|
DI SINI LOPPIESS
I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky, And all I ask is a tall ship and a star to steer her by, And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking, And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking. Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) email: zamlope@yahoo.com
last modified Mar 5, 2008 at 16:05
Musim hujan adakalanya amat panjang. Hujan jatuh dari malam membawa ke pagi dan kemudian membawa ke petang sebelum bersambung membawa ke malam semula. Langit yang biasanya biru sudah menjadi kelabu, hitam bertompok tompok, kabus penuh di jejeran bukit, kabus di bukit bersatu dengan awan yang rendah. Hutan kelihatan berwarna biru gelap, diam dan kaku. Tempua duduk diam di sarangnya yang tergantung gantung di buai angin di hujung pelepah kelapa. Atap zink berbunyi tap tap tap, mula mula setitik setitik rintik rintik jatuh satu satu kemudian selang beberapa saat irama berubah seperti orkestra gendang bertalu talu dan selang beberapa minit kemudian irama tidak dapat lagi dikesan, ledakkan hujan yang jatuh menimpa atap zink seperti ketukkan jutaan pemukul gendang bersimpongang bertabrakkan. Bertalu talu, kami duduk bersimpuh di juring tingkap, berteleku menyandarkan dagu ke birai kayu melihat air yang jatuh dari pancuran, berlumba lumba mendesah, membawa sekelian daun daun rambutan, daun limau dan biji biji getah menakahi turun lekuk lekuk hujung halaman sebelum meluru hingga ke banir manggis dan terpecah melata di sekitar kangkung yang meliar dan tunggul kelapa yang di selimuti daun daun sireh.
Kalau malas ke perigi, berdiri saja di pelantar tangga, berwuduk dengan air pancuran yang bertubi tubi jatuh dari atap. Tabuh surau jarang kedengaran kerana orang orang sejuk berteleku, kalau pun yang tetap berjemaah hanya Lebai Makrom dan Hj Wahab, Lebai Makrom datang berpayungkan daun pisang, kain di ikat hingga ke pangkal peha, tali pinggang Mekahnya di ikat kuat, di lipatan tali pinggang itu juga tersimpan rokok daun dan sedikit tembakau cap ayam jantan sedang berkokok. Hj Wahab datang dengan payung buluhnya, payung cap rama rama. Udo Kelah juga datang jika beliau tidak ke hutan berburu.
Suka yang amat. Kita dulu ke Surau. Terutama jika ada kenduri. Maulud Nabi. Kenduri Israk Mikraj. Awal Muharranm juga. Kenduri tidak masak di surau. Semua orang bawa nasi dan lauk dari rumah. Jika 40 keluarga datang, maka 40 jenis lauklah. Ada bawak gulai telur itik campur kulit rambai, ada bawa gulai daging landak raya, ada bawa gulau rendang ayam, ada bawa siput sedut, ada bawa lauk ikan keli salai, ada bawa gulai umbut enau...nahh, carilah mana mana buffet di hotel di Kuala Lumpur sana, tidak akan dapat di ulangi itu semua. Di surau juga bila makan, para ibu sibuk mencari anak anak mereka, menghulurkan lauk lauk terpilih, para bapa dihantar petai dan kerdas, nasi dalam dua bekas bertingkat ( bekas dibuat dari aluminium dan dibeli di Kelantan semasa rombongan selepas menuai ) setiap orang habis, para bapa duduk tersandar di varandah surau, menanggalkan kopiah mereka dan menyarungkan di kepala lutut, bau rokok daun bertembakau cap ayam jantan sedang berkokok bertebaran, begitu juga rokok 555 dan juga Goldleaf. Hampir 12 malam barulah usai.
Di tepi sawah ada belukar berjejeran selepas mengharung paya mengkuang yang hidup subur bersama kolam kolam yang penuh ikan sepat berjanggut panjang. Selepas musim menuai dan jerami jerami di bakar, sementara menunggu musim membenih bermula kembali, orang orang perempuan bergotong royong membuat tikar mengkuang. Daun daun dewasa mengkuang dipilih dan dipotong, dibuang duri dan disalai sehingga agak lembik sebelum dipotong berlembar lembar, dilipat seperti simpulan besar kemudian direndam ke dalam air. Selang beberapa hari sesudah lembut, diangkat semula dan dijemur sehingga kering kemudian mula diannyam. Kecekapan jari amat perlu dan setiap sisi tikar harus dilipat dengan teliti. Tikar yang baru siap disimpan. Nanti ada saudara yang jauh datang, segera di bentang. Tetamu akan duduk di atas tikar baru.
Jika tidak bersekolah ( disebabkan cuti atau kami sengaja ponteng ), kami akan menghabiskan masa di sungai, memancing di kelok kelok sungai. Sembilang atau seluang yang menyorok dari arus laju sungai di kelok kelok liku memang lapar, hulurkan mata umpan yang diselimuti cacing gemuk akan segera dimakan, menjelang petang penuh setangkai dahan kenuduk dengan sembilang sungai atau seluang sungai. Jika tidak ke sungai, kami akan ke belukar memikat merbah atau pipit uban. Sangkar pikat yang kami buat sendiri dengan lidi penyapu dan batang sagu kecil memang cantik. Jumlah semua bilik ada 5 termasuk bilik ditengah tengah yang disediakan untuk pipit uban pengumpan. Sangkutkan selembar padi masak disetiap bilik, bila merbah atau pipit uban melangkah masuk, memijak batang penyangkut, pintu bilik sangkar pemikat tertutup. Bertambah koleksi kami. Saat yang paling indah ialah mengintai merbah atau pipit uban yang melompat dari ranting ke ranting sebelum masuk ke sangkar pikat. Kami duduk senyap di sebalik belukar memerhati dengan penuh debaran. Adakalanya pipit uban tidak jadi masuk dan adakalanya masuk tapi tanpa memijak jerat pelentik maka pintu tidak tertutup. Bermain dengan pipit uban sungguh mengasyikkan. Kilau matanya sungguh menawan, kami suka memasukkan tangan kami ke dalam sangkar dan membiarkan pipit uban memijak tangan kami. Itulah kemesraan yang sukar dimengertikan.
Selepas menuai, pagar dibuka. Kerbau kerbau bebas keluarmasuk bendang. Kami naik ke belakang kerbau dan menarik ekornya supaya berjalan. Ketika kerbau melompat parit besar, kami terjun terus ke dalam parit. Apai sepupuku membuat gelang di tangannya dari lintah lintah kerbau yang besar. Mentari di sepanjang siang menghitamlegamkan kulit kami. Rambut menjadi keras kerana lumpur. Malam penuh dengan keletihan. Bunyi burung malam, cengkerik dan denting atap zink membawa kami meneroka ke alam mimpi.
Dulu. Hidup begitu perit, mengerjakan sawah dua relung. Pagi pula seusai subuh berpelita lampu kabaid di bucu dahi terhendap hendap dari sebatang pohon getah ke sebatang pohon getah. Dapat sebaldi sekerap hantar ke kedai Rahman, lima ringgit bahagi dua, dua ringgit setengah buat Hj Ujang tuan ladang getah dan dua ringgit setengah lagi buat kita. Dari dua ringgit setengah, tigapuluh sen dibeli minyak kelapa dapat suku botol, botol setengah kati, empat puluh sen tepung, limapuluh sen gula, garam limabelas sen, minyak api tigapuluh sen, lagi sardin tin kecil enampuluh sen dan mancis api dua kotak. lebih untuk belanja sekolah, lima sen setiap orang di samping cekodok tepung atau pisang yang dibungkus dengan kertas dari buku sekolah lama.
Tapi kami bahagia. Tidak tinggal solat, tidaklah malas sangat meskipun cuaca amat sejuk tika subuh. Kami tidak malas ke sawah. Tidak malas untuk mengaji quran. Sayur di petik dari kebun, pucuk paku banyak, paku tanjung, paku merah, paku paya. Pucuk pegaga menjalar lebat disekitar dapur. Kambas dan peria bergantungan di sepanjang pagar bersempadan rumah Lijah. Pucuk ubi tak termakan menghijau. Pucuk tangkis penuh kolam di baruh. Kelelayau yang lembut juga penuh disekeliling bondar. Kangkung segar sepanjang parit dan sesekali selepas musim hujan yang panjang, cendawan busut tumbuh melata, boleh di gulai kuning, di masak kuah air, digoreng dengan cili atau apa apa saja. Makan siang malam berselera meskipun tiada tenggiri atau udang galah.
Jika hujan datang dan bertapa dalam musim yang panjang maka kami tidak ke kebun menoreh. Tidak menoreh maka tidak berduit kami, tapi taklah serisau mana pun kerana padi di kepuk masih penuh, total tiga kepuk penuh. Kaut saja dengan bekas tempurung kelapa saka padi tersebut dan jemur masak masak. Kemudian hantar ke kilang mesin padi Ismail ( Kilang Padi Kerajaan ). Berasnya putih, dedaknya boleh juga diambil untuk makanan ayam. Masak beras baru, lembutnya sungguh menyelerakan. Kalau gulai ayam masak lemak cili padi campur serai, ada pulak ulam petai atau jika musim kerdas, berulam kerdaslah kita makanya selera tidak dapat dibendung bendung. Itulah sebabnya makan selepas zohor, sebab selepas makan boleh terus lepak di pangkin bawah rambutan depan halaman, kelip kelap mata kemudian terlelap seketika. Ketika itu angin dari sawah lalu lalang dan pepatung menari nari di atas kelopak bunga raya.
Kadang-kadang terpaksa juga berhutang di Kedai Rahman. Ini bila hujan terus terusan. Hutang pun tidak banyak, hanya untuk beli minyak api atau ikan kering. Ikan untuk masak seharian banyak di lubuk, di parit, di bondar, di taliair. Ikan puyu, ikan keli atau haruan. Ikan belut juga banyak, pancing saja, tidak lama, setakat untuk masak siang dan malam cukuplah. Kalau musim kemarau panjang, air lubuk menyusut, inilah musim menimba. Buat empangan kecil dan buang semua air dalam kolam, sembilang, puyu, sepat atau haruan akan terkuap kuap, masa tu kita semua main tekap saja, seluk perlahan lahan, kalau keli, harus kenal mana durinya, kalau pegang jari telunjuk dan ibu jari haruslah sengatnya terkangkang dan kepit pada sendi kepalanya. Harus pandai kalau tidak, terkena sengat keli, lebam sebelah tangan. Bisanya mengalir dalam urat hingga ke bahu. Jangan buat hal. Ikan kalau dah banyak bolehlah buat pekasam. Nanti kalau saudara jauh datang atau pulang ke kampung bolehlah dibekalkan bila mereka mahu pulang nanti.
Begitulah, tak banyak penyakit masa tu, ikan fresh dari lubuk atau bondar, tiada pengawet. Ayam kami bela dalam reban, tiada antibiotik. Sayur kami pungut dari kebun, tiada racun serangga. Kerbau dan lembu juga tiada antibiotik, mereka hidup bergelumang di sawah pagi petang siang malam. Kambing apatah lagi, kalau Pak Ya Hitam, reban kambing di bawah rumahnya saja. Wap tahi kambing malam malam naik, patutlah Pak Ya suka tak pakai baju. Panas!.
Musim bersawah, semua orang ke sawah. Hiruk pikuk. Bunyi orang, kalau padi dah terbit ( berbuah ), bunyi tin tin pula riuh untuk menghalau pipit uban yang datang berkumpulan. Mereka kalau makan sungguh laju. Setangkai padi yang mekar boleh habis dengan cepat. Ramai tak setuju dengan kata kata Tok Siak Long "sedekah pada mereka". Kalau berbicara tentang pondok di tepi sawah pula, biasanya pondok Hj Saidlah yang paling cantik. Ini kerana selain seorang tukang rumah, Hj Said punya empat relung sawah. Pondoknya di atas busut tinggi, ada varandah. Angin tengahari di sawah sepanjang masa bertiup ke pondoknya. Di tepi pondok pula ada lubuk kecil yang penuh teratai. Sambil duduk duduk kami juga menghulurkan joran pendek ke lubuk kecil itu. Ikan yang menyahut umpan akan ditanggalkan dari pancing dan dengan mengangkangkan mulut ikan itu, kami menyucuknya ke dalam seurat dahan kenuduk yang bercabang dihujungnya. Bila petang, penuh sebaris dahan kenuduk itu dengan puyu dan keli.
Kami tidaklah malas sangat. Kami rajin mengaji, senang pula pandai, tajwid betul, dengung betul, berbaloi sebelum mengaji sapu halaman Tuan Guru. Angkut air dari perigi. Kayu api susun bertingkat-tingkat sebelum kering, bila sudah kering masukkan dalam pasung bawah ruang dapur. Kalau mengaji rumah Hj Hassan, kambingnya pun kena rebankan dan hidupkan unggun api. Terung, bayam pasir dan petolanya kena siram, basikalnya kena basuh, tak mahu ada kesan air getah sekerap. Kami mengaji tidak dikenakan bayaran tapi kami kena berkhidmat dengan Tuan Guru. Tuan Guru kami semua garang garang. Kepala disugunkan ke rehal perkara biasa. Sekeh dan rotan juga perkara biasa, tapi kami redha, tidak melawan walau sepicis ayat pun, tidak menjeling, hatta kepala pun tidak berani di angkat. Penyerahan penuh. Total. Itu sebab kami cepat pandai. Sehingga hari ini, lengguk ayat, rima tajwid masih boleh digunapakai.
|