|
DI SINI LOPPIESS
I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky, And all I ask is a tall ship and a star to steer her by, And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking, And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking. Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) email: zamlope@yahoo.com
last modified Mar 5, 2008 at 16:05
Lope, cakap aku ini kau dengar, boleh tapi pakai jangan. Aku ini kelasi tua yang sarat dengan falsafah tapi falsafah mereng, falsafah meracau. Kalau didengar orang yang tak faham, mahu saja mereka menuduh aku gila, ohh barangkali betul juga mereka. Aku ini lelaki tua yang bebas lepas. Bebas mengikutkan hati.
Dunia kapal, dunia laut dan dunia pelabuhan ini sangat berbeza. Kehidupan di sini adalah kehidupan dalam perjalanan panjang tak pernah usai. Setiap hari atau setiap minggu atau tahun kita sentiasa ketemu camar yang berlainan, seperti ombak itu juga, kadang kadang laut bagai cermin dan adakalanya pula berombak bagai gunung ganang. Seperti pelabuhan juga, para stevedornya berlainan atau kulit mereka berlainan warna, seperti perempuan perempuan yang menyundal juga,ada yang sungguh menawan atau ada yang seperti barge barge itu, gedempol. Seperti arak juga, lain jenis araknya lain pulalah bentuk syurganya atau penangannya, hari hari mudik dengan kelainan. Dari hari ke hari kita amat bergegas dan hati kita menjadi tegar dan adakalanya juga lompong dan terkucil. Cuma kadangkala ada sepi menyelinap kala malam jauh. Aku benci kepada sepi dan mengenang. Aku meluat kepada rasa kesal.
Jiwaku ini telah hitam dipagar oleh dosa barangkali hingga aku tidak mampu melepaskannya dari berfikir mulia. Hijab dari kebenaran amat kukuh berdiri apabila ada sebarang pilihan. Kalaulah aku ini dapat dilahirkan semula dan menjadi seorang bayi....................
Aku melihat kelopak mata Bosun Sidin berair. Ohh, Bosun tua ini amat beremosi. Jalur kerut di dahinya beralun seperti ombak. Rambutnya yang keriting panjang berulas ulas jatuh di pipi dan misainya. Aku tidak menyangka dia juga masih merasa akan jauhnya ia telah terlepas dalam mengemudi dirinya.
Angin kemudian berpusu pusu meliar. Bunyi dentangan rope dan sling sling besi yang mengetuk gangway yang diikat kemas berkeriutan. Di hujung laut awan amat hitam.
Sesekali kelihatan flying fish bertempiaran di dada laut, garis garis halus yang terhasil dari sayapnya membentuk garis garis lurus kecil yang bobot.
Tidak ada yang lebih indah selain mendengar deburan ombak laut dan melihat haluan kapal ini sayu menghiris muka samudra. Tiada yang lebih indah selain melihat camar melayah dan menumpang bertenggek di tiang mask, melihat dolphin menerjah riang mengekori kapal ini dan melihat paus sekali sekala santai santai meyembur horizon yang mula menengelamkan bola emas mega yang terapung pada mulanya. Tiada yang lebih indah melihat entah pantai mana atau pulau apa yang menabirkan pasir putihnya sambil gugusan awan yang berbondong tertebar di atasnya. Aku tidak punya apa lagi selain ini semua. Punya lukisan alam ini yang terpamer saban detik selain perempuan perempuan yang entahkan jalang atau setia, entahkan menunggu atau membenci. Aku juga masih punya jiwaku yang halus selain vodka atau dry gin yang menghantar aku ke syurga seberapa cepat. Menjalani hidup rupanya sangat mudah, kita mempunyai banyak pilihan, pilihlah saja yang mana kita sukai dan kita bernafas dengannya.
Bosun Sidin kemudian membetulkan uraian ulas rambutnya yang ditiup angin laut. Kemudian dengan sebelah tangan dia mengulung rokok kertasnya, membasahkan helaian tepi kertas tersebut dengan lidahnya dan merapikan gulungannya. Dia mengeluarkan zippo dari kocek baju kemeja lusuhnya yang berpetak petak. Membakar hujung rokok daunnya dan membawa ke bibirnya yang hitam. Kemudian dia menyedut dalam dalam, sesaat kemudian gerombolan asap bersimponggang keluar dan angin yang meliar dari dinding dek dan dari geladak yang kering menghilangkan asap tersebut sekelip mata.
Lope, perempuan hanya sebatang rokok, kalau pun ada sekelumit kasihnya, cintanya atau sayangnya, itu hanyalah candu yang membuat kita merinduinya. Rindu hanya sebentuk perasaan yang kumal dan tidak wajar. Ianya kadangkala memeritkan.
Kemudian tiba tiba terdengar jeritan pegawai satu berteriak, Din, karat di starboard harus di kikis sebelum kita sampai ke Lavera!
Bosun Sidin memandangku, Lope, kita borak borak lagi nanti petang.
Bilik simpanan buoy dan rope lama dikemaskan semula. Bila santai, Able Seaman 1 Talib Boyak mengecat lantainya berpetak petak seperti papan dam. Papan bar juga dicat semula. Botol botol vodka yang kosong disusun di atas rak. Gambar besar Bob Marley dinaikkan ke dinding. Speaker besar kemudian diikat rapi ke 4 penjuru bilik. Lampu warna warni bulat yang berpusing pusing digantung di tengah tengah. Kusyen panjang kemudian digilap. Poster poster besar UB40 dan Maxi Priest di pasang di antara rak vodka dan tepi sudut bar. Semua kelasi maklum yang kapal akan mudik ke sungai Rotterdam. Semua kelasi maklum yang Marilyn dan kawan kawannya akan menapak di gangway dan malam malam musim sejuk akan bertukar panas. Detak detak gendang raggae akan mula berantakkan setiap malam. Chief Steward telah menerima order, foster tin bewarna biru, tiger yang dipunggah dari pelabuhan Singapura dan carlsberq telah mula dikeluarkan. Malah Oiler Yaakob juga berkira kira untuk menghabiskan dry gin dan remy red label yang dibelinya murah semasa di Gdansk lama dahulu.
Pesta akan bermula. Bosun Sidin bagai terbayang bayang akan Brenda. Brenda yang mengekori kapal semenjak dari Hamburq. Bosun Sidin bagai terbau bau akan perfumenya yang tertinggal di dek geladak, di dek 1 dan di kabinnya yang bertingkap bulat. Bosun Sidin menyanyi nyanyi kecil.
Diantara bait lagu lagu yang terdengar tengelam timbul yang bersimpongang keluar dari mulut Bosun Sidin yg diterjemahan ke bahasa melayu ialah :
camar lelah melewati sungai dingin musim sejuk kan berganti sekelip mata wahai perempuan engkau seperti bangau tinggi aku bagai ikan kecil yang engkau cari
la la la la la la.
Semua muka nampak gembira apabila membaca telex yang baru sampai yang ditampalkan oleh pegawai radio di papan kenyataan crew mess room. Pump Man Isa dan Bosun Sidin tersenyum sumbing manakala Ordinary Seaman Yaakob Bulat dan Greaser Mahbob juga tersenyum meleret. Berita baik yang tertulis bukanlah berita kapal akan memasuki Port Klang atau Pelabuhan Kuantan setelah 6 bulan tidak ketemu pelabuhan Malaysia tetapi kapal akan menaikkan kayu kayu balak di pelabuhan Tanjung Periuk.
Barangkali dalam kira kira seminggu lamanya kapal akan bersandar di dermaga Tanjung Periuk sebelum kembali meredah samudra untuk mudik semula ke Eropah. "Seminggu di Jakarta adalah seminggu di syurga" kata Junior Rating Hamidon.
Tanjung periuk tidaklah jauh sangat dari Kramat Tunggal, dalam beberapa ringgit tambang teksi maka akan sampailah ke pintu gerbang di mana di dalamnya penuh dengan anika perempuan, pilih sahaja mana yang pekenan seperti memilih kain langsir menjelang hari raya.
Kramat Tunggal kembali menjadikan Bosun Sidin sebagai orang muda yang gelojoh. Itulah antara sebabnya kenapa dia harus terus belayar kerana jika tidak belayar apa yang boleh dibuatnya di kampung. Menjelang masuk usianya ke 54 tahun, jika tidak terhidu hanyir laut mahu jatuh sakit jadinya. Darah yang mengalir di dalam urat temuratnya telah pun masin oleh ringkuh pahit getir pelayaran. Ombak dan camar, ribut dan cinta yang tertebar serata pelabuhan menjadi dia lelaki utuh, seutuh sauh yang tersangkut, seutuh crane yang berdiri atau sekuat debur riak.
Kunjungan kami ke Kg Kudei Baru di pinggir Kuching melawat sepupuku akhirnya menjadikan aku seorang ejen real estate yg tidak resmi. Semenjak duduk di Serawak, berkahwin dan membeli tanah dan membina rumah di sana, Zul akhirnya membuat keputusan untuk menjual sahaja rumahnya di Seremban. Tanggungjawab itu dia serahkan kepadaku memandangkan adik beradiknya yang lain amat sibuk dengan hidup mereka masing masing. Bila pulang ke Kuala Lumpur aku mula mencari jalan bagaimana bisa mencari pelanggan untuk rumah teres satu tingkatnya itu. Di rumah itu sendiri aku meletakkan iklan di samping beberapa laman web berkenaan jual beli rumah. Dalam seminggu barangkali ada dua tiga inquiry, ini termasuklah dari En.Mat Tap, pesara tentera yang kini bertugas sebagai pemandu lori.
Mat Tap duduk di sebuah flat kos rendah di pinggir Kuala Lumpur. Flat yang mempunyai dua bilik itu didiami Mat Tap bersama isterinya dan tiga orang anak. Aku di jemput Mat Tap ke rumahnya untuk berbincang tentang rumah yang hendak dijual tersebut. Aku sampai seusai magrib setelah berulangkali tersesat. Jelaslah Mat Tap seorang yang peramah dan kami seperti sudah lama kenal diantara satu sama lain.
Ruang tamu rumahnya agak begitu sempit, selain TV besar yang barangkali 32 inci saiznya, di situ juga penuh dengan telur ayam yang tersusun yang barangkali jumlahnya beribu biji di samping guni guni bawang dan ikan bilis. Rupa rupanya isteri Mat Tap berniaga nasi lemak setiap pagi, katanya dalam sehari ada lebihkurang 15 kilo beras di perlukan di samping dalam tujuh lapan ekor ayam. Bisik hatiku, tentulah pendapatan keluarga Mat Tap sungguh lumayan.
Dalam kelemasan asap gudang garam kami bercerita macam macam, kata Mat Tap dia sudah 10 tahun tinggal si situ dan dia sudah membeli sebuah rumah teres setingkat di Seremban, kebetulan rumah yang mahu ku jual tersebut adalah bersebelahan dengan rumah Mat Tap, jadi dia mahu sambungkan saja kedua dua unit rumah tersebut menjadi satu.
Kembali kepada rumah flat yang dia diami sekarang, keadaannya agak daif, untuk naik ke tingkat enam rumahnya kami menaiki lif dan kemudian menaiki tangga pula kerana bukan semua tingkat ada lif berhenti. Keadaan di dalam lif dan di sepanjang tangga amat trajis, bau hancing dan sampah sarap bertaburan. Di dinding pula penuh dengan tulisan tulisan dan gambar yang amat lucah seperti gambar manusia sedang melakukan seks, gambar alat genital lelaki dan perempuan dan bahasa bahasa yang tertulis penuh dengan unsur unsur diperkudakan nafsu semata mata.
Kami juga terserempak dengan muda mudi yang sedang berkumpul di selok selok tangga. Mereka berpakaian amat sedikit, seluar pendek sang gadis amat singkat dan rambut mereka begitu blonde. Sang lelaki pula apa kurangnya, tidak berbaju, bersubang di telinga dan memakai seluar Hawaii yang dilondehkan hingga hampir hampir saja menampakkan gugusan gelap ruang belakangnya.
Mat Tap memberitahu, adakalanya mereka sangat muda, sekitar tingkatan satu. Mereka sangat liar, melakukan seks di mana mana saja, hatta di tangga flat sekali pun. Adakalanya mereka berpesta di bumbung flat berhampiran tangki air. Mereka tidak boleh ditegur malah jika dipandang pun mereka sudah menunjukkan reaksi seperti mahu membunuh kita.
Ketika aku memandu pulang ketika perbincangan tentang rumah dengan Mat Tap selesai, fikiran ku asyik terkenang akan dunia flat kos rendah yang baru aku lalui sebentar tadi. Pun sejak dulu tidaklah aku sedari rupa rupanya ada secebis kehidupan yang sebegitu berlaku dan dilansungkan oleh watak watak anak bangsaku sendiri. Ia satu kisah yang tersembunyi yang tidak di ceritakan oleh media massa atau ahli politik. Ia berlaku dalam kelibut orangramai bercerita tentang pembangunan Putrajaya atau perasmian Islam Hadhari. Ia satu kisah sedih bilamana para ibu dan bapa siang malam bekerja mencari rezeki untuk menampung kehendak kehidupan masakini tanpa dapat memantau anak anak sebagaimana layaknya. Ia satu kisah menyayat hati bila ibu berpisah dengan bapa dan anak anak hidup atas kebebasan mutlak. Ia berlaku dan berlaku. Ia berlaku dan berlaku.
Aku menulis tulisan ini di dalam komputerku. Di luar jendela hujan turun dengan lebatnya.
sajak buat Rosnah dan Bat dan malam yang sunyi
Rosnah memberi daranya kepada Bat di tangga flat
sedih amat. Ketika itu azan magrib. sedih amat.
Kuala Lumpur tidak memperdulikan. Bas Rapid KL dan LRT.
hujan. sunyi amat. tempias dan angin dan cerlung merpati tidur.
ya darah dipalit sepanjang koridor
hancing kencing dan salak anjing, ya malam kian busuk
buletin jam lapan. gempa di Sumatra dan peluru Fatah membunuh Hamas
ya pilu amat. bulan runcing dan bobot. pohon pohon basah oleh tangis
renyokkan saja seluar dalam mu yang bersejarah itu
ibu entah di mana dan ayah membuang sialnya di rumah urut
para bilal hanya berseronok dengan pembesar suara
dan politikus asyik membaca sajak lapuk. ya totok amat
kepada Rosnah dan kepada Bat
aku mengintai esak hidupmu dari tingkap mindaku
yang malap. ya gelap amat.
loppiess
Subuh yang dingin akhirnya menghadiahkan relung relung jurai matahari dari balik bukit hutan yang tinggi. Pagi terasa begitu damai. Apabila kuselak sahaja tirai sliding door balcony...wahh, dua ekor hornbill sedang bercerekarama di atas dinding balcony!, paruhnya sangat hebat, matanya besar dan ekornya panjang. Masih ku ingat ketika kami berjalan di hutan Mulu selepas berlepas dari Kuala Litut atau ketika kami mendaki Mount Api, kami hanya bisa mendengar derau hornbil terbang di atas canopy hutan..ahh bunyinya amat mengasyikkan...dan di Teluk Nipah ini, hornbill bertenggek di atas balcony hotel kami..ianya satu hadiah sempena cuti hujung minggu ini.
Pantai Teluk Nipah seperti dulu juga, redup di bawah lindungan pohon ketapang. Pulau Giam dan bot bot orang kota yang terapung melihat ikan ikan di celah batu karang masih tipikal wajahnya yang selalu. Aku dihantar Omar melewati Pantai Monyet dan melihat sotong sotong yang tak keruan di dasar teluk yang lutsinar. Angin Selat Melaka yang sesat dan berpuing puing merentasi ubun ubunku melontar lenguh jiwaku yang masai dan sembrono terdahulunya.
Setelah 4 jam Omar kemudian datang menyemput kami pulang. Kata Omar jika mahu melempar joran dan mendengar randuk kekisi pancing berdecit decit, marilah kita ke Pulau Sembilan, manalah tahu kalau Sang Merah atau Tenggiri mahu beradu sakti, aku kemudian menjawab kepada Omar, lupakanlah untuk kali ini kerana masa yang suntuk, cukuplah menjamu ikan bakar atau sotong segar di warung tepi pantai sambil mendengar debur ombak yang sekejap sekejap menghempas pantai. Omar menganguk.
Berbual dengan Sabri, pengusha bot di pantai redup di bawah pohon ketapang itu membawa petang di Teluk Nipah menjadi kecil dan bila bila akan usai. Nasib kami, jika musim cuti sekolah seperti ini, panaslah enjin bot berulang alik ke Pulau Giam tapi jika musim sekolah memanjang, pantai jadi sepi, pasir pun merintih mohon di injak. Maka jika rezeki kurang di sini kami ke laut setiap malam, terpulanglah pada musim, adakalanya bertong tong ikan kayu naik ke dermaga jetty namun jika musim ikan entah ke mana, susah amat, berkira dengan anak, berkira dengan bini, berkira dengan diri sendiri. Ketika Sabri asyik bercerita, aku kemudian merakamkan relung ombak yang bergulung dan jurai mega lembayung senja dan matahari yang akan segera terjun di hujung tanjung Teluk Nipah ini ke dalam kemeraku.
Pagi itu kami sampai ke kampung nelayan Teluk Gedung. Pantainya sembrono dan tiang anjung anjung rumah di cium debur ombak takala air pasang. Di sini Sabri tinggal dengan isteri dan 4 orang anaknya. Kebanyakkan mereka adalah nelayan yang bekerja dengan bot bot tauke cina. Segala tangkapan akan diambil tauke dengan harga yang ditentukan tauke. Meski pun YB Dr Zambry sedar akan melayu yang melukut ini namun entah apa gerangan yang mendiamkan dia, tidak tahulah.
aku menulis tulisan ini di PDA ku ketika ferry mula bergerak perlahan lahan meninggalkan jetty Pangkor ,
Teluk Nipah.
mudik hariku di sini sesegar embun teduh pantaimu di bawah rimbun pohon ketapang oleng ombak dan tari bot enjin sangkut layah angin dan burung burung terbang pulang aku pada alam pada Pulau Giam ahh..lelah berlalu, cinta bertalu lagu lagu desir bayu membenih rindu.
loppiess.
Usai asar mak acuh acuh menyidaikan telekungnya di birai tingkap. Asap dari pelepah kelapa yang dibakar untuk menyalai daun pisang bercerlungan menitip dinding serambi. Langit bulan januari yang tinggi mengapungkan awan berkotak kotak, angin timur yang membawa sedikit lembab mengusap untaian sarang burung burung tempua nun jauh tinggi di hujung pelepah kelapa . Matahari sudah jatuh beberapa depa dari pohon pucuk manggis. Apalah agaknya yang mak bergegas benar dari tengahari menyiapkan kuih lepat pisang dan kemudian menyauk beras beberapa tempurung hingga penuh karung lima kati. Beras dalam karung dan kuih lepat pisang kemudian dibungkus dengan kain rapi rapi. Seusai aku asar mak menyuruh lekas lekas bersiap, pakai songkok dan berbedak.” Kita ke rumah Tok Hilir kamu” laung mak. Mendengar nama Tok Hilir maka terungkaplah tandatanya ku semenjak tengahari, aku akan mula belajar mengaji muqaddam. Lembaran baru seorang budak lelaki kampung ini akan bermula.
Tok Hilir adalah seorang imam di kampung kami. Dia juga ayah saudara mak, adik beradik dengan ibu mak atau uwan kami. Mak ku memanggil dengan panggilan Ayah Hilir. Dia mengajar ramai anak anak kampong mengaji. Tidak ada apa apa ganjaran kecuali harus datang awal setiap petang, menyangkutkan songkok atau tudung di bucu para para tangga dan kemudian membelah kayu api atau mengangkut air dari perigi untuk dipenuhkan ke dalam tempayan. Ada juga yang suka menyiram pokok pokok lada atau pokok terung telunjuk di belakang rumah. Kalau Senah atau Hawa, mereka lebih senang menyapu, menyapu di atas rumah, bawah rumah dan juga halaman yang luas.
Tok Hilir menyemput kami naik usai saja mak memberi salam. “ besar hajat kau Mah, siap bawa gendong nii?” sapa Tok Hilir. “ memang besar Ayah Hilir, ni Lope dah panjang nii, Mah nak serahkan pada Ayah Hilir untuk belajar mengenal tanda panjang pendek, sabdu atau dengung idegham” kata mak. “ Lope budak baik, senang aku ajar nanti” kata Tok Hilir sambil matanya melirik pada ku. “ tapi Lope, awak kena datang awal tahu, rebankan anak anak itik Tok yang ramai tu” kata Tok Hilir kepada ku. Aku hanya mengangguk, terbayang anak anak itik yang comel yang berjalan tergedek gedek. “ tapi apa yang kau bawa siap gendong tu Mah?” Tanya Tok Hilir pada mak. “ sedikit kuih dan beras Ayah Hilir” jawab mak. “ padi aku penuh berkepok kepok di bawah rumah tu, apa lagi yang kau bagi aku?” kening Tok Hilir berkerut. “ ayah Lope berpesan Ayah Hilir” jawab mak. Mak kemudian menyelak tudungnya dan mengeluarkan sebilah rotan halus panjang sedepa “ ini Ayah Hilir, saya serahkan Lope kepada Ayah Hilir beserta rotan ini juga, kalau buruk tingkahnya, Ayah Hilir sebatlah ke badannya”. Kata mak. Kemudian Tok Hilir tersenyum sambil mengambil rotan yang diserahkan oleh mak dengan kedua dua belah tangannya. Dia kemudian tersenyum lagi. “ kalau mahu dikira jumlah rotan di rumah aku ini, sudah boleh ku anyam bakul ayam, jarang benar budak budak di sini yang buruk tingkahnya, apalagilah Lope, budak baik” kata Tok Hilir sambil sekali lagi memandang padaku. “InsyaAllah Mah, menjelang ramadhan nanti kita harap Lope sudah boleh membaca dengan lancar, kau berdoalah, kasihi anak anak, orang tua kita hormati, anak anak kita kasihi” Kata Tok Hilir kepada mak. Dari jauh kelihatan Uwan Hilir baru pulang dari menziarahi Mak Chu dan Pak Chu Leman yang baru menerima orang baru. Kemudian tawa mak dan Uwan Hilir sayup sayup terdengar. Matahari yang semakin jatuh memanjangkan bayang bayang rumpun buluh di sisi pagar rumah Tok Hilir hingga sampai ke parit kecil bersempadan sawah.
Dan setiap petang selepas itu, aku menyertai gerombolan Karim, Udo, Ramlan, Hawa, Senah, Ramli dan lain lain berderet deretan ke rumah Tok Hilir sambil membawa daun pelepah kelapa yang kami anyam untuk dijadikan obor penerang jalan bila pulang nanti. Kami tidak menganyam pelepah daun kelapa hanya bila musim bulan mengambang penuh.
|