|
DI SINI LOPPIESS
I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky, And all I ask is a tall ship and a star to steer her by, And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking, And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking. Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) email: zamlope@yahoo.com
last modified Mar 5, 2008 at 16:05
1. Sungguh beremosi, aku sebolehnya tidak mahu lagi mengenang Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin, kepedihan mengingatinya amat terasa. Semua diantara kami akan sebak dan ada ketikanya setitik setitik airmata jatuh, semuga engkau Nurin berada di dalam dakapan Allah dan sejahtera selamanya di sana. Al Fatihah.
2. sampai sampai sahaja kami ke jetty Jeselton, matahari telah hampir di pucuk kayu bukit Pulau Gaya. Bayang sinarnya jatuh beralun bercampur dengan riak air laut disekitar bot bot dan tongkang nelayan yang lelah bersandar. Selesai mengucap terimakasih kepada Sumadi boatman kerana lelah mengiring kami ke Mamutik dan Sapi, aku pun beredar, namun seketika itu juga aku terlihat pondok kecil dari khemah berwarna biru dan merah, ketika ku hampiri, yaa..dua orang pelukis sedang asyik melakar warna pada kanvas dan dari corong radio kecil mereka, lagu lagu Ebiet menyeruakkan kenanganku kembali kepada masa lalu, zaman bergitar dan melalak, yang mendengar hanya awan dan pohon pohon kayu.
Kerana barangkali di dalam ruang kalbuku yang sesak ini penuh dengan rindu untuk melakar, akhirnya kubeli juga lukisan sawah padi, sebuah pondok dan baris rumpun rumbia yang ditabiri oleh Gunung Kinabalu, kata Jamadih Latif pelukisnya, gambar itu adalah sebuah kampung di Tuaran.
3. Bro Keng, sudah kau lihatkah video perbualan seorang peguam dengan... khabarnya seorang hakim?, tidaklah jua diketahui kebenarannya namun satu suruhanjaya diraja haruslah dibuat untuk menyelidik duduk perkara.
4. Imam Hj Sadikun marah marah kerana: 1. Ada orang komplen dia baca laju sangat semasa solat tarawih. 2. Budak budak bising sangat di belakang, apa diorang ingat ini padang bola? 3. Ada orang mohon pihak gereja dan kuil berdoa untuk sembuhkan bapanya yang nazak. 4. Majlis kahwin Eton anak sedaranya di tamatkan malam itu dengan majlis karoke dan joget lambak.
bersabarlah imam, malam tadi more, mee hun singapore tu boleh tahan..sapa bawa?
Ingin kuceritakan tentang Masduk sahabat baik ku, beliau seorang jurutera di sebuah syarikat pengangkutan. Kawan lamaku, kami sama sama belajar dan sehingga sekarang ada juga satu dua aktiviti meredah alam yg kami jalani bersama. Beliau telah mengerjakan umrah dan dia begitu seronok bercerita tentang kelansungan hidup, harapan dan matlamat bila saja kami berpeluang berjumpa di mana mana kopitiam atau kedai makan yang berbalcony. Tidak seperti aku, beliau masih merokok, memanjangkan tabiat kami semasa di kolej, berkongsi sebatang rokok, ada ketikanya sebatang rokok bukan sahaja dikongsi berdua malah bertiga, selalunya dengan Karim yang sekarang menetap di Dubai.
Dengan Masduk, kami sering saja berfalsafah tentang apa sahaja, ini pun tabiat kami dari zaman sekolah. Adakalanya falsafah semborono yang kami ketawakan sehingga hari ini namun Masduk tidak pula menulis sajak seperti aku. Yang kami sama gilakan ialah project "pulang kepada alam" contohnya seperti berkemah di Jeram sangkut, memanjat gunung, berkelana dengan kereta api, menjadi tetamu pulau atau memancing di kelong atau celah rumpun rumpun bakau. Namun bila usia merangkak dewasa, kami akhirnya terjerumus ke dalam pusaran kitaran hidup masakini yang terlalu banyak mendambakan masa, tenaga dan fikiran. Kehendak kehendak masakini itu terlalu pelbagai dan untuk menjadi sebahagian dari mereka yang kononnya mengikut arus kita haruslah sama bercemplong dalam arus itu hingga adakalanya tidak mampu pula menyeruak untuk bebas dalam pusaran yang dari masa ke semasa semakin ganas pula sifatnya. Kata Robert Kiyosaki, kita menyertai perlumbaan tikus yang berlari didalam satu lingkaran bulat, sedemikian dikayuh dengan laju harap kita sudah pergi jauh namun kita rupanya masih di dalam lingkaran bulat itu dan masih juga di dalam sangkar yang sama.
Berbalik kepada Masduk, begitulah kami setelah bekerja, berkahwin dan punya anak anak, masa sungguh mengawasi kami dengan teliti. Terasa Masduk semakin jauh hanya kadangkala cuma ada satu dua email, itupun bukanlah bertanya kabar cuma email email forward yang berkisah tentang seperti penemuan makanan tidak halal, point point perangkap laju polis, gambar2 kemalangan, gambar2 yang cantik, pelik atau adakalanya juga gambar hantu dan aku tidak pernah mereplynya.
Dulu, semasa kami belajar, ada juga dikala cuti aku mengikut Masduk pulang ke kampungnya di Selangor. Kampungnya penuh dengan sawah padi dan kelapa yang tinggi. Aku menolong mengopek isi kelapa, menolong mencabut anak anak padi untuk di pindah ke petak sawah, aku menolong membersihkan pohon pohon koko yang ditanam di celah celah pohon kelapa, kami ke gigi pantai mencari siput dan ketam, kami ke Pekan Sungai Besar membeli ubat batuk yang kata Masduk apabila dicampurkan dengan cocacola dan diminum akan menerbangkan fikiran kita ke alam lain, alam yang dikongsi oleh alunan Deep Purple, bunyi cengkerik dan sunyi malam. Aku pun turut merasakan alam yang Masduk ceritakan, namun tidaklah pula aku terbang, cuma tidur yang fana dan melupakan solat dikala fajar terbit di ufuk.
Masduk juga pernah ke kampungku yang jauh di pendalaman Negeri Sembilan sana. Dia kubawa mengikut Pak Busuku menoreh dan memungut getah sekerap, aroma di tangannya tidak hilang hilang untuk beberapa hari, dia bersumpah tidak akan menyentuh getah sekerap lagi. Kami juga kebendang, dia juga kubawa ke rimbun semak dihujung sawah untuk melastik merbah dan memikat pipit uban. Dan yang dia tidak lupakan hingga kini ialah masakan ibuku. Goreng tempoyak pedas atau juga masak lemak cili padi ikan keli. Katanya dia sering mencari masakan itu di buffet sekitar Kuala Lumpur namun tak pernah ketemu.
Demikianlah Masduk, dia adalah diantara manusia manusia yang hadir ke dalam hidupku dan aku menulis tentangnya.
Salam kepada bro. keng dan Bunga Rampai.
1. Memang sangat mengujakan untuk berdiri semula di sini, rasa teruja itu sama seperti dirasakan lewat pendakian pendakian terdahulu. Memegang papan tanda Gunting Lagadan ini dan melihat matahari yang acuh acuh keluar dari rimbun awan seperti kita kembali memutarkan lagu lagu kepahlawanan lama kita untuk kita tonton sendiri walaupun kehebatan itu tidak seperti berada di puncak Everest namun keinginan untuk berusha itu atau kepayahan yang kita tempuh membuatkan kita merasakan kepuasan. Namun yang sangat aku nikmati ialah aku terasa berada sangat hampir dengan alam. Terasa diriku bagai sebahagian alamiah. Kedinginan, gunung ganang, awan gemawan, hutan, hujan, tupai dan juga lukisan Banjaran Crocker di depan sana mendakap erat menyerap ke dalam jantung zulmat.
2. Dalam kelibut jam yang berdenting dan siang bertukar senja dan kemudian subuh akhirnya menemukan semula ramadhan al mubarak kepada kita. Sungguh cinta. Sungguh kasih kita akan bulan yang satu ini kerana ia bulan luar biasa, yang kembali mendinginkan kita dari apung pijar..pijar alpa, pijar duka, pijar semborono, pijar gering hati, pijar dunia dan berbagai pijar lagi.
Dan aku seperti Cikgu Suri yang menghantar sms lewat selepas magrib semalam ingin pula memanjangkan ucap selamat ramadhan semuga ramadhan ini adalah kitaran baru kepada kehidupan berugama kita yang penuh muhasabah dan rasa kerdil kepadaNya,
kepada sahabat2 yang mungkin membacanya spt: Siti Nesta, Abang Keng, Bunga Rampaiku, sahabatku Denai di Musir, Jangnoes ( terkenang mee ikan Kak Nong), AbdullahJones, Saorang-Orang, Sinaganaga, Rainbow, Hanyalah Sayang dan banyaaaak lagi yg tak upaya kuingati.
3. Sapiah meneleponku lewat selepas sahur untuk mengatakan rumahnya bergegar dan semua orang harus turun, maka dimalam ramadhan yg pertama itu bertempiaran penghuni turun bimbang jika terbit musibah yg lebih besar. Di Padang Sumatera, spt diceritakan orang, ramailah umat bertemu malaikat maut, mahu tidak mahu, malaikat maut hanya menjalankan tugas yg di amanahkan.
Kepada mereka2 yg pergi terdahulu, kita sedekahkan Al-Fatihah semuga roh mereka tergolong di dalam golongan orang2 yang dirahmati Allah. Demikianlah.
masuk masuk sahaja di gigi arus, beratus kepal batu berliuk liuk semborono seperti tarian tarian india kuno disekelilingku. Aku yang pada mulanya terkesima dengan aslinya Sapi dan birunya samudera mula terasa disambut, seperti sahabat atau tetamu yang awalnya lenjun dengan asak rutin dan kemudian mula mencair seperti ais yang terkena panas. Teduh ketapang dan ru, putih pasir dan orang orang berbikini kini bercantum dengan kepal batu dan diriku yang teroleng oleh asyik dan lupa. Dengan nafasku berbekal mulut aku kemudian ketemu pula seriding, seekor seekor, bercempera dengan puluhan kerepek pipit. Mereka menghurungku mohon disuap. Si Gombing juga malu malu, Si Lahundan mengintaiku dari celah celah batu karang. Jauh selepas itu aku ketemu kerapu bara termenung di celah karang kuning, entahkan putus cinta atau merajuk pada sang kekasih. Dalam keriuhan kepal batu dan seekor seekor nangka nangka aku kemudian terasa kakiku disentuh atau dicubit, nyatalah ia angkara bayan yang suka bergurau, gurauan kasar bayan tidak ku pedulikan kerana segerombol beladok pula datang bertanyaku, apa kabar orang KL yang renyuh di pukul rutin?.
Sesekali buntal landak melintas, kalaupun kebuntalannya hodoh namun warnanya membenih asyik. Di belakang buntal terhoyong hoyong pula kumai dan sunu asli. Belais berong juga melintas laju bagai penuh kesombongan, heii ini loppiess datang ke rumahmu!.
Walaupun aku ditemani ramai warga disini, seperti beladok yang peramah dan betok yang lincah namun aku masih menunggu sesuatu yang kelaknya akan memidai dinding laut dengan kilau liuk lentuknya...dimana engkau baracudda?
|