kisah seekor gagak...

Pada suatu petang, seorang tua bersama anak mudanya yang baru menamatkan pengajian tinggi duduk berbual-bual di halaman sambil memerhatikan suasana di sekitar mereka.  
 
Tiba-tiba seekor burung gagak hinggap di ranting pokok berhampiran. Si ayah lalu menuding jari ke arah gagak sambil bertanya,  
 
"Nak, apakah bendanya itu?" 
 
"Burung gagak..",jawab si anak. 
 
Si ayah mengangguk-angguk , namun sejurus kemudian sekali lagi mengulangi soalan yang sama. Si anak menyangkakan ayahnya kurang mendengar jawapannya tadi lalu menjawab dengan sedikit kuat,  
 
"Itu burung gagak, ayah!" 
 
Tetapi sejurus kemudian si ayah bertanya lagi soalan yang sama. Si anak merasa agak keliru dan sedikit runsing dengan soalan yang sama diulang-ulang, lalu menjawab dengan lebih kuat,  
 
"BURUNG GAGAKKKK!!" 
 
Si ayah terdiam seketika. namun tidak lama kemudian sekali lagi mengajukan soalan yang serupa hingga membuatkan si anak hilang sabar dan menjawab dengan nada yang hendak tak hendak melayan si ayah,  
 
"Gagak la ayah....". 
 
Tetapi agak mengejutkan si anak apabila si ayah sekali lagi membuka mulut hanya untuk bertanyakan soalan yang sama. Dan kali ini si anak benar-benar hilang sabar dan menjadi marah. 
 
"Ayahhh!!! Saya tak tahu sama ada ayah faham atau tak. Tapi sudah lima kali ayah bertanya soalan tersebut dan saya sudah pun memberikan jawapannya. Apa lagi yang ayah mahu saya katakan?? Itu burung gagak, burung gagaklah..."' kata si anak dengan nada yang begitu marah. 
 
Si ayah terus bangun menuju ke dalam rumah meninggalkan si anak yang terpinga-pinga. Sebentar kemudian si ayah keluar semula dengan sesuatu di tangannya. Dia menghulurkan benda itu kepada anaknya yang masih geram dan tertanya-tanya. Ianya sebuah diari lama.  
 
"Cuba kau baca apa yang pernah ayah tulis di dalam diari itu"  
 
Si anak akur dan membaca perenggan yang dimaksudkan si ayah. 
 
" Hari ini aku di halaman melayan karenah anakku yang genap berusia lima tahun. Tiba-tiba seekor gagak hinggap di pohon berhampiran. Anakku terus menunjuk ke arah gagak dan bertanya,  
 
" Ayah...apa tu?".  
 
Dan aku menjawab, "Burung gagak".  
 
Walaubagaimanapun, anakku terus bertanya soalan yang serupa dan setiap kali itu aku menjawab dengan jawapan yang sama. Sehingga 25 kali anakku bertanya demikian, dan demi cinta dan sayangkannya aku terus menjawab untuk memenuhi perasaan ingin tahunya. Aku berharap ianya menjadi suatu pendidikan yang berharga buatnya

 
Setelah selesai membaca perenggan tersebut, si anak mengangkat muka memandang wajah si ayah yang kelihatan sayu. Si ayah dengan perlahan bersuara,  
 
"Hari ini ayah baru bertanya kau soalan yang sama sebanyak lima kali, dan kau telah hilang sabar serta marah." 
************************************************ 
Ibu dan bapa kita mendidik dan mengasuh kita semasa kecil dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Walaupun kadangkala perbuatan kita menyebabkan mereka rasa kurang sabar dan amat marah namun mereka tetap menahan sabar demi anak yang mereka kasihi. 
 
Apabila kita meningkat dewasa, kita suka memberontak dan membantah setiap teguran dan nasihat mereka. Mengapakah kita tidak boleh bersabar sahaja sepertimana mereka bersabar dengan kita sewaktu kita masih kecil...?  
 
nur indah... kasih sayang ini untukmu



[ JUAL SELENDANG ]

NurIndah™

dikemaskini pada Julai 21, 2004 jam 17:23

Get Firefox!