|
DI SINI LOPPIESS
I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky, And all I ask is a tall ship and a star to steer her by, And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking, And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking. Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) email: zamlope@yahoo.com
last modified Mar 5, 2008 at 16:05
Akhirnya Datuk Abd Mulok dapat melelapkan matanya. Lelap yang lazat. Sunyilah mendinding jasadnya. Tidur kali ini adalah tidur mati. Tidur yang bangat dan dia kembali bersendirian. Helaian saraf otaknya dan serabut urat di bujur jasadnya kembali kepada istirehat yang total. Watikah perlantikan semula sebagai calon yang diterimanya dari Menteri Besar malam kelmarin adalah segala-galanya.
Melobi untuk dicalonkan semula adalah perjuangan maha hebat. Ianya lebih hebat dari perjuangan yang lain lain. Perjuangan untuk menentukan politik batang leher ini adalah perjuangan nombor wahid. Adakalanya Datuk Abd Mulok merasakan ianya seperti perang Badar atau perang Vietnam. Berada di perbatasan terakhir dengan peluru musuh seperti hujan datangnya adalah mimpi yang amat mengerikan. Peluru peluru yang bukan peluru kapur itu diletuskan dari laras laras senapang yang moden dan canggih. Ianya dilepaskan oleh musuh musuh yang tidak menentu pula, yang muda muda dan yang berketerampilan pula, yang dilatari dengan sijil sijil ternama universiti terkemuka. Makanya sebagai orang lama yang botak dan pencapaian tertinggi hanya setakat guru besar sekolah rendah, Datuk Abd Mulok berasa begitu risau, bimbang jika kemegahan sebagai YB akan sampai ke saat tepinya maka hilanglah segalanya, hilang kuasa, hilang penghormatan seperti yang dikecapinya selama ini, hilang kenikmatan yang seiring dengan pangkatnya, hilang peluang peluang duit yang muncul di kiri kanan dan kehilangan yang besar ialah hilang peluang untuk melangkah lebih jauh, paling kurang pun untuk menjadi exco kerajaan negeri.
Selepas pastinya dia dicalonkan semula, segala amukan badai gelombang dan ribut taufan yang mengila di sanubari paling dalam Datuk Abd Mulok terhenti. Kemudian yang keluar hanyalah bunga bunga kembang sekuntum sekuntum. Pastinya usai usai PRU nanti Datuk Abd Mulok telah berjanji kepada Datin Sabariah dan anak anak ; “kita akan mengerjakan umrah satu keluarga”. Anak dara Datuk Abd Mulok yang mewarnakan rambutnya merah keseluruhan hanya menganguk tawar.
Di DUN yang Datuk Abd Mulok tandingi ini adalah zon selamat Parti Melayu Abid. Dari zaman berlambangkan kapal layar dulu lagi, tidaklah pernahlah mana mana parti selain Parti Melayu Abid yang menang, Masuk Apollo, Apollo lingkup. Masuk Parti Bulan Di Awangan…lingkup. Masuk Parti Cap Mata Lebam…lingkup hatta dulu ada juga parti cap anak kunci…juga lingkup. Tidak akan terjadi selain dari itu, pernah dulu pengerusi Parti Cap Mata Lebam menghebohkan “ hatta engkau letakkan kambing pencen yang bulunya pun telah 60% luruh sebagai calon Parti Melayu Abid, maka parti itu tetap menang!”. Kata kata itu walaupun ramai pengundi masih ingat namun mereka tetap mengatakan itu hanyalah lelucon orang kecewa. Jangan diambil kisah.
DUN Tiang Tiga Batang akan ditentukan oleh hanya 4% India dan Cina selebihnya adalah orang orang Melayu. Dalam 96% orang orang Melayu itu termasuklah Budin Che Kembang, very outspoken person dari serpihan Parti Cap Mata Lebam, Hj Md Din Dahalan dari Parti Cap Bulan Di Awangan dan Ah Kau Ayam dari Parti Apollo. Di belakang nama nama itu tadi adalah barang sekerat dua penyokongnya itu pun mereka terdiri daripada insan insan yang kecewa kerana tidak dilantik semula menjadi imam, tidak mendapat permit teksi setelah hampir 14 tahun memohon dan ada juga dikalangan mereka, seperti Siti Mariam, ketua wanita cawangan Parti Cap Mata Lebam yang marah benar bila anak keduanya yang mendapat 5A dalam UPSR tapi gagal memasukki MRSM. Itulah saja alasan alasan yang wujud untuk tidak mengundi Parti Melayu Abid namun dalam banyak peristiwa yang dulu dulu, bantahan itu atau bangkangan itu akan lupus bila setiapkali hampir benar hari mengundi. Kain kain pelikat cap Gadjah Berdiri dan kain batik jawa tenunan Bandung bertukar tangan. Susu cap orang memikul bakul, biskut lemak krim Batu Pahat, beras Siam Gred Super 5% dan segala macam lagi pun juga bertukar tangan. Saki baki harapan calon parti pembangkang untuk tidak kehilangan wang pertaruhan juga lenyap. DUN Tiang Tiga Batang ; Parti Melayu Abid menang mutlak.
Pengundi tradisional DUN Tiang Tiga Batang amat taksub kepada warna biru, lambang timbang dan juga lambang keris terhunus di dalam bulatan merah. Itulah hidup mati. Itulah pemberi makan. Itulah kenderaan yang memobilkan kemajuan, jalanraya, lampu, paip air, astro, jambatan, surau indah, masjid gah dan segala galanya. Bab meminta mereka mempertimbangkan semula, menilai semula semua duduk perkara atau memikirkan semula ketaksuban hakiki yang mereka anuti, itu tidak akan berhasil, tidak akan ada kompromi. Kalau dilakukan juga maka tidak ubah seperti mencurah air di daun keladi malah jika nasib tidak berapa baik, mahu terkena carutan atau jika lebih dasyat daripada itu, selipar akan naik ke muka. Memang tidak mudah.
Maka itulah sebabnya apabila nama naik sahaja untuk menjadi calon yang mewakili ikon Timbang dari Parti Melayu Abid makanya Datuk Abd Mulok merasakan perjuangan sudah tamat. Dia sudah berjaya. Soal kedua samaada menang pilihanraya atau tidak, tidak wujud lansung. Dia pasti akan menang. Malah jika ditanya adakah betul kenyataan yang dibuat oleh Budin Che Kembang tentang kemungkinan jika diletak kambing pencen yang bulunya 60% luruh itu pun akan menang juga, pastinya Datuk Abd Mulok akan menjawab” barangkali!”.
“Parti parti lain selain Parti Melayu Abid memang hanya suka bermain kata kata sahaja. Janjikan yang bukan bukan. Impikan yang bukan bukan. Seperti orang angau bercinta layaknya, mahu berenang di lautan api, poorahh!. Dengan duit apa dia nak buat jalanraya?, duit motong getah?, Tuan tuan dan puan puan, kita perintah Negara bukan boleh cuba cuba, ini bukan main dam di kedai kopi, lihatlah dulu gambar telivesen tuan tuan dulu kabur dan bobot sahaja sekarang sudah terang bukan?”. Itulah antara kata kata Hamid Sidon, ketua cawangan Parti Melayu Abid kepada beberapa penduduk di kedai Sipah Gendut.
Datuk Abd Mulok selalunya tidak perlu untuk berkempen dan membawa isu yang berat berat. Malah dia pun tidaklah jelas apa itu Islam Hadhari. Apa yang dia tahu pun Islam hanya ada satu sahaja, tidak dua atau tiga. Apa yang dia faham ialah Islam Hadhari itu Islam pasca moden, bertolak ansur, bertoleransi, melihat sesuatu isu itu dalam bentuk dan saranan masyarakat majmuk, sesuai digunapakai untuk mengelak konflik. Namun bila datang kepada hukum, dia sendiri pun tidak jelas. Dia tidak berani. Dia kurang periksa pulak bab itu. Namun itu semua tidaklah berapa penting, yang penting, yang maha maha penting bukan anutan parti yang diwakilnya itu, bukan agenda bangsa, bukan agenda ugama, bukan atas prinsip kebenaran mutlak, bukan itu semua. Itu semua hanya ocengan mulut sahaja. Itu semua hanyalah menanam tebu sahaja. Yang penting ialah dia dicalonkan semula. Dicalonkan untuk satu penggal lagi bermakna jika tiada malaikat pencabut nyawa datang maka dapatlah lagi dia dalam barang empat tahun lagi menikmati kehidupan sebagai YB ini. Itu sahaja. Itu sebab apabila namanya naik semula sebagai calon, dia merasakan perjuangan sudah tamat dan dia sudah berjaya.
Perjuangan politik batang leher ini bukan sahaja dia yang lakukan malah oleh semua calon calon Parti Melayu Abid. Berbulan bulan lamanya ke sana ke sini untuk melobi, orang orang bawahan dikerah, orang orang atasan dipujuk rayu, dicumbu, dijanjikan, dilagukan. Bukan mudah dan bukan sedikit duit terbang melayang. Siapa yang kuat daya lobinya, siapa yang hebat cumburayunya, siapa yang ampuh bertahan assakkan, siapa yang gagah dengan ugutan maka orang itulah yang berjaya menjadi calon. Calon bukan lagi berdasarkan siapa yang boleh bekerja, siapa yang amanah, siapa yang bersih licin, siapa yang warak, siapa yang benar benar bertunjangkan agenda bangsa dan Negara. Bukan lagi. Calon yang berjaya dicalonkan ialah calon yang mahahebat lobinya, tidak kira dia tua dan botak, tidak kira dia pencacai rasuah, tidak kira dia hanya berkelulusan darjah lima, tidak kira dia kaki sundal, itu semua tidak diambil kira. Moral bukan lagi tiket mutlak pemilihan calon. Bukan lagi. Tidak samasekali. Non.
Bagi Datuk Abd Mulok melobi tidaklah salah. Melobi bermakna seseorang itu masih punya kekuatan dalam perjuangan. Masih ingin berbakti kepada rakyat dan bangsa. Masih ingin meneruskan perjuangan yang tak pernah selesai. Namun dalam mencari salahbenarnya melobi, Datuk Abd Mulok tetap sedar bahawa melobi adalah perjuangan batang leher sendiri. Tapi memperjuangkan batang leher sendiri semata mata untuk nantinya memperjuangan rakyat pula tidak ada salahnya. Ia perkara yang kait mengait, yang berbenang benang. Bukankah melobi itu semata mata untuk memastikan pelobi itu akan memperolehi semula kuasa dan nikmat nikmat di sekeliling kuasa itu?, ya betul, itu adalah sebahagian peri pentingnya melobi tetapi ada sesuatu yang lebih jauh daripada itu, yaitu rakyat. Disamping untuk batang leher sendiri itu semua juga untuk rakyat..ya rakyat, rakyatlah yang menentukan samaada calon itu diterima, yang boleh mewakili mereka. Tetapi rakyat tidak melihat calon lagi Datuk, rakyat sebahagiannya melihat lambang keramat timbang yang dilatarbelakangkan dengan warna biru pekat itu. Samaada calon itu manusia atau kambing pencen, itu tidak penting lagi, yang penting ialah Cap Timbang. Entahlah.
Memang semenjak beberapa bulan ini Datuk Abd Mulok kerap bermonolog. Adakalanya terjadi pertikaian yang penuh dengan paradok. Dia sendiri pun hairan kenapa tabiat tabiat bermonolog ini semakin berkembang dan berbagai. Apakah ilham ilham yang datang ini ingin membawanya ke satu dimensi yang baru. Tanpa disedarinya telah ada dua makluk yang mengongsi dirinya. Satu ialah kesedaran yang samar samar dan yang kedua ialah penolakkan kepada kesedaran yang samar samar itu. Dari wajah tuanya tersusun baris baris risau, apakah petandanya ini. Sepatutnya tiada lagi kerisauan setelah namanya dicalonkan semula. Pastinya tidak ada lagi halangan halangan yang menunggu dihadapan. Parti Bulan Di Awangan yang dihadapinya kelak tidak lansung membenihkan apa apa ketakutan. Lantaklah mereka ingin berkempen siang malam pagi petang, terpulanglah, rakyat di DUN Tiang Tiga Batang ini tidak akan lagi ambil pusing, mereka tetap inginkan mobil Cap Timbang ini untuk terus mengerakkan kemajuan yang sekian lama telah mereka nikmati. Kempenlah apa sahaja yang disukai, bariskanlah nama nama hakim yang korup yang kuat menyundal, sebut sahajalah harga barang apa yang naik, laungkanlah apa apa pun isu yang mereka suka, Parti Melayu Abid tidak akan kisah. Rakyat di DUN Tiang Tiga Batang tetap utuh dan teguh dengan kepercayaan hakiki yang tiada siapa dapat meleraikannya. Begitulah.
Hari penamaan calon pun tiba. Datuk Abd Mulok datang dengan pakaian baju melayu dan bersamping dengan segaknya. Di kiri dadanya terlekat lambang CAP Timbang, di kanan dadanya terlekap pula lambang keris terhunus. Di belakangnya ada barangkali 5000 orang yang berarak dalam gelombang biru dan merah kuning pula. Sedangkan di seberang sana ada barangkali 50 orang berarak dengan lambang Bulan Mengambang dan ditengah tengahnya seorang tua berkopiah putih tersenggih senggih sambil berjalan dengan tertibnya. Mereka masuk ke dewan .
Berita jam 8 malam di TV Perdana akhirnya mengeluarkan keputusan penamaan calon untuk semua kawasan di Bumi Bertuah ini termasuklah DUN Tiang Tiga Batang. Semua mata tertumpu seperti mata kucing yang berahi melihat ke kaca TV.
Haji Taat Wagiman dari DUN Tiang Tiga Batang menang tanpa bertanding.
Datuk Abd Mulok telah lama tidak sedarkan diri di wad kecemasan Hospital Sungai Lam, kata orang, borang penamaan calonnya tersilap isi.
menjelang senja senja terakhir ini menanti malam adalah menahan rusuh jiwa yang berombak kerana siang berpuput tanpa seulas angin pun kerana siang adalah lembah kontang penuh dahaga
mereka ( para al - ruwaibidoh ) memberiku wajah wajah konyol dari senyum manis dari bibir merah dari dendam kesumat dari nafsu berahi dan mimpi dari olengan kata kata mulok dari keserakahan yang tersimpan dari tabir yang terbuka kini perlahan lahan.
menemukan malam seperti biasa hanyalah gelap kecuali ada bulan dan lampu. mereka ( para al -ruwaibidoh ) berbisik bisik ; kitalah bulan dan lampu itu.
February 2008.
Electrician biasanya hanya pandai membuat pemasangan elektrik, maksudnya dia tahu wayar hidup atau dia tahu wayar neutral mahu disambungkan ke mana. Dia juga tahu wayar bumi haruslah disambungkan kepada pembumian atau kepada badan perkakasan elektrik tersebut. Dia tahu bahawa kesan kepada terkena renjatan elektrik akan boleh menghasilkan kemalangan fatal. Disamping itu untuk menyalakan lampu kalimantang, choke hendaklah disambungkan dengan betul. Penghidup pula hendaklah disambung selari dengan tube dan perlu juga mempunyai voltan yang sesuai dengan tube jika tidak tube kalimantang tidak akan menyala, cahayanya hanya lip lap lip lap dan kalau dibiarkan lama begitu akan menyakitkan pula kepala. Pun bukan itu sahaja, Electrician harus pula sedikit sebanyak faham akan undang undang yang termaktub di bawah Akta Bekalan Elektrik dan juga peraturan IEE seperti wayar untuk soket haruslah ada 7 lembar tembaga dan ukirlilitnya pula haruslah sesuai. Untuk pemasangan kipas, fuse utama yang dipasang hendaklah dalam kadar yang sesuai begitu jugalah fuse untuk soket dan lain lain, begitulah sedikit sebanyak kerja kerja asas yang Electrician perlu faham jika tidak, lampu tidak akan menyala atau rumah boleh lingkup oleh kebakaran atau juga pengguna terdedah bahaya renjatan.
Electrician tidaklah tahu apa apa lagi selain itu melainkan jika dia ambil tahu namun biasanya Electrician tidak tahu bagaimana reaktor nuklear Chanobyle meletup dan bocor, mereka tidak tahu dandang no 4 Chanobyle itu boleh meletuskan begitu banyak radioaktif dan membunuh beribu ribe manusia, mereka juga tidak tahu jika tidak mati pun, manusia akan dihidapi kesan yang besar seperti kanser thyroid dan segala macam penyakit, begitulah.
Electrician juga selalunya tidak ariff mengenai pelanggaran kerak bumi di dasar laut yang menghasilkan gelombang tsunami yang membunuh ribuan manusia dijajaran lautan hindi beberapa tahun lalu. Electrician juga tidak ariff tentang demam selsema burung, tentang Paus yang terancam, tentang nomad di gurun Sahara, tentang bagaimana stim dapat mengerakkan aci untuk enjin mula bergerak, tentang bagaimana sperma berenang untuk bercantum dan membentuk lembaga, Electrician tidak faham itu.
Tapi Electrician yang ini lain. Dia faham banyak benda, selain dia faham bagaimana untuk bertengkar dengan isterinya akibat masaalah dalaman keluarga dia juga tahu banyak yang lain, dia tahu sedikit sebanyak soal soal kehakiman!, dia tahu maruah kehakiman, dia tahu makna rasuah, dia tahu siapa terlibat, dia tahu siapa subahat tapi........malang sungguh...
dia dituduh gila.
|