergegar bunyi ketawa Usop Cikun si tukang sapu kawasan mesin pelarik, si Buyong, tukang sapu kawasan makmal 1 hingga 5 dan juga Manap Broga si drebar kereta polish lantai.
Lijah Agogo senyum senyum saja takut jika tidak turut serta ketawa apa pulak kata Mahmood seolah olah nak menyebelahi kebodohan Busra pulak.
Bila ketawa Usop Cikun, Buyong dan Manap Broga tak henti henti akhirnya mendorong Busra untuk ketawa sama.
ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha............
Para Tukang Sapu sudah komplen beberapa kali bahawasanya ada segerombolan burung membuat onar dengan menyepahkan pejabat dengan jerami jerami yang mereka angkut yang pada mulanya bertujuan untuk membuat sarang tetapi mungkin jerami jerami itu bukan dari jenis yang sesuai makanya mereka sepah sepahkan ini jelaslah mengakibatkan pertambahan kerja bagi tukang tukang sapu tersebut. Penyelia pembersihan akan memanggil meeting untuk menyelesaikan masalah ini. "Tapi siapa nak jadi wakil pada burung burung itu?"tanya Busra, tukang sapu bahagian pit.
Penyelia yang bernama Mahmood itu mengeleng-ngelengkan kepalanya lalu bersuara, "patutlah kau jadi tukang sapu pit dan kekal untuk tahun ke duabelas".
Busra masih tak faham.

Ibrahim, Osaka.
kehadapan Yang untuk yang entah keberapa kali.
Aku baik sahaja Yang, baik dalam kusam dan mamai kerana rindu padamu. Aku di sini masih lelaki yang kau jumpa terakhir di dermaga, lelaki yang menyimpan di dalam dadanya kasih setinggi awan, yang tertebar luas bagai gabus awan awan itu di tiup angin. Lelaki yang menjadikan rindu sebagai pelapik bantal tidurnya, yang resah, yang terbangun di kala dinihari mencari sesuatu yang jauh. Yang saban kehilangan, yang di rundung kenangan dan harapan cuma.
Aku di sini Yang memerhati bunga satu satu tumbuh di ranting sakura. Musim masih dingin dan langit yang biru adalah latarbelakang lukisan musim sejuk, awan dan salji yang pamit menghadiahkan keceriaan pada alam yang lama bungkam, namun aku masih termanggu di buai penyakit rindu padamu. Demikian penyakit itu tiada ubatnya melainkan harus ketemu denganmu dan berada dalam pagar panas kasihmu dan lingkung aura senyummu.
Yang Rokiah, Namun aku masih tega, ampuh berdiri menanti, aku lelaki yang di isi di dalam nubarinya tali agam tersambung kekuatan mengikat kasih menjadi kekar. Aku masih lelaki waja berdiri walau hayun rindu dan mabuk cinta kian menjadi selimut hari hari ku di sini yang dingin.
Yang, kita harus menyimpan semua rasa itu, menyimpannya di dalam kalbu, menguncinya utuh dan penuh percaya. demikian nyala cinta itu kan tetap benderang dan sinarnya menyuluh perjalanan aku yang terlalu jauh ini.
salam aku pada bondamu, rindu padamu, pada sawah dan sungai, pada musim angin timur laut, pada pangkin, pada kerbau dan pada jajaran bukit dan gunung di kampung kita adalah rindu perantau ini yang kian menjadi sebahagian buruan derianya.
Datanglah musim apa pun, bergeloralah laut bagaimana kuat pun, bertiuplah angin hingga menjelma badai, jatuhlah mentari hingga terbakar segala namun kasih kan tetap menjadi keutamaan ini.
Yang, berdoalah padaNya muga kita kan bersama.
Ibrahim, Osaka.
menerima berita serangan bom di london hebohnya seperti tsunami melanda. berita tv, radio, suratkabar dan majallah bagai kambing jantan berahi layaknya menyiarkan berita tersebut, tak puas ruang hadapan yg paling mahal, di tulis lagi beberapa muka surat di dalam. Prof, pengkaji, pengarah strategik, menteri pun di arak keluar untuk memberikan butir butir akibat, kemungkinan, kesan dan anjakkan pemikiran yang macam betul shj. Betapa mahal nyawa orang orang London ini, ianya tak semahal nyawa orang orang iraq yang mati setiap hari sehingga dua tiga dozen akibat yang sama - letusan bom.
angkara bush dan blair rakyat iraq begitu kucar kacir. Nyawa tercabut di jalanan bagai saja tercabutnya daun daun kuning dari dahan pokok, tiada siapa peduli melainkan ratap tangis ibu ibu mereka yang meraung seperti orang bodoh dan gila di jalanan. Orang orang islam ini dengan muka yang kotor dan jubah yang kusam adalah manusia kelas paria yang nyawanya sama seperti nyawa seekor katak, itulah tanggapan bush dan blair. Sedangkan mereka juga adalah manusia yang bernafas dengan struktur jantung dan paru paru yang sama dengan orang orang di london. mereka juga punya emosi, punya perasaan dan tahu nilai kasih sayang tetapi kenapakah ini semua tidak dipedulikan bush dan blair?
Kini di sini pun tumpang bergila, mengutuk para pejuang semborono, tahukah kita, apakah cara dan jalan yang dapat lagi di tunjukkan oleh saudara saudara kita itu selain harus mengorbankan sedikit para jiwa yang tidak bersalah, yang comel, yang baik hati, yang taat pada Tuhannya, yang berada di tube, di stesyen, di perhentian bas di saraf dan urat London itu. Kita kasihan pada mereka, sayang pada mereka kerana mereka insan tak bersalah tetapi itulah dia pusingan pola sosial dunia era baru yang di bentuk oleh pemimpin yang mereka sendiri undi dalam pilihanraya nagara mereka.
Iraq telah lumat, siapa kisah?
begitulah setiapkalinya, New York di bom maka bush menjadi semakin gila, gilanya bush menambah lagi gilanya al qaeda, bertambah gila al qaeda maka bertambah gilalah bush, gilanya bush mengilakan pula orang lain termasuk blair, bila semua sudah benar benar gila maka John, Ahmad, Mustafa, Adrew, Brenda, Lee, Kuppusamy dan lain lain akan mati di underground station, di atas kapalterbang, diperut keretapi, di atas bas atau dimana mana.
ini semua tidak akan berhenti, kita hanya menyimpan teori dan keluh kesah, anak anak yang membesar sekarang berhadapan dengan dunia yang tidak selamat.
cuma si tukang puisi akan menulis lagi puisi mengisahkan tentang romeo dan juliet, kuntum kuntum bunga yang mekar di taman dan matahari yang cerah yang bayangnya jatuh dihujung laut.
tanamkan saja mayat Si Tipah Ronggeng di bawah pentas jogetnya.
tidak apa kerana kita ini manusia baru yang bernafas dengan lagu lagu dari neraka idol, mentor montok, akademi tunjuk pusat atau top lucah.
mari menangis ramai ramai...sedih Si Polan terkeluar jangan sedih iman tercalar.
sajak ku # delapan juta sajak orang di tinggal zamannya.
loppiess.
|