|
DI SINI LOPPIESS
I must down to the seas again, to the lonely sea and the sky, And all I ask is a tall ship and a star to steer her by, And the wheel’s kick and the wind’s song, and the white sail’s shaking, And a grey mist on the sea’s face and a grey dawn breaking. Sea-Fever by John Masefield (1878 – 1967) email: zamlope@yahoo.com
last modified Mar 5, 2008 at 16:05
Laut sangat tenang ketika ikan ikan belacak mundar mandir di pantai yang berlumpur. Jeti nelayan Kg Permatang Kassim masih seperti dulu, tiang tiangnya ronggak dan papan papan lantainya berlubang, patah dan simpang perenang. Sampan sampan lama yang amat usang tersandar lelah seperti juga lelahnya Pak Hasbol, Mat Kembung dan Hussin Babu, nelayan nelayan kecil Kg Permatang Kassim. Jeti lama ini juga dikala malam menjadi tumpuan kaki ganja, menyedut barang sepam dua dan kemudian lalok, terbuai bercemplong dengan bising ombak yang menghempas banir bakau.
Melayu tipikal yang wujud di Kg Permatang Kassim ini sedemikian lama dilupakan. Kulit mereka yang hitam oleh usap binar mentari sedemikian kontangnya, rambut, wajah dan urat urat yang kering diselirat kaki mereka memberikan lakaran tentang betapa payahnya hidup untuk dikemudi. Mereka adalah Melayu yang melukut dalam era pemerintahan yang bertukar dari tangan ke tangan.
Namun seusai taufan ini tiba tiba sahaja parti Apollo naik dan duduk dikerusi Ketua Menteri. Inilah yang berlaku pada satu malam beberapa hari lalu :
Borhan datang ke Jeti mengajak semua nelayan yang sedang bermain dam untuk esok pagi sama sama membawa sepanduk, orang orang Apollo menafikan hak kita, kita harus bangun, bawa sepanduk dan tentang !. Pak Hasbol, Mat Kembung dan Hussin Babu terpinga-pinga. Begitu lama kami disini tidak dipedulikan tiba tiba Borhan datang mengatakan hak kita dicabul?. Bukankah pencabulan itu telah kami nikmati berkurun lamanya?.
"Err...En Borhan, kami tidak mahu kerana kami sebenarnya tidak pernah mengundi, kami hanya mengundi parti ikan belacak!". Kata Mat Kembung yang kemudian diikuti ketawa terkekeh kekeh yang mengegarkan pondok kecil jeti Kg Permatang Kassim yang usang itu.
Ikan ikan belacak berterabur lari mengendap dari takung lumpur.
Ramai yang terkedu, bukan Hj Sameon sahaja. Kak Ramlah juga seharidua ini tidak lagi rancak berbual. Nampak macam bad mood juga. Jiwanya resah, semangatnya menjadi sangat kecil jika tidak mahu dikatakan hilang terus. Ditanya sepatah, dijawap sepatah tidak macam dulu dulu lagi, jika ditanya sepatah maka jawapannya akan menjadi duapuluh patah. Dia kelihatan sangat dingin. Dia barangkali mahu menyendiri.
Hambali anak Kak Ramlah seringkali memujuknya agar belajar menerima keadaan ini. Tidak ada apa yang sangat besar akan berlaku. Tidak ada. Tidak ada rusuhan, tidak ada kereta kebal disimpang depan Kedai Wak Arup, tidak akan ada pergaduhan kaum, tidak akan tertunai kerunsingan demi kerunsingan yang berputik itu. "kita harus menerima mak, menerima kerajaan baru yang dilantik, melihat mereka dan kita akan menilai mereka, mereka yang kalah bukan tak elok semuanya, mereka yang menang bukan maksum belaka, kita rakyat akan sentiasa melihat dan menilai, melihat dan menilai dan kita akan memberi pertimbangan yang cukup adil bila saja time memangkah datang".
"kita akan melihat bagaimana mereka mengemudi isu isu hak bumiputra yang barangkali isu yang paling mak bimbangkan, kita akan melihat bagaimana mereka mengurus kekayaan negeri, jika baik, telus, terbuka maka untuk pemilu seterusnya kita bagi semula kuasa namun jika sebaliknya berlaku, cukuplah takat itu. Kita sangat berharap untuk kerajaan baru ini nanti melihat semula kecacaian yang barangkali wujud terdahulu yang barangkali juga disembunyikan, kita sangat berharap agar projek projek yang tidak benar benar memberi faedah kepada mak dan saya dan juga rakyat jelata lain akan dinilai semula atau dimansuhkan terus, kita akan lihat bagaimana Dasar Ekonomi Baru yang dulunya dicanangkan hanya untuk faedah Melayu benar benar sampai ke diri setiap bernama Melayu itu, takut nanti dasar dasar yang dimomokkan itu hanya untuk segelintir kaum kerabat atau ipar tuai mereka sahaja, itu jugalah barangkali sebabnya kek ekonomi Melayu masih amat kecil yang tikus pun tidak kenyang apabila memamahnya, semua itu akan kita nilai mak, kita akan menilai semula nasib bangsa kita selepas ini, jangan bimbang, undi bangsa kita tetap majority jika semua bersatu, marilah kita sama sama melihat angin apa pula yang melanda, beri mereka masa."
Kata kata Hambali memberi sedikit nafas kepada ceria Kak Ramlah. Tampungan risau dan gundah sedikit sirna dari takungan matanya yang murung. Di luar rumahnya bunyi burung kelicap memberi sedikit irama, awan nan hitam sedikit sedikit berlalu ke arah timur.
Hj Sameon tidak habis habis berduka. Sedih. Terkilan. Sedih, pedih, sedih, berduka, terkilan, sedih, menyesal, kesal. Sedihnya itu berpanjangan. Berpanjangan melalui liku liku yang berliku. Dia terkejut, tersentak, terbelalak, dia bermurung, bermenung, dia jelaslah amat tersinggung. Hj Sameon tidak menduga samasekali begini jadinya, begini berlansungnya, begini hasilnya, begini kesannya, begini hebatnya taufan, begini besarnya ribut, begini nazaknya rasa, ini belasungkawa paling besar, inilah azab tak terkata, inilah akibat musabab yang paling susah untuk diterima oleh sebongkah otaknya yang seharidua ini hanya bagai berhalusinasi saja.
Dia tidak menjangkakan hingga seteruk ini yang berlaku namun dalam gundah yang begitu bercemplong didalam kalbunya dia masih waras untuk mengakui bahawa itulah dia kuasa rakyat. Dia hanya mampu merancang namun siapalah dia untuk menjangkakan hasilnya melainkan Allah Taala sahajalah yang mampu.
Hujan seharidua ini begitu lebat takala turun, segala sampah sarap di longkang longkang yang tersumbat berbibih ke muara.
Aku perturunkan semula sebuah tulisan yang kutulis pada february 2004. Ia sebagai ingatan kepadaku tentang tanggungjawab untuk mengundi.
mari mengundi
marilah mengundi abang abang kakak kakak pangkah dan masukkan ke tong yang hak yang kau pangkah adalah maruah kau memangkah memangku amanah
pangkahlah bila kau berfikir karana ini ibadah untuk tanahair jangan kau tergoda pada ayat si mungkir musim pemilu hanya waktu dia mampir
mari mengundi untuk tanah ibupertiwi cantas si goblok yang mengucap segala janji anak anak yang kecil menanti matahari pagi yang membuatkan mereka lorong untuk menyanyi dan berlari
pangkah jangan tak pangkah menangkan kebenaran bunuh kebatilan di akhirat mungkin akan ada pertanyaan salah benar siapa yang kau naikkan.
kelana jaya feb 2004.
|