home
login::signup
we::blog

DI SINI LOPPIESS

I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky,  
And all I ask is a tall ship and a star to steer her by,  
And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking,  
And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking.  
Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) 
 
 
email: 
zamlope@yahoo.com

last modified Mar 5, 2008 at 16:05


Friday, November 30, 2007

Kampung Soyuz 4

"Politik ialah tanggungjawab, ianya bukan boleh minat atau tak, ianya bukan Ramlah Ram atau Nassier Wahab yang boleh kita suka atau tidak, setiap orang tidak kira apa bangsanya, kaumnya atau jantinanya mesti bertanggungjawab, politik ialah alat untuk menentukan jalan hadapan yang kita lalui atau yang anak cucu kita satu hari nanti lalui. Kalau politik itu penuh kelucahan, kita ada hak untuk menghentikannya, kalau politikus itu tidak amanah atau menyundal seperti pelacur kita harus cepat bertindak kerana pelacur boleh sahaja menyebarkan kuman yang perbagai dan ini akan membiakkan penyakit, penyakit kalau tidak segera diubatkan kelaknya akan merebak tetapi melindungi diri kita dari penyakit tentulah lebih baik dari mengubati penyakit, makanya sumber penyakit itu haruslah dicantas dengan segera.

Politikus yang bersekongkol dengan orang orang pemberi rasuah adalah sumber kepada penyakit maha besar yang tidak ada tolok bandingnya, mereka ini (politikus yang bersekongkol) haruslah dikuburkan dengan cara menanamkannya ke dalam lubang kubur yang sedalam 12 kaki, mengambuskannya dengan tanah sepadat padatnya dan jangan dibubuh batu nesan kerana kita tidak mahu orang orang dikemudian hari teringat akannya lagi, malah mengingatinya cuma akan memberi kita dosa kerana bila sahaja teringat akannya kita akan mula menyumpah seranah, kita akan mula seperti ingin mencarut dan menengking dengan perkataan yang bukan bukan, tentulah tidak baik berbuat begitu kepada orang yang telah tiada.

Dosa politikus yang lucah akan memudaratkan beberapa generasi terkemudian. Ini barangkali akan menjahanamkan bangsa yang bermaruah. Mereka akan mengkucarkacirkan jalan hidup dan yang pastinya mereka mampu melingkupkan segala kebaikkan dan membiakkan pula segala kejahatan. Demikianlah mereka."

160516 | posted by loppiess at 1:55 | 0 comments

Tuesday, November 20, 2007

Kampung Soyuz 3

Semenjak dua menjak ini selain hujan yang turun dengan rakusnya, Kampung Soyuz juga semakin galak dengan warna warni kelucahan yang terlampau yang tercetus dari insan insan yang kebulur duit dan kuasa yang boleh dibeli dengan hanya handphone nokia buruk yang tiada MP3, juga tiada camera VGA malah dengan bunyi ringging yang hodoh, seletus seletus seperti muzik berkabung atas kematian ibu Ah Chai pekedai runcit. Hanya dengan handphone cuma!

Dollah Lebai Karim akhirnya, setelah barangkali melihat jemaah surau layan tak layan sahaja beliau ketika solat insyak semalam bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa kecil menyiasat duduk perkara tentang video keretakan jalan di Selekoh Petai. Namun tidaklah jelas lagi siapa yg akan dilantik menduduki jawatankuasa kecil itu, penduduk penduduk takut juga kalau hanya ipar duai atau sepupu sepapatnya sahaja yang dilantik kerana kalau mereka itulah yg menyiasat maka tidak dijaminlah hasilnya, mereka boleh kata jalan itu dibina baik tetapi aliran air besar yang melimpah dari Kebun Wak Dang penyebabnya..macam macamlah barangkali alasannya..tunggu sahajalah.

Jawatakuasa Keselamatan Kampung baru baru ini telah menangkap penipuan baja subsidy, kata dapat sepuluh kampit seorang tetapi cuma lapan kampit sahaja. Dua kampit telah tiada. Sekampit baja berharga RM 8.75, kalau dua sudah berapa? Dol nampaknya berang yang amat sehingga tidak lalu makan. Mak Long Sapiah bilang " tipu kecik kecik tu cepatlah diaorang nak menangkapnye..tipu besar besar idak pulak!, haii..apa jenis jawatankuasalah!, jawatankuasa orang mabuk!".

Hari demi hari pamit, magrib dan insyak berlalu, subuh datang semula bertamu. Hujan musim monsun melebat, awan hanya mendung terbuai buai menabiri ruang angkasa Kampung Soyuz. Dol termenung sendirian, di dalam uraiselirat mindanya bersimpul simpul tali yang amat kusut. Amanah yang dipikul bukan mudah, kalaupun lepas aku dalam hukum dunia ini, hukum Tuhan tetap menanti. Dol kemudian membelek belek handphone Nokia yang tanpa MP3, tanpa camera VGA dan tone ringging yang hodoh itu. Dia pun dapat.

160411 | posted by loppiess at 18:14 | 2 comments

Thursday, November 15, 2007

Surat Buat Bunga Rampaiku

Warkahmu baru sahaja kuterima Bunga Rampaiku. Di luar jendelaku ini hujan turun demikian saratnya. Kelopak bunga bunga kertas habis berjatuhan, demikian rapuhnya kehidupan.

Membaca tulisanmu kembali membawa kembara terdahulu ke ruang masakiniku. Ingatan itu menyeruak datang dan tentulah gambar gunung gunung, lembah Crocker, Mount Api atau Sayat Sayat kembali berkitaran, berbondong bondong, Sabah terlalu alamiah hingga kenangan sukar dilupakan.

Demikian satu hari dulu aku bernafsu untuk mencintai Borneo, menyelaminya, mencium segenap rahsianya yang tersimpan. Dan sedikit demi sedikit aku mula jatuh kasih dan kami bercinta. Dari Sabah, Serawak kemudian ke Kalimantan aku mengitari rupanya, tubuhnya dan aroma alamiah itu membasuh segala duka dan runsing dan Borneo melahirkan aku semula menjadi orang baru dengan rasa hormat yang tinggi dan kecintaan pada alam menjadi lebih dalam. Begitulah Bunga Rampaiku, kalaulah ku tahu ada gua buat kita menunggu kelawar di sisi Poring tentulah tidak cukup aku untuk sekadar melewati kanopinya yang indah. Namun ketika di Mulu tempoh hari, kami melihat kelawar yang terbang keluar ketika hampir magrib, demi Tuhan ianya terlalu indah, mereka keluar dari muncung gua yang tinggi beralun alunan kelompok demi kelompok dengan ritma dan alun yang sama.

Bunga Rampaiku,
Begitu jauh jadinya bila kita harus membelok dari Ranau ke Tambunan dan kemudian ke KK namun kerana hidangan lukisan alam sepanjang perjalanan, kita sangat terleka, kita bagai di sebuah galeri besar dan lukisan lukisan itu tidak putus putus. Lihatlah rumah rumah dilereng bukit, lihatlah kabus yang berpasangan dengan awan yang rendah, lihatlah warna langit tinggi, lihatlah petala gunung dan sungai sungai berair deras.

Sudah lama tidak ketemu Ghafur, tidak tahu sudahkan dia mendapatkan open water diving lesenya. Namun Lope akan menjadi penyelam berlesen tidak lama lagi, beliau akan ke Sipadan pada march 2008 untuk menyambung semula siri bercinta dengan Borneonya.

Bunga Rampaiku,
Seperti juga bunga bunga kertas yang kelopaknya jatuh ditimpa hujan, hidup ini sangat rapuh. Haruslah kita memaksimumkan sesuatu yang kita cintai ketika nafas masih bertamu ini.

Salam padamu Bunga Rampaiku, semuga hidup baik baik saja hendaknya.

Lope
Ladang Tremelbye.

p/s : Siri Kampung Soyuz akan disambung semula selepas ini.

160377 | posted by loppiess at 1:13 | 0 comments

Tuesday, November 13, 2007

Kampung Soyuz 2

Lebai, korupsi tidak boleh dipandang ringan. Korupsi hantu besar yang akan menjadikan kampung kita ini lembah zombi. Korupsi adalah pelacur paling mutlak yang mampu menyebarbiakkan segala jenis penyakit yang berjangkit yang kelaknya bisa menjadikan kampung kita ini sarang nanah. Korupsi yang didorong dari tamak haloba dan gila wang ringgit cuma akan menghancurkan segalanya, tidak akan lahir lagi ketelusan, kelutsinaran, kesucian kalbu malah iman akan reput, warna uwang akan menyedut segala saki baki kebaikan, tervakum dalam tong ta** penuh keparahan.

Kerana semua penduduk telah memilih engkau, maka engkau kena mengambil tanggungjawab itu wahai Lebai. Kalau engkau buat tak tahu sahaja segala bobot yang melanda makanya engkau tak ubah macam badut, tidak lebih dari itu, Badut hanya pembuat lawak, malah Badut lebih baik dari kamu kerana Badut walaupun pelawak namun tetap memikul amanah, amanah itu ia amanah untuk berlawak dan mengeletekkan hati semua audien. Namun engkau membuat lawak semborono sahaja. Orang orang pembodek nombor wahid sahaja yang tertawa, yang jika engkau hanya goyangkan buntut sedikit mereka akan tergelak terbahak bahak hingga patah riuk segala kerusi di dewan mesyuarat. Yang jika engkau juihkan sedikit lidah mereka tertawa menjalar jalar di lantai sambil memegang perut, itu kerja pembodek nombor wahid.

Namun Lebai, engkau bukan pelawak. Aku ulangi...engkau bukan pelawak tapi engkau pemegang amanah siang malam pagi petang untuk memakmurkan Kampung Soyuz ini. Fahamlah itu.

160371 | posted by loppiess at 17:45 | 0 comments

Monday, November 12, 2007

Kampung Soyuz 1

Dol masih begitu. Masih seperti tipikal Lebai yang pendiam. Beliau masih kelihatan binggung dan tidak tahu apa yang perlu di buat. Dia sudah tahu apa yang berlaku tentang kes Selekoh Petai namun dia bagai tidak peduli. Malah Malim Jagat sudah menunjukkan kepada beliau gambar video mengenai jalan jalan yang pecah di Selekoh Petai namun Dol hanya diam dan terkebil kebil sambil adakalanya menguap begitu lebar tanpa menutup mulutnya. Dia seperti orang yang berhalusinasi saja. Semua penduduk mahu jalan di Selekoh Petai di turap tar semula namun Dol masih terpinga pinga, matanya yang kuyu dan kopiahnya yang besar adakalanya merperlihatkannya seperti pelawak sarkas sahaja.

"Itulah akibatnya kalau tidur semula selepas solat subuh" kata Lebai Mahram satu pagi. "kita akan jadi malas, mengantuk, menguap...tidak ada apa yang dapat dilakukan lagi jika matahari sudah tegak, rezeki menjauh, kalau adapun cuma satu...berjimak, itupun jika bini tidak sibuk" sambung Lebai Mahram lagi. Bagai ada reja reja kebencian dan jelak yang bersarang di dalam kalbunya.

Sekali kita diberi amanah untuk mentadbir kampung ini, peganglah amanah, jangan kita asyik berkata tentang amanah tapi tidak memperlihatkan sebenar benarnya perlaksanaan amanah itu, jangan kita asyik memperlihatkan kelebaian kita tapi dalam bab bab tertentu kita menyorokkan kopiah bilamana keadaan benar benar menuntut sifat lebai dan kelebaian itu digunakan. Memang mudah meletakkan nama Lebai dan dilihat orang dengan imej kelebaian namun tidak mudah untuk menanam kedalam kalbu dan jiwa kelebaian yang sebenar benarnya lebai! Kopiah cuma bukan lambang kelebaian tapi hati..ya..hati dan kalbu!

Malim jagat kemudian memadamkan lampu siling bilik tidurnya. Ohh malam rupa rupanya amat hitam likat.

160363 | posted by loppiess at 0:57 | 0 comments

Monday, November 5, 2007

Kampung Soyuz

Pagi pagi yang muncul kebelakangan ini ditabiri mendung dan hujan rintik rintik. Pagi kemudian mengelonsor dalam dingin untuk bertemu matahari yang juga acuh tak acuh keluar dari rimbun awan dan tabir bukit. Kampung Soyuz, sebuah kampung aman damai di benua asia ini hidup perlahan lahan sebelum kemudian hingar bingar oleh para pekerja yang kebanyakkannya dari indonesia dan myanmar.

Ketua kampung yang bernama Dollah Lebai Karim atau dipanggil Dol sahaja seperti rutin biasanya bangun bersolat subuh. Imej Lebainya masih ketara apabila sahaja ketemu dengannya.

Dol masih seperti tipikal Lebai kampung. Orang orang mula marah marah kerana kampung soyuz semenjak dua menjak ini agak gerhana. Yang pertama Musliyadi, ajk keselamatan telah bergaduh dengan Ram ajk kecil keselamatan. Ram baik dengan Jaafar, naib ketua kampung.

Ajk rasuah kampung pula baik dengan Musliyadi sedangkan Musliyadi tak bertegur sapa dengan Jaafar. Ajk keadilan pula porak peranda setelah dikatakan bersubahat dengan kontraktor yang membuat jalan kecil kampung memberi duit supaya tidak di war warkan kerosakan jalan di selekoh petai sedangkan jalan tersebut baharu sahaja dibina.

Dol masih dengan imej lebai dan seperti tidak tahu apa apa membiarkan segala gerhana tersebut berlaku.

Kampung Soyuz semakin gerhana. Malam datang semula untuk memberikan mimpi mimpi tentang pontianak yang mengigit tengkuk para penduduk.

160318 | posted by loppiess at 16:32 | 2 comments

Friday, November 2, 2007

Nyanyian buat Datuk Ramli

Ram ram suriram
anak yang manis sayang
anak yang lawa sangatlah lawa
ram ram suriram
anak yang manis janganlah di usik sayang
kalau diusik buruklah padahnya
anak yang manis janganlah diherdik sayang
kalau diherdik parahlah jawabnya
ram ram suriram.

Loppiess.
03 November 2007
Belasungkawa atas mangkatnya ketelusan jiwa
dan norma norma suci, atas mangkatnya kebersihan kalbu, atas mangkatnya keadilan dan atas mangkatnya maruah para orang
yang diberi kuasa yang melacurkan amanah.

160302 | posted by loppiess at 22:05 | 0 comments