home
login::signup
we::blog

DI SINI LOPPIESS

I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky,  
And all I ask is a tall ship and a star to steer her by,  
And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking,  
And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking.  
Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) 
 
 
email: 
zamlope@yahoo.com

last modified Mar 5, 2008 at 16:05


Thursday, January 31, 2008

Lukah Gila

majlis pembukaan tapak Pekan Rabu yang baru akan diadakan sabtu ini. Tapak lama sebelah kedai Cikgu Daud akan ditutup terus memandangkan bukan saja tanah tanihnya lecak bila hujan kerap turun malah ianya juga menghalang jalan penduduk penduduk yang tinggal di hujung sawah. Wakil rakyat YB Kasah akan hadir merasmikannya. Jawatankuasa dulu menyemput M Daud Kilau hadir tetapi tidak jadi kerana beliau hadir di majlis lain pula, mahu tak mahu harus difikirkan pula alternatif hiburan untuk diadakan pada malam harinya. Jamali Atan pun tak dapat hadir, Fauziah Ahmad Daud mahal, Hamid Gurkha dan Yahya Sulong juga tidak dapat hadir makanya kata Mat Hussien Kerbau " jemput sajalah wayang pengandar, boleh kita tengok cerita bobby". Wayang pengandar dari Jabatan Penerangan Kuala Pilah juga tidak dapat hadir kerana ada pertunjukkan di kampung lain mengenai lawatan Hussien Onn ke luar negara. Jawatankuasa hampir buntu.

"Payah payah jemput sajalah Mat Syah pemuzik Kampung Tengkek untuk membuat persembahan bersama Saloma isterinya, enak juga melayan arkodiannya, tarik kuncup, tarik kuncup tak sedar nanti ayam mula berkokok", kata Mail Dubun. Mat Syah pulak ada hal lain.

*****
Terkenang Mail Dubun teringat aku pantun lama sahabatku Jewit, beginilah bunyinya.

Mail Dubun
terberak dalam kebun
beraknya selunggun
ditutup dengan daun


*****

Akhirnya Hj Selamat mengesyorkan untuk di panggil pawang Bukit Kenudai untuk membuat permainan "Lukah Gila". Wahh, semua angguk.

Maka malam itu terjerit pekiklah para audien yang terdiri dari petani, penoreh kecil, pekerja pejabat pangkat rendah, haji haji dan budak budak sekeliannya melihat permainan lukah gila itu.

Sebuah Lukah dipakaikan baju kurung lengkap berkain, dipakaikan tudung ke sawah. Dua orang memegang tampuk lukah yang berdiri itu dan Pawang Bukit Kenudai pun mula membaca jampi serapah, di antara jampi serapah yang sempat aku dengar berbunyi begini :

hai hantu sawah, hantu bukit, hantu sungai, hantu hutan, datanglah kau menghuni jasad lukah, hidup kau bergoyang kau, jangan kau lari, hai hantu pokok, hantu air, hantu tanah, hantu segala hantu, datanglah kau bertamu, hai hantu polong, hantu manjangan, hantu rumah, hantu kubur, aku seru kau, aku pohon kau, hidupkan lukah, goyangkan lukah, hai hantu........, ...........

maka sekonyong konyong lukah pun bergerak perlahan lahan, dua orang pemegang buntut lukah mula cemas, lukah sedikit sedikit mula menghayun keras, ke kiri ke kanan, meliuk, melentok, baju kurungnya melayah, melibas, orang orang para audien mula bertempik sorak, lukah dah hidup! lukah dah hidup, jangan lepaskan nanti ikut balik kerumah, jangan lepaskan, nanti terbang ke langit tidak mahu pulang, segala ayat ayat terhambur dari tempik sorak para audien ini termasuklah selang seli kata kata lucah, kata kata sembrono. Pawang Bukit Kenudai semakin rancak, lapan batang lidi daun kelapa terus dihayun ke badan lukah sambil menteranya bergentayangan menyebut segala jenis hantu, malam kian larut dan bintang bintang di langit tidak lagi disedari kehadirannya.

Aku berdiri betul betul di balakang Pawang.

160760 | posted by loppiess at 0:32 | 2 comments

Monday, January 28, 2008

matahari di atas Bukit Kenudai

Demikianlah, hari berlalu dan musim berganti. Dengan bergeraknya jarum saat maka bergeraklah pula usia kita untuk menuju ke zaman akhir dimana ruh kita dipisahkan dengan jasad yang terkujur. Tidak boleh samasekali untuk berkata " roh, tolonglah masuk semula ke dalam jasad, aku mahu hidup semula dan bermain golf", tidak mungkin samasekali. Roh akan pergi ke satu tempat yang Tuhan aturkan, mereka akan mendiami tempat itu...barangkali ia sangat jauh. Ya jauh!

Kalaupun yang tinggal ialah jasad itu yang ditanam di daerah permakaman yang sepi dan gulita barangkali. Hanya bunga bunga kemboja dan semilir angin yang seulas seulas bertiup menyisir daun daun, segalanya sepi, bening, syahdu dan kalaupun ada rasa yang tersambung ianya cumalah kenangan dan kerinduan.

Kita sangat sibuk barangkali untuk sejenak bermenung, menjeling kepada musim musim yang berangkat, tahun demi tahun, dimanakah kita, kita tenggelam dalam riuh duniawi semata, riuh pangkat, riuhkan harta, riuhkan scuba, riuhkan gadis gadis rupawan yang boleh dipegang, riuhkan kereta besar, riuhkan penyanyi penyanyi yang bertanding di pentas juga riuhkan anak anak yang membuat doktor barangkali hingga kita lupa untuk sejenak bermenung, memikirkan bahawa musim musim yang berganti membawa sama usia kita untuk sampai di daerah dimana roh dan jasad dipisahkan dan kita akan berhenti. Selepas itu hanyalah janji janji Allah belaka.

Kerana kemerosotan pada fikir yang jernih dan tidak mahu mendapatkan barang seminitdua untuk sejenak bermenung maka nilai atau kualiti insan jatuh mendadak maka bercambahbiaklah segala jenis kemungkaran dan kejahilan, hingga sekarang ini untuk entah hari yang keberapa adik syalinie masih entah dimana, saat demi saat dan jam demi jam kita berjuta rakyat Malaysia ini mengira detik itu dengan penuh ketakutan dan pengharapan yang menggunung, namun nampaknya semua hanya mengharap, hari hari berlalu dan Syalinie masih entah di mana. Dimanakah kau ohh Syalinie?

Kemerosotan moral dan etika ini telahpun menyusup kepada semua peringkat manusia di bumi Tuhan ini. Seperti sekarang ini di Mahkamah Jalan Duta, orang orang besar yang dianugerahkan Tun tengah berpencak silat menangkis segala kononnya tohmahan, Tun Tun ini yang pada zaman gemilangnya tidaklah boleh diusik barang secubitpun kerana mereka amat pantang untuk berdiri di dalam kandang orang kena tuduh di mahkamah, mereka amat kebal dan mereka amat berkuasa, namun itu semua rupa rupanya hanyalah kuasa ciptaan manusia sahaja, kuasa Tuhan, ketentuan Tuhan amat besar dan tidak ada seorang pun manusia yang dapat mengelakkannya. Selepas bersara, para Tun dan datuk datuk ini pun dibogelkanlah segala dosa mereka terdahulu, di dunia ini mereka sudah dapat hadiahnya, apatah lagi di akhirat. Namun mereka tidak samasekali menyerah hatta harus menjadi seorang munafik pun tidak apa !!! . Patut patut ketika menjalani zaman bersara ini diharungi dengan matahari yang bersinar dan harum bunga bunga di taman, bersantai dengan cucu atau sekali dua membuat syarahan tentang peri pentingnya nilai kekeluargaan kini harus dihabiskan dengan kerisauan dan kepedihan, penghinaan dan kejelekan dari masyarakat. Marilah kita semua berdoa semuga orang orang besar ini dibukakan pintu hati mereka dan kembali mengakui bahawa Allah lah yang Agung bukan hartabenda dan kuasa, Amin.

Di sini juga aku ingin meluahkan simpatiku yang dalam dan kepedihan yang ku kongsi atas pemergian ibu sahabatku Jangnoes baru baru ini, ini membuatkan aku sedar akan betapa besarnya nilai ibu kepada kita. Tidak akan ada tolokbandingannya. AlFatihah untuk Allahyarham.

Kembali kuulangi, duhai sahabat sahabat ku, masa berlalu amat laju dan sering saja kita hanyut dalam arusnya. Oleh yang demikian haruslah kita duduk bermenung sejenak untuk memikirkan jalan jalan terdahulu yang telah dilalui dan jalan jalan hadapan yang bakal dilalui. Demikianlah kita.

160752 | posted by loppiess at 20:51 | 0 comments

Monday, January 7, 2008

Catatan kepada Bro Keng

Bro, sungguh terharu aku membaca catatan mu lewat email terdahulu, maaflah bro kerana waktu yang laju ini turut menjinjingku sama bertabrakkan dan lemas dalam arusnya hingga untuk menulis kepadamu semula semakin lewat namun aku mencuri masa juga untuk menulis catatan ini.

Bila saja mengenangkan Uztaz Abd Halim, rasa jiwaku mengembang dan berbunga, alangkah bertuahnya menjadi dia, risaunya dan bimbangnya membawa hingga ke daerah daerah kecil di liku Crocker, dia diantara manusia terpilih yang diberi hidayah melimpahruah hingga membangkitkan keinginan yang kuat berputik di dalam kalbu zulmat kita yang seringkali terlalai ini. Terima kasih bro kerana cerita cerita tersebut, muga AHA meneruskannya sehingga bila bila.

Aku dan family baik baik saja bro, hujan dan panas yang silih pergi dan datang tetap menghadiahkan kesihatan yang baik dan keamanan Ladang Tremelbye ini masih terpelihara, hutan kecil people park masih hijau dan burung burung kelicap dan tiak rumah masih riang ria berterbangan dicelah bunga kertas dan kekwa. Diharap bro dan family juga dilindungi Allah, sudah berangkatkah ke Kaherah, jika belum, selamat berangkat dan berhati hatilah, aku masih ingat beberapa peristiwa ketika di sana, Arab Mesir agak sedikit kasar barangkali namun tentulah bro lebih memahami kerana lama di sana dahulu. Anak saudara saya juga masih di sana membuat kedoktorannya, di Uni sedikit luar dari Kaherah, aku sudah lupa bro apa nama Uni nya.

Apapun bro, terima kasih kerana menulis padaku, ingatan itulah yang mahal selain ungkapan kata kata yang membawa aku kepada menyedari betapa kecilnya kita di sisi-Nya. Bertuah mengenali bro, sahabat yang barangkali dari aliran agama kerana aku tidak begitu, belajar dulu dalam marine engineering makanya lebih kepada enjin, generator, penyuling air laut dan berbagai pump dan dandang.

Sekian bro, selamat berangkat, aku mengaminkan saja setiap doamu moga kita satu hari nanti menjadi insan terpilih seperti AHA.

Loppiess
Ladang Tremelbye.

160670 | posted by loppiess at 0:56 | 4 comments