|
DI SINI LOPPIESS
I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky, And all I ask is a tall ship and a star to steer her by, And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking, And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking. Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) email: zamlope@yahoo.com
last modified Mar 5, 2008 at 16:05
1
Aku bersembang saja dengan Samy menyusuri denai pejalan kaki dan pejogging di hutan kecil People Park. Seperti lazimnya Samy tak henti henti bercerita tentang keburukkan para menteri yang haloba dan kakitangannya yang menjadi sebahagian pencacai rasuah. Petang itu Samy bercerita tentang seorang perempuan Mongolia yang dibunuh dan diletuskan segala urat temuratnya hingga menjadi ketulan ketulan kecil. " saya tidak sangka ada orang muslim sebegini kejam, ya " kata Samy kepadaku. Walaupun kata kata Samy itu mengecilkan hatiku namun aku cuba memperbetulkannya tanpa kelihatan aku beremosi atau tidak professional. Setelah beberapa saat kami terdiam, aku pun menjawab " barangkali ini bukanlah boleh kita kaitkan dengan muslim yg kejam atau kristian yang jahat tetapi ini adalah sesuatu yang berlaku bila manusia itu jauh dengan tuhannya, kalau dia hindu, dia telah jauh dari tuhan dan kuilnya, kalau dia budha, dia telah jauh dari samy dan topekongnya, ugama menyuruh manusia berkelakuan baik kalaupun kita tidak menyokong kebenaran yang dibawa oleh ugama yang bukan kita anuti ". Samy kemudian terdiam.
2.
Seperti juga alasan yang diberi untuk membenarkan kenaikkan harga minyak, sekali lagi penguasa mengunakannya untuk menaikkan harga tol. Kerajaan menanggung sebegitu besar beban untuk dibayar kepada pengendali lebuhraya jika tol tidak dinaikkan ini adalah berdasarkan perjanjian asal.
Malim, guru sandaran selama 9 tahun itu mendengus. " Kita mahu perjanjian itu transparent, semua orang dapat lihat, kereta la ni sudah banyak, berapa collection satu bulan, berapa jumlah bayar loan satu bulan, berapa kos maintenance, pengurusan, berapa cukai, berapa kos2 lain, barulah orang tahu duduk perkara sebenar, ini dok main main sebut saja, ingat orang la ni bodoh macam lembu ke? "
3.
Kasah menangis tersedu sedu ketika dia terdengar pengumuman dari corong radio bahawa sdr Irwandy Yusuf telah memenangi pilihanraya dan seterusnya menjadi gabenor Acheh. Walaupun Acheh ini tidak merdeka seperti minta ribuan roh yang terkubur atas nama perjuangan namun Kasah sedar bahawa detik damai untuk menghirup udara Acheh dengan hirupan syariah sedikit sebanyak tergapai oleh tangan dan mimpi.
Kasah masih ingat akan jeritan kesakitan, dentum bom yang meledak, siulan peluru yang datang dari berbagai penjuru, kemudian kematian terjelma di depan mata, sahabat sahabat samada adik, abang, datuk, tukang azan, tukang memundak belerang, tukang masak pergi satu satu, kubur mereka bertabur sepanjang hutan yang banat itu.
demikianlah, kalau kita hanya bisa merancang, hanya Tuhan yang bisa menyatakannya dalam bentuk apa.
Jika sudah penat benar mencangkung sambil membelek daun daun pohon langsuir sehelai sehelai mengesan siput kecil yang merangkak, Ghafur akan bangun dan membetulkan pula buluh besar cerobong air, biar air yang keluar dari cerobong buluh itu lurus jatuh ke kolam kecil, tidak lagi membasahkan helaian daun keladi, daun paku pakis dan bunga kertas bonsainya.
Bunyi air yang jatuh itu bukan saja menghadiahkan Ghafur seolah olah berada di denai kecil di kampung pendalaman malah ikan ikan koi yang cepat membesar itu juga terkinja kinja kesukaan seperti bagai berenang di sungai gadang.
Di halaman rumah teresnya yang sederhana besar itu, Ghafur kini mula mewujudkan hutan kecil, batang bunga kertas yang lurus ke atas itu bagai saja digambarkan Ghafur sebagai batang tualang yang menujah awan. Di dalam hutan kecil renek itu, Ghafur menjulurkan cerobong buluhnya untuk bertindak sebagai kononnya mata air yang jatuh ke kolam, itu mengingatkan Ghafur kepada masa kecilnya ketika dia berjalan kaki pulang dari sekolah, selalu singgah dipancuran buluh cikgu Marzuki untuk menghirup air yg keluar dari buluh pancuran itu.
Duduk di situ ketika pagi sambil membaca suratkhabar pagi, sambil mendengar bunyi air jatuh dan sesekali ada tetamu burung2 kecil seperti tiak atau kelicap datang melompat dari dahan dahan kecil ke bucu kolam sungguh menenangkan Ghafur. Terima kasih kepada isterinya kerana dari tadi tidak pulang pulang lagi yang barangkali di rumah Kak Biah bercerita pinggan atau kutu atau juga berkira kira untuk membuat rombongan lagi ke Rantau Panjang atau Pengkalan Kubur, di Kelantan. Duduk di sudut itu dengan suratkhabar dan tiak dan kelicap dan bunyi air dan tanpa isterinya di sisi adalah duduk duduk paling berharga dirasakannya semenjak dua ini.
Memilih suratkhabar yg sesuai untuk dibaca nya juga memeningkan kepala Ghafur. Dia tidak suka membaca harian berbahasa melayu kerana tidak sampai 20 minit sudah usai semuanya. Dulu dia juga suka membeli harian The Planet tetapi kini tidak lagi kerana The Planet memaparkan iklan arak disamping beberapa tulisan yang Ghafur kira tidak sensitif kepada agamanya atau bangsanya, maklumlah The Planet kepunyaan partai politik yang berlandaskan kaum semata mata. The Moon yang di dapatinya dengan harga 30 sen lagilah perkauman. Ghafur pernah juga membeli The Lorong Time tetapi masih juga tidak memberi kepuasan untuk membacanya, di tambah pulak The Lorong Time kepunyaan Parti Melayu Abid maka cerita ceritanya asyik saja melambung lambungkan pemimpin setinggi pucuk atap. Setiap jumaat pagi, Hadi anak Hj Sani akan menghantarkan suratkhabar Hapakah ke jeriji pintu pagar Ghafur, banyak juga cerita yang boleh dibaca dari suratkhabar Hapakah, membaca, berfikir dan membuat kesimpulan sendiri kerana sebagai lidah Partai Bulan DiAwangan, Hapakah memang selalu marah marah sahaja," tidaklah molek juga untuk ditelan bulat bulat apa kata si Lufti tu " bisik Ghafur.
Kalau tidak duduk termanggu atau kalau tidak membelek daun pohon langsuir atau kalau tidak bercemplong dengan koi kuningnya Ghafur akan ke People Park yang sejauh tiga ratus meter dari rumahnya untuk berlari lari anak atau menjongkangjongketkan pinggangnya mengikut yoga pagi bersama guru yoga dihujung padang.
Setiap ahad ada senamarobik maka penuhlah sisi padang sebelah trek kuda dengan orang orang mengoyangkan buntut, mengepam dada yang buyut kedepan kebelakang hingga ada dikalangan yang berisi dan boroi bila berbuat begitu seperti mahu ber'anu' pulak. Semenjak dua ini, People Park penuh dengan orang, ramai orang orang berpuak puak bersenam berbagai fesyen, ada siap dengan pedang dan ada pulak berjoget lambak macam orang tak senonoh pula namun begitulah hakikatnya, semakin ramai manusia ingin sihat dan panjang umur.
Dulu dulu seusai subuh rajin juga ghafur ke pasar borong membeli ikan, ayam dan sayur yg segar bugar untuk dibuat stok barang seminggu tapi kini tidak lagi. Ikan rupa rupanya penuh dengan pengawet, sayur penuh dengan racun serangga, ayam penuh dengan antibiotiknya yang kuat, roti terlebih racun kulat, mee kuning ada kimia merbahaya, ada kuman, cili giling ada kimia merbahaya ahhhhh, gerun Ghafur memikirkannya. Kini lebih selamat Ghafur memasak pucuk ubi, pucuk paku atau pegaga, ikan talapia kolam atau keli, ayam kg beli dari Uda Seman rm9 sekilo, bukan takut mati tapi Ghafur takut sakit. Allah lah yang tahu.
Kini ada sesuatu yg baru yang Ghafur ceburi, berenang. Untuk ke Kolam renang awam Pendamaran Ghafur hanya mengambil 6 minit perjalanan dengan kereta. Kini dia juga sudah berkira untuk mengambil lesen scuba diving di Pusat Aquatik Darul Ehsan, dia kini bagai tergiang ngiang Pulau Sipadan dan Pulau Mabul..ahhh.
"Semakin tua semakin bermacam macam aku ini", bisik Ghafur. Pagi kemudian berhensot pergi. Bunyi air yang jatuh dari cerobong buluh terus bercemplong, pucuk paku pakis di bawahnya masih lenjun.
Kalau memang sudah begitu letih dengan bobotan metropolitan, pulang sajalah ke daerah di mana engkau dulu dilahirkan. Di sana barangkali ada ibu dan ayah, ada pohon pohon kelapa yang tinggi dan punya tabir hutan yang membiru.
Anginnya masih sama juga, angin yang datang dari urai urai daun dan sunyi bukit bukau. Sungainya masih sama, sungai yang menyimpan segala kerinduan untuk kau basahkan belikatmu.
Kelibut akan pamit, duka akan sirna dan yang tinggal cuma engkau bercanda dengan alam.

|