|
DI SINI LOPPIESS
I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky, And all I ask is a tall ship and a star to steer her by, And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking, And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking. Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) email: zamlope@yahoo.com
last modified Mar 5, 2008 at 16:05
Ada beberapa perkara yang singgah di juring rambu ramba otak ku kebelakangan ini. Perkara2 itu datang dan pergi kemudian datang semula dan kemudian pamit semula, silih berganti dia datang dan pergi walaupun aku tidak mengatakan ianya penting namun ia tetap datang tidak mahu terus hilang dan aku tidak bisa melupakan terus.
perkara pertama ialah jerebu. tentulah aku memikirkannya bukan kerana ia penting atau berjaya menghasilkan darurat dan seterusnya memberikan cuti tetapi kerana ia jelas menutup pandanganku dari jendela ini ke hujung padang atau kubah masjid sultan sulaiman, begitu juga matahari dan awan gemawan yang aku rindui telah tiada lagi. Petang yang biasanya menemukan aku dengan jalur juring kuning di balik bukit kini sudah tiada, matahari yang pamit di balik bukit yang biasanya perlahan lahan kini sudah tanpa sopan dan segansilu terus hilang, sedar sedar azan sudah berkumandang dan gelap mula meniti di atas atap garage .
bernafas yang kalau dulu tidak pernah kita sedari enaknya kini mula sukar. jika berdiri di hujung padang nafas akan menjadi kelamkabut seperti nafas kucing mahu mengawan layaknya. mata juga terasa pedih dan lengan juga telinga akan terasa gatal gatal seperti peralihan dari musim dingin ke musim panas di Osaka.
aku tidak betah memakai topeng seperti Ramlan, Enon dan Maulud. topeng itu hanya objek putih yang menutup mulut dan hidung tetapi habuk habuk halus tetap juga berbondong bondong masuk ke lubang hidung lewat sisinya yg terbuka. Kalau benar mahu menutup hidung, pakai sahaja oksigen scuba yang di pakai ketika di Redang dulu tapi cepat sahaja di sanggah Maulud "kau nak buat lawak lope, pikul cylinder kehulu kehilir?",
Perkara kedua yang bermain di mindaku ialah soal DEB, kegagalan DEB, Orang China heboh mempertahankan bahasa mereka, org Melayu heboh pula nak pakai B.I, peratusan kelulusan sains dan matematik di luar bandar jatuh dengan teruknya, Soal jarum dan kondom, Soal Selangor maju tapi Usop Manai terkial kial mencari sekilo beras. Kita si sini enak enak menonton TV tetapi di Terengganu, di dalam Malaysia juga, ayah ayah rebah di simbah air berasid kerana mendengar ceramah pembangkang. Rumah PM di Putra jaya di baiki dengan menelan puluhan juta dan di masa yang sama PTPTN sudah tidak bisa lagi memberi budak budak Melayu pinjaman pelajaran, Karim yang bagus belajar akhirnya kerja kilang sahaja di Kapar, dia bagai masih terdengar keluh bapanya pada satu pagi "ayah memang tak mampu...adik kau ada empat orang lagi perlu bersekolah".
Perkara ketika ialah tentang sara hidup yang semakin tinggi terutamanya di Lembah Klang ini. Kok Seng yang menjadi ketua kerani di pejabat kerajaan jalan Duta mengeluh "tiket bulanan LRT sudah naik loo..itu keretapi pakai minyak ka?". En Hassan Merican senyum senyum aje bila memberitahu bahawa keuntungan Petronas yg tinggi banyak di sumbangkan oleh peningkatan harga bahan mentah tersebut. Semua mahu naik bila minyak naik dan yang paling terkesan dengan bencana atau tragedi kenaikkan harga petrol dan diesel ini ialah Jamsari, pekerja bawahan mel pos dan isterinya Kak Jem yang tidak bekerja dan anak anaknya yang seramai tujuh orang tersebut. Satiman pekerja pelabuhan juga mengeluh kerana ayam telah dijual sehingga 7.50 sekilo. Rais Gemok mensasarkan deposit dalam belanjawan bulanannya sehingga dua ratus ringgit selepas kenaikkan harga minyak dan ini mengakibatkan dia tidak lagi memotong premium bulanan insuran Great Eastern nya sebanyak RM 152.35. Wahid yang bekerja sebagai pengajar lesen L utk Sekolah Memandu Umbang Ambing kini berdepan dengan kos rawatan diabetes isterinya yg semakin meningkat.
mereka rakyat banyak, melayu yang lahir di tanah nenek moyang kini berdepan dengan era selepas DEB. Bilamana DEB cuma alat untuk mengkayakan sebilangan kecil aristokrat, nasib Jamsari, Satiman, Kak Jem, Rais Gemok dan Wahid kini berjerebu dan berbalam balam...ianya kelam, pedih dan menyesakkan nafas.
Perkara keempat pula ialah soal trottle body valve untuk enjin proton buruk ku. Ianya telah ku tukar sebanyak 4 kali semenjak aku membelinya lima tahun lampau. Bila enjin berada dalam keadaan idle, idling valve tersebut tidak mampu menstabilkan minyak, kata Zul, pomen yang beruntung atas kegagalan valve tersebut "ini penyakit biasa proton". Aku mahu saja menulis email untuk Datuk Kisai memberitahu tentang masalah ini, tapi tentunya Datuk Kisai akan menyalahkan Tengku Mahalil pula...ahh cerita lama.
Sebenarnya ada lagi beberapa perkara yg bermain di mindaku ketika aku sedang menyambut hari lahir yang ke tigapuluh*** ini(rahsia pulak..macam artis), tapi cukuplah dulu utk kali ini.
AbuOmar, kawanku ketika kami sama sama menginap di madrasah Bukit Beruntung dulu pernah memberitahuku, kegelisahan adalah berpunca dari takut kepada dunia sedangkan ketenangan adalah datang dari rasa takut hanya kepada Allah.
Minyak petrol dan diesel naik lagi ini setelah berminggu minggu tokoh tokoh besar disekeliling Dollah Badwi memberi isyarat atau klu untuk mewajarkan betapa penting kenaikkan harga minyak itu.
Walau pun demikian kenaikkan itu masih rendah jika di bandingkan dengan beberapa negara berjiran. "Aku kalau harga minyak saja naik aku tak heran, tapi aku tak boleh nak terima kenaikkan harga barang nii..menteri cakap nak kontrol kenaikkan harga barang..hah potong telinga aku ni kalau dapat!! ".
Walaupun rungutan Usop Manai tersebut kelihatan tidak professional tetapi itulah perkara asas akibat atau kesan yang secara lansung menimpa atau terpaksa di pikul oleh rakyat golongan banyak.
Udo Manai memang lelaki yang di dalam jiwanya penuh dengan ketidakpuasan hati, pembangkang tersohor dan juga ahli politik picisan yang berborak berjam jam di kedai kopi.
Memang kebelakangan ini dia lelaki atau suami atau ayah paling malang. Rumah yang didirikannya 20 tahun lalu telah di robohkan oleh Penguasa Bandaraya hasil kempen Selangor Sifar Setinggan 2005.
Di beri flat yang jauh, di beri 500 ringgit duit kos pindah dan diberi diskaun 6 ribu ringgit untuk beli flat baru. 4 orang anak kena tukar sekolah, sekarang dah dua minggu ponteng.
Isterinya yang berniaga nasi lemak di simpang padang kehilangan lokasi niaganya, motor Usop Manai mengalami kerosakkan enjin, anak ke empatnya mendapat demam campak.
4 nombor ekor yang di belinya setiap rabu sebanyak 5 ringgit tak pernah mengena. Peti Ais telah di rampas semula oleh Singer. Ada ura ura kilang tempat dia bekerja akan di tutup kerana kerugian.
Parti berlambang keris dua batang yang sign boardnya besar di simpang padang tidak pernah peduli. Di dewan besar PWTC baru baru ini mereka melalak dan melolong mahu membela nasib bangsa, mahu 30% kek ekonomi, sedangkan di sini kelibat pemuda pemuda bersongkok tinggi tersebut tidak pernah nampak. Mereka asyik bercerita siapa yang perlu naik dan siapa yang perlu di jatuhkan, mereka asyik bercerita tentang kekayaan, kontrak jalan, kontrak landscaping, kontrak buat balairaya atau kalau boleh nak juga AP. mereka asyik bercerita siapa yang nak jadi perwakilan.
Usop Manai, lelaki melayu miskin dan daif tidak pernah di tanya jika berhadapan apa apa masaalah.
Minyak naik, rumah dah runtuh dan kilang nak tutup, sedih mengenang sebuah kehidupan di sudut Selangor negeri maju yang sedang di canangkan.
Usop Manai, demikian cerita yg mampu aku tuliskan. Aku sebenarnya belum puas bersembang dengan kau tetapi pukul lapan setengah nanti ada kelas harafiah, jumpa lagi nanti, kena tea dan cakui di remang petang memang enak.
Padang Jawa terus saja bernafas dalam tangis sendu para setinggan namun tawa hilai anak anak yang berlari membawa petang itu iseng iseng berlabuh untuk bertemu malam yang barangkali gulita.
|