|
Pesanan untuk bakal pengantin
Adik Yatt, Alhamdulillah, syukur tak terkira abang mendengar yg engkau akan mendirikan rumahtangga dan bakal bergelar isteri tidak lama lagi. Disini abang nak berpesan, itu pun kalau mahu digunapakai. Berusahalah untuk menjadi isteri solehah. Dalam hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Empat perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia, iaitu (memiliki) perempuan (isteri) yang solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik, dan kenderaan yang bagus." (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Rasulullah meletakkan isteri yang baik pada urutan pertama sebagai faktor kebahagiaan seseorang. Isteri yang solehah akan memberikan ketenangan kepada suami. Rumah ibarat syurga jika memiliki isteri yang solehah. Antara sifat isteri solehah ialah hormat dan patuh kepada suami sepanjang suami mengikuti jalan kebenaran, melayan suami dengan baik dan penuh sopan, sentiasa menutup aurat, memasak dan menghidangkan makan minum untuk suami, mendidik anak-anak agar anak juga terselamat daripada godaan duniawi, bersikap mesra dalam berhubungan dengan kaum keluarga, menjaga rahsia rumah tangga, tidak keluar rumah tanpa izin suami dan banyak lagi sifat lain. Allah melukiskan menerusi al-Quran mengenai sifat isteri yang solehah, menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya."(Surah an-Nisaa' ayat 34). Ibnu Abbas mengemukakan dua ciri khas mengenai pengertian as-solehah (isteri yang soleh) iaitu mempunyai perilaku baik (berakhlak/sopan) terhadap suami, dan mengerjakan perbuatan kebajikan. Makna isteri setia dalam ayat itu ialah patuh dan jujur terhadap suami kerana Allah. Seterusnya, Nabi Muhammad memperincikan tiga sifat isteri solehah, menerusi sabda yang bermaksud: "Sebaik-baik perempuan (isteri) ialah yang menggembirakan engkau sewaktu engkau melihatnya; yang patuh apabila kamu perintahkan dia (dalam hal kebaikan); yang menjaga dirinya dan harta milikmu semasa ketiadaanmu di rumah." Ingat memperingati dalam mentaati Allah Jangan lupa perintah Tuhan dan suruhan Nabi. Ingat memperingati sesama suami isteri dalam menuruti perintah Allah dan sunnah Nab| s@w. Bantulah suami dalam menegakkan agama. Awaslah dengan rahsia rumahtangga. Jangan sesekali dibocorkan kepada sesiapa pun hingga akhir hayat terutama rahsia dibilik tidur. Rahsia Bilik Tidur Inilah rahsia utama seperti yang diketahui setiap pasangan suami isteri. Rahsia yang berkaitan hubungan kelamin suami isteri ini hendaklah disorok dan hanya menjadi rahsia antara mereka berdua sampai bila-bila. Adalah haram dan berdosa hukumnya kalau salah seorang dari mereka menghebah-hebahkan aktiviti seks mereka kepada orang lain. Dizaman komunikasi serba canggih semuanya sangat mudah untuk diceritakan kepada sesiapa pun hatta kepada orang asing yg tak pernah dijumpa, hanya kenal di ruang maya. Dan alangkah mudahnya rahsia begitu disebarkan keseluruh dunia ! Jaga hati dan maruah suami serta tidak khianat. Jagalah hati suami kerana sekali terluka sukar untuk disembuhkan. Jangan sesekali merendah2kan maruah suami samada didepannya apalagi dibelakangnya. Jangan sesekali melebihkan lelaki lain dalam apa2 urusan pun. Suami lah yg patut disanjung dan dipuja setiap masa. Jangan menduakan suami walaupun dalam hati atau imiginasi. Janganlah melakukan perkara yg akan merendahkan maruah suami dimata masyarakat. Maruah melibatkan aurat, aib dan kelemahan. Firman Allah SWT, maksudnya: "Adapun wanita-wanita yang solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) dan memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka." (An-Nisa: 34) Ulama di dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa "wanita yang memelihara kehormatan diri semasa ketiadaan suaminya" (di rumah) itu maksudnya: a. Isteri tidak berlaku curang terhadap suami. b. Tidak mencari hiburan di luar rumah. c. Tidak menduakan suami. d. Memelihara rahsia rumah tangga suami jangan sampai diketahui orang. e. Memelihara harta benda suami jangan sampai hilang. Disebutkan di dalam kitab, Umamah binti al-Haris telah berpesan kepada anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan; antaranya: "Jangan membuat maksiat kepadanya (suamimu), jangan menyebarkan rahsianya, kerana jika engkau melakukan kesalahan atau menyusahkan hatinya dan menyebarkan rahsianya, engkau tidak akan aman kerana telah khianat kepadanya. Kegembiraan yang harus kau terima pula akan menjadi mendung." Didik anak cara Islam Jika sudah berzuriat kelak, didiklah anak2 dengan penuh kasih sayang agar menjadi pejuang islam dan pecinta agama. Bersyukur Bersyukur dengan apa yg suami sediakan, jangan meminta yg tak mampu diberikannya. Cuba bayangkan berapa ramai lagi wanita yg tak berpeluang untuk berkahwin ! Bertimbangrasa Hidup suami isteri perlu banyak timbangrasa kerana kita bukannya sempurna. Masing2 ada kelemahan. Terimalah dia seadanya. Kalau akhlak kita tidak semulia Khadijah, bagaimana mungkin kita mengharap suami semulia Nab| s@w. Selagi tidak membawa kepada kemaksiatan/kemudaratan wajib patuh kepada suami. Sentiasa mengembirakan suami Isteri yang menggembirakan suami atau yang bermuka manis bukan bermakna wajah cantik semata-mata. Biar wajah kurang menarik, tetapi jika selalu menguntum senyum, tinggi pekerti, memancar dari keningnya cahaya iman dan keikhlasan, itulah isteri solehah yang meriangkan suami. Isteri walaupun cantik, tetapi jika wajahnya selalu mencuka, buruk pekertinya, kening selalu berkerut, tidak akan dapat memikat hati suami. Jangan meninggikan suara dgn suami. Banyak lagi yg mahu dipesan tapi tak larat nanti Yatt nak membacanya. Ingatlah, suami isteri sepatutnya berbahgia bersama bukan didunia yg sementara ini sahaja, tapi juga bahgia bersama di akhirat didalam syurga. Ringkasnya, Taat Allah, Taat Rasul dan Taat Suami. Ohh ya, satu lagi, bila berhadapan dengan masalah banyakkan bersabar dan bersolat seperti yg difirmankan : "Dan mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Al- Baqarah:45) "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan sembahyang; kerana sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar: (Al-Baqarah:153) Maafkan abang kerana tidak dapat menghadiri majlis yg bersejarah dalam hidupmu. Disebabkan kesibukan dalam urusan kerja yg bagai tak habis2 dan sebab2 teknikal yg lain. Hanya doa saja yg abang dapat berikan untuk majlis itu nanti : Semuga Yatt suami isteri diberkati Allah dan dimurahkan rezeki dan dikurniakan dengan zuriat2 yg bakal berbakti pada agama dan bangsa. Semuga kekal hingga akhir hayat dan berbahgia dunia dan akhirat bersama. Abang.
last modified Nov 8, 2005 at 19:53
thanks a lot utk nasihat2 abg yg sgt berguna tu.. insya allah akan dijadikan panduan & pedoman dalam menempuh alam baru ni...
|