Tidak ada sesuatu pun apa yang dilaksanakan oleh manusia akan benar-benar berjaya.Itu bukan soal yang diperbahaskan.Semua kita sudah maklumi.Kita hanya punya kudrat untuk melaksanakan, dan selebihnya doa dan tawakal lebih memainkan peranan.
Memang.Memang program ini baru pertama kali diadakan,punya banyak kelemahan.Kita akur dengan itu.Tapi jika awal-awal lagi kelemahan itu yang cuba kita cari dan terapkan,sehingga akhirnya kelemahan itu akan berlumut tebal di situ.Baru terkalut merintih mencari resolusi berkuasa,sudah jauh ketinggalan waktu itu.Takut-takut ada yang tercicir dari landasan.Parah.
Sekurang-kurangnya kerajaan perlu berbangga kerana ada telinga-telinga yang sudi menadah,mata-mata yang sudi ralit melihat dan juga ada hati-hati yang bersedia untuk bergetar andai ada yang lari dari persimpangan.Kerajaan perlu berbangga.Kerana punya rakyat yang perihatin.Tidak begitu wahai pentadbiran?
Kami bersuara bukan dengki atau cemburu kerana kerajaan punya akal yang brilliant.TIDAK.Sesekali tidak.Kami belajar dan ambil tahu kerana kami sayangkan Malaysia.Itu kepastian.Kerana bumi Malaysia inilah kita sekalian berkongsi mengharap masih punya cebisan nafas untuk di bawa ke hari esok.Dan yang pasti kami sayangkan agama rasmi kami di sini,Agama Islam.Itu yang terutama.
Jangan sesekali berfikir,jika akal yang menentang itu adalah akal pembangkang.Jangan begitu.Tidak baik untuk diamalkan.Jangan menjadi ekstrem kerana sesuatu perkara duniawi,kerana apa yang kita cuba perjuangkan ini adalah tuntutan agama,yang penting adalah akidah yang cuba kita bajai dan jagai selama ini.Jangan nanti bila kita pulang kepada-Nya,akidah kita bernilai zero.Setidak-tidaknya kita mahu akidah kita berada di tahap infiniti.Bukan begitu?
Sesungguhnya kami di sini amat berbangga dan riang bila ada ura-ura kerajaan ingin mendalami dan menganalisa kembali modul-modul terdahulu.Syabas.Maka laksanakanlah mengikut lunas-lunas yang telah digariskan dalam al-Quran dan Sunnah.Untuk apa Nabi Muhammad s.a.w tinggalkan dua keagungan itu jika bukan untuk kegunaan kita?Bukan untuk membiarkan lelabah mengambil alih membina sarang serta beranak-pinak di situ.Rugi.
Kenapa kita tidak hendak mengikut ketertiban pengikut agama lain yang mengambil benar apa yang ditinggalkan buat pedoman?.Mari saya bawakan contoh.
Sikhism juga punya pedoman agung seperti kita.Kita punya al-Quran dan Sunnah,mereka juga punya Guru Granth Sahib untuk dijadikan pedoman.Kenapa mereka boleh menjadikan Guru Granth Sahib (sebuah kitab) sebagai successor selepas 10 Guru agung mereka meninggal dunia,tapi tidak kita?Malah kita langsung tidak mahu mejenguk dan membelek.Dicampaknya laksana kain buruk tidak berharga.Mereka(sudah tentu manusia) yang mengarang buku itu sebagai panduan orang-orang selepas kita,tapi kita yang punya al-Quran (sudah tentu dari ALLAH) mengabaikan keistimewaan yang di beri.
Semoga perubahan yang dibuat bakal menggembirakan kami rakyat yang mengharap suara kami terdengar di corong-corong kamu.
Anda dan anda pernah mendengar kisah tragis pembunuhan kejam,rogol bersiri dan sumbang mahram dari kalangan penganut agama Sikhism di Malaysia?Jarang malah tiada langsung bukan?
Kenapa kita yang digembar-gemburkan punya saksiah dan agama yang terbaik.The best way of life orang kata.Tapi punya senarai melangit di dada-dada akhbar?Kerana kita hanya tahu mendabik dada tapi akal menghampiri jalan mati.Bodoh sombong.
Jangan pula nanti anak-anak kita jadikan Karpal Singh tu sebagai idola.Punah nanti.Ayuh,bergegaslah wahai kerajaan.
******************************************************** Tuesday, April 27 @ 13:09:07 MYT Oleh Kapten Bersara
SAYA terpanggil untuk memberikan komen terhadap beberapa surat yang telah dihantar oleh pembaca malaysiakini, mereka merupakan ibu bapa yang gelisah tentang perlaksanaan PLKN yang sedang berlangsung sekarang.
Pandangan mereka supaya PLKN perlu dihentikan adalah wajar dan saya sangat bersetuju. Saya merupakan bekas jurulatih PLKN dalam Modul Pembinaan Karektor (Character Building) yang telah menarik diri dari menjadi jurulatih atas sebab-sebab yang akan saya kemukakan.
Sebagai seorang bekas pegawai tentera yang pernah menjadi jurulatih di pusat latihan tentera selama lebih lima tahun, saya sangat ingin menyumbangkan tenaga dan pengalaman saya untuk membentuk dan membina karektor yang positif kepada generasi muda kita.
Mereka ini ibarat kain putih yang perlu kita corak dan lukiskan dengan imej yang baik, sikap positif dan kelakuan yang terpuji. Namun, semasa saya menghadiri kursus TOT (Training of Trainers) di Bangi, saya mendapati keseluruhan silibusnya menerima pakai silibus dari Barat.
Saya tidak pasti daripada mana puncanya, namun jurulatih yang mengajar datangnya dari United Kingdom, Kanada dan Amerika Syarikat.
Manual jurulatih juga menerima pakai silibus tersebut. Ramai peserta kursus TOT tersebut tertanya-tanya, mengapa tiada satu pun subjek ke arah keagamaan diterapkan di dalam silibus tersebut, yang boleh disesuaikan dengan pelbagai agama anutan peserta PLKN.
Saya tidak menyatakan silibus pengajaran yang sedia ada tidak baik atau tidak sempurna, namun penambahan dan pengubahsuaian adalah perlu kepada budaya dan adat berbilang bangsa di Malaysia ini.
Apabila saya diarahkan untuk melapor ke sebuah IPTA untuk menjadi jurulatih Modul Pembinaan Karektor, pemerhatian saya pada hari pertama pengajaran modul tersebut, mendapati segala-galanya dalam keadaan yang tidak sempurna.
Jurulatih tidak dibekalkan dengan alat bantuan mengajar seperti Flip Chart, pembesar suara, pemain VCD, pemain audio CD dan sebagainya.
Terpaksalah kami bersusah payah mendapatkan segala peralatan tersebut dari rumah, meminjam dan sebagainya. Mengapa berlaku sedemikian?
Tender pembekalan alatan tersebut baru dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan pada bulan Mac 2004 (kalau tidak silap saya).
Sudahlah kami dibebani dengan masalah ketiadaan peralatan bantuan mengajar, kelas mengajar kami juga sangat sempit untuk menempatkan kira-kira 120 peserta.
Maka kami terpaksa terjerit-jerit semasa mengajar kerana ketiadaan alat pembesar suara, berpeluh-peluh dalam keadaan yang panas kerana kelas tersebut sememangnya tiada alat penghawa dingin, bagaikan seperti berada di dalam 'oven'.
Oleh kerana peserta PLKN yang kami terima ini majoritinya datang daripada 'Modul Fizikal' yang telah mereka lalui selama sebulan di kem-kem, saya menjangka mereka semua ini sangat berdisiplin dan senang dikawal.
Ternyata jangkaan saya meleset. Sebagai bekas seorang pegawai tentera yang berpengalaman menjadi jurulatih di pusat latihan tentera, saya sangat tertekan dan 'sakit jiwa' dengan perangai anak-anak kita ini.
Saya tidak mengatakan kesemuanya, tetapi sebilangan kecilnya degil dan tidak mengendahkan arahan.
Insiden yang memeranjatkan ialah ada jurulatih PLKN yang telah dipukul oleh peserta PLKN! Mereka inilah yang menjadi 'racun'. Malah diperhatikan, peserta yang datangnya dari rumah lebih berdisiplin dan lebih mendengar kata.
Tapi apalah yang mampu kami lakukan. Kami tidak dibenarkan berbuat apa-apa selain daripada mengajar dan membuat laporan sahaja.
Apa yang berlaku kepada mereka sebelum kelas jam 9 pagi dan selepas kelas jam 4.30 petang bukan urusan kami.
Saya tidak menafikan seperti apa yang dilihat oleh ibu bapa yang melawat anak-anak mereka di IPTA, mereka ini seperti 'berpeleseran' dari selepas kelas hingga malam.
Mereka melepak di tepi-tepi jalan, di bawah pokok, ada yang berdua-duaan dan pelbagai lagi kelakuan yang sangat menyakitkan mata saya.
Semasa saya menjadi jurulatih di pusat latihan tentera dahulu, perkara ini tidak mungkin berlaku kerana mereka akan sentiasa sibuk dan terlalu letih untuk 'melepak' walaupun selepas kelas.
Berbagai aktiviti boleh dilaksanakan untuk mengisi masa lapang.
Saya ada terbaca surat dari ibu bapa dalam akhbar Berita Harian tiga empat hari lalu yang menyatakan jurulatih PLKN sewajarnya diambil dari kalangan bekas tentera supaya masalah dan gejala bergaduh, melepak dan berperangai tidak senonoh dapat dibendung. Saya sangat bersetuju.
Namun saya pasti akan ada kalangan ibu bapa pula akan mengungkit bahawa apa perlunya anak mereka dilatih untuk menjadi tentera.
Walaupun sekarang ini majoriti jurulatih dari kalangan bekas tentera mengendalikan Modul Fizikal, namun tiada kesinambungan apabila mereka kemudiannya mengikuti Modul Pembinaan Karektor.
Saya mencadangkan agar perlaksanaan PLKN dikaji dan diperhalusi dengan sedalam-dalamnya dari semua aspek. Saya amat pasti sekiranya apa yang berlaku sekarang ini berterusan, objektif PLKN tidak akan tercapai.
Malah, kemungkinan boleh membawa kepada gejala sosial di dalam PLKN itu sendiri.
Peserta PLKN sewajarnya telah ditapis semasa mereka menjalani Modul Fizikal dan adalah wajar peserta-peserta yang bermasalah dari segi sikap dan kelakuan, diasingkan dan jurulatih bekas tentera diberi kuasa sepenuhnya untuk memperbaiki mereka ini.
Disebabkan oleh faktor-faktor di atas, saya sangat rasa tertekan dan hati saya memberontak melihatkan perangai sebilangan kecil peserta PLKN yang sangat tidak saya senangi kerana saya tidak diberi peluang untuk memperbaiki mereka.
Inilah yang memaksa saya menarik diri. Pendekatan secara psikologi dalam silibus yang diberikan sepertimana yang telah ditetapkan dalam Manual Jurulatih, kurang sesuai untuk mereka yang bermasalah.
Oleh itu, adalah wajar Kementerian Pertahanan, khususnya Jabatan Latihan Khidmat Negara mengkaji semula perlaksanaan PLKN ini.